pix_gal0

Penekanan sama adil untuk Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris






BEBERAPA pihak menyuarakan rasa kurang senang dengan perkembangan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) mulai tahun depan kerana bimbang berlaku pelaksanaan yang berat sebelah.




Ini disebabkan perancangan bagi memastikan Bahasa Inggeris dapat diperkukuhkan sudah dapat dilihat dengan jelas melalui cadangan pengambilan 365 tenaga pengajar pakar bahasa Inggeris dari luar negara, termasuk United Kingdom dan Australia.





Mereka yang diambil secara kontrak yang akan dibahagikan mengikut zon untuk membimbing guru Bahasa Inggeris tempatan teknik pengajaran yang dapat membantu murid menguasai bahasa itu dengan lebih baik.





MBMMBI yang menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dimansuhkan pada tahun lalu, turut melihat persetujuan Kabinet bagi penambahan masa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris ditambah di sekolah rendah dan menengah.





Berdasarkan keputusan itu, waktu bagi Bahasa Melayu ditambah daripada 270 minit kepada 330 minit seminggu bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil (SJKC/SJKT), manakala untuk Sekolah Kebangsaan (SK) dikekalkan kepada 240 minit seminggu.






Masa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris pula ditambah daripada 240 minit kepada 330 minit di SK dan Sekolah Menengah, manakala di SJKC/SJKT ditambah daripada 60 minit ke 120 minit seminggu.




Sungguhpun demikian, waktu persekolahan tidak dipanjangkan, tetapi diolah menjadi lebih kreatif dan menyeronokkan untuk pelajar dan ia akan dibuat pengubahsuaian dari segi kokurikulum selaras dengan perubahan berkenaan.





Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Kamal Shukri Abdullah Sani, berkata gerakan untuk melaksanakan MBMMBI berjalan terlalu perlahan berbanding ketika dasar PPSMI ingin dilaksanakan pada 2003 dan perkara terbabit menimbulkan kebimbangan di kalangan pejuang bahasa Melayu.





“Kita boleh lihat dengan jelas, bahasa Melayu adalah bahasa rasmi Malaysia dan wajib diguna pakai oleh semua masyarakat tidak kira agama dan bangsa. Ia perlu diberi penekanan mendalam dalam aspek pendidikan kerana sudah banyak istilah dalam bahasa Melayu diterima pada peringkat antarabangsa.





“Kerajaan terutamanya Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi perlu berusaha untuk mengembalikan status bahasa Melayu seperti sebelum 2003 yang mana ia diguna pakai dalam semua bidang pendidikan termasuk mata pelajaran Sains dan Matematik,” katanya ketika ditemui Sastera, di Kajang, baru-baru ini.





Kamal Shukri juga menegaskan usaha membina tamadun ilmu dalam bahasa rasmi negara ini sudah berlangsung dalam masa yang panjang dan perlu dimanfaatkan, tetapi malangnya segala penat lelah dan masa yang diluangkan bagi memperkasakannya terbazir apabila bermula 2003 apabila PPSMI diperkenalkan.





Beliau pasti bahawa banyak jurnal, bahan ilmiah dan penyelidikan bagi bidang Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu sudah dapat dihasilkan ilmuwan dan sarjana sekiranya PPSMI tidak diperkenalkan, malahan pimpinan atasan juga perlu meletakkan bahasa Melayu di tempat sewajarnya dengan menggunakannya ketika berkomunikasi dan urusan rasmi.






“Kita perlu sedar, bahasa Melayu mempunyai jiwa dan nilai budaya yang sangat indah serta sukar diungkapkan. Ia mampu menjadi bahasa ilmu yang diiktiraf dunia, tetapi dalam masa sama tidak salah untuk masyarakat menguasai bahasa Inggeris selagi tidak membiarkan fikiran mereka ditawan bahasa itu,” ujarnya.





Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz, pula menyifatkan dasar MBMMBI perlu diberi penekanan dengan menghalakan warga pendidik terlebih dulu kerana fungsi mereka penting bagi melahirkan bangsa Malaysia yang mencintai bahasa Melayu.





Justeru, masalah yang dihadapi kerajaan dalam pelaksanaan dasar berkenaan adalah bagi menyediakan 13,000 guru baru yang terlatih khususnya dalam mata pelajaran Sains dan Matematik dalam tempoh setahun.





“Guru sebenarnya menjadi nadi utama dalam menjayakan dasar MBMMBI kerana kalau kita lihat, majoriti pendidik lebih mengejar untuk menghabiskan silibus pelajaran berbanding menerapkan kesedaran dalam diri pelajar bahawa bahasa Melayu adalah wadah kesepaduan dan kesepakatan di Malaysia.





“Bahasa Melayu sebenarnya bukan saja berfungsi sebagai bahasa kebangsaan, tetapi juga berkualiti sebagai bahasa ilmu. Statistik menunjukkan bahawa pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) menghadapi masalah untuk menguasai bahasa Melayu. Salah satu sebab hal ini berlaku pastinya kerana kurangnya penekanan daripada guru sendiri,” jelasnya.





Beliau berharap kerajaan memainkan fungsi penting dalam hal ini dengan melaksanakan pelbagai dasar yang tegas bagi mendaulatkan kembali bahasa Melayu di kalangan masyarakat, selain pemimpin atasan perlu menjadi contoh terbaik dalam aspek penggunaan dan komunikasi dalam bahasa Melayu.





“Di samping itu, bahasa Melayu juga perlu di martabatkan pada peringkat institusi pengajian tinggi (IPT), tidak kira sama ada awam atau swasta.
Penegasan dalam hal ini perlu bagi memastikan bahasa Melayu diletakkan di tempat teratas dalam urusan rasmi,” ujarnya.