Usah korban keikhlasan mendidik gara-gara mengejar status




Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengenai autonomi sekolah baru-baru ini amat mengujakan. Pihak sekolah diberi kepercayaan untuk membangun, mengurus dan mentadbir sekolah dengan ruang berkarya yang semakin luas. Ini adalah rentetan daripada pelaksanaan Sekolah Bestari, Sekolah Kluster, Sekolah Amanah dan Sekolah Berprestasi Tinggi.





Kini setiap warga sekolah khususnya guru besar atau pengetua mula meletakkan penanda aras bagi sekolah masing-masing. Mereka mahu mengejar status seperti yang disebutkan di atas. Bagi sekolah yang mendapat status diidamkan itu sudah tentu akan bermati-matian mempertahankan kedudukan sekolah dengan pelbagai cara dan kaedah.






Dengan kedudukan istimewa, maka ibu bapa juga turut terheret untuk menghantar anak ke sekolah berkenaan. Anak yang mendapat tempat di sekolah itu tentu berasa bangga dan membuat perbandingan dengan pelajar di sekolah biasa.






Dalam dunia pendidikan moden hari ini, nilai tinggal landas atau TOV (take-off value) amat penting bagi merancang sasaran pencapaian dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P). Ia akhirnya akan diterjemahkan ke dalam ‘Gred Purata Subjek’ (GPS) yang menjadi lambang keberkesanan kaedah pengajaran dilaksanakan oleh guru berkenaan.






Mungkin wujud sedikit perubahan dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) apabila sistem ‘band’ diperkenalkan.
Ada sekolah yang awal-awal lagi cuba memilih pelajar mempunyai TOV tinggi bagi memudahkan usaha mencapai prestasi disasarkan. Tapi apa yang lebih malang ada juga sekolah yang mengeluarkan pelajar yang mempunyai TOV rendah, yang dikhuatiri akan menjejaskan pencapaian sekolah. Malah wujud kes mendaftarkan pelajar itu sebagai calon persendirian.






Kita masih ingat dengan kejadian pelajar dikurung atau dengan lain perkataan dinafikan hak untuk menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Bintangor tahun lalu, juga berpunca dari faktor berkenaan.






Kini dengan perlumbaan yang semakin sengit, kita khuatir keikhlasan guru semakin terhakis. Bermula daripada persaingan mengejar pelbagai kenaikan gred sehinggalah kepada ranking sekolah, semuanya boleh melunturkan keikhlasan guru untuk mendidik.






Pengumuman untuk menimbangkan perluasan peluang untuk sekolah memiliki autonomi perlu diterima dengan sikap yang betul. Ia bukan peluang untuk menaikkan taraf sekolah dengan apa cara sekali pun sehingga mengetepikan keluhuran profesion perguruan. Ia adalah pengiktirafan terhadap kebolehan warga pendidik meningkatkan kualiti pendidikan. Jadi ia perlu diterima dengan rasa penuh hormat dan bertanggungjawab.






Kita tidak mahu sekolah hanya dihadiri pelajar ‘layak’ dengan mengetepikan dan menafikan pelajar yang tidak ‘layak’ mendapat hak. Didiklah pelajar dengan penuh kasih sayang bagi masa depan negara yang lebih cemerlang.






Seharusnya kita berasa tersindir oleh kenyataan Amartya Sen dalam mengulas usaha Rabindranath Tagore yang mengusahakan sistem persekolahan alternatif di Santiniketan, katanya: “He wrote extensively on how school should be more attractive to boys and girls and thus more productive”.






Dan beliau menambah: “The emphasis here was on self-motivation rather than discipline, and on fostering intellectual curiosity rather than competitive excellence”.






Kita mahukan generasi yang menghargai kebenaran seperti yang terungkap dalam frasa ‘intellectual curiosity’ daripada mengejar habuan penghargaan keduniaan semata-mata.






Dalam mendepani cabaran pendidikan hari ini, kita percaya masih ramai guru yang mampu mempertahankan keikhlasan mereka. Kita juga yakin tujuan memperkenalkan pelbagai perubahan dalam sistem pendidikan bukan bertujuan meragut keikhlasan pendidik.






Jadi usaha memperingatkan dan memperteguhkan azam untuk terus menjadi warga pendidik yang mempunyai idealisme pendidikan tinggi harus dipergiatkan.






Usaha itu boleh dilaksanakan menerusi kempen, ceramah, kursus dan sebagainya. Pendidik yang berjaya bukan saja mempunyai kemahiran mengajar yang tinggi tetapi sentiasa dipengaruhi pandangan luas yang berteraskan tauhid dalam setiap keputusan, tindakan dan sikap apabila berhadapan dengan pelajar.







Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)