Photobucket

Sahabat Maya :

Sunday, January 9, 2011

Bapa Moden




Kasih bapa siapkan anak sekolah




KASIH ibu membawa ke syurga, kasih bapa sepanjang masa. Ungkapan ini bukan sekadar pemanis lembaran puitis masyarakat, bahkan membawa makna yang mendalam dalam kehidupan seharian kita.

Menuntut pengorbanan dan tanggungjawab yang berat, beban yang digalas seorang lelaki bergelar bapa dan suami bukan isu enteng.

Stereotaip umum mengaitkan peranan mendidik dan mengasuh anak adalah tugas seorang wanita atau lebih jelas lagi ibu, manakala keperkasaan lelaki pula dilabel sebagai sumber utama mata pencarian sesebuah keluarga.

Bagaimana pula jika si ibu ditimpa keuzuran sehingga menyukarkannya memberi perhatian penuh terhadap anak-anak? Mungkin juga tidak semua kanak-kanak bernasib baik mempunyai ibu dan bapa yang masih bersama. Malah, bukanlah sesuatu yang asing apabila dalam dunia bapa moden hari ini, lelaki juga mempunyai peranan untuk mengambil berat pelbagai perkara berkaitan anak-anak.

Maka, apabila kalendar persekolahan tahun ini dibuka minggu ini melihat kaum bapa turut berada di kawasan sekolah bukanlah sesuatu yang pelik.

Menjejak kaki ke gedung ilmu selepas menguruskan kelengkapan anak-anak seawal pukul 5.30 pagi, tugas itu semakin mencabar apatah lagi bagi individu yang baru pertama kali berdepan pengalaman menguruskan anak-anak ke alam persekolahan.

Bagi Mahathir Mokhtar, 34, pengalaman menyiapkan persekolahan anak tunggalnya Mifzar, 7, adalah detik manis yang akan dikenang sepanjang hayat.

“Inilah saat-saat tidak ternilai yang boleh diluangkan dengan anak saya kerana biasanya kesibukan bekerja menghalang kami meluangkan masa bersama,” singkapnya dalam pertemuan hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail I, Damansara, Selangor.

Pengurus kontrak di Ampang itu tidak meletakkan tugas yang disandangnya sebagai batu penghalang untuk menyaksikan pengalaman anaknya yang baru menjejak kaki ke alam persekolahan.

Malah, cuti yang diambilnya untuk menyiapkan segala kelengkapan pembelajaran Mifzar dirasakan tidak mencukupi untuk melaksanakan tugasnya sebagai seorang bapa pada era moden.

Otai rock jaga Alexander




Lain pula bagi legenda rock, Amy Search atau pemilik nama sebenar Suhaimi Abdul Rahman, 53. Tempoh seminggu yang dibekalkan untuk memantau keadaan anaknya Alexander Zulkarnain dirasakan amat singkat.

Alexander yang baru memasuki pengajian darjah satu masih lagi kekok dengan kondisi sekeliling berikutan pengalaman berkomunikasi yang berbeza berbanding pembelajarannya di tadika Montessori sebelum ini.

“Konsep pembelajaran di sekolah rendah dan tadika sangat berbeza maka perhatian lebih, perlu diberikan kepadanya dalam usaha membiasakan diri dengan persekitaran baru,” tambahnya yang turut menemani anak lelakinya menjamu selera di kantin sekolah.

Figura yang terkenal dengan alunan lagu Isabella itu tidak menolak sistem pendidikan yang diberikan di sekolah harian biasa, malah tidak membandingkan kualitinya dengan sekolah swasta.

Jerih perih bapa solo

Berdepan dengan situasi baru di alam persekolahan antara momen sukar buat bapa solo, Zamri Malik, 39, yang pada masa sama teruja dengan kedatangan tahun baru bersama anaknya, Luth Mikael.

Walaupun baru memasuki darjah satu, Luth hampir berjaya menyelesakan diri dengan alam pembelajaran yang menggunakan bahasa Melayu sebagai pengantar.

“Anak saya sering dididik dengan perbualan dalam bahasa Inggeris, maka tugas saya semakin berat untuk membiasakannya berinteraksi dalam bahasa kebangsaan selain belajar berdikari apatah lagi apabila berdepan dengan rakan persekolahan lain yang bertutur dalam bahasa Melayu,” ujar perunding di sebuah syarikat multinasional negara ini.




Keterujaan Zamri menempuh hari pertama persekolahan anaknya memaksa diri serba resah sehingga mengundang insomnia pada diri melewati larut malam.

“Memang sukar! Banyak perkara perlu difikir dan disediakan, mujurlah semua kelengkapan Luth dibeli sejak awal cuti persekolahan lagi,” ceritanya dalam nada sebak mengimbau kenangan dihantar ayahnya ketika mula bersekolah pada tahun 70-an.

Ruang waktu yang diperuntukkan untuk anaknya selama tiga hari akan dipraktikkan sepenuhnya memberi layanan teristimewa selain menyelesaikan semua kelengkapan logistik bagi memudahkan urusan mereka berdua pada hari mendatang.

“Saya akui terlebih memberi perhatian terhadap Luth, tambahan lagi selepas penceraian saya dengan bekas isteri dua tahun lalu tapi tidak bermakna saya terlalu manjakannya,” tegasnya menyambung bicara.

Sementara itu, pertembungan jadual kerja pasangan ibu dan bapa pada ketika yang sama bersama tanggungjawab untuk meluangkan masa dengan anak yang dipikul di pundak bukan menjadi isu besar bagi seorang anggota polis, Zabidi Ahmad, 43.

Kelebihannya menetap di kediaman yang hampir dengan kawasan sekolah menyenangkan tugasnya berdampingan dengan anak keduanya, Ain Qaisara yang kini baru berusia tujuh tahun.

“Oleh kerana isteri saya perlu ke sekolah untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai guru, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk sama-sama mencurahkan kasih sayang kepada mereka berdua,” getus bapa kepada Ain Qistina, 12, yang menuntut di sekolah yang sama dengan adiknya.

Asam garam strata keluarga

M. Muniandy, 37, yang dilanda kekalutan setiap kali tibanya musim persekolahan tidak ketinggalan menemani hari-hari awal persekolahan permata hatinya, M. Devisri walaupun kini sudah pun melangkah ke tahun dua.

Memasang hajat melihat anak sulungnya itu berjaya dalam kehidupan, Muniandy tidak jemu memberikan nasihat sepanjang masa.


KASIH sayang seorang bapa juga terbukti apabila sanggup menemani anak seharian walaupun hanya berdiri di tepi kelas.


“Kekurangan yang dihadapi keluarga bukan alasan untuk tidak menyediakan pendidikan terbaik untuk anak-anak walau segalanya sekadar bersederhana,” katanya yang turut ditemani anak bongsunya, M. Vishnusri yang baru berumur empat tahun.

Berbeza pula persiapan keluarga jutawan Internet terkenal, Noor Irfan Khairi, 34, yang tidak menantikan saat terakhir menyediakan kelengkapan untuk dua orang anaknya Ilham Abadi, sembilan tahun dan Kasih Abadi, tujuh tahun.

Kesungguhan Noor Irfan memberikan tumpuan penuh terhadap keluarga terbukti apabila sanggup meletakkan kerjayanya ke tepi seketika dan menemani hari-hari awal persekolahan kedua-dua orang anaknya itu.

“Setiap ketua mahukan yang terbaik buat keluarga yang disayangi begitu juga saya yang ingin memastikan anak-anak memperoleh input yang bermanfaat,” katanya tanpa lokek melontar nasihat.

Optimis dengan sistem pendidikan negara, tugas membentuk anak-anak diletakkan di tangan guru-guru berdedikasi.

“Saya yakin dengan komitmen warga pendidik institusi pendidikan negara dan sebab itulah saya menyandarkan tanggungjawab yang dipikul untuk mengajar anak-anak saya ilmu yang tidak diperoleh dari rumah,” katanya menguntum senyum di wajah.


Kosmo!




Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...