Photobucket

Sahabat Maya :

Wednesday, January 18, 2012

Asas tauhid mesti diterap kukuh dalam pendidikan anak





Asas tauhid mesti diterap kukuh

dalam pendidikan anak





Semai sifat mulia dari awal menerusi nasihat yang lembut






SABAN hari pelbagai masalah sosial dipaparkan dalam media cetak mahupun elektronik. Kes buang bayi yang tidak nampak kesudahannya, sumbang mahram, saudara kandung memperkosa ahli keluarga, hilang kewarasan akal hingga ada membunuh dan menyembelih anak sendiri.







Ini menggambarkan betapa masyarakat hari ini sedang mengalami penyakit jiwa yang agak parah.






Pelbagai kaedah penyelesaian dicadangkan bagi membendung kejadian ini daripada terus berleluasa termasuk memperkemaskan sistem pendidikan.







Pemantapan itu termasuk menekankan kepentingan pengajaran berunsur akidah, tasauf dan akhlak terutama dari sudut mempelajari teknik berkesan yang terbukti telah berjaya. Salah satu contoh ialah kaedah digunakan Lukman al-Hakim dalam memberi pengajaran serta pendidikan kepada anaknya. Lukman atau nama penuhnya Lukman bin Ba’ura’, dari keturunan Azar, iaitu bapa kepada Nabi Ibrahim, dikenali sebagai seorang bijaksana yang diberikan hikmah oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Lukman bukanlah seorang nabi, tetapi dia adalah seorang hamba yang banyak bertafakur, kuat keyakinan, mengasihi dan dikasihi Allah SWT, dikurniakan-Nya kebijaksanaan.”







Kebijaksanaan Lukman ditunjukkan melalui pendidikan diterapkan dalam diri anaknya. Beliau mengguna kaedah sangat lembut melalui nasihat dan perbicaraan secara halus kepada anaknya.
Perkara asas ditekankan Lukman al-Hakim adalah penegasan kepada konsep tauhid melalui larangan melakukan syirik kepada Allah SWT yang bertepatan dengan konsep ‘awal agama ialah mengenal Allah’. Ini juga berkait rapat dengan amalan azan dan iqamah yang dilaungkan ke telinga bayi sejurus selepas kelahirannya.







Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Mulakan kepada anak kamu dengan kalimah La ila ha illallah.”
Rasulullah SAW juga bersabda maksudnya: “Didiklah anakmu dengan tiga perkara iaitu mencintai nabinya, mencintai ahli bait (keluarganya) dan bacaan al-Quran kerana ahli al-Quran itu mendapat naungan Allah pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya bersama nabi.”






Asas Tauhid ini boleh diterapkan ke dalam diri anak melalui bisikan dan penerangan jelas terhadap perkara yang berlaku di persekitaran antaranya kejadian hujan yang boleh menumbuhkan tumbuhan, pertukaran malam dan siang, kejadian bulan dan bintang serta proses kejadian manusia. Lukman al-Hakim juga menerangkan kepada anaknya konsep ihsan yang disebutkan Rasulullah SAW sebagai ‘engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat Allah, walaupun engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihat engkau.”






Ayat disebutkan Lukman kepada anaknya menjelaskan bahawa setiap perlakuan hamba dalam pengetahuan dan kekuasaan-Nya juga walaupun sehalus biji sawi tetap dalam ilmu-Nya.
Justeru, anak perlu dididik berbuat kebajikan dan diterangkan kepadanya balasan baik kepada perbuatan baik, serta perbuatan buruk bagi setiap kesalahan dan dosa.







Konsep ihsan jika diaplikasi dalam kehidupan anak sejak kecil pasti akan dapat membentuk sikap jujur, berkata benar dan tidak khianat. Dalam ayat selanjutnya, Lukman al-Hakim memfokuskan kepada beberapa adab mulia dalam kehidupan sebagai seorang anak iaitu berbuat baik dan menghargai jasa kedua-dua ibu bapa. Seterusnya beberapa adab dan akhlak mulia diajar Lukman kepada anaknya antaranya suruhan melaksanakan solat, mengajak kepada makruf dan mencegah daripada kemungkaran, bersabar menerima ujian, larangan berlagak dan berjalan seperti orang sombong.






Suruhan melaksanakan solat adalah tanggungjawab besar ibu bapa terhadap anak. Rasulullah SAW menegaskan hal ini berdasarkan sabda yang bermaksud: “Suruhlah anakmu melaksanakan solat ketika mereka berusia tujuh tahun, pukullah jika mereka enggan melaksanakannya jika mereka sudah berusia sepuluh tahun dan pisahkan mereka dari tempat tidur (jika berlainan jantina).”







Begitu juga adab lain yang ditekankan Lukman kepada anaknya itu menggambarkan betapa perlakuan baik ini perlu dimulakan pada peringkat awal kanak-kanak. Bak kata pepatah Melayu, ‘melentur buluh, biarlah dari rebungnya’.
Untuk berjaya mendidik, ikutlah cara mereka yang telah berjaya. Lukman al-Hakim telah menunjukkan jalannya, terpulang bagaimana untuk melaksanakannya dalam kehidupan. Jika semua memahami dan mengambil pendekatan ini, ia dapat menyelesaikan penyakit sosial masyarakat.





Penulis ialah Penolong Pengarah Pusat Pemantapan Akidah

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jelebu, Negeri Sembilan








Sumber











Teruskan membaca..

Ibadat wajib perlu ditekankan untuk banteras gejala sosial



Solat berkesan bentuk akhlak anak

KANAK-KANAK perlu dididik cara mendirikan solat sejak dari kecil supaya amalan wajib itu sebati dalam diri mereka. - Gambar hiasan
KANAK-KANAK perlu dididik cara mendirikan solat
sejak dari kecil supaya amalan wajib itu sebati dalam diri mereka. - Gambar hiasan








Ibu bapa perlu tekankan ibadat wajib untuk banteras gejala sosial






ANAK ialah aset ibu bapa yang sangat bernilai. Mereka diibaratkan permata berharga dianugerahkan Allah SWT. Anak juga menjadi faktor pendorong bagi ibu bapa untuk masuk ke syurga.







Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila matinya seorang manusia, terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu bermanfaat dan anak salih yang mendoakan untuknya.” (Hadis riwayat Imam Muslim)








Anak juga ujian dan mendidik mereka menjadi tanda pengabdian kita kepada Allah SWT seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah SWT dan Rasul-Nya dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah kamu, sedangkan kamu mengetahui. Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak kamu adalah ujian (bagi kamu), dan sesungguhnya Allah SWT di sisi-Nya pahala besar.” (Surah al-Anfal, ayat 27-28) Justeru, ibu bapa perlu memainkan peranan penting memastikan anak dididik dengan ajaran Islam lebih-lebih lagi pada zaman penuh dengan cabaran. Ibu bapa perlu melaksanakan amanah sebaiknya, walaupun sukar melaksanakan proses mendidik anak patuh dan tunduk kepada Allah SWT.








Oleh itu, ibu bapa perlu menyiapkan bekalan ilmu agama yang secukupnya kepada anak. Mereka perlu sedar semua yang dilakukan itu dikira ibadat dan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT.





Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Menuntut ilmu (agama) adalah fardu ke atas setiap orang Islam.” (Hadis riwayat Imam al-Baihaqi dan at-Thabrani) Kita melihat ramai ibu bapa hari ini mengabaikan pengajian ilmu agama kepada anak. Mereka sanggup menghabiskan wang bagi memastikan anak cemerlang dalam akademik yang bersifat duniawi tetapi tidak risau anak jahil ilmu ukhrawi.





Mereka menyangka ilmu dunia yang membantu anak untuk hidup di dunia ini sedangkan ilmu agama yang sebenarnya memandu kehidupan anak di dunia mahupun di akhirat. Ilmu agama yang membimbing anak mempelajari ilmu dunia serta mendekatkan diri kepada Allah SWT.






Akibat kecuaian ibu bapa, tidak hairanlah jika kita lihat hari ini ramai anak orang Islam semakin liar, tidak menutup aurat dan mudah terjebak dalam maksiat serta kemungkaran lantas menggembirakan musuh Islam kerana umat Islam semakin lemah dan lalai akibat kebejatan sosial semakin parah.






Sememangnya itu yang diimpikan musuh seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju kepadamu (Muhammad) sebelum engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): Sesungguhnya petunjuk Allah SWT itu petunjuk yang benar. Jika engkau mengikuti keinginan mereka sesudah datangnya pengetahuan kepadamu (mengenai kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh daripada Allah SWT (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 120)







Selain itu, ibu bapa juga perlu memastikan anak sentiasa mendirikan solat dan menjaga ibadat wajib yang lain. Rasulullah SAW berpesan kepada kita supaya mengambil berat perihal solat anak.





Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Suruhlah anak kamu mengerjakan solat apabila dia berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika enggan mengerjakan solat, sedangkan mereka telah berumur 10 tahun.” (Hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan al-Hakim)






Di samping mendidik anak sentiasa ingat kepada Allah SWT, solat menjadi benteng daripada keruntuhan akhlak dan gejala sosial. Ini melihat kepada kekuatan yang ada pada solat dalam mencegah manusia melakukan dosa dan kemungkaran.






Adalah mustahil jika kita hendak mengekori anak ke mana saja mereka pergi tetapi jika kita berjaya mendidik anak, yakinlah bahawa sekalipun tanpa kehadiran kita, mereka akan tetap istiqamah dengan kebaikan kerana solat mencegah daripada melakukan kejahatan serta maksiat.






Kesimpulannya, ibu bapa memainkan peranan penting mendidik anak yang diibarat kain putih dan ibu bapa bertanggungjawab mencorakkannya berpaksikan ajaran agama.





Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, kedua-dua orang tuanya yang menjadikannya sebagai Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)






Oleh itu, setiap ibu bapa perlu sedar peranan dan tanggungjawab supaya generasi muda masa kini sentiasa hidup dalam keadaan tunduk dan patuh kepada pencipta-Nya, serta tidak melanggar syariat ditetapkan untuk melahirkan masyarakat Muslim seterusnya terbina negara yang mendapat keredaan dan perlindungan Allah SWT.




Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...