DATUK Seri NajibRazak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor disambut ribuan rakyati sempena Himpunan Janji Ditepati, Sambutan Kemerdekaan Ke-55 Santai Merdeka Raya 2012, di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. - Foto Khairull Azry Bidin.
DATUK Seri NajibRazak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor
disambut ribuan rakyati sempena Himpunan Janji Ditepati,
Sambutan Kemerdekaan Ke-55 Santai Merdeka Raya 2012,
di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. - Foto Khairull Azry Bidin.



» PM ajak rakyat perkukuh barisan pelihara kemerdekaan negara




Kuala Lumpur: egak-gempita sorakan lebih 100,000 hadirin di Stadium Nasional Bukit Jalil, menyambut seruan Datuk Seri Najib Razak supaya rakyat bergandingan dengan pimpinan negara berjuang mempertahankan kemerdekaan tanah air.
Kukuh semua penjuru Perdana Menteri malam tadi mengingatkan bahawa kemerdekaan mengetuk pintu setiap pertiwi hanya sekali, justeru, ia mesti dipertahankan dengan barisan yang rapat serta kukuh, di semua penjuru dan pada setiap masa.




Kita harus tanya kepada diri ke mana kita nak bawa Malaysia? Sama ada kita nak bawa Malaysia ke gerbang puncak jaya lebih maju atau ke lembah yang mundur? Pilihan berada di tangan kita sendiri." - Datuk Seri Najib Razak



“(Barisan) Lebih rapat lagi ketika seteru dan pembangkang cuba memporak-perandakan keadaan. Di dada cita-cita kita apungkan harap. Marilah kita menggumpal perjuangan menjadi bahtera, memintal semangat menjadi kemudi, menjahit doa menjadi dayung.




“Layar sudah dikembangkan, haluan sudah ditetapkan, pantang undur sebelum berpencak. Untukmu Malaysia, padamu Malaysia, atas nama Malaysia,” katanya penuh bersemangat dengan laungan merdeka sebanyak tiga kali pada Himpunan 55 Tahun Merdeka: Janji Ditepati di sini.




Najib berkata, pemilihan tema `Janji Ditepati’ pada sambutan Hari Kemerdekaan kali ini bukan saja membabitkan janji kerajaan untuk menentukan kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan di negara ini.





Malah, ia turut meliputi janji rakyat kerana kejayaan negara adalah perkongsian antara rakyat dan kerajaan yang jika didakap dan disambut’ akan melonjakkan negara ke hadapan.



Berkat sokongan, kerjasama serta sumbangan pemimpin dan rakyat selama ini, beliau berkata, Malaysia boleh dianggap sebagai negara berjaya yang semakin kaya, makmur dan kuat.




“Oleh itu, kita harus tanya kepada diri ke mana kita nak bawa Malaysia? Sama ada kita nak bawa Malaysia ke gerbang puncak jaya lebih maju atau ke lembah yang mundur? Pilihan berada di tangan kita sendiri.




“Untuk ini, kita perlu bersama, bersatu dan berusaha. Kita perlu bersama pimpinan negara untuk melaksanakan agenda transformasi negara yang akan membawa negara ke puncak kejayaan, keunggulan dan kehebatan,” katanya.




Negara sudah mencapai dan mengisi kemerdekaan, justeru kini rakyat mesti membawa makna kepada kemerdekaan dengan menjadikan Malaysia berjaya pada abad ke-21, sekali gus berada di saf hadapan sebagai negara yang dapat memperlihatkan keunggulan dan kehebatan.




“Setelah 55 tahun kita membina tapak untuk berjaya... sejauh mana kita melangkah, ke hala mana kita menuju, walau di mana harapan nak kita labuhkan, kita harus beringat kepada pangkalan kemerdekaan. Pangkalan kemerdekaan ialah perpaduan.




“Kata pepatah sekiranya kita gagal mempertahankan apa kita miliki, kita sebenarnya tidak memiliki apa-apa. Selama 55 tahun perjalanan, kita melalui tiga golongan yang sudah dan sedang berjasa kepada negara. Kita bermula dengan generasi yang berjuang untuk mencapai kemerdekaan, diikuti golongan pemimpin dan rakyat yang berjuang untuk mengisi kemerdekaan.




“Kini kita bersama golongan pemimpin dan rakyat yang sedang berjuang membawa makna kepada kemerdekaan. Maka, janganlah sesaat pun kita leka, jangan sedikit pun kita lalai, jangan langsung kita berpaling daripada perjuangan,” katanya.