Photobucket

Sahabat Maya :

Sunday, February 5, 2012

Umat Islam berpegang kepada kebaikan dibawa Rasulullah



Kesederhanaan, keseimbangan hindar kemungkaran




Sifat wasatiyyah kunci umat Islam berpegang kepada kebaikan dibawa Rasulullah





SEDAR atau tidak, kita sudah pun berada semakin jauh daripada zaman Rasulullah SAW. Seribu empat ratus tiga puluh tiga tahun sudah berlalu sejak peristiwa Hijrah Rasulullah SAW ke kota suci Madinah. Dalam tempoh ini, umat Islam sudah mengecapi pelbagai kegemilangan, merasai pelbagai kesakitan dan tidak kurang juga menyaksikan begitu banyak penyelewengan.








Fenomena ini menghasilkan tiga aliran utama, iaitu satu aliran asal dan dua aliran baru, hasil daripada tindak balas. Aliran asal itu ialah aliran Wasat iaitu yang menepati kebaikan dan keadilan, manakala dua aliran baru itu pula ialah Ifrat iaitu berlebihan dan aliran Tafrit iaitu pengabaian.







Al-Imam Ibnu al-Qayyim berkata dalam kitabnya Madarij al-Salikin (jil. 2/ hlm. 108): “Sebahagian ulama salaf berkata:






“Apa yang diperintahkan oleh Allah,

pasti syaitan akan mengganggu dengan dua tarikan;

sama ada ke arah pengabaian ataupun ke arah berlebihan.

Syaitan menganggap mana-mana daripada dua perkara ini

sebagai kejayaan, iaitu pertambahan atau pengurangan.”






Kesucian dakwah Rasulullah SAW ialah berlandaskan Basirah iaitu hujah yang nyata. Hakikat ini digambarkan oleh Allah dalam pelbagai ayat di dalam al-Quran. Antara lain ialah firman Allah dalam Surah Yusuf 12:108) yang bermaksud:






“Katakanlah:

Inilah jalan (agama)ku,

aku dan orang yang mengikutiku

mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata.

Maha Suci Allah, dan aku

tiada termasuk orang yang musyrik.”









Pada saat manusia berada dalam kesempitan minda dan kehilangan fakta sehingga menyembah sesama makhluk, Rasulullah SAW menyelamatkan mereka dengan membawa mereka kepada kebaikan dan keadilan iaitu menyembah Tuhan segala makhluk. Ketika manusia memandang rendah kepada wanita dan memperhambakan mereka, Baginda menyelamatkan mereka dengan membawa mereka kepada kebaikan dan keadilan iaitu memberi hak yang tinggi kepada wanita yang menjamin kelangsungan umat manusia. Wahyu daripada Allah telah menjadikan dakwah Rasulullah SAW gemilang.






Kebaikan dan keadilan inilah yang dinyatakan oleh Allah, antara lain dalam ayat berikut (Al-Baqarah 2:143) yang bermaksud:





“Dan demikianlah (pula) Kami

telah menjadikan kamu (umat Islam),

umat yang adil lagi pilihan agar kamu menjadi saksi

atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad)

menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.”







Begitulah umat Islam ini disifatkan dengan sifat wasatiyyah yang membawa maksud al-Khairiyyah iaitu kebaikan dan al-‘adalah iaitu keadilan serta al-tawassut bayn al-Ifrat wa al-Tafrit iaitu pertengahan antara melampau dalam berlebihan dan melampau dalam berkurangan seperti yang dirumuskan oleh Dr Muhammad Ba Karim dalam kitabnya Wasatiyyah Ahlis Sunnah. Inilah juga yang ditekankan oleh al-Imam Ibn al-Qayyim dalam kitabnya Madarij al-Salikin (jilid 2/ hlm. 496), seperti yang dinukilkan Perdana Menteri beberapa minggu lalu bahawa “wasatiyyah iaitu kesederhanaan atau keseimbangan bermakna tidak terlalu berlembut dan tidak terlalu ekstrem adalah seperti sebuah oasis di antara dua gunung.”






Umat Islam yang bersifat wasatiyyah ialah umat yang berpegang kuat kepada kebaikan yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Perkara ini juga dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya (Ali Imran 3:110) yang bermaksud:






“Kamu (wahai umat Muhammad)

adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan

bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh

berbuat segala perkara yang baik dan melarang

daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji),

serta kamu pula beriman kepada Allah

(dengan sebenar-benar iman).”








Ayat ini menunjukkan bahawa kebaikan yang ada pada umat yang sederhana ini ialah apabila adanya perintah kepada kebaikan dan larangan daripada kemungkaran. Ini adalah satu amanah iaitu mengajak kepada makruf iaitu perkara baik yang diketahui oleh Rasulullah SAW dan sahabat. Seterusnya menghindari daripada mungkar iaitu perkara buruk yang bukan menjadi kebiasaan Baginda SAW dan sahabat dalam urusan agama.





Wasatiyyah memerlukan keikhlasan.
Wasatiyyah juga menuntut agar umat Islam menepati kebenaran
yang dijunjung oleh Rasulullah SAW dan sahabat. Rasulullah SAW telah menyatakan perkara ini dengan sabdanya yang bermaksud:







“Kumpulan yang unggul ialah

yang menepati peganganku dan pegangan sahabatku”


(Hadis riwayat al-Tirmizi (no. 2641) dan
dihukum Hasan oleh al-Albani).







Kebenaran yang dijunjung dan diamalkan ini mestilah disampaikan
walaupun pahit, sesuai dengan perintah Rasulullah SAW yang bermaksud:







“Ucaplah yang benar walaupun pahit”




(Hadis riwayat al-Baihaqi dalam al-Targhib wa al-Tarhib
(no. 2233) dan dihukum Sahih Li Ghairih oleh al-Albani).







Justeru, Wasatiyyah bukanlah menyesuaikan Islam dengan suasana, sebaliknya menyesuaikan suasana dengan Islam.







Sifat wasatiyyah inilah yang menjadikan umat Nabi Muhammad SAW dipanggil menjadi saksi terhadap sengketa antara Rasul dan umat mereka di hadapan Allah kelak. Di dalam sebuah hadid, apabila umat Islam ditanya:







“Apa hujah kamu bagi kenyataan itu?”





Mereka menjawab:





“Nabi kami datang kepada kami dan memberitahu bahawa semua rasul telah menyampaikan wahyu, lalu kami membenarkannya.”









Maka itulah firman Allah yang bermaksud:








“Dan demikianlah (pula)

Kami telah menjadikan kamu (umat Islam),

umat yang adil lagi pilihan agar kamu menjadi saksi

atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad)

menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.”




(Hadid direkod oleh al-Suyuti dalam al-Jami‘ al-Saghir
dan dihukum Sahih oleh al-Albani
dalam Sahih al-Jami‘ al-Saghir (no 8033).






Penulis ialah Pengerusi Sekretariat Ulama Muda UMNO (ILMU)








Teruskan membaca..

Tekad azam contohi kehidupan Rasulullah





Tekad azam contohi kehidupan Rasulullah



NABI Muhammad SAW diutuskan Allah menyebarkan Islam kepada seluruh manusia dan menjadi pemimpin contoh untuk diikuti sepanjang zaman. Seluruh cendekiawan, ahli agama, pemikir dan pemimpin, sama ada beragama Islam atau kafir mengakui Nabi Muhammad sebagai “The Saviour of Humanity” atau Penyelamat Manusia Sejagat.








Baginda juga digelar pemimpin agung sepanjang zaman dan paling sempurna akhlak.
Memang tepat jika Rasulullah dijadikan contoh dan idola untuk diikuti dalam segenap segi cara kehidupan baginda. Sesungguhnya tidak ada sifat buruk pada diri baginda untuk dijadikan bahan momokan atau cacian oleh musuh-musuh Islam.






Dalam kalangan orientalis, mereka cuba mengkaji dan mencari sunnah Rasulullah yang boleh dikaitkan sebagai sikap buruk dan bukti Rasulullah hanya manusia biasa sama seperti orang lain. Antara sunnah yang dilambangkan tidak baik ialah poligami dan perkahwinan Rasulullah dengan Siti Aisyah. Baginda dilambangkan sebagai kuat seks atau gila seks.






Jika kita mengkaji sirah, tentunya kita faham mengapa Rasulullah berkahwin lebih daripada seorang dan mengahwini Siti Aisyah ketika masih berusia kanak-kanak. Rasulullah bukan gila seks dan tidak sekali-kali menjadikan kedudukan dan kuasa untuk memiliki banyak isteri. Tindakan Kelab Taat Suami menganjurkan forum Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam sempena Maulidur Rasul boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan bukan Islam dan penganut Islam sendiri yang tidak betul-betul mendalami sirah.








Selama ini pun, suami yang ingin berpoligami sering mengatakan ia sunnah Rasulullah, sedangkan dalam hal lain tidak pula mengikut apa yang dilakukan baginda.
Perkara ini tentu sekali akan digunakan pula oleh orientalis untuk menyokong dakwaan mereka selama ini. Sepatutnya, sempena Maulidur Rasul ini perkara lain yang dibincangkan atau ditonjolkan.









Banyak sumbangan besar lain patut dijadikan topik perbincangan dan dicontohi yang mana baginda berjaya membentuk masyarakat sempurna dan syumul yang tidak ada batasan geografi dan zaman.
Tidak ada individu lain mampu mencapai status seperti mana dicapai Nabi Muhammad SAW.







Lihatlah hasil dakwah Nabi Muhammad yang berjaya membawa perubahan besar peradaban manusia. Risalah yang dibawa Nabi Muhammad membawa pakej sempurna kepada kehidupan manusia dan tidak setakat berkaitan tauhid kepercayaan kepada Allah semata-mata.
Rasulullah sudah berjaya merubah kehidupan manusia secara rohani, fizikal dan intelektual yang mencetus revolusi perubahan membawa manusia dari dunia kegelapan kepada cahaya kebenaran. Kesempurnaan akhlak, kepimpinan dan ajaran yang dibawa Nabi Muhammad dijadikan ikutan bagi sesiapa mengharapkan kesejahteraan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.









Baginda memiliki peribadi mulia sehingga digelar al-Amin oleh masyarakat Makkah, yakni lambang kebenaran dan kesempurnaan pekerti.
Nabi Muhammad mengajar manusia mengenai ketuhanan, kebenaran, keadilan dan kebahagiaan hidup. Baginda menunjukkan cara hubungan manusia dengan Allah, manusia dengan manusia dan manusia dengan alam. Setiap ajaran dan amalan Nabi Muhammad adalah sunnah yang perlu diterapkan dalam kehidupan setiap insan untuk mencapai kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Untuk memastikan iman sentiasa kuat dan sempurna, hendaklah sentiasa tertanam perasaan mencintai Nabi Muhammad sepenuh hati.









Sabda Rasulullah bermaksud:







“Tidaklah beriman seseorang kamu

sehingga aku lebih dicintainya daripada anaknya,

ibu bapanya dan manusia seluruhnya.”







(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Kasih sayang terhadap Nabi Muhammad tidak cukup sekadar ucapan di bibir atau mengadakan sesuatu secara ritual berkaitan baginda. Kasih sayang memerlukan pembuktian berupa amalan seperti yang diperintahkan oleh Allah dan Rasulullah. Kita perlu penuh yakin bahawa apa yang dilakukan Nabi Muhammad ada yang contoh ikutan terbaik. Sesiapa mengikut sunnah Rasulullah mendapat jaminan beroleh kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.







Kita hari ini tidak hidup bersama-sama Nabi Muhammad. Apa yang ditinggalkan sebagai pedoman hidup adalah al-Quran dan sunnah. Sesiapa mencontohi kedua-duanya, samalah seperti hidup pada zaman Rasulullah. Fahaman yang menolak sunnah dalam mentafsir kehendak agama membawa kepada kesesatan.








Ditambah pula dengan keadaan umat Islam yang dirosakkan oleh fahaman bidaah, khurafat, syirik, rosak akhlak dan aliran liberal.
Nabi Muhammad mengingatkan agar umatnya terus berpegang kepada sunnah biarpun berdepan halangan. Mempertahankan sunnah satu tanggungjawab yang berat.





















Teruskan membaca..

Persefahaman Asas Perpaduan Ummah







Tema Sambutan Maulidur Rasul 1433H / 2012M




" Persefahaman Asas Perpaduan Ummah "








Sabda Nabi S.A.W :















" Tiadalah dua hamba yang saling cinta-mencintai






kerana ALLAH yang berjumpa salah seorang yang lain






lalu berjabat tangan (bersalam) dan berselawat






kepada Nabi S.A.W melainkan ALLAH mengampuni






dosanya sebelum mereka berpisah, baik yang telah






lalu ataupun yang akan datang . "














- Hadis Riwayat Ibnu Sunni -













Sabda Nabi S.A.W :







" Dari Abu Hurairah r.a... berkata :






Rasulullah S.A.W bersabda :





Janganlah kamu jadikan kuburku sebagai tempat perayaan






dan berselawatlah kepadaku, maka sesungguhnya






bacaan selawatmu itu akan sampai kepadaku






di mana sahaja kamu berada. "








-Hadis Riwayat Abu Daud-




































Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...