Photobucket

Sahabat Maya :

Showing posts with label Koleksi Cerpen Pilihan. Show all posts
Showing posts with label Koleksi Cerpen Pilihan. Show all posts

Monday, August 26, 2013

Koleksi Cerpen Pilihan

http://bamboocellular.files.wordpress.com/2013/01/gambar-pemandangan-desa-indah-desa-wisata-555x389.jpg?w=450

Menjilid antologi Ramadan


KATA bonda, Ramadan itu hidupnya di hati dan sanubari. Kalbu yang putih akan mewarnakan Ramadan dengan sejernih kasih dan cinta. Kasih kudus yang tiada duanya. Cinta itu hanya untuk Maha Esa. Pencipta suratan takdir dan perjalanan hidup makhluk di alam material ini. Ramadan itu ladang yang membenihkan ranum amal di kebun sesayup fana. Kutip dan pungutlah dengan jemari keikhlasan sebelum dedahan dan reranting usia melabuhkan diri di tanah abadi.







Kata bonda lagi, usia yang percuma ini adalah deru sungai yang mengalir menuju ke muara. Adakalanya lenang bergenang melepasi kerikil dan bebatu dan adakalanya lesu disanggah gelodak sampah serta sisa-sisa yang berperca musibah. Hidup ini kembara yang panjang dan berliku di gurun waktu yang penuh keliru dan bercelaru. Bonda mahu saya isikan setiap nafas hayat ini sebagai manusia yang memiliki jiwa besar dan iltizam yang berkobar. Ramadan itulah permulaannya. Limpah berkat yang berulang datang dan pergi di limpahan musim.






Kampung kecil kami adalah catatan terindah setiap kali Ramadan membukakan pintu waktu. Tanah dingin yang kekal diselaputi warna-warna hijau belantara serta aneka flora yang menyemerbak maya. Aroma pepohon yang merimbun serta landskap ladang dan kebun tetap kurniaan terindah buat warga yang cintakan damai dan sejahtera. 






Cinta kami bukan sekadar pada lukisan alam yang meluhurkan bening kalbu tetapi hati dan jiwa kami terpaut pada kental dan kemimnya jalinan persaudaraan dan ikatan persahabatan yang tinggi di antara tetangga dan sanak keluarga. Desa tradisi yang kejap diikat dengan limpahan budaya luhur serta nilai resam Melayu yang dipusakai turun temurun. Kamilah generasi yang mewarisi adab dan akhlak yang diperturunkan oleh fahaman dan anutan agung tinggalan para alim ulama dan anbia tercinta.







Satu-satunya surau kecil yang terletak di simpang jalan antara tanah pusara dan sebidang semak samun yang tidak terjaga itulah madrasah luhur yang mengakrabkan hati-hati para Jemaah dalam satu ikatan ukhuwah di desa ini. Surau tua berperabung zink separuh uzur serta berdinding papan yang kian mereput tetap melebat rindu di hati anak-anak kariah yang cintakan luhur kebenaran saat Ramadan mula melabuhkan lembayung fajar. 







Cinta anak-anak muda di tanah desa ini pada surau tua itu semakin utuh dan menebal tatkala usrah dan zikrulah yang mencicipi halwa pendengaran kami dilunakkan dengan kisah-kisah Ramadan yang penuh nostalgia. Ramadan mengakrabkan kalbu untuk tunduk pada syariah dan akar akidah yang menunjang pohon peribadi.






Surau yang kecil di mata insan lain tetapi tetapi agung dan membesar di hati kami. Di madrasah kayu itulah kami - anak-anak desa ini mengenal huruf dan kalimah kalam Tuhan. Segala hukum dan hakam kami pelajari.
Daripada ilmu akidah yang mendidik hati mengenal Illahi hinggalah kepada ilmu kefarduan yang mengasuh kami dengan akhlak dan syariat. Guru-guru dan mualim yang silih berganti datang dan pergi tidak pernah jemu-jemu mewardahkan cuping pendengaran kami dengan tarbiah dan syarah supaya menjadi manusia yang mampu membezakan antara kebenaran dengan kebatilan. Justeru,di sinilah ladang hati dengan sebidang takwa yang mencambah.







Kata Haji Syuib yang hampir suku abad mengabdikan dirinya sebagai imam di surau itu, Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga untuk melengkapkan rukun syariat ketiga tetapi Ramadan mendidik kalbu yang sentiasa dikeraskan oleh sisa dan hadam makanan supaya menjadi lembut dengan ikhlas dan tawaduk. Hati yang diuji dengan lesu dan dahaga akan mudah bertukar dengan rasa simpati, ihsan dan berperikemanusiaan. Jasad yang seharian tidak dijengah makanan duniawi akan mendidik sanubari menjadi gigih dan tabah mendepani uji. Justeru, Imam tua itu berulangkali mewariskan kami dengan ceritera sebabak Perang Badar yang terakam di helai dan lembar sirah agung. Kata insan yang cukup disegani di desa kelahiran ini tatkala sesi tazkirah malam-malam Ramadan yang kami tekuni dengan amal dan ibadah.





"Puasa itu perisai takwa yang menajamkan pedang juang dalam kalangan sahabat. Buktinya , sejumlah tiga ratus tiga belas jasad yang bersalutkan iman dan istiqamah bangkit mencabar musuh dan petualang yang jauh lebih besar. Akhirnya, Islam yang diranumkan dengan ikatan persaudaraan serta terapi puasa mampu menewaskan gerombolan manusia yang sekadar dilengkapi dengan senjata duniawi tetapi hilang roh kebenaran hakiki."






Kami membaca sejarah itu dengan lunak cinta. Cinta agung yang memilih syahid daripada wangi duniawi.Hati yang disepuh oleh rindu sabil akan menolak apa-apa sahaja ganjar material. yang sekadar dikunyah fana dan seketika. Justeru, kemenanganlah yang kami impikan sebagaimana agungnya Badar menterjemahkan perjuangan hakiki.






Tidak cukup dengan sebabak Perang Badar yang menjadi wadah kisah penuh iktibar, para mualim yang diberikan ruang usrah malam-malam Ramadan tercinta akan melunakkan cuping pendengaran kami dengan susunan kisah dan ceritera. Sejarah perang dan sengketalah yang sering melunaki pangkal hati kami agar menghayati betapa nikmat keamanan dan kesejahteraan itu satu anugerah terindah daripada Allah untuk hamba-Nya. Lalu, dibisikinya kata-kata yang tidak pernah hilang di cuping ingatan ini.






" Jiwa yang sejahtera dan suasana yang selesa adalah anugerah Tuhan yang tidak ternilai. Harga kedamaian yang dikecapi perlu dibayar dengan satu perjuangan yang panjang dan berliku. Nenek moyang kita dahululah yang sanggup menempuh bara sengketa dan api pertumpahan darah demi memastikan keturunan bangsa di tanah air ini mampu menikmati warna-warna keamanan sebenar."







SahabatLalu, ruang waktu antara sela-sela ibadah sunat itulah dikhataminya kami dengan episod perjuangan agung para sahabat, fuqaha, tabiin, solihin, mursyid serta pejuang agama yang menjejaki jalan syahid yang agung. Saya dan teman-teman dihamparkan selingkar sirah terhebat panglima Tariq Ibnu Ziyad yang mengemudi armada Ramadan menuju ke Andalusia. Perang agung merobohkan empayar Rom milik Raja Frederick di tanah Cordova menjadi babak kisah yang begitu mengujakan jiwa anak-anak muda seperti kami di tanah kerdil ini. Tidak cukup dengan itu, diwadahkan lagi sebabak kegigihan Salahuddin Ayubi menawan wilayah Gaza hingga ke Jubayl seterusnya membebaskan tanah mulus Aqsa daripada cengkaman kaum Frank yang kejam dan angkuh. 






 
Ramadanlah yang membukakan hijab dan tekad sehingga tamaddun Islam berhimpun dan berkampung ke seluruh empayar dunia menakluki hingga ke padang gersang Afrika serta Eropah timur. Kami menelingakan diri dengan penuh khusyuk mendalami kisah di dalam sirah. Kata bonda dengan luhur bicara berhemah,
"Anak-anak bangsa seperti kamu yang hidup di alaf moden ini sudah hilang warna-warna perjuangan mempertahankan hak dan kebenaran. Kamu dilalaikan dengan segala macam gajet dan sistem hidup yang diatur oleh musuh yang mencari kesempatan untuk melemahkan jiwa kita dengan memuja duniawi. Hiburan melampau dengan gaya hidup sosial yang songsang telah menjadikan generasi kita hilang maruah dan jati diri. Percakaran politik dek fahaman yang berbeza di banyak tanah air juga telah merobohkan kekuatan dan keperkasaan ummah. Kita tidak belajar daripada sejarah penghayatan Ramadan. Puasa itu perisai takwa yang pernah mengibarkan panji -panji dengan kemenangan hakiki ".






Puasa itu terapi hati. Mengasuh nurani dengan nilai-nilai mahmudah daripada lekit hitam penyakit mazmumah. Ujub, sombong, dengki, amarah serta tamak haloba yang bersarang di dalam sukma akan mencambahkan porak peranda dan kacau bilau. Orang-orang tua kami selalu berwasiat supaya menghalau serangga batil yang cuba bertapak di kebun batini kerana bahayanya akan kami rasai apabila Jemaah dan kariah mula dirasuk balah dan ditusuk telingkah. Sengketa bangsa adalah seburuk-buruk petaka yang boleh memusnahkan kehidupan.






Hari -hari Ramadan yang diuji dengan letih dan dahaga luar biasa , lidah dan halkum kami sekadar digelisahkan dengan keinginan untuk cepat berbuka. Menghadam segala makanan dan aneka kuih muih yang banyak terjaja adalah rutin cinta yang tidak pernah terpadam. Nafsu untuk mengenyangkan jasad dan usus adalah matlamat utama. Lalu, yang kami saksikan di hadapan mata tiada lain melainkan budaya menjamu selera dengan pelbagai menu dan juadah. Ramadan dari tahun ke tahun bagaikan sebuah pesta makanan dan tradisi mengenyangkan perut jasmani. Justeru, berebut-rebutlah para oportunis yang menguasai salur media mewarnakan kaca siaran dengan apa sahaja rancangan berjenama makanan dan hidangan di atas nama penghayatan Ramadan. Di lembar naskah pula dijamunya kornea mata dengan aneka menu pelbagai citarasa konon bulan berkat ini tidak lengkap tanpa barisan sajian tradisi atau moden. Pesan bonda kepada saya saat kami bersama mengakrabkan waktu berbuka,
" Hati kita tidak diisi dengan makanan rohani yang berkualiti. Jiwa yang kosong akan mudah dicambahi dengan sisa dan daki hitam serakahan. Janganlah kamu terpedaya dengan nafsu dan keinginan yang membuak-buak. Perut yang kenyang akan menjadikan tubuh jasmani mudah culas dan malas untuk mengerjakan ibadah ".






Justeru, tatkala menghadap makanan, kami diajar supaya bersederhana serta tidak tamak haloba. Kami belajar beramal dengan sunah Rasul tatkala menghadam juadah rezeki kurniaan Allah. Tambah bonda, rezeki yang sedikit akan digandakan oleh Allah andai terpancar di hati rasa syukur.






Surau tua tempat kami memilih untuk menjamu nurani dengan zikir dan fikir kala menjelang petang hingga ke malam larut kekal menjadi rumah terindah kala musim-musim Ramadan bertandang. Di situlah kami menghiaskan lidah dengan rangkap tilawah dalam tadarus yang tulus. Di situlah juga kami warga kecil ini menghidupkan malam-malam Ramadan dengan Qiamulail serta ratib doa yang tidak putus-putus. Surau separuh uzur yang kian dimamah anai-anai itu tetap kami tegakkan di sudut hati dan sanubari sebagai madrasah yang mengasuh kami dengan wadah mahmudah. 






Sewaktu sahabat-sahabat seusia kami ramai yang mudah tergelincir oleh serakah ganja dan dadah musim-musim keremajaan, kami masih tegar bertahan dengan iman dan perisai kebenaran. Ramadanlah yang mendidik kalbu membalut jasad dengan takwa yang utuh dan padu. Selagi puasa itu amal yang membalut baju sahsiah selagi itulah hembus nafsu yang bergelantangan di luar sana dengan pujuk keliru kami lontar dan lempar sejauh-jauhnya. Kami memilih jihad menjadi manusia berluhur berakhlak. Kami ingin membina kehidupan sebagai bangsa bermaruah.






Musim-musim Ramadan di kampung pencil yang melarat oleh kedaifan dan kemiskinan ini, saya dan sahabat-sahabat seusia tidak pernah mengeluh dan kecewa. Apa yang ada di hadapan mata itulah rezeki Tuhan yang perlu dikongsi bersama teman dan taulan. Walau sekadar nasi berlauk ikan kering dan sambal tetap kami nikmati dengan rasa syukur dan ikhlas di hati.
KebunKata bonda, daerah Ramadan inilah kebun yang perlu kami semaikan jalinan keakraban sesama jemaah. Kekuatannya terletak pada hati yang patuh dan jiwa yang tulus. Ikhlas dan reda itu benteng ampuh yang membangunkan jasad dengan kudrat ummah. Sengketa dan pecah belah akan hanya meleraikan jiwa yang kehilangan cinta dan setia untuk memelihara agama dan bangsa.






"Jiwa yang fakir akan mudah mendidik akal untuk berfikir di mana benar dan di mana batil. Lapar dan dahaga menyemai peribadi daripada nafsu haloba dan cinta dunia",






Kami dengar dan kami hayati apa sahaja patah dan kalimah para mualim setiap kali Ramadan bertandang dalam ziarah waktu yang datang dan pergi dalam pusingan hari. Waktu berengsot di aspal musim meninggalkan sisa dan cerita di laman nostalgia. Tatkala takdir dan suratan hidup membawa hasrat dan iltizam kami ke menara ilmu terbilang seterusnya dibaluti dengan jawatan dan kerjaya ke kota raya mewah lagi terbilang. Tinggallah ceritera Ramadan kami di bumi pencil pendalaman sebagai perca ingatan yang beradu di selimut kenangan. Kemiskinan dan kemelaratan hidup yang pernah berparut di lipatan waktu sepanjang perjalanan usia di desa kelahiran mudah sahaja dikambus hari yang datang dan pergi. Takdir mengubah segala-galanya.






Dek kemahiran dan ilmu pendidikan yang kami kecapi hingga ke peringkat tertinggi telah mengubah dunia hidup kami dengan limpah kemewahan dan kesenangan yang tidak putus-putus. Dalam kalangan kami, ada yang sudah berjawatan tinggi dengan pelbagai gelar dan pangkat. Kota besar dan agam ini telah menyelesakan kami dengan rutin hidup moden. Segala ingatan dan kenangan sepanjang Ramadan di tanah desa kelahiran kami kunci serapat-rapatnya. Ramadan demi Ramadan datang di aspal tahun kami telah melupakan sejarah terindah itu.





Suatu ketika, saat Ramadan bertandang dan lebaran kian menjengah, rindu membawa saya dan teman -teman kembali mengatur langkah tradisi mencari akar diri di desa halaman yang limpah oleh kenangan. Alangkah syahdu dan sendunya kalbu saat kami tatapi bumi tradisi kami telah bertukar menjadi pekan yang dirancakkan dengan pembangunan luar biasa. 




Tiada lagi rumah-rumah kayu tradisi berganti deretan teres dan banglo mewah. Bangunan kedai dan kilang industri tumbuh membiak di mana-mana. Malah, surau kecil kami sudah lama hilang dek arus kemodenan yang melimpah. Lebih meluluhkan, warga asing dan kelibat pendatang yang membawa selut dan lumpur budaya liar kian hari kian menghakis identiti timur serta luhur resam tinggalan moyang. Saya terasa seakan berada di bumi yang serba asing. Anak-anak muda sebangsa yang dahulunya bercambah oleh luhur moral kini diselaputi segala macam warna-warna hitam gejala.





Ramadan ini, saya menjejaki kembali lembar-lembar kisah dan ceritera yang pernah terjilid dalam antologi nostalgia di tanah kelahiran. Namun, segala-galanya hampa. Yang saya temui hanyalah sisa dan perca yang terlerai dan berkecai dihakis oleh peredaran musim. Ceritera terindah yang pernah bertamu di laman naskhah Ramadan silam.
Teruskan membaca..

Sunday, January 20, 2013

Koleksi Cerpen Pilihan

Pengembaraan Aji Kitul


TIADA siapa tahu kerja sebenar Aji Kitul. Tetapi setiap senja, dia di tepi tebing menjala ikan di sungai yang berlumpur. Tiada siapa tahu berapa ekor yang ditangkapnya setiap senja tanpa rasa jemu.


Di bulan purnama, Aji Kitul akan duduk di dalam perahunya. Tiada siapa tahu mengapa dia berbuat demikian. Aji Kitul hidup sebatang kara dalam usianya yang hampir mencecah 70. Kulitnya sudah berkedut, kepalanya sentiasa berserban. Dia belum naik haji tetapi masyarakat memberikannya gelaran Aji kerana serbannya itulah. Tiada siapa pernah nampak Aji Kitul solat. Di pagi raya, orang hanya nampak beliau membersihkan selipar berlumpurnya sahaja selepas dan sebelum solat raya. Tiada siapa tahu mengapa dia berbuat demikian. Tiada siapa pun peduli. Orang kampung melihatnya sebagai lelaki tua yang sudah hilang perhitungannya. Dalam erti kata lain, Aji Kitul sudah gila.




Namun, tidak jauh dari tebing sungai tempat Aji Kitul sering berlabuh, ada sebuah rumah usang kepunyaan De Misong, seorang perempuan tua yang lima tahun lebih ceria dari Aji Kitul biarpun dari segi usia biologinya, De Misong lebih tua dari Aji Kitul. Begitu kehendak Tuhan. Kebahagiaan dalaman adalah rahmah. Bukan boleh dijual beli. Mereka berdua bersahabat baik. Arwah isteri Aji Kitul adalah sepupu kepada De Misong. Ngah Tupin meninggal semasa pergi mengail di tepi sungai itu. Arwah terjatuh ke dalam sungai dan dibawa oleh arus sungai yang laju. Mayatnya tidak diketemui sampai kini. Dikatakan orang kampung bahawa setiap bulan purnama, 
Ngah Tupin akan muncul di tebing sungai, memancing. Ramai anak-anak muda dikatakan lari lintang pukang apabila terserempak dengan Ngah Tupin. Sejak berita ini tersebar liar, tiada lagi anak-anak muda keluar berpacaran di tebing sungai itu di bulan purnama.


"Aki, buat apa tu, Aki?" Cikgu Sahak yang baru pindah ke kampung itu dari kota menegur Aji Kitul di satu senja. Dia di dalam perjalanannya untuk bersolat Maghrib di surau di kampung itu.



Aji Kitul memalingkan mukanya dari mengamati pengailnya ke arah Cikgu Sahak. Memang anak muda ini peramah. Kadang-kadang Cikgu Sahak akan memberinya bungkusan nasi untuk makan malamnya. Anak-anak kampung yang lainnya tidak pernah berbuat demikian terhadapnya. Mereka memandangnya tetapi tidak melihatnya. Dia tidak wujud di mata anak-anak kampung yang lain yang sibuk mengadap komputer di kedai Internet Haji Dahalan.



Keli"Mengail macam biasa. Nanti kau balik dari surau, boleh kau tolong hantarkan ikan-ikan keli ini kepada De Misong kau? Dah seminggu aku tak sedekahkan hasil tangkapan aku kepadanya." Cikgu Sahak tersenyum. Memang dialah yang sering menjadi orang perantaranya. De Misong akan terus memasak ikan-ikan keli kiriman Aji Kitul dan mengajaknya makan sekali. Memang Cikgu Sahak tidak akan melepaskan peluang ini. Dia yakin rezeki halal jika tidak ditolak akan bertambah berlipat ganda. Tetapi dia juga tahu bahawa rezeki yang haram, walau sebanyak manapun tidak boleh dibawa sampai ke mati. Malah, tidak pernah cukup. Juga, tidak pernah memberi ketenangan jiwa.


Cikgu Sahak selalunya dia pergi menziarah De Misong dengan Tok Siak surau. 
 Walaupun tua dan bertaraf nenek kepadanya, Cikgu Sahak tetap berhati-hati agar jangan sampai orang kampung menabur fitnah bahawa dia telah menjadi anak ikan De Misong pula. Na'uzubillah min zalik. Zaman sekarang bukan boleh berkira. Kecilkah, mudakah, tuakah,isteri orangkah, suami orangkah seolah-olah kerangka moral sudah tiada dan tiada sesiapa yang ingin menegur jika melihat maksiat berlaku di hadapan mata. Salah satu sebab mengapa dia minta ditukarkan mengajar di kampung ialah kerana tidak tahan lagi melihat dosa-dosa dan maksiat-maksiat di kota. Selepas dia difitnahkan mencabul kehormatan seorang pelajar tingkatan lima, dia sudah serik. 



Walaupun pihak berwajib akhirnya mendapati Cikgu Sahak tidak bersalah, Cikgu Sahak benar-benar serik. Jika manusia enggan dididik (pelajar itu adalah seorang bohsia yang cuba diasuhnya supaya menjadi manusia biasa tetapi sebagai protesnya telah menuduh Cikgu Sahak sebagai pencabul kehormatannya) maka dia akan berhijrah ke tempat yang benar-benar memerlukannya. Kampung Pokok Cempaka, kampung Aji Kitul, adalah sebuah kampung yang agak terpinggir. Kebanyakan anak-anak muda sudah meninggalkan kampung untuk bekerja di kota-kota lain termasuk menjadi buruh di Singapura kerana tawaran gaji yang lebih lumayan di samping kebebasan sosial yang tidak dipantau. Kampung yang majoriti penduduknya adalah Melayu dan beragama Islam, juga mempunyai kelompok minoriti kaum Cina dan India yang rata-ratanya petani dan penoreh getah.Di dalam kelasnya sendiri, pelajar cemerlangnya ialah Ek Kang, anak seorang pekebun sayur dan Sami, anak seorang mandur ladang getah yang berhampiran. 


Baru beberapa hari yang lalu, Cikgu Sahak membantu mereka mengisi borang secara online untuk masuk ke universiti tempatan. Cikgu Sahak terpaksa menggunakan komputer ribanya kerana komputer sekolah terlalu perlahan sambungan internetnya. Seringkali pula terputus-putus. Ini juga bermakna maklumat di kawasan-kawasan di pendalaman seperti Kampung Cempaka ini sampai agak lambat dan kerana ini, mungkin juga tidak relevan lagi.
"Aki ikut sahaja saya dan Tok Siak makan malam di rumah De Misong nanti", Cikgu Sahak mengusik Aji Kitul seperti biasa.


Haisssh kamu ni....De Misong tidak sukakan aku, kata Aji Kitul terbatuk-batuk.
"Tapi semua orang kata De Misong tu kawan baik Aki. Girlfriend Aki, kata mereka", Cikgu Sahak mencuba nasib lagi untuk mengetahui lebih lanjut tentang lelaki tua yang penuh misteri ini.


"Nanti bila kamu balik dari rumah De Misong kamu, kamu singgah di sini semula. Nanti aku ceritakan kesemuanya. Kamu jangan datang dengan Tok Siak. Aku menyampah dengannya. Kamu datang seorang."


Berderau darah Cikgu Sahak. Dia melihat ke langit. Bulan purnama. Sebaik pulang dari rumah De Misong dan selepas selesai solat Isyak di surau, Cikgu Sahak terus ke tebing sungai dan perlahan-lahan melangkah masuk ke dalam perahu Aji Kitul.
"Sshhh...kau jangan bising sangat pergerakan kau itu", Aji Kitul mengingatkan Cikgu Sahak.


Cikgu Sahak duduk perlahan-lahan di sebelah Aji Kitul. Dia menunggu Aji Kitul bersuara sebelum ingin dia memulakan. Sejam. Dua jam berlalu. Aji Kitul tidak berkata-kata. Matanya terus melampaui hitam malam. Udara pekat dengan kesunyian. Nyamuk juga tidak berani hinggap pada kedua-duanya. Cikgu Sahak yakin Aji Kitul ini banyak ilmunya. Masakan tiada seekor nyamuk yang berdesing di telinga mereka.
"Aki.." bisik Cikgu Sahak, tidak lagi sabar.
"Hmmph?" Bisik kembali Aji Kitul.
"Ceritalah!"
" Apa yang kamu nak tau?"
"De Misong. Aki janji tadi nak ceritakan semuanya."
Diam.



Aji Kitul diam sahaja. Matanya masih mencari sesuatu di penghujung gelap malam itu.
"Aku dulu kelasi kapal. Kata orang, at every port, there is a woman".
Terkejut besar Cikgu Sahak mendengar Aji Kitul berbahasa Inggeris. Tetapi dia harus jangan menunjukkan sebarang reaksi. Bimbang nanti akan mati angin Aji Kitul ingin bercerita.


Tuduh"Ketika itu, Aki dah berkahwin dengan Ngah Tupin, sepupu De Misong. Mereka berdua memang rapat. Macam adik beradik. De Misong salahkan aku bila Ngah Tupin hilang dibawa arus deras sungai ini. Dia tuduh aku tidak bertanggungjawab. Dia tuduh memang aku sengaja ingin Ngah Tupin mati kerana tergila-gilakan Cik Kiambang, janda beranak dua di hujung kampung ini. Aku ini bekas kelasi. Aku sudah bosan mengejar perempuan sekembalinya aku ke kampung untuk tua bersama isteri kesayanganku, Ngah Tupin. Tapi De Misong kau tidak percaya. Akhirnya aku nikahi jua Cik Kiambang. Alang-alang hidup difitnah, baik aku jadikan ia realiti agar puas hati semua orang. Rupa-rupanya jangkaan aku meleset. Cik Kiambang ini bukan wanita yang baik. Dia yang ingin menjadi suamiku. Bukan isteri. Aku keluar malam, dia keluar malam. Aku tidur siang, dia tidur sampai ke senja. Rumahtangga tidak akan damai begitu. Apabila orang kampung menangkap basah Cik Kiambang dengan Cina jual getah, aku dengan lapang hati menceraikannya dengan talak tiga. Kata orang, hanya satu talak yang gugur tetapi aku tidak ingin nak rujuk semula dengannya. Bukan boleh ku tumpang hidupnya".


Cikgu Sahak mendengar dengan asyik pengembaraan hidup Aji Kitul. Cerita Aji Kitul macam gosip di ruang akhbar tabloid tetapi dia terpegun. Hebatnya hidup seorang tua bernama Aji Kitul ini.
"Habis tu Aki? Apa yang Aki buat duduk di dalam perahu setiap bulan mengambang seperti malam ini? "
"Aku menunggu Ngah Tupin pulang."


Bulu roma Cikgu Sahak tiba-tiba meremang. Ingin sahaja dia bangun dan lari sekuat-kuat hatinya keluar dari perahu Aji Kitul. Seperti dibaca fikirannya, Aji Kitul pantas menangkap dan memegang erat lengan Cikgu Sahak. Cikgu Sahak terperangkap. Sempat dia melihat jam tangannya. Sudah 12 tengah malam.
"Itu dia, Ngah Tupin kau dah sampai! Kau bernasib baik malam ini!"


Aji Kitul bangun berdiri. Lengan Cikgu Sahak dilepaskan kerana Aji Kitul sekarang menghulurkan kedua-dua tangannya ke malam yang pekat, seolah-olah menyambut kedatangan seorang puteri. Menyambut kepulangan seseorang yang begitu lama dinantinya. Kepulangan Ngah Tupin.


Perlahan-lahan, Cikgu Sahak mengundurkan diri dan keluar dari perahu itu sementara Aji Kitul sedang kemaruk memeluk Ngah Tupin dan menari-nari dengan kekasih hatinya. Cikgu Sahak terjatuh di tebing sungai. Habis baju Melayunya basah dan terkena lumpur. Dia bangun dan meraba-raba punggungnya. Mengibas-gibas lumpur yang basah. Kemudian dia tidak tunggu lama lagi. Terus memanjat basikalnya dan berkayuh selaju boleh. Tetapi di satu jarak yang agak selesa dan dikira selamat, Cikgu Sahak menoleh ke belakang. Dari jauh, Aji Kitul masih memeluk tubuhnya sambil tersenyum dan mengusap-usap rambutnya sendiri.


Sampai di kedai Haji Dahalan di mana Tok Siak dan anak-anak muda yang lain masih berkumpul, masing-masing dengan aktiviti malam mereka (yang tua bermain dam sambil menghirup kopi manakala yang muda melekap di komputer sama ada bermain permainan di internet, berjudi atau membuang masa bersembang dengan orang yang tidak mereka kenali).


"Ai Cikgu, pucat nampak muka Cikgu? Cikgu terjumpa dengan Ngah Tupinkah?" Mahmud, pelajar corot di kelasnya mengusik Cikgu Sahak. Usikannya disambut gelak ketawa semua di kedai Haji Dahalan termasuk Tok Siak dan Haji Dahalan sendiri.
Cikgu Sahak tidak bekata apa-apa. Biarlah apa yang dialaminya sebentar tadi hanya berakhir dengannya. Penduduk kampong tidak akan faham. Mereka juga tidak akan peduli perihal seorang tua yang kesunyian. Yang hanya menanti mati.  

 

Teruskan membaca..

Monday, November 28, 2011

Tempe Malaya





Cerpen:



Tempe Malaya





Oleh


Mohd Haniff Mohammad Yusoff




pix_gal0



"MULAI hari ini, saya tidak mahu lagi penduduk kampung menggunakan tempe dalam masakan kita!"


“Tok, apa salahnya kita menggunakan tempe dalam masakan kita. Bukankah lebih sedap?”



“Saya tidak gemar kita menggunakan makanan dari negara seberang dalam masakan kita.”



“Tok, bukankah kita telah lama merasai kesedapan tempe dan di Malaysia mudah sekali untuk memperolehnya.”


Ketua Kampung meninggalkan dewan tanpa membalas kembali persoalan Seman, salah seorang ahli jawatankuasa penduduk kampung. Dia kebingungan apabila ketua kampung mengeluarkan kenyataan sebegitu. Padahal, perut seluruh penduduk kampung di situ sudah sebati dengan tempe. Seman pun mengangkat kaki meninggalkan dewan. Malam nanti, sesudah Isyak, dia perlu mengadakan perbincangan dengan ahli jawatankuasa masakan pula.


Sesudah Isyak.


“Mana boleh jika kita tidak masukkan tempe ke dalam masakan kita,” bantah Mak Minah.


“Benar, siapa yang mahu membayar ganti rugi? Kami sudah membeli berpaket-paket tempe,” tambah Kamal.


“Agaknya Tok Ketua sudah buang tabiat, bukankah selama ini dia yang beria-ria minta dimasukkan tempe dalam masakan kita,” luah Cik Tom, janda anak tiga.


Seman seakan-akan mati akal. Serba salah dibuatnya. Riuh bilik mesyuarat masjid Kampung Malaya. Masing-masing tidak setuju dengan arahan Tok Ketua. Bagaimana pula dengan penerimaan orang kampung terhadap masakan mereka tanpa tempe semasa kenduri perkahwinan anak Mak Minah nanti?



Apabila tibanya musim cuti sekolah sebegini, memang ramai yang akan mengadakan kenduri perkahwinan dan kali ini giliran anak Mak Minah pula untuk naik pelamin. Sudah menjadi kebiasaan, seluruh penduduk kampung akan bergotong-royang mengadakan kenduri dan tugas-tugas diagihkan kepada setiap penduduk kampung.



Keesokannya, apabila Sang Suria sudah memunculkan diri, Mak Minah menempek bedak sejuk di pipinya. Kain kepala dikenakannya di hadapan cermin. Kain batik diikat kemas di pinggang. Bersemangat Mak Minah pagi itu hendak ke rumah Tok Ketua dengan harapan agar menu majlis kendurinya pada minggu hadapan masih menggunakan tempe seperti majlis kenduri sebelum-sebelum ini. Berjalanlah Mak Minah seorang diri ke rumah Tok Ketua sambil disapa kokokan demi kokokan si jantan.


“Tok, saya tidak sebulu dengan Tok pasal menu kenduri saya minggu depan.”


“Minah, tempe tu berasal dari negara sebarang. Mengapalah perlu kita banggakan orang punya sedangkan kita pun ada makanan kita sendiri.”


“Tok, tempe tu memang asal dari seberang, tetapi bukankah kita pun sudah lama makan tempe ni. Dulu semasa rumah Leha kenduri, berkampit-kampit Tok bawa pulang tempe.”


“Itu dulu Minah. Sekarang aku dah sedar. Kita ni kena bangga dengan negara kita, bukan mencedok hasil negara orang. Aku mahu jadi ketua kampung yang ada wawasan buat contoh kepada penduduk kampung.”


“Eh, Tok ni, semangatnya tidak bertempat. Tempe tu takkan pengaruhi fikiran kita pun. Ramai saja orang Melayu yang makan tempe.”


“Itu orang Minah. Ini kan kampung aku, aku berhak bagi keputusan. Kau jangan buat aku naik angin, Minah.”


“Tok, saya minta izin dulu. Kopi Tok ni pun rasanya bukan dari Malaysia.” Mak Minah meneguk seteguk kopi yang dihidangkan kepadanya sebelum beransur pulang.”


Mak Minah dan orang kampung terpaksa akur dengan arahan Ketua Kampung. Kenduri di rumah Mak Minah kali ini tiada lagi tempe dihidangkan bersama. Sudah menjadi kelaziman sebenarnya di kampung Malaya, setiap acara kenduri keramaian yang diadakan, tempe akan dimasukkan dalam setiap hidangan. Penduduk kampung memang gemar makan tempe. Boleh dikatakan, setiap rumah di situ ada saja bekalan tempe setiap bulan seperti beras yang menjadi makanan ruji. Tradisi itu memang sudah diketahui masyarakat luar.


Mak Minah dan orang kampung sibuk menyiapkan persiapan untuk majlis kenduri perkahwinan anak Mak Minah yang berbaki lagi seminggu. Khemah, meja makan dan kerusi untuk tetamu telah pun ditempah oleh Seman dari kampung sebelah yang memang menyediakan perkhidmatan itu. Ros, Melur dan kawan-kawannya yang lain sibuk menyiapkan bunga telur dan cenderamata yang akan diberikan kepada tetamu yang hadir nanti.


Rumah Mak Minah dihiasi kain renda serba ungu. Seawal pagi lagi orang kampung telah datang ke rumah Mak Minah untuk bergotong-royong memasak juadah. Kayu api dinyalakan terlebih dulu sebelum memasak hidangan dan nasi minyak.


“Kamal, mana tempe yang sudah kau beli?” tanya Seman.


“Ada lagi di stor dewan kita. Rasanya membazir saja dibiar begitu.”


“Tidak mengapa, nanti agihkan pada penduduk kampung.”


“Nak agihkan pada Tok Ketua sekali ke? Dia masih makan tempe ke?”



Soalan Kamal mengundang gelak ketawa sekalian kaum lelaki di situ. Gelak tawa itu berhenti begitu saja apabila kelibat ketua kampung kelihatan ke arah mereka. Ketua kampung membuat pemantauan.


Juadah siap dimasak tatkala matahari menegak di kepala. Tetamu pun mula bertandang memeriahkan lagi majlis. Mak Minah sebagai tuan rumah menyambut tetamu dengan senyum lebarnya. Paluan kompang menarik perhatian tetamu yang hadir. Masing-masing mengalih tumpuan daripada menjamu selera ke arah datangnya bunyi paluan kompang. Persembahan pencak silat menambahkan seri lagi pada hari itu. Kelihatan Mak Minah tidak henti-henti bersalaman dengan tetamu yang hadir.


Seorang wanita yang hampir sebaya dengan Mak Minah merapati telinganya.


“Minah, kenapa lauk kenduri kali ni tiada tempe? Bukankah itu tradisi kampung Malaya?”


“Nab, ketua kampung kami tidak mahu lagi ada hidangan tempe. Katanya, tempe tu berasal dari negara seberang. Kami di sinikan berpakat mengada kenduri, jadi terpaksalah patuh pada arahannya.”


“Sudah, ke situ pula ketua kampung kau. Tempe tu pun makanan masyarakat kita juga. Bukannya benda baru. Kalau makanan barat tu, aku bolehlah terima alasannya tu.”


“Nab, kalau kau nak makan tempe, nanti datanglah lagi rumah aku. Aku masak istimewa untuk kau. Maaflah sebab tiada tempe kenduri kali ni. Terima kasih ya sebab sudi datang.”


“Sama-sama. Insya-Allah, kerana tempe, aku pasti datang.”


Seorang demi seorang meninggalkan majlis. Majlis menjamu selera untuk tetamu tamat sekitar pukul lima petang. Hari kian memanjat senja.


Mak Minah kembali ke belakang rumah melihat penduduk kampung yang bergotong-royong membersih segala perkakas. Riuh jadinya apabila suara bertemu suara tanpa lampu isyarat.


“Mak Minah, banyak betul lauk kenduri kali ini yang tidak habis jika dibandingkan dengan kenduri-kenduri sebelum ini,” jelas Seman. “Sisa makanan pun bertimbun. Membazir!” tambah Dolah.


“Ramai yang bertanyakan tempe. Mungkin sebab tempe tiada dalam hidangan kita kali ini menyebabkan ramai yang makan hanya memenuhi syarat. Mungkin juga kerana mereka menyimpan hasrat yang tinggi untuk makan tempe, tetapi berbalas dengan kehampaan. Ibarat orang putus cinta.” Mak Minah mematikan leterannya dan menuju ke dalam teratak peninggalan arwah suaminya. Penduduk kampung masih setia membantu Mak Minah. Sebahagian daripada wanita kampung itu mengemas di dalam rumah.


Keesokan harinya, orang kampung mula bercerita. Mereka kesal dengan sikap ketua kampung yang bersikap prejudis itu. Ketiadaan tempe telah menyebabkan majlis kenduri-kendara tidak semeriah dulu. Hubungan ketua kampung dan penduduk kampung juga tidak seakrab dulu. Jarang sekali penduduk kampung hendak ke rumah ketua kampung jika tiada perkara penting. Sampai begitu sekali penangan daripada dasar baharu ketua kampung itu.


“Tiada siapakah yang ingin datang melawat aku?” keluh Tok Ketua. “Siapalah yang mahu datang. Abang sudah mengguris perasaan mereka.” sahut isterinya.


“Hanya kerana tempe? Aku mendidik mereka supaya menyayangi nusa sendiri dan bukannya menyanjung negara seberang. Salahkah aku?”


“Tidak salah, tetapi cara abang itu tidak kena gayanya. Memang tempe itu asalnya dari negara seberang. Sejarah, memang tiada seorang pun dapat menafikannya.”


“Tahu pun.”


“Walau bagaimanapun, abang jangan lupa. Tempe itu pun sudah sebati dengan masyarakat kita di sini. Negara kita ni kan memang mewah dengan makanan. Rasanya tidak salah untuk menikmati tempe.”


“Awak pun sama saja seperti orang kampung yang lain. Sekarang kita berada dalam arus globalisasi. Pemikiran kita tidak boleh ke belakang lagi!”


“Aduh, penat saya lawan cakap dengan abang ni. Saya mahu ke kedai, beli air soya.”


Rokiah membetulkan ikatan kain batiknya dan keluar mengikut pintu hadapan rumahnya untuk ke kedai. Di kedai, dia disapa oleh Mak Minah yang kebetulan turut ke kedai membeli barang runcit.


“Kak Kiah, lama tak Nampak. Apa khabar? Beli air kotak soya untuk siapa, Kak?”


“Eh, Minah, aku sihat. Air kotak soya ni untuk Tok Ketua. Dia kurang sihat. Asyik demam sejak akhir-akhir ni. Doktor nasihatkan supaya minum air soya sebab kandungan protein air soya tinggi.”


“Oh, tidak tahu pula dia tidak sihat. Sejak kenduri hari tu, memang terkilan dan terasa dengan sikap Tok.”


“Aku faham, Minah. Jenuh juga aku nasihatkan dia. Dia tetap juga pertahankan pendirian dia tu. Nasihat aku, tidak dikunyahnya langsung.”



“Kak, saya ikut akak pulang sekali. Boleh jenguk Tok Ketua nanti.”“Baguslah kalau begitu. Kau pun sudah lama tak bertandang.”


Seusai meneguk secangkir kopi pekat, Mak Minah cuba berbicara dengan Tok Ketua walaupun sebenarnya amat sukar untuk mula mengeluarkan kata setelah sekian lama tidak bersua. Tambahan pula, ada hati yang terguris. Mak Minah beranikan diri, “Tok, Kak Kiah kata Tok tidak sihat.”


“Macam tulah, Minah. Doktor nasihatkan aku kena minum banyak air soya. Banyak khasiat katanya.”


“Tok, kalau Tok hendak tahu, tempe tu asalnya dari kacang soyalah. Agaknya, sejak Tok mulakan polisi Tok tu, Tok mula jatuh sakit.”


“Tidak mahulah aku menyentuh makanan negara orang lagi.”


“Tok, tempe yang ada dijual di negara kita ni, kebanyakkannya orang Melayu kita yang buat tau! Sekurang-kurangnya, kita juga membantu perniagaan orang kita. Hentikanlah prejudis Tok yang tidak bertempat tu. Tengok tu, Tok teguk juga kopi ni. Kopi ni bukan ke dari seberang juga? Cuma proses membungkus saja di negara kita.”


“Habis tu, kau nak suruh aku makan tempe?”


“Makanlah tempe tu, sama saja tempe dan kacang soya. Buanglah ego Tok tu jauh-jauh. Tiada gunanya mendabik dada tetapi menanggung sakit. Sampai bila Tok hendak jadi begini? Tok, ada tanggungjawab terhadap kampung kita ni.”


“Baiklah, aku angkat bendera putih kali ni.”


“Sepatutnya dari hari tu lagi, Tok.”


Mak Minah meminta diri untuk pulang.


Beberapa hari kemudian, Tok Ketua kembali sihat seperti sedia kala. Dia memohon maaf kepada penduduk kampung atas keegoannya. Tempe Malaya kembali dinikmati bersama-sama.


Biodata Penulis

MOHD Haniff Mohammad Yusoff
yang dilahirkan di Sandakan, Sabah,
pada 25 Januari 1988,
terbabit dalam penulisan puisi dan rencana.



Puisinya pernah disiarkan dalam majalah Kuntum,
Dewan Siswa, Fokus SPM dan Berita Harian,
Berita Minggu dan Mingguan Malaysia,
manakala rencananya mendapat tempat
dalam Dewan Masyarakat dan Dewan Siswa.
Cerpennya pernah disiarkan
dalam majalah e@siswa.




Penuntut Ijazah Sarjana Muda
Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia.
Peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) 2009
anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini
pernah memenangi hadiah sagu hati
Anugerah Citra Majalah Sekolah Wilayah Utara 2007
(Kategori Puisi), sagu hati Anugerah Citra
Majalah Sekolah Wilayah Utara 2007 (Kategori Rencana),
sagu hati Pertandingan Menulis Puisi
Budi Bahasa Budaya Kita anjuran
Klasik Nasional dan KEKKWA.




Penulis boleh dihubungi di blog


www.mohdhaniffmohammadyusoff.blogspot.com







http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Cerpen_TempeMalaya/Article






Teruskan membaca..

Sunday, October 30, 2011

Tawaf Widak Untuk Walid








Cerpen: Tawaf Widak Untuk Walid


Oleh Tongkat Jibril



2011/10/23




"TIK! Tik! Tik!"



Sayup-sayup kedengaran bunyi seperti besi diketuk ke jalanan. Sesiapa yang mendengarnya pasti akan berpaling memandang, namun tiada merasai apa-apa. Sedang si pengetuk jalanan itu berhempas-pulas mencapai penghujung langkahan. Hatinya sudah bergelojak tidak sabar mahu segera ke tempat persujudan, sementelah mendengar laungan panggilan menghadap Ilahi sewaktu dia berjumpa pelanggan di tengah-tengah bandar Temerloh.


“Antara perkara yang wajib disegerakan ialah menunaikan solat setelah masuk waktunya, mengebumikan jenazah yang sudah selesai dikafankan dan menikahkan anak gadis yang sudah menemui pasangannya.




Masih terngiang-ngiang di corong telinganya pesanan walid sewaktu hayatnya masih ada. Ketika itu, usianya baru menjangkau awal remaja. Pernah juga dia menyoal kepada walid mengenai kekurangan dirinya. Apakah dia masih wajib untuk menunaikan ibadat kepada Allah waima penglihatan membataskan dirinya? Jawab walidnya;



“Sahabat Nabi SAW dulu menggunakan tali yang diikat dari masjid Nabawi ke rumahnya semata-mata untuk menunaikan solat berjemaah, apatah lagi kamu yang masih kuat dan mampu berjalan menggunakan alatan tongkatmu.”



Dia tidak pernah ingkar dengan pesanan walidnya. Baginya, waima sedari kecil dia tidak diizinkan menatap wajah suci itu, namun mata hatinya sudah melakarkan bagaimana wajah dan kebaikan seorang lelaki bergelar walid. Pernah sekali dia merungut kepada walidnya mengenai kekurangan diri. Dia sering diperlekehkan, diusik teman sepermainan. Kata walid kepadanya; “Mungkin hari ini kamu diperlekehkan teman sepermainanmu, namun percayalah kata walid, satu hari nanti orang akan mendampingi kamu, memerlukan bantuan kamu.”



“Lambat sampai hari ini, Muaz?” Soal Pak Bilal dari tangga usai si buta itu meraba-raba tangga sebelum duduk sejenak melepaskan penat. Senyuman terukir di sebalik kaca mata hitamnya. Muaz meraba kasutnya sebelum dibuka ikatan dan disusun perlahan di sudut tepi tangga.
“Tadi ada urusan dengan klien, Pak Bilal. Leka sekejap.” Balas Muaz, riang. Pak Bilal tersenyum mendengar kata-kata anak muda itu. Gigih mencari nafkah hidup waima diri sendiri kurang sempurna. Allah menarik nikmat pancainderanya untuk melihat keindahan dunia fana, namun mencelikkan hatinya untuk bekerja dan berjaya. Dia memiliki sebuah rumah, pemandu dan kereta mewah sendiri, namun berkeras mahu berjalan kaki ke masjid. Kerap kali Pak Bilal menegur supaya menggunakan kereta untuk ke masjid agar lebih mudah namun Muaz menolak dengan gurauan lembut. Katanya, Allah tidak mengira jumlah pusingan tayar kereta, namun mengira jumlah langkahan kaki. Tertawa kecil Pak Bilal mendengarnya tika itu.



“Pak Bilal tunggu saya, ya. Nak ambil wuduk sebentar.” Pinta Muaz sebelum menapak perlahan sambil tangannya meraba-raba ke hadapan mencari paip untuk mengambil air wuduk. Ada sebatang paip disediakan kira-kira dua meter dari tangga. Paip air disediakan untuk memudahkan golongan seperti Muaz segera mengambil wuduk dan tidak menyusahkannya sementelah kekurangan yang ada pada diri.



Tup! Tup! Tup!



Mikrofon kecil diketuk sedikit untuk memastikan ia berfungsi sebelum diberikan kepada genggamannya. Seperti biasa, Muaz menolak dengan senyuman kerana tidak mahu perasaan riak bertapak di hatinya namun dipujuk Pak Bilal. Dia mahukan si buta itu melaungkan iqamat. Suaranya yang merdu dan lunak bergema ke segenap corong pembesar suara masjid, mengejutkan sesiapa sahaja yang mendengar. Sang imam mula memimpin solat pada petang itu. Muaz membaca setiap bait bacaan solat dengan khusyuk sehingga terkadang sesiapa sahaja yang bersolat di sisinya pasti akan menangis mendengarnya. Bukan menjadikan mereka tidak khusyuk, namun mengkagumi si buta yang masih mampu melakukan solat sedang si celik yang lainnya leka dengan dunia.



“Hari ini kamu nak hafal surah apa pula?” Soal Pak Bilal.



“Surah Ar-Rahman.” Balas Muaz. Lantas si bilal tua segera membuka lembaran Al-Quran, mencari surah yang bermaksud ‘Maha Pemurah’ itu. Usai mendapatkan halamannya, dia melihat sejenak Muaz yang berkerut dahi, memfokuskan segala pendengarannya kepada si bilal tua. Lelaki berketayap putih itu mula mengalunkan ayat-ayat dari surah Ar-Rahman. Satu demi satu ayat dialunkan bersama maksudnya, sedang Muaz mengikutnya. Begitulah rutin harian mereka berdua.



Maka nikmat Allah Taala yang manakah yang ingin kau dustakan?



Sampai sahaja di ayat itu, maka bercucuran air mata si Muaz mendengarnya. Dia menangis sejenak. Si bilal tua tersentak. Dia memandang wajah pemuda itu. Hati tuanya terusik dengan tangisan manusia yang tidak pernah menyusahkan sesiapa itu.



“Mengapa kamu menangis, Muaz?” Soal Pak Bilal. Muaz teresak-esak sebelum cuba mententeramkan keadaan dirinya. Dia teringat sesuatu saat dialunkan ayat Al-Quran dan maknanya itu.



“Pak Bilal, musim haji dah nak dekat, bukan?” Soal Muaz.



“Ya, kira-kira sebulan lagi. Mengapa?” Soal Pak Bilal kembali.



“Bila mendengar ayat tadi, saya teringatkan Walid. Dahulu, walid selalu mengukuhkan semangat kami untuk terus hidup dengan mengulangi ayat ini. Walid tidak sempat menunaikan hajinya kerana keluarga kami sangat kekurangan pada waktu itu. Saya pernah berjanji dengannya untuk menunaikan haji buatnya. Mahukah Pak Bilal membantu saya?” Pinta Muaz dengan suara serak-serak basah. Pak Bilal mengangguk namun bagaimana Muaz mahu menunaikan haji untuk ayahnya sedangkan dia masih belum membuat haji?



“Maksud kamu, kamu nak Pak Bilal tunaikan upah haji untuk ayah kamu?” Soal bilal tua. Muaz mengangguk perlahan. Dia menyeluk beg sandangnya sebelum mengeluarkan buku akaun Tabung Haji miliknya. Ditunjukkan kepada bilal tua amaun yang dikumpulnya. Melebihi seratus ribu lebih! Terkejut bukan kepalang si bilal tua melihat amaun di dalamnya. Maha Suci Allah!



“Ini duit yang saya kumpul dari umur saya lima belas tahun, pak. Saya berniat mahu ke sana namun atas kekurangan saya ini, saya memerlukan khidmat Pak Bilal untuk bersama-sama saya di sana. Bukan apa, jika di sini saya sudah biasa dengan jalannya, namun di Makkah sana amat berbeza sekali. Bolehkah Pak Bilal?” Soal Muaz lagi.



“Wah, duit ini lebih dari cukup! Pak Bilal kagum dengan kamu, Muaz.”
“Apalah gunanya duit ini kalau saya masih tidak dapat menunaikan hajat saya, Pak Bilal. Saya berusaha mengumpul duit sebanyak ini untuk memastikan saya menjadi tetamu Allah kelak di Tanah Suci. Kalau boleh, saya mahu meninggal di hadapan Kaabah.” Ucap Muaz.



“Ish, kamu ni! Kenapa kata begitu. Kamu masih muda, bukan? Manfaatkanlah usiamu selagi masih berbaki, Muaz.” Tegur Pak Bilal. Muaz tersenyum mendengar teguran dan meminta maaf kepada bilal tua. Pak Bilal berjanji akan membantunya menguruskan urusan untuk menunaikan haji di Makkah kelak. Mereka menyambung kembali pembacaan dan penterjemahan Al-Quran. Ada riak gembira memancar di wajah Muaz setelah Pak Bilal bersedia membantunya!



Anak muda tidak usah menangis selalu. Ia harus tabah menjalani kehidupan yang telah Allah rancang untuknya. Bukan mudah menempuh dunia yang penuh pancaroba ini dengan berbekalkan pancaindera yang serba lengkap, apatah lagi mereka yang diambil penglihatannya. Berjalanlah selagi mampu ke rumah-Nya kerana Allah mengira setiap usaha dan kegigihanmu. Bantulah mereka yang lebih memerlukan darimu kelak. Hiasilah hari-harimu dengan ayat-ayat agung-Nya, basahkan lidahmu dengan berzikir kepada-Nya, dan selubungi hatimu dengan cahaya iman-Nya. Biar kita buta tidak melihat dunia, namun jangan kita buta kerana tidak dapat melihat Allah dan Rasul-Nya di hari akhirat kelak.



Sepanjang dia berjalan menuju ke perhentian bas, kata-kata arwah walidnya itu bermain-main di mindanya. Dia tidak mahu pemandu mengambilnya dari masjid. Dia mahu mengekalkan perjalanannya seperti biasa waima sudah memiliki segalanya.



Sesekali dia menangis kerana merindukan walidnya. Semenjak umi meninggal, dia tinggal bersama walid. Dia anak tunggal. Tiada mempunyai saudara-mara yang lain. Uminya meninggal sewaktu usianya baru mencecah tiga hari akibat kekurangan bekalan darah. Walid yang banyak membentuk jiwa kentalnya, mendidik dirinya, menghiasi akhlaknya dengan kesantunan Melayu dan kesucian Islam, menjadikan dia seorang pemuda yang gagah zahir dan batinnya.



Takdir Tuhan menentukan segalanya, walid kembali dijemput Allah saat dia baru dua hari memulakan perusahaan ikan patin sangkarnya. Dia hilang arah selama seminggu, sebelum Pak Bilal berusaha memulihkan semangatnya. Walid meninggal dunia sewaktu sedang menunggunya untuk berbuka puasa bersama. Syawal pada waktu itu merupakan syawal paling menyedihkan buatnya, menjadikan dia anak yatim piatu.



“Abang nak ke mana?” Soal seorang anak muda yang menghampirinya sambil memimpin tangannya. Muaz tersenyum sambil melangkah bersama. Hatinya berbunga. Masih ada insan yang sudi membantunya waima dia sudah biasa berjalan tanpa mata.
“Abang nak ke perhentian bas.” Ucapnya.



“Oh, kebetulan saya juga mahu ke sana. Mari saya hantarkan.” Balas anak muda itu sambil memimpinnya ke perhentian bas. Mereka berjalan bersama sedang umat manusia yang lain hanya mampu memandang tanpa wajah simpati. Mungkin di hati mereka sudah terhakis rasa membantu, apatah lagi bersimpati dengan insan tiada berpenglihatan sepertinya. Benar jika dikatakan dia sudah mewah dan tidak memerlukan bantuan, tapi bagaimana dengan golongan yang senasib dengannya?



“Terima kasih, dik.” Bisik Muaz saat dia duduk di bangku perhentian bas.



“Sama-sama. Dah menjadi kewajipan saya, bang.” Balas anak muda sebelum meminta izin untuk pergi. Muaz sempat menyeluk sakunya sebelum mengeluarkan wang kertas dan menghulurkan kepada anak muda itu. Si anak muda mengembalikan genggamannya ke sisi sebelum menuturkan bait-bait indah yang jarang sekali dituturkan anak muda seusianya.



“Duit bukan persoalan, bang namun tanggungjawab Muslim atas Muslim itu yang bakal dipersoalkan kelak oleh Allah. Saya minta izin dulu. Assalamualaikum.” Balas si anak muda dengan senyuman. Muaz tersenyum kembali sambil mengangguk perlahan.



Tap! Tap! Tap!



Perlahan-lahan dia berjalan menyusuri lorong kecil menuju ke Masjidil Haram berpandukan tongkat kecil putihnya. Pak Bilal termengah-mengah memimpinnya sedang Muaz begitu teruja untuk kembali menghadap Kaabah lagi. Biarpun sudah dua kali dia membuat ibadah haji, namun kudratnya tetap tidak dapat menandingi anak muda itu. Semalam, buat pertama kalinya dia dapat mengucup Hajarul Aswad dan bersolat di hadapan Kaabah. Dia bertalbiah dengan semangat dan mengalunkan doa dan zikir sepanjang berada di Makkah. Entah mengapa, hari ini perasaannya berbunga-bunga untuk kembali menghadap Kaabah.



“Pak Bilal, seumur hidup saya inilah kali pertama saya merasai ketenangan beribadah sebegini. Tiada risau, malah hati ini sangat tenang menghadap Allah. Inilah yang dikatakan keagungan dan kehebatan Baitullah yang tidak dapat kita rasai di mana-mana ceruk bumi sekalipun, bukan?” Ucap Muaz dengan nada sangat gembira. Pak Bilal mengangguk perlahan. Air matanya Muaz menitis, gembira tidak terkata kerana akhirnya Allah memilih dia menjadi tetamu di tanah barakah ini.



“Kamu nak ke mana?” Soal Pak Bilal melihatkan Muaz melangkah menuju ke Kaabah.


“Saya mahu tawaf.” Ucap Muaz sebelum menapak ke tempat tawaf. Pak Bilal melihat dari jauh. Pemuda itu berjalan seperti orang biasa, tiada lagi terhenti-henti. Lebih menghairankan, dia mengetahui bagaimana untuk memulakan tawaf. Seperti ada sesuatu yang memimpinnya. Lama Pak Bilal memerhati, sebelum dia turut sama bertawaf tidak jauh di belakang Muaz.



“Walid, tawaf ini pahalanya Muaz hadiahkan buat walid. Sekiranya tawaf ini adalah tawaf terakhir dalam hidup Muaz, cuma doa dan harapan Muaz panjatkan agar dapat bertemu dengan walid dan umi di Jannah nanti. Terimalah tawaf wida’ ini untuk walid.” Muaz berbisik sebelum melangkah maju mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali.



Usai menyelesaikan tawaf, Muaz terhenti di Multazam. Dia memegang batuan Kaabah sebelum rebah menyembah lantaian Kaabah. Menyedari Muaz hilang dari pandangan, Pak Bilal segera menghabiskan tawaf dan mencari Muaz.



Di tengah-tengah kesesakan manusia bertawaf, kelihatan sekujur tubuh terbaring kaku, tiada dipijak mahupun disepak sesiapa. Ada senyuman terukir di bibir Muaz. Pak Bilal menjerit memanggil namanya.




Banyak mana pun harta kita di atas muka bumi ini, sekiranya Allah tidak mengizinkan menjadi tetamunya, adalah sangat rugi bagi kita. Hari ini kita mungkin miskin harta, namun jangan sesekali kita miskin budi bahasa dan agama. Beribadahlah selagi mana ada masa.




INFO: Tongkat Jibril



  • Nama pena bagi Muhammad Alyas Abul Jalil


  • Bekas guru agama di Madrasah al-Haddad Ba’Alawi, Temerloh ini, kini meneruskan pengajian Diploma Komunikasi & Media di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Melaka


  • Novel sulungnya ialah novel remaja Nobat Kasih terbitan Cerdik Publication Sdn Bhd pada 2006, manakala novel Biar Sampai Syurga akan menemui pembaca tidak lama lagi


  • Antara cerpen yang tersiar ialah Panca Warisan dan Minhaj Hakiki di Berita Minggu dan Warkah Sang Azazil serta Subuh Yang Terakhir di Berita Harian






  • http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Cerpen_TawafWidakUntukWalid/Article







    Teruskan membaca..

    Sunday, April 17, 2011

    Dalam Hati Seorang Guru & Resah Seorang Guru Oleh TN ISKANDAR ISMAIL


    Cerpen Rakan Blogger






    (Ini sebuah kisah tentang kegigihan seorang

    Guru Pendidikan Khas.)



    TAJUK = DALAM HATI SEORANG GURU

    OLEH = TN. ISKANDAR ISMAIL.



    Gementar! Entah mengapa perasaan itu begitu menebal dalam diriku. Jujur! Aku meragui keupayaanku untuk berbakti. Mampukah aku melaksanakan tangungjawab ini? Mampukah aku mempraktikkan segala teori yang telah dipelajari?


    Teka-teki itu mula terjawab setelah beberapa hari aku berada di sini. Ternyata, mendidik pelajar-pelajar yang cacat pendengaran ini memerlukan kesabaran yang tinggi. Ia tidak semudah yang disangka dan tidak sesenang yang diduga. Namun, aku yakin, di sebalik hakikat yang tersurat ini pasti adanya hikmah yang tersirat.

    “Saya harap Cikgu Iskandar dapat sesuaikan diri dengan keadaan di sini.” Kata Tuan Haji Sarbani, selaku pengetua sewaktu aku melaporkan diri.

    “Insya-Allah, saya akan cuba sesuaikan diri,Tuan Haji.” Jawabku sambil menganggukkan kepala . Ya, di mana sahaja ditempatkan, aku mesti membina zon selesa. Tidak wajar sama sekali seseorang guru selaku pendidik bersikap memilih lokasi untuk menyumbang bakti. Apatah lagi bagi guru-guru yang senasib denganku, yang berjaya mengikuti kursus KPLI setelah berkali-kali memohon.

    “Pelajar-pelajar yang cacat pendengaran ini sebenarnya ada potensi. Tapi sayang, potensi itu terabai lantaran mereka kurang keyakinan diri. Jadi, cikgu buatlah yang terbaik untuk mereka.” Pengetua berbicara lagi . Ada nada pengharapan pada ungkapannya itu.


    Kurang keyakinan diri. Itulah penyakit yang dihidapi oleh kebanyakkan OKU. Lebih teruk dari itu, ada juga segelintir OKU yang beranggapan kewujudan mereka ke dunia ini umpama melukut di tepian gantang. Masuk tidak menambah dan keluar pula tidak mengurang. Ada atau tiada, tidak memberi apa-apa kesan.


    Bagaimana pula dengan pelajar-pelajar yang bakal aku didik nanti? Adakah setebal antarika ketidakyakinan mereka? Jika ya, mampukah dicairkan antartika itu? Selagi tidak dicairkan, maka selagi itulah mereka akan kecundang. Selagi itu jualah walang hidup mereka akan berterusan.


    “Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik.”

    Aku sedar tanggungjawab ini amat berat untuk digalas. Namun, inilah realiti yang harus aku depani. Jadi, semampu yang boleh dan sekudrat yang terdaya akanku usahakan. Akanku gilap potensi mereka dengan asuhan yang rapi. Akanku bimbing mereka untuk menerobos sempadan diri.

    Anne Sullivan! Mungkin ada sesuatu yang boleh aku garap dari sejarah hidupnya. Sebagai pedoman, panduan dan juga sebagai pengajaran. Dalam hal ini, dia memang layak untuk dikagumi. Apa tidaknya. Sebab dialah yang memerdekakan Hellen Keller dari belenggu ketidakyakinan diri. Tidak sekadar memperkenalkan huruf dan nombor kepada Hellen Keller yang pekak dan buta. Lebih dari itu, dia turut menjadi mentor yang setia hinggakan Hellen Keller menjadi terkenal seantero dunia.

    Mampukah aku mencontohinya?

    Dapatkah aku mengambil manfaat dari kisah perjuangannya?


    *** ************************************************************************

    Di sini, aku ditugaskan untuk mengajar subjek sejarah dan perdagangan. Syukur kepada Allah, kerana aku tidak disuruh mengajar kelas-kelas peperiksaan. Syukur juga kerana bilangan pelajar di dalam setiap kelas tidaklah ramai, lebih kurang lima orang sahaja. Paling aku syukuri kerana diwujudkan program integrasi pendidikan khas di sekolah ini. Jika tidak, pasti sukar untuk pelajar-pelajar yang cacat pendengaran ini menimba ilmu.


    Hari pertama di kelas, aku manfaatkan untuk saling mengenali. Dari sinilah aku mula mengenali mereka dengan lebih dekat. Latar belakang mereka aku selami. Tahap kurang kemampuan mereka juga aku terokai. Hari-hari yang mendatang nanti, akanku selongkar pula sikap dan perwatakkan mereka. Kalau boleh, aku ingin mengenali mereka sedekat-dekat dan sedalam-dalamnya.


    Sebenarnya tidak semua pelajarku ini yang pendengarannya cacat seratus peratus. Masih ada dalam kalangan mereka yang mempunyai sisa-sisa pendengaran. Maksudnya, mereka masih boleh mendengar tetapi dalam keadaan yang sangat terhad dan amat terbatas. Jadi perlulah dikuatkan suara apabila berbual atau ketika mengajukan tanya. Walaupun begitu, penggunaan bahasa isyarat tetap diutamakan. Ia dimanfaatkan semaksimum mungkin kerana ia merupakan medium utama dalam penyampaian ilmu di samping kaedah-kaedah yang lain.


    Usai sesi perkenalan, aku titipkan pula sedikit nasihat kepada mereka. Harap-harap nasihat itu berbekas di hati lantas berdarah daging dalam jasadnya. Aku ingin mereka mengerti, sesungguhnya kewujudan mereka ke dunia ini bukanlah untuk dikesali. Jauh sekali untuk diratapi. Tetapi untuk dinikmati seperti mana insan-insan yang lain.


    Aku ingin mereka faham, sesungguhnya mereka bukanlah golongan ‘hapus kira’ yang telah diprogramkan untuk malang sepanjang hayat. Aku mahu mereka memandang masa depan dengan wawasan dan harapan. Mereka harus sedar, masa depan yang gemilang bukanlah sebuah khayalan.


    Paling penting, mereka perlu kembali ke perdu dan akar punca. Mereka perlu menjadi Orang Kuat Usaha meskipun pada hakikatnya mereka tergolong dalam kategori Orang Kurang Upaya. Mereka mesti menggunakan peluang yang ada untuk memenuhi ilmu di dada. Ilmu amat berharga. Ilmulah yang diwariskan oleh nabi kepada umatnya dan bukannya dirham dan dinar atau harta benda. Ilmu jualah yang dapat mengangkat darjat seseorang ke tahap yang lebih mulia. Lihat sahaja ulama terbilang atau saintis ternama. Atau ilmuan besar dalam pelbagai bidang. Kesemua mereka adalah pemburu ilmu yang setia.


    Kepada mereka aku ceritakan juga kisah-kisah OKU yang berjaya. Sengaja aku berbuat begitu supaya mereka tidak lesu dan jemu terhadap ilmu. Prof Dr Ismail Mohd Salleh aku ‘perkenalkan’ kepada mereka. Biar mereka mengerti, sesungguhnya lelaki yang siangnya gelap dan malamnya gelita itu bukanlah pengemis di kaki lima. Biar mereka faham, lelaki buta itu merupakan seorang tokoh akademik yang ternama dan banyak berjasa.


    *******************************************************************


    Dunia perguruan ada manisnya. Namun, ada juga pahitnya. Jujur! aku juga pernah kecewa. Kecewa dengan segelintir pelajarku. Apa tidaknya, walaupun dijelaskan berkali-kali dan diterangkan berjela-jela namun mereka masih macam itu juga. Masih .tidak mengerti dan tetap tidak faham. Aku rasa sia-sia sahaja segala ilmu yang aku curahkan, umpama mencurah air ke atas daun keladi. Apakah puncanya? Di manakah silapnya?


    “Cikgu kena banyak bersabar. Tugas pendidik memang macam ni. Terlanjur jadi pendidik terpaksalah kita gagahi.” Itu nasihat Ustaz Mustafa tatkala aku meluahkan kekecewaan yang terbuku di hati sewaktu kami bersarapan di kantin.

    "Pendidik dan kesabaran adalah dua unsur yang sangat sebati. Seperti gula dengan manisnya dan garam dengan masinnya, begitu jugalah antara pendidik dengan sikap sabarnya.” Jelas Ustaz Mustafa dengan panjang lebar. Aku pula sekadar anggukkan kepala tanda akur dengan penjelasan yang diberi.

    “Dalam sebuah hadis ada diceritakan, kisah seorang pelacur yang diampunkan dosa dan dianugerahkan syurga lantaran membantu anjing yang dahaga. Berbakti kepada anjing pun begitu hebat ganjarannya, apatah lagi kalau berbakti kepada manusia. Tambahan lagi kepada manusia yang istimewa.” Kata Ustaz Mustafa lagi setelah jeda seketika.

    “Astaghfirullahalazim.” Aku beristighfar perlahan sambil menghela nafas panjang. Kata-kata ustaz kelahiran Terengganu itu telah mengembalikanku ke paksi wajar. Cepat-cepat aku cantas rasa kecewa yang baru bertunas. Aku sedar, mendidik itu satu perjuangan. Perjuangan pula memerlukan kekentalan. Kekentalan untuk meredah lautan dugaan. Aku juga sedar, seperti pelacur di dalam hadis nabi, aku di sini juga si penghilang dahaga. Dahaga pelajarku terhadap ilmu dan masa depan yang sempurna. Dahaga ibu –bapa mereka terhadap kejayaan dan kebahagiaan mereka.

    Betapa berdosanya jika tanggungjawab ini aku abaikan. Berdosa terhadap pelajar-pelajarku. Terhadap ibu bapa mereka. Paling tidak pun terhadap puluhan ribu siswazah yang sedang menganggur. Aku telah merampas hak mereka. Mereka mungkin benar-benar berminat untuk menceburi profesion keguruan. Mereka mungkin betul-betul jujur dan ikhlas ingin membantu insan-insan yang dahaga ini. Tapi nasib tidak menyebelahi. Mereka kecundang dalam permohonan KPLI.



    ************************************************************************

    Mungkin ada benarnya kata-kata Jean Jacques Rousseau, si arkitek Revolusi Perancis. Revolusi yang mengakhiri pemerintahan Raja Louis XVI dan Maria Antoinette. Katanya “Kita belajar bersama hidup. Pelajaran pula bermula dengan permulaan nafas dan kekurangan yang dirasai adalah guru yang terbaik.”

    Ya, kekurangan yang dirasai dan kelemahan yang disedari. Itulah ‘guru’ yang terbaik. Syukur kepada Allah kerana telah menemukanku dengan ‘guruku’ ini. Aku menemuinya setelah semalaman aku mencari. Mencari dalam diri dengan merenung jauh ke dasar hati. Hatiku berbisik. Katanya, ketidakfahaman pelajarku itu mungkin berpunca dariku. Mungkin pendekatanku selama ini kurang berkesan. Mungkin proses pengajaran dan pembelajaran( P&P) yang aku kendalikan itu membosankan. Segalanya mungkin. Ya, aku perlu lebih kreatif dan inovatif dalam mendidik. Mereka memerlukan metod yang tepat agar ilmu dapat dicerna dengan mudah dan cepat.


    Hari ini aku sepi tanpa mereka. Cuti panjang akhir tahun ini benar-benar mendera diriku. Jujur! Aku merindui mereka. Satu persatu wajah mereka menerpa di ruang ingatanku. Ternampak-nampak, terbayang-bayang dan teringat-ingat.


    Azami dan Khairi. Mereka berdua adalah sebahagian daripada pelajarku. Pelajar yang ‘istimewa’ di kalangan pelajar-pelajar istimewa. Istimewa kerana merekalah yang paling lambat mencerna ilmu yang aku curahkan. Namun, sejak akhir-akhir ini mereka mula menunjukkan peningkatan. Ya, dalam peperiksaan akhir tahun baru-baru ini mereka telah membuktikan kehebatan diri. Aku yakin, mereka mampu memetik kejayaan dalam SPM nanti.


    Jauh di sudut hati aku menaruh harapan, agar kejayaan N Aghilan, pelajar cacat pendengaran yang memperolehi 12A dalam SPM 2008 akan berulang lagi. Kalau boleh biarlah di kalangan pelajarku ini. Dalam hati juga aku berdoa, agar Allah memberikanku kekuatan dan ketabahan untuk terus berbakti. Ya, itulah yang terpendam dalam hatiku kini. Dalam hati seorang guru.






    Cerpen saya ini telah disiarkan

    dalam Majalah e @ Siswa

    ( edisi 29, Julai 2009)


    http://www.bicaradariaku.com/2010/01/dalam-hati-seorang-guru.html


    Disiarkan dalam MAJALAH e@Siswa

    ( kumpulan Karangkraf) Edisi 40: JUN 2010.



    TAJUK = RESAH SEORANG GURU

    OLEH = TN. ISKANDAR ISMAIL.


    “Astaghfirullahalazim.” Dia beristighfar sambil kepalanya digelengkan perlahan. Sukar untuk dia percaya dengan apa yang dilihat. Lagi sukar untuk dia percaya dengan apa yang didengar. Benar-benar menghiris hati dan mencalar perasaanya.

    Dia terdiam. Agak lama dia terdiam. Diam memikirkan cadangan yang dikemukakan oleh Encik Malik. Hatinya benar-benar meradang seusai sahaja mendengar cadangan itu. Cadangan yang menyebabkan dirinya tidak senang dan tidak tenang. Cadangan yang cuba merampas haknya secara kejam. Cadangan yang penuh sangsi dan sarat curiga terhadap agama.

    “Saya syorkan agar subjek-subjek ini diberi penekanan yang lebih. Ia perlu diperkasakan walau dengan apa cara. Kita semua sedia maklum, betapa subjek-subjek penting seperti fizik, kimia, biologi dan matematik tambahan merupakan denyut nadi dan degup jantung kepada anak-anak kita. Kecemerlangan dalam subjek-subjek ini akan melayakkan mereka untuk mengikuti kursus-kursus yang mempunyai nilai di pasaran ketika berada di institusi pengajian tinggi nanti. Tidak salah rasanya, jika pihak sekolah memperuntukan masa yang lebih untuk sesi pengajaran dan pembelajaran(P&P) subjek-subjek ini. Tidak salah juga rasanya, jika peruntukan masa untuk P&P bagi subjek-subjek yang kurang penting seperti pendidikan islam dikurangkan demi memperkasakan subjek-subjek ini.” Begitulah cadangan yang dikemukakan oleh Encik Malik dalam mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru(PIBG) yang sedang berlangsung itu.

    Sungguh tak disangka, pengurus di sebuah bank yang terkemuka itu mempunyai pandangan dan tanggapan yang begitu negatif terhadap agama. Tidak pernahkah pengurus bank itu terdengar atau terbaca sabda junjungan mulia, Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wassalam yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim “ Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah mendapat kebaikan, Allah akan memberikannya kefahaman dalam agama.”

    Mujurlah, Tuan Haji Sarbani, selaku Pengetua telah bertindak bijak dengan mewajarkan pendekatan yang sedia ada sebagai memenuhi aspirasi kerajaan yang ingin memperkasakan modal insan. Tuan Haji Sarbani yang dia kenali sememangnya seorang pengetua yang mudah bertolak ansur dan senang diajak berbincang, namun apabila melibatkan soal agama, pengetua yang bakal bersara hujung tahun itu akan tegas berprinsip dan teguh berpendirian. Tegas dan teguh hinggakan mustahil untuk dikikis dan dihakis.

    ***

    Usai sahaja Mesyuarat Agung PIBG, dia terus mengatur langkahnya ke bilik guru, walaupun juadah ringan ada disediakan untuk para guru dan ibu bapa yang hadir, namun seleranya benar-benar terbantut. Longlai sekali jejak yang disusun lantaran pilu yang menyerbu kalbu. Di mejanya, dia bungkam tanpa sebarang kata.

    “Sesungguhnya setiap pembinaan dimulakan dari asas dan bukannya dari puncak.” Untaian hikmah yang pernah dilafazkan oleh Mustafa Mashyur hadir di fikirannya. Dia diburu resah apabila terkenangkan kata-kata bekas Mursyidul Am Ikwanul Muslimin itu. Dia yakin benar akan kebenaran kata-kata tokoh gerakan islam itu. Apa tidaknya, bukankah langkah yang pertama merupakan asas dan permulaan kepada perjalanan yang beribu batu. Begitu juga dengan detik dan saat yang menjadi asas kepada pembentukan tahun, dekad dan abad. Asas kepada negara pula ialah setiap individu yang menjadi warganya. Agenda memperkasakan bangsa dan negara hanya akan tercapai kalau asasnya turut diperkasakan. Sebagaimana pembinaan bangunan yang besar dan tinggi, pasti sahaja memerlukan tapak yang besar, luas dan dalam. Jika tidak, pasti sahaja bangunan itu akan tersungkur menyembah ke bumi.


    ***


    Sering kali dia diingatkan dan sering kali juga dia mengingatkan. Saling ingat dan mengingatkan betapa pentingya agama dalam kehidupan.

    “Sebagaimana pentingnya akar pada sebatang pokok. Kalau akarnya kuat mencengkam ke bumi, maka teguhlah pokok itu berdiri. Datanglah angin kencang, ia tidak akan goyang. Tidak sekadar berdiri teguh, ia juga selamat untuk dijadikan tempat bersandar, berpaut dan berteduh.” Begitulah tamsilan yang sering kali dilafazkan oleh arwah ayahnya suatu ketika dahulu. Walaupun telah lama berlalu, bait-bait kalimah itu tetap segar di hati sebagaimana arwah ayahnya yang sentiasa bugar di sanubarinya.

    “ Agama adalah panduan dan pedoman untuk manusia melayari kehidupan.” Dia teringatkan kata-kata sahabatnya, Nazri yang menjadi rakan serumah dan sekuliahnya sewaktu di Jordan. Sedari dahulu lagi, dia sememangnya akur akan kebenaran kata-kata sahabatnya itu. Tanpa panduan dan pedoman manusia akan tersesat meskipun di dalam terang benderang. Lagi membimbangkan jika yang tersesat itu melibatkan golongan intelektual dan profesional. Mereka akan memanipulasikan segala kesempatan yang ada tanpa mengira dosa dan pahala. Kesempatan itu akan dijadikan sebagai tongkat untuk berdiri dan titi untuk melintas. Berdiri mencari laba dan melintas untuk mengejar hidup yang selesa.

    “Sekiranya ilmu sains dimiliki oleh seseorang yang tidak beragama, ia laksana senjata yang berada pada tangan orang yang gila.” Begitulah Albert Einstein mengambarkan betapa berbahayanya golongan yang tidak menjadikan agama sebagai panduan dan pedoman. Membahayakan diri sendiri dan membahayakan orang lain.

    “Ustaz, saya minta maaf.” Masih terdengar-dengar di telinganya suara Munir yang tersekat-sekat kerana ketakutan. Pelajar itu bersama beberapa orang pelajar yang lain telah mengambil kesempatan untuk menyiapkan tugasan subjek-subjek yang lain sewaktu dia sedang ralit menulis di white board. Darahnya benar-benar mendidih kala itu, namun dipujuknya hati agar bersabar. Dia sedar dalam keadaan sebegitu, syaitan mudah menganggu dan perkara yang tidak diingini boleh sahaja berlaku.

    Penjelasan lebih lanjut daripada Munir telah memahamkannya betapa nazaknya subjek yang diajarnya itu. Tidak penting, tidak perlu cemerlang, dan tiada masa depan. Itulah yang selayaknya dilabelkan untuk subjek pendidikan islam. Subjek yang dipandang sepi dan tidak diambil peduli. Subjek yang boleh diibaratkan sebagai melukut di tepian gantang, masuk tiada menambah dan keluar pula tiada mengurang.

    Bila terkenangkan semua itu, dia merasakan dirinya teramat malang. Secara jujur, semangatnya sedikit terhakis dengan pengakuan itu. Namun, dia tidak akan sesekali mengalah. Pelajar-pelajar ini perlu difahamkan tentang pentingnya pendidikan agama. Amat penting supaya langkah mereka nanti akan terpandu. Terlalu penting, agar jejak mereka nanti akan terpimpin.


    ***


    Dia memandang sekilas jam di tangan. Masa berbaki sepuluh minit lagi. Dia ingin memanfaatkan masa yang terhad dan terbatas itu untuk mengingatkan mana-mana pelajarnya yang masih leka dan mengejutkan mana-mana pelajarnya yang sedang lena. Leka dan lena tentang kepentingan agama. Dia berdiri dan melangkah ke hadapan sambil indera pandangnya menyeluruhi setiap pelajarnya. Selain nama, tertera juga cita-cita setiap pelajar di sudut paling kanan di atas permukaan meja masing-masing. Dalam hati, dia melafazkan kesyukuran kerana setiap pelajarnya memandang masa depan dengan impian dan wawasan. Dalam hati juga dia berdoa, agar setiap impian dan wawasan itu akan tertunai dan terlaksana. Mereka adalah harapan bangsa dan negara.

    “Belajar agama tak semestinya kerana nak jadi orang agama. Tapi, kerana nak jadi orang yang beragama. Ada perbezaan yang ketara antara orang agama dengan orang yang beragama.” Dia melontarkan kata sebagai pembuka bicara untuk mengejutkan pelajarnya yang leka dan lena.

    “Maksud ustaz.” Seorang pelajar perempuan mengajukan tanya sambil mengerutkan kening, tanda tidak faham. Beberapa orang pelajar yang lain turut tersentak dengan bicaranya yang tiba-tiba itu.

    “Kamu benar-benar mahu tahu.” Dia cuba menebak naluri pelajarnya. Beberapa orang pelajar menganggukan kepala tanda sudi dan bersedia untuk mendengar penjelasan lanjut darinya.

    “Kamu boleh sahaja menjadi seorang saintis yang terbilang, namun kamu kena sedar akan kewujudan Tuhan yang sentiasa memerhatikan. Kamu boleh juga menjadi seorang peguam yang terkemuka, namun kamu mesti ingat dosa dan pahala. Boleh juga menjadi seorang arkitek yang ternama, namun kamu mesti faham hakikat syurga dan neraka. Atau menjadi seorang doktor yang berjaya, namun kamu kena sedar betapa denyut nadi dan degup jantung boleh terhenti bila-bila masa sahaja. Dengan kata lain, kamu jadilah apa sahaja, tapi mestilah terikat dengan agama. Biarlah agama yang memandu dan memimpin kita semua. Sebab itulah kita kena mendalami ilmu agama dan jangan sesekali memandang remeh terhadap pendidikan agama.” Panjang sekali penerangannya sambil menyoroti satu persatu wajah pelajar-pelajarnya itu.

    Diselongkar pula fakta sejarah untuk menguatkan hujah. Hujah bagi mengikis dan menghakis salah faham pelajar terhadap pendidikan islam yang diajarnya. Dia memperihalkan tentang ilmuan islam dalam pelbagai bidang ketika era kegemilangan islam. Tentang Ibn Sina, Al-Razi, dan Ibn Al-Nafis yang telah memberi sumbangan yang besar dalam bidang perubatan. Tentang Mimar Sinan, arkitek terkemuka yang telah membina ratusan bangunan termasuklah Masjid Biru di Istanbul. Tentang Abbas Ibn Firnas yang diperakui oleh sejarahwan Barat, K. Phillip Hitti dalam bukunya History of the Arabs, sebagai manusia pertama yang membuat percubaan untuk melakukan penerbangan secara saitifik. Paling penting, dia ingin pelajarnya mengerti, meskipun terbilang dalam pelbagai bidang, namun para ilmuan itu amat akrab dengan Tuhan dan sangat cemerlang dalam aspek kerohanian.

    ***



    “Seorang pengurus bank dihadapkan ke mahkamah sesyen atas pertuduhan pecah amanah.” Sengaja Cikgu Radzuan menguatkan kenyataan akhbar itu. Cikgu Azami dan beberapa orang guru yang lain terus menyerbu untuk mengetahui dengan lebih lanjut berita itu. Mereka terlongo seketika seusai membaca kenyataan akhbar itu. Suasana di kantin tiba-tiba menjadi gempar apabila pengurus bank yang dimaksudkan itu ialah Encik Malik yang pernah mengemparkan mesyuarat agung PIBG beberapa bulan yang lepas. Tamakan kemewahan dan halobakan kesenangan telah mengelapkan hatinya hingga sanggup mengelapkan akaun orang lain demi menerangi akaun sendiri.


    “Astaghfirullahalazim.” Cikgu Roslina yang sedang menikmati sarapan bersama beberapa orang guru perempuan beristighfar perlahan.


    “Kita ialah kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan islam. Jika kita mencari kemuliaan lain selain daripada kemuliaan islam, maka kita akan dihina oleh Allah.” Pesanan Saidina Umar al-Khatab bertandang di sudut ingatannya. Itulah yang merisaukannya selama ini. Risau apabila memikirkan betapa surut dan susutnya nilai-nilai agama yang selama ini menjadi jatidiri anak bangsanya. Sebagai seorang guru agama, dia tidak boleh menerima situasi yang ada dengan senang dan tenang. Dan, apabila memikirkan semua itu, dia terus diburu resah dan dihambat gelisah.











    Teruskan membaca..

    LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...