Terus berjuang mendidik anak bangsa tanpa mengira agama, bangsa, dan warna kulit. Semoga anak didik menjadi anak Malaysia. Berwawasan, berilmu, berdaya saing, majulah negaraku Malaysia.
Thursday, May 30, 2013
Bahasa Melayu alat penyatuan nasional
Bahasa Melayu
alat penyatuan nasional
Masalah timbul apabila
kaum Cina enggan beri kerjasama
Bahasa adalah entiti yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan. Ia boleh digunakan untuk mengungkapkan budaya dan menjadi alat untuk membentuk semangat kebangsaan.
Ia juga adalah sumber penyatuan nasional. Pada zaman purba, China menggunakan sistem tulisan bagi menyatukan rakyatnya daripada pelbagai suku yang menuturkan bahasa yang tidak sama. Pada zaman moden pula, bahasa Jerman dan Itali digunakan untuk tujuan penyatuan di Jerman dan Itali. Indonesia menggunakan bahasa Indonesia untuk tujuan ini.
Dalam semua kes ini,
bahasa didapati memang berjaya mendukung peranan murni ini. Untuk ini, ia mesti
bahasa yang dikongsi bersama oleh masyarakat yang ingin disatukan itu. Lazimnya
dalam hal ini, hanya satu bahasa digunakan dan saluran pentingnya adalah
pendidikan.
Sehubungan ini, melalui Laporan Pendidikan Razak yang diperkenal pada 1956 dan kemudian termaktub dalam Akta Pendidikan 1961, tujuan utama sistem pendidikan kita ialah untuk menyatukan semua kaum dengan menggunakan satu bahasa, iaitu bahasa Melayu, melalui penggunaan kurikulum yang sama. Ia masih menjadi tujuan dasar pendidikan kita sehingga ke hari ini.
Sistem pendidikan banyak aliran
Walaupun begitu, untuk memenuhi kehendak sesuatu kaum yang berhak memperoleh pendidikan dalam bahasa ibundanya, sistem pendidikan kita dari awal lagi hingga kini, tidak bersifat satu aliran, yakni menggunakan bahasa Melayu, seperti dicadangkan itu. Sebaliknya, ia terdiri beberapa aliran yang setiap satunya menggunakan bahasa berlainan sebagai bahasa pengantar, terutama pada pendidikan sekolah rendah. Dengan ini, bahasa Melayu hanya boleh mula digunakan sebagai alat penyatu pada pendidikan sekolah menengah saja.
Dengan sistem pelbagai aliran ini, proses penyatuan melalui penggunaan bahasa Melayu, hanya bermula di sekolah menengah untuk sebahagian besar golongan muda, khususnya yang menghadiri sekolah vernakular sebelum ini. Sudah tentu ini bukan cara terbaik untuk tujuan penyatuan seperti dihasratkan oleh sistem pendidikan kita. Adakah ia ikut menyebabkan polarisasi kaum yang banyak diperkata kini?
Polarisasi kaum yang menjadi begitu nyata melalui corak pengundian pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, sebenarnya sudah lama wujud. Sebelum ini, ia diperkata sekali-sekala dan tidak pun dianggap sebagai ancaman besar kepada keharmonian kaum di negara ini. Hakikatnya, masyarakat Malaysia tidak pernah bersatu dalam erti kata sebenar-benarnya. Sebaliknya, yang wujud ialah pautan sosial yang memperlihat hubungan etnik yang langsung tidak utuh.
Cina enggan kongsi bahasa
Pelbagai sebab boleh dihubungkaitkan dengan perkara ini. Antaranya sistem pendidikan kita yang gagal menyatukan semua kaum melalui penggunaan bahasa yang dikongsi. Kegagalan ini terletak pada keengganan sektor masyarakat tertentu, antaranya kaum Cina, untuk ikut merealisasikannya agar menjadi kenyataan.
Sehubungan ini, banyak usaha untuk memanfaatkan kepelbagaian aliran pendidikan ini untuk tujuan penyatuan, khususnya melalui bahasa Melayu, tidak diterima baik. Antaranya, pengenalan subjek baru Malaysia Negaraku, bakal diajar sekali minggu selama 30 minit, kepada murid Tahun Satu di semua aliran pendidikan, melalui Kurikulum Standard Sekolah Rendah yang diperkenal pada 2011.
Ia yang dicadangkan disampaikan dalam bahasa Melayu, tidak diterima. Sebaliknya ia akan diterima jika disampaikan dalam bahasa Mandarin. Walaupun pelbagai alasan diberikan untuk penolakan ini, semuanya memperlihat kaum Cina tidak bersedia untuk bersatu melalui penggunaan bahasa Melayu.
Penggunaan bahasa Melayu untuk mengajar subjek ini sudah tentu bertujuan integratif. Selain boleh memupuk perasaan kebersamaan melalui kandungannya, bahasa Melayu yang digunakan itu boleh ikut memupuk semangat kebangsaan dalam kalangan golongan muda kita. Kedua-dua ini sebetulnya adalah sebahagian daripada semangat perpaduan yang amat penting dalam sebuah negara majmuk.
Penyatuan nasional yang kini akan menjadi agenda utama negara, untuk mempertingkat perpaduan kaum, perlu banyak membabitkan bahasa Melayu selaku bahasa negara, khususnya dalam peranannya sebagai bahasa kebangsaan. Melalui peranan ini, bahasa Melayu hendaklah diangkat semula untuk bukan saja mewakili setiap rakyat Malaysia.
Tetapi yang lebih penting lagi ia adalah hak milik kita semua dan aspek penting mengenai kerakyatan kita. Dengan ini, ia wajar sekali dijadikan antara alat penyatuan nasional.
Penulis ialah
Profesor Linguistik di
Universiti Kebangsaan Malaysia
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BahasaMelayualatpenyatuannasional/Article/
Sifat lemah lembut eratkan silaturahim
Sifat lemah lembut
eratkan silaturahim
Bersifat
lemah lembut dalam berkata-kata dan bertindak adalah sifat yang disukai Allah
SWT. Insan yang sengaja memilih berhias diri dengan sifat mulia terpuji ini
bukan saja mewarisi keperibadian rasul yang mulia, juga memenuhi ciri keindahan
Islam.
Tanpa mengira di mana dan dalam suasana bagaimana, orang yang beriman sentiasa mempamerkan sifat lemah lembut, berlapang dada dan tenang.
Sifat lemah-lembut,
sopan, mudah mesra dan sabar sesungguhnya mempunyai kuasa tarikan yang kuat
terhadap masyarakat yang melihat. Sifat ini sangat serasi dengan Muslim yang
bertanggungjawab menyeru manusia lain ke jalan diredai Allah SWT.
Sirah memaparkan bagaimana masyarakat jahiliah begitu senang menerima ajakan Rasulullah SAW mendekati agama Islam yang dibawanya. Jika berdakwah dengan cara kasar dan bernada sombong, sudah tentu tidak ada seorang pun yang terpengaruh, malahan semakin menjauh.
Allah SWT berfirman:
“Maka disebabkan rahmat dari Allahlah kamu berlaku
lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar,
tentulah mereka akan menjauhkan diri dari sekelilingmu.”
(Surah Ali-Imran, ayat
159)
Rasulullah mengutamakan kemesraan dan kelembutan dalam pergaulan. Walau ada saja orang yang ingin berbuat tidak baik atau sakit hati terhadap Baginda, namun itu tidak pernah melemahkan semangatnya untuk menerangi manusia yang diselubungi kabus kejahilan.
Rasulullah SAW tetap tidak berganjak daripada menunjukkan sikap manis dan tidak pernah menampak kemarahan di wajahnya. Tindakan beginilah yang diajarkan Rasulullah SAW kepada umatnya.
Sifat lemah lembut bukan lemah
Ada beranggapan jika berlemah-lembut dalam sesuatu perkara menunjukkan kelemahan atau sikap tidak tegas hingga mudah dipermain orang. Anggapan itu tidak tepat kerana lemah lembut bukan bermakna lemah, tetapi secara tidak langsung melahirkan kekuatan tersendiri.
Contohnya, guru di sekolah yang selalu berlemah-lembut, mesra dan kaya dengan senyuman dalam pengajaran serta pembelajarannya akan menzahirkan sifat kasih sayang hingga menumbuhkan rasa kecintaan dalam diri murid-murid dan hormat terhadap guru.
Namun apabila bersikap kasar dan selalu marah dengan muka bengis, nescaya akan ramai murid yang menghindari bahkan menyalakan api kebencian terhadap guru. Kesimpulannya, jika kita selalu berlemah-lembut terhadap sesama insan akan menghasilkan banyak manfaat dan kebaikan.
Dari sudut lain, sifat lemah-lembut, berlapang dada dan sabar boleh menguatkan ikatan silaturahim sesama Islam, melenyapkan suasana perpecahan serta pergaduhan. Rasulullah SAW melarang keras perbuatan atau tindakan yang boleh menghancurkan persaudaraan dan perpaduan.
Subscribe to:
Posts (Atom)