Qari negara janji
elak lakukan kesilapan kecil
Peluang untuk diumumkan sebagai johan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-54 yang sedang berlangsung hingga Jumaat ini, memang ada tetapi dengan syarat tidak melakukan kesalahan atau hanya melakukan kesalahan kecil.
Qari negara, Muhammad Anuar Ghazali, berkata walaupun optimis dengan kemampuan diri, beliau tidak menafikan saingan hebat daripada peserta lain yang menunjukkan kemajuan serta peningkatan mutu bacaan mereka. “Jika kira peluang, dengan izin Allah peluang itu ada. Melihat peserta yang sudah menyampaikan bacaan masing-masing, saya fikir dengan pukulan dan tarian kita serta berkat doa semua pihak yang menyokong, Insya- Allah boleh.
“Saingan tetap ada seperti peserta dari Iran dan Filipina yang mempersembahkan bacaan hebat. Lagipun masih ada peserta yang belum menunjukkan kelebihan mereka.
“Namun, berkat bimbingan guru Abdul Rahim Ahmad dan fasilitator Datuk Sallehudin Omar dan Datuk Muhamad Hasri, saya akan berusaha melakukan yang terbaik,” katanya.
Beliau yang memikul tanggungjawab membawa nama negara akan menyampaikan bacaan bersama peserta lain pada malam ini.
Mengakui memerlukan suntikan semangat, Mohamad Anuar gembira kerana ibunya Che Eshah Mat Noor yang menjadi pendorong kuat akan hadir malam ini di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Bagaimanapun, beliau sedikit terkilan kerana bapanya, Ghazali Mat Nor, tidak dapat bersama kerana keadaan kesihatannya tidak membenarkan beliau membuat perjalanan jauh. Turut memberi sokongan ialah isteri dan tiga anaknya.
Pembabitan Muhammad Anuar dalam bidang al-Quran pada awalnya atas dorongan ibu dan bapa yang mahu melihat beliau mendalami ilmu pembacaan al-Quran secara berlagu. Awalnya, beliau tidak berminat kerana menyedari perkara itu bukan mudah.
Selain kemahiran dalam bidang tajwid, mereka yang ingin berjaya dalam bidang itu perlu memiliki suara yang tinggi, lancar serta mahir maqam lagu. Paling dirisaukan ketika itu, adakah beliau mampu menguasai semua bidang ilmu itu.
Bagaimanapun, selepas berjinak-jinak akhirnya timbul keinginan untuk meneruskan pengajian dalam bidang ilmu pembacaan al-Quran secara berlagu. Muhammad Anuar berkata, beliau bersyukur kerana ibu dan bapanya menjadi penyokong kuat.
“Apabila sudah mengenal lagu, minat itu terus meluap-luap dan saya berusaha meneruskan minat. Kini saya melihat tugas mempelajari dan mengajar ilmu al-Quran sebagai satu tanggungjawab kerana setiap ilmu perlu disebarkan.
“Saya juga bertuah kerana ibu dan bapa tidak pernah jemu memberi semangat dan itu yang membuatkan saya berjaya hingga ke peringkat ini. Saya berpendapat, ibu bapa perlu memberi sokongan dan semangat kepada anak mereka untuk mendalami ilmu al-Quran ini,” katanya.
Bapa kepada tiga anak itu turut menerapkan minat mempelajari ilmu al-Quran kepada anak-anaknya dan berharap semua ibu bapa menjadikan asas pendidikan al-Quran sebagai ilmu wajib dipelajari anak mereka.
Ditanya permintaan beliau kepada rakyat Malaysia, Muhammad Anuar, yang pastinya bakal menjadi perhatian seluruh rakyat mengharapkan mereka mendoakan kesihatannya supaya dapat membaca dengan baik. Beliau juga mengharapkan Dewan Merdeka akan penuh malam nanti.