Photobucket

Sahabat Maya :

Friday, November 9, 2012

88 tahun nanti gambar kahwin

88 tahun nanti gambar kahwin
IMPIAN TERLAKSANA...Wu dan isteri, Sognshi.
IMPIAN TERLAKSANA...Wu dan isteri, Sognshi.


NANCHING: Tanya mana-mana pasangan yang sudah bertunang dan mereka akan menjawab majlis perkahwinan tidak akan lengkap tanpa gambar romantik bagi mengingati majlis berkenaan.


Sebahagian pasangan yang baru berkahwin akan mengambil gambar mereka selepas majlis itu.
Tetapi bagi pasangan ini, mereka menanti hingga 88 tahun sebelum dapat merakam gambar paling istimewa dalam hidup mereka.

Pasangan yang sudah menjangkau usia 100 tahun, Wu Conghan dan Wu Sognshi, berkahwin di wilayah Sichuan, China pada 1924.

Bagaimanapun, mereka tidak merakam gambar perkahwinan itu sehinggalah baru-baru ini.

Conghan, 101, dan Sognshi, 103, hidup bahagia bersama sejak 88 tahun lalu.

Mereka selalu mengimpi untuk merakamkan gambar kahwin mereka.

Tetapi pasangan itu tidak mempunyai pilihan apabila melangsungkan perkahwinan mereka pada tahun berkenaan.

Impian mereka dijadikan realiti baru-baru ini oleh sebuah syarikat foto di Nanching, bandar tempat tinggal mereka.

Seperti apa juga yang ada kaitan dengan majlis perkahwinan, pengantin perempuan mahu rakaman itu paling sempurna dan memastikan suaminya kelihatan paling segak denghan baju putih. - DM


Sumber


Teruskan membaca..

Memartabatkan Bahasa Melayu


http://1.bp.blogspot.com/-m_YUIbzWG9c/Tqn7XULgS5I/AAAAAAAACSw/7VKpf-F3UqY/s1600/bahasa%2Bjiwa%2Bbangsa.jpg

Ungkapan Bahasa Jiwa Bangsa adalah sesuatu yang keramat bagi yang memahami kepentingan bahasa membangunkan citra berfikir pengucapnya. Bahasa tidak saja sebagai alat komunikasi yang sifatnya mekanistik dan arbitrari, tapi ia terkandung pemikiran yang memberi pedoman kepada manusia tentang buruk-baik akan sesuatu atau manfaat-musibatnya terhadap sesuatu.

Oleh itu Bahasa Melayu yang ingin dimartabatkan kembali adalah bahasa yang terkandung dalam dirinya sistem nilai, kualiti ilmu dan etika. Memartabatkannya dalam sistem pendidikan bermakna memartabatkan ciri-ciri berfikir yang beretika dan upaya pengucapan yang serasi dengan fitrah. Apabila Bahasa Melayu melalui proses keMalaysiaan ia berkembang dalam lingkungan masyarakat majmuk yang pada hakikatnya amat mengutamakan kepentingan nilai dan etika. Lalu pengucapan masyarakat penggunanya menjadi lebih tertib kerana bahasa itu adalah cerminan bangsa Malaysia itu sendiri.

Seperti halnya pengucap Bahasa Inggeris, tidak saja etos atau budaya, yang ingin disemai ialah, menjadikan pengucapnya berjiwa Englishmen tapi dalam masa sama, terkandung norma-norma Barat yang akhirnya menyebabkan kecenderungan menjadikan Barat segala-gala. Sesetengah orang kita apabila mengungkap sesuatu dalam Bahasa Inggeris terasa dirinya moden, dipandang tinggi dan kebaratan sementara berucap dalam bahasa ibunda terasa tidak moden, tidak internasional, kerdil dan sengkek.

Ini menyebabkan fokus kepada Bahasa Inggeris jauh lebih utama dan dikaitkan Bahasa Inggeris itu sebagai bahasa kemajuan dan kemodenan. Mempelajari bahasa ibunda membawa kepada kemunduran dan ketinggalan, rendah diri dan kejakunan. Kita lihat Perancis jiran United Kingdom menggunakan bahasa Perancis untuk maju. Hal yang sama berlaku di Jerman, Belanda, Sweden, mereka maju dengan menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Tidak timbul masalah psiki yang mengatakan, menggunakan bahasa ibunda boleh menyebabkan kemunduran.

Hal sama seperti Timur Jepun, Korea Selatan dan China. Kekuatan bahasa ibunda mereka menyebabkan bangsa ini menjadi maju dengan tidak menolak kepentingan Bahasa Inggeris dipelajari dan bahasa lain diraikan.
Filipina dan India sejak kemerdekaan guna Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama, tidak pula maju seperti negara lain. Ia membuktikan bukan isu Bahasa Inggeris yang menjadi persoalan, tetapi ia menyangkut tentang budaya berfikir dan ilmu bagi masyarakatnya yang terbuka untuk belajar di Barat dan dalam masa sama amat teguh dan kukuh dengan jati dirinya.

Usaha Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa (MBMMBI) adalah langkah bijaksana meletakkan kedua-dua bahasa itu pada tempat yang wajar. Perlembagaan Malaysia Perkara 152 mengkanunkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi dan Akta Pendidikan 1996 mensyaratkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam sistem pendidikan kita. Ia harus diterima seluruh warga merdeka.

Terbukti sejak usaha memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem, baik di sekolah mahupun di institut pengajian tinggi awam ribuan pelajar kita berjaya dengan cemerlang dan sebahagiannya mampu membuat bidang kepakaran dan perlanjutan pengajian hingga ke tahap yang tertinggi dalam Bahasa Inggeris. Kalau dengan Bahasa Melayu para pelajar kita boleh berjaya dengan cemerlang atas alasan apa subjek Matematik dan Sains perlu diajar dalam Bahasa Inggeris.

Mempelajari Bahasa Inggeris ialah dengan memperkukuhkan pengajaran bahasa dan sasteranya. Kurikulum bahasa harus disusun semula supaya ia sesuai dengan etos Malaysia, kualiti gurunya harus lebih baik tidak saja di bandar tetapi di luar bandar, metodologi pengajarannya harus terkini dengan makmal bahasa yang sifatnya membantu. Corak pengukurannya tidak saja kepada aspek nahu dan ayat tetapi harus diutamakan pendekatan yang sifatnya komunikatif.

Sekiranya masa pengajaran-pembelajarannya ditambah, tidak ada sebab penguasaan Bahasa Inggeris menjadi tidak berkesan. Memartabatkan Bahasa Melayu tidak harus dilihat secara rasis oleh mana-mana pihak kerana memperkasa Bahasa Inggeris dan membenarkan bahasa ibunda kaum lain dipelajari adalah suatu kebitaraan dalam sistem pendidikan kita. Sekiranya setiap warga kita yakin akan maksud Perlembagaan dan Akta Pendidikan ia bakal mengukuhkan resam di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung.


Sumber :  http://drsidekbaba.blogspot.com/2012/01/memartabatkan-bahasa-melayu.html


Teruskan membaca..

Warga setia kuasai bahasa kebangsaan

Warga setia 

kuasai bahasa kebangsaan

Menghairankan kerana selepas merdeka selama lebih 55 tahun dengan persetujuan menjadikan bahasa Melayu bahasa kebangsaan, penggunaannya masih menjadi persoalan. Terbaru ialah usaha untuk meningkatkan penguasaan dan penggunaan bahasa Inggeris dalam negara.

Diakui bahasa Inggeris sudah pun menjadi bahasa antarabangsa yang sepatutnya boleh dikuasai rakyat. Usaha juga perlu dilaksanakan supaya semua lepasan sekolah dan universiti kita dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik.



Tetapi apakah penguasaannya hanya boleh dilakukan dengan mengabai atau memperlekehkan bahasa Melayu hingga ada pula beberapa kerat rakyat yang mahu sekolah Inggeris, iaitu sekolah dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, dikembalikan?


Apakah ini saja jalannya untuk memastikan seseorang pelajar fasih bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris? Mestikah penguasaan baik bahasa Inggeris hanya boleh dicapai dengan mengabaikan bahasa Malaysia?



Tak serius guna bahasa Malaysia



Sehingga sekarang masih terdapat sebilangan rakyat negara ini yang berterusan tidak serius berhubung penggunaan bahasa Malaysia hingga ada lepasan sekolah, khususnya dari sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang tidak boleh bertutur atau memahami bahasa Melayu dengan baik.


Persoalan mengenai penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di sekolah tidak seharusnya timbul lagi, begitu juga pandangan bahawa hanya dengan wujudnya sekolah bahasa Inggeris barulah rakyat negara ini boleh menguasai bahasa itu.

Dalam keghairahan mahu rakyat menguasai bahasa Inggeris dengan baik, janganlah kita meminggirkan bahasa Malaysia. Ia sudah pun diterima sebagai bahasa kebangsaan. Semua yang mengakui warga negara ini seharusnya bersedia mendukung dan mencintai bahasa Malaysia, iaitu bukan sekadar memahami tetapi juga boleh bertutur dengan baik.

Bahasa Malaysia sebenarnya adalah tonggak kenegaraan dan kedudukannya juga mengatasi bahasa lain termasuk bahasa sukuan. Hakikat ini perlu difahami oleh semua rakyat negara ini tanpa berdolak dalih lagi.


Justeru, semua individu yang mengakui cintakan negara ini tidak harus terikut dengan kemahuan pendukung sekolah Cina yang tidak serius mahukan lepasan sekolah itu dapat menguasai bahasa Malaysia dengan baik.



Pembelajaran Bahasa Melayu di SJKC pada masa ini hanyalah seperti melepaskan batuk di tangga, iaitu untuk pelajar mereka lulus dalam mata pelajaran itu dan memperoleh sijil persekolahan.


Sudut perkauman sempit



Itulah juga kenapa hingga sekarang persatuan seperti Dong Zong tetap tidak berganjak daripada syarat bahawa semua guru yang mengajar Bahasa Melayu mesti boleh bertutur bahasa Mandarin. Apa kena mengena pembelajaran Bahasa Melayu dengan penguasaan bahasa Mandarin? Malah jika guru yang mengajar Bahasa Melayu tidak tahu bahasa Mandarin, keadaan ini akan memaksa muridnya berusaha mempelajarinya untuk berinteraksi dengan guru.

 
Kesimpulan yang boleh kita andaikan ialah puak Dong Zong dan sekutunya tidak mahu menerima bahasa Melayu sebagai tonggak negara. Mereka tidak mahu menerima usaha memperkukuhkan penggunaan bahasa Melayu di SJKC kerana kononnya masyarakat Cina membantah. Mereka ini jugalah yang berterusan melihat semuanya dari sudut perkauman sempit.

 
Selagi mereka tidak bersedia berperasaan terbuka, selagi itulah syak wasangka terhadap puak begini tidak dapat diketepikan. Justeru, orang Melayu tidak harus terpesong dengan kehendak melampau begini yang tidak mahu menunjukkan mereka benar-benar adalah warga negara yang mencintai negara sendiri dan sanggup mendukung tonggak kenegaraan dengan menghormati bahasa kebangsaan.

 
Puak ini jugalah apabila dipersoalkan kesetiaan mereka terhadap negara ini akan melenting kononnya mereka juga adalah rakyat yang setia dan cintakan negara. Kesetiaan apa kalau bahasa negara sendiri pun diabaikan dan seolah-olah tidak mahu mengiktirafnya?

 
Kini pihak berkuasa perlu pula mengadakan lagi kempen Bulan Bahasa Kebangsaan yang dilancarkan semula pada 2010 untuk mempromosikan kedudukan bahawa kita adalah “satu bahasa, satu bangsa dan satu negara”. Puak yang tidak mengendahkan penggunaan bahasa Melayu sepatutnya berasa malu dengan ratusan ribu rakyat asing yang selepas berada di sini beberapa bulan saja sudah boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik.

 
Sepatutnya selepas begitu lama mencapai kemerdekaan, soal terhadap tahap penguasaan bahasa Melayu oleh sesetengah rakyat tidak harus wujud lagi. Mereka yang mengakui diri sebagai warga setia yang cintakan negara tidak akan sesekali mengabaikan bahasa kebangsaan.

Penulis Felo Kanan di UKM
 
 
 
 http://1.bp.blogspot.com/-m_YUIbzWG9c/Tqn7XULgS5I/AAAAAAAACSw/7VKpf-F3UqY/s1600/bahasa%2Bjiwa%2Bbangsa.jpg
Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...