Photobucket

Sahabat Maya :

Sunday, June 26, 2011

Atlet Matematik



Pakar Matematik bertaraf dunia



UMURNYA baru 29 tahun tetapi pencapaian dalam bidang matematik sangat mengagumkan. Dengan penampilannya yang besederhana, pasti ramai yang tidak menyangka Mohd. Suhaimi Ramly ialah seorang pakar matematik bertaraf dunia.

Bermula sebagai wakil negara dalam Pertandingan Matematik Olimpiad Antarabangsa (IMO) di Romania ketika berusia 16 tahun, Suhaimi kini bergelar pakar matematik bertaraf dunia.

Walaupun penyertaan kali pertamanya pada tahun 1999 itu tidak membuahkan hasil, ia tetap dianggap pengalaman bernilai yang memacu minatnya untuk berusaha lebih gigih.

“Sebelum ke IMO, saya menyertai Olimpiad Matematik Kebangsaan (OMK) dan pernah meraih anugerah juara pada 1998 dan 2000.

“Ia keputusan yang tidak dijangka kerana saya memasuki OMK tanpa sebarang latihan. Selepas itu, barulah saya ditawarkan untuk berlatih bersama Prof. Abu Osman dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mewakili negara,” ujar bekas penuntut Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Jasin, Melaka ini.

Pingat pertama negara

Kerja kerasnya berbaloi apabila terpilih sekali lagi untuk mewakili negara dalam pertandingan sama pada tahun berikutnya. Kali ini, dewan besar di Korea Selatan menjadi medan perjuangan Suhaimi.

“Alhamdulillah, saya berjaya membawa pulang pingat gangsa untuk negara. Ia adalah pingat pertama untuk Malaysia sejak menyertai pertandingan berprestij tersebut sejak tahun 1995,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini di pejabatnya di Setapak, Kuala Lumpur.

Tahun berikutnya, dia sekali lagi dipilih mewakili negara ke pertandingan sama. Kali ini, Suhaimi dan enam orang rakan terbang ke Amerika Syarikat (AS) untuk menduduki peperiksaan IMO. Dengan mendapat satu jawapan betul, dia layak menerima Sijil Sanjungan Terhormat.

“IMO adalah satu pertandingan matematik bertaraf dunia untuk pelajar sekolah menengah. Lebih 100 negara mengambil bahagian dengan setiap negara menghantar enam orang wakil.

“Pertandingan ini tiada kategori. Lebih 500 pelajar pintar matematik dari seluruh dunia akan duduk dalam satu dewan besar untuk menjawab peperiksaan. Had umur yang ditetapkan ialah bawah 20 tahun dan belum memasuki universiti.

“Semua peserta tidak kira yang berusia 13 tahun hingga 20 tahun akan duduk dalam satu dewan dan menjawab soalan yang sama.


KURANG mendapat latihan semasa zamannya mewakili negara, kini Suhaimi nekad membantu para peserta dengan melatih mereka secara intensif.

“Ia berlangsung selama dua hari. Untuk hari pertama, peserta akan diberikan tiga soalan dan perlu menyelesaikannya dalam tempoh empat jam setengah. Rutin yang sama juga ditempuh untuk hari kedua.

“Mungkin ramai yang pelik, kenapa hanya tiga soalan dan mengapa ia perlu mengambil masa hingga empat jam setengah.

“Berdasarkan pengalaman terdahulu, masa yang diberikan itu tidak cukup kerana soalan-soalan yang diberikan amat sukar.

“Soalan itu sebenarnya direka oleh pakar-pakar matematik dan profesor dalam bidang ini dari seluruh dunia,” ujar graduan matematik dari Massachusetts Institute Of Technology (MIT) ini.

Gugup

Mengimbau pengalamannya bertanding di peringkat dunia, Suhaimi akui dia tidak dapat lari daripada perasaan gugup dan gementar terutamanya ketika kali pertama dia mewakili negara.

“Saya masih ingat lagi bila saya mendapat kertas soalan, saya hanya pandang soalan berjam-jam lamanya. Soalannya terlalu sukar sehinggakan saya tidak tahu dari mana saya harus mula menjawab.

“Sedar-sedar masa sudah tinggal setengah jam dan dalam masa yang terlalu singkat itu tidak banyak yang mampu saya lakukan,” kenangnya yang suka mengisi masa lapang dengan menyelesaikan soalan matematik.

Katanya lagi, minat terhadap subjek kira-kira itu bercambah ketika belajar di tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Gombak, Suhaimi sangat berterima kasih kepada guru matematiknya ketika itu, Cikgu Chiu Kam Choon.

“Beliau adalah insan yang membuatkan saya jatuh cinta pada matematik. Bagi saya, pengajarannya sangat berkesan dan sejak itu saya tidak lagi menganggap subjek mengira ini susah,” ujarnya yang kini menjadi Ketua Jurulatih Negara untuk IMO.

Julai depan, Suhaimi akan mengetuai pasukan negara bersama enam orang peserta untuk mengikuti IMO di Amsterdam, Belanda. Kali ini, dua peserta berusia 15 tahun turut terpilih mewakili negara ke pertandingan tersebut.

Selain dibiayai oleh Kementerian Pelajaran, badan korporat ExxonMobil turut sama menaja kumpulan Malaysia ke IMO.

“Para peserta perlu menjalani latihan intensif selama sekurang-kurangnya 250 jam sebelum layak memasuki IMO. Walaupun yang mendaftar itu semunya sering mendapat markah tertinggi dalam subjek ini, mereka perlu kuat berusaha dan berlatih sekurang-kurangnya empat jam sehari.


KONGSI rahsia. Pesara ini optimis teknik ciptaannya dapat membantu pelajar sekolah menguasai matematik dengan lebih mudah.

“Di bawah Persatuan Sains Matematik Malaysia (Persama), kami juga mempunyai sekumpulan jurulatih yang terdiri daripada pensyarah dan profesor matematik tempatan, diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa IMO Malaysia yang juga Timbalan Presiden Persama, Prof. Dr. Arsmah Ibrahim dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Daripada sesi latihan dan ujian berperingkat yang dijalankan selama setahun, baru kita dapat kenal pasti enam peserta terbaik untuk mewakili negara.

“Asas pemilihan juga tidak bergantung sepenuhnya kepada kebijakan mereka menjawab soalan tetapi turut meliputi pemikiran kritis dan kreativiti mereka menyelesaikan masalah yang diberikan,” katanya yang turut menulis buku khas mengenai asas matematik bagi pertandingan Olimpiad bertujuan memudahkan guru dan pelajar membuat rujukan. Antara topik yang telah diterbitkan ialah Algebra, Kombinatoriks, Teori Nombor dan Geometri.

Selain bertanggungjawab menjadi ketua kontinjen negara, Suhaimi juga merupakan juri antarabangsa termuda yang turut serta menyediakan soalan dan menanda kertas peperiksaan pada pertandingan matematik bertaraf dunia itu.

“Tahun lepas Malaysia telah memenangi pingat perak di IMO. Kalau boleh, tahun ini kita mahu pingat emas,” ungkapnya.

Strok

Jika bakat Suhaimi digilap menerusi pertandingan IMO, lain pula ceritanya dengan Jaludin Meran, 67.

Minat yang mendalam terhadap mata pelajaran Matematik sejak di bangku sekolah telah mendorong pesara ini mencipta cara mudah untuk menguasai matematik.

Menariknya, dia mencipta kejayaan itu semasa menderita penyakit angin ahmar pada 2008.

“Semasa sakit, saya cuba mencari jalan bagaimana untuk menyelesaikan masalah pengiraan dan menguasai asas nombor kerana saya percaya ia dapat membantu saya pulih," katanya yang pernah berkhidmat sebagai Pengawal Trafik Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia selama 12 tahun.

Mengambil masa setahun setengah untuk mencipta cara mudah menguasai matematik, Jaludin banyak menggunakan kiraan dari sebelah kiri selain menghafal menggunakan kod abjad.

“Jika kaedah ini dipraktikkan, saya boleh jamin, pelajar tingkatan lima boleh mendapat A dalam subjek Matematik. Selain pengiraan lebih mudah, pelajar hanya perlu mengunakan jalan mudah untuk menyelesaikan soalan walaupun melibatkan angka yang besar,” katanya yang turut merangkumkan kaedah mudah tersebut menerusi penulisannya dalam buku setebal 110 halaman yang bertajuk Be A Math Genius In 10 Days.

Jaludin juga mencipta kaedah unik untuk mengingati kalendar.

“Dengan kaedah ini saya boleh ingat tarikh dan hari dengan tepat untuk tempoh 300 tahun,” katanya.

















Teruskan membaca..

Masih Ada Masa Untuk: MENULIS SURAT 1MALAYSIA



PERTANDINGAN MENULIS SURAT 1MALAYSIA


Anjuran Pos Malaysia



"Bayangkan anda

seorang pejuang kemerdekaan Malaysia.

Tulis sepucuk surat yang menceritakan

pengalaman dan harapan anda

kepada rakyat malaysia."



Tarikh tutup penyertaan : 30 JUN 2011






Contoh memulakan karangan ada diberikan dan ianya adalah

sepertimana berikut:



Kepada rakyat Malaysia yang dikasihi,


PENGALAMAN SAYA SEBAGAI PEJUANG KEMERDEKAAN DAN HARAPAN SAYA KEPADA RAKYAT MALAYSIA....



Kelayakan Penyertaan

Pertandingan ini dibahagikan kepada dua kategori, dan ianya juga terkandung di dalam keterangan 'Kelayakan Penyertaan';

KATEGORI A
Para pelajar sekolah rendah Tahun 1 hingga Tahun 6

KATEGORI B
Para pelajar sekolah menengah Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5

Kelayakan untuk menyertai juga termasuk dua perkara sebagaimana berikutnya;

1. Para pelajar yang ingin menyertai juga dikehendaki membeli setem berharga RM0.80 untuk ditampalkannya di Perkara 2 (
berikutnya), dan

2. Sepucuk sampul surat kosong bersaiz A4 (210mm x 297mm - Rujukan: ISO Paper Sizes) dengan beralamat sendiri untuk pihak penganjur mengirimkan sijil penyertaan.


Pertandingan Menulis Surat 1Malaysia; 1 Mei Hingga 30 Jun 2011: Anjuran bersama : Kementerian Penerangan Kounikasi & Kebudayaan, Kementerian Pelajaran Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia, dan Pos Malaysia



TEKS BERPAUTAN AKTIF KE LAMAN WEB RESMI, MASING-MASING


Kementerian Penerangan Komunikasi & KebudayaanKementerian Pendidikan Malaysia
Suruhanjaya Komunikasi & MultimediaPos Malaysia













Teruskan membaca..

Di Atas Runtuhan Kota Melaka



Di Atas Runtuhan Kota Melaka

Di Bawah Lindungan Kaabah

Di Bawah Lindungan Kaabah

Di Dalam Lembah Kehidupan

Falsafah Hidup


Di atas runtuhan Melaka lama

Penyair termenung seorang diri

Ingat Melayu kala jayanya

Pusat kebesaran nenek bahari



Di atas munggu yang ketinggian
Penyair duduk termenung seorang
Jauh pandangku ke pantai sana
Ombak memecah di atas karang


Awan berarak mentilau bernyanyi
Murai berkicau bayu merayu
Kenang melayang ke alam sunyi
Teringat zaman yang lama lalu


Sunyi dan sepi, hening dan lingau
Melambai sukma melenyai tulang
Arwah Hang Tuah rasa menghimbau
Menyeru umat tunduk ke Tuhan


Di sini dahulu alat kebesaran
Adat resam teguh berdiri
Duduk semayam Yang Dipertuan
Melimpahkan hukum segenap negeri


Di sini dahulu Laksamana Hang Tuah
Satria moyang Melayu jati
Jaya perkasa, gagah dan mewah
‘Tidak Melayu hilang di bumi’


Di sini dahulu payung terkembang
Megah Bendahara Seri Maharaja
Bendahara yang cerdik tumpuan dagang
Lubuk budi laut bicara


Penyair menghadap ke laut lepas
Selat Melaka tenang terbentang
Awan berarak riak menghempas
Mentari turun rembanglah petang


Wahai tuan Selat Melaka
Mengapa tuan berdiam diri?
Tidakkah tahu untung hamba
Hamba musafir datang ke mari


Di mana Daulat Yang Dipertuan
Mana Hang Tuah, mana Hang Jebat
Mana Bendahara johan pahlawan
Bukankah jelas di dalam babad


Namanya tetap jadi sebutan
Bekasnya hilang payah mencari
Sedikit penyair bertemu kesan
Musnah dalam gulungan hari


Mengapa ini bekas yang tinggal
Umat yang lemah terkatung-katung
Hidup menumpang tanah terjual
Larat wahai larat dipukul untung


Adakah ini bekas peninggalan
Belahan diriku umat Melayu
Lemah dan lungai tiada karuan
Laksana bunga terkulai layu


Jauh di darat penyair melihat
Gunung Ledang duduk termangu
Tinggi menjulang hijau dan dahsyat
Hiasan hikayat nenekku dahulu


Di dalam kuasyik merenung gunung
Di dalam kemilau panas kan petang
Tengah khayal dirundung menung
Rasanya ada orang yang datang


Penyair hanya duduk sendiri
Tapi keliling rasanya ramai
Bulu romaku rasa berdiri
Berubah warna alam yang permai


Ada rasanya bisikan sayu
Hembusan angin di Gunung Ledang
Entah puteri datang merayu
Padahal beta bukan meminang


Bukanlah hamba Sultan Melaka
Jambatan emas tak ada padaku
Kekayaanku hanya syair seloka
Hanya nyanyian untuk bangsaku


Justeru terdengar puteri berkata
Suaranya halus masuk ke sukma
Maksudmu tuan sudahlah nyata
Hendak mengenang riwayat yang lama


Bukan kuminta jambatan emas
Tapi nasihat hendak kuberi
Kenang-kenangan zaman yang lepas
Iktibar cucu kemudian hari


Sebelum engkau mengambil simpulan
Sebelum Portugis engkau kutuki
Inggeris Belanda engkau cemarkan
Ketahui dahulu salah sendiri


Sultan Mahmud Shah mula pertama
Meminang diriku ke Gunung Ledang
Segala pintaku baginda terima
Darah semangkuk takut menuang


Adakan cita akan tercapai
Adakan hasil yang diingini
Jika berbalik sebelum sampai
Mengorbankan darah tiada berani


Apalah daya Datuk Bendahara
Jikalau Sultan hanya tualang
Memikir diri seorang sahaja
Tidak mengingat rakyat yang malang


Sultan Ahmad Shah apalah akalnya
Walaupun baginda inginkan syahid
Mualim Makhdum lemah imannya
‘Di sini bukan tempat Tauhid’


Bendahara Tua Paduka Raja
Walaupun ingin mati berjuang
Bersama hilang dengan Melaka
Anak cucunya hendak lari pulang


Berapa pula penjual negeri
Mengharap emas perak bertimba
Untuk keuntungan diri sendiri
Biarlah bangsa menjadi hamba


Ini sebabnya umat akan jatuh
Baik dahulu atau sekarang
Inilah sebab kakinya lumpuh
Menjadi budak belian orang


Sakitnya bangsa bukan di luar
Tetapi terhunjam di dalam nyawa
Walau diubat walau ditawar
Semangat hancur apalah daya


Janjian Tuhan sudah tajalli
Mulialah umat yang teguh iman
Allah tak pernah mungkirkan janji
Tarikh riwayat jadi pedoman


Tidaklah Allah mengubah untung
Suatu kaum dalam dunia
Jika hanya duduk terkatung
Berpeluk lutut berputus asa


Malang dan mujur nasibnya bangsa
Turun dan naik silih berganti
Terhenyak lemah naik perkasa
Bergantung atas usaha sendiri


Riwayat yang lama tutuplah sudah
Apalah guna lama terharu
Baik berhenti bermenung gundah
Sekarang dibuka lembaran baru


Habis sudah madahnya puteri
Ia pun ghaib capal pun hilang
Tinggal penyair seorang diri
Di hadapan cahaya jelas membentang


Pantai Melaka kulihat riang
Nampaklah ombak kejar-mengejar
Bangunlah Tuan belahanku sayang
Seluruh Timur sudahlah besar


Bercermin pada sejarah moyang
Kita sekarang mengubah nasib
Di zaman susah atau pun riang
Tolong tetap dari Yang Ghaib


Bangunlah kasih, umat Melayu
Belahan asal satu turunan
Bercampur darah dari dahulu
Persamaan nasib jadi kenangan


Semangat yang lemah dibuang jauh
Jiwa yang kecil kita besarkan
Yakin percaya, iman pun teguh
Zaman hadapan, penuh harapan


Bukanlah kecil golongan tuan
Tujuh puluh juta Indonesia
Bukan sedikit kita berteman
Sudahlah bangun bumi Asia


Kutarik nafas, kukumpul ingatan
Aku pun tegak dari renungku
Jalan yang jauh aku teruskan
Melukis riwayat sifat hidupku


Kota Melaka tinggallah sayang
Beta nak balik ke Pulau Percha
Walau terpisah engkau sekarang
Lambat launnya kembali pula
Walaupun luas watan terbentang
Danau Maninjau terkenang jua



~ Hamka ~










Almarhum Haji Abdul Malik Bin Haji Abdul Karim Amarullah atau dikenali sebagai Prof. Dr Hamka adalah ulama besar Nusantara yang sangat terkenal.






Beliau berasal dari tanah Minangkabau yang mempunyai pertalian dengan masyarakat adat perpatih di Negeri Sembilan.




Pak Hamka atau Buya Hamka adalah nama istimewa yang mempunyai nilai tersendiri di persada perkembangan Islam dan dunia kesusasteraan nusantara. Hamka dari singkatan nama Haji Abdul Malik bin Haji Abdul Karim. Almarhum dilahirkan di Kampung Tanah Sirah ( ada riwayat lain mengatakan di Kampung Molek), Negeri Sungai Batang Maninjau, Minangkabau pada 14 Muharram 1326H bersamaan 17 Febuari 1908.


Bapanya Haji Abdul Karim Amrullah adalah ulama terkenal Minangkabau yang tersohor dan dianggap pula pembawa reformasi Islam ( kaum muda). Menariknya pula, datuk beliau adalah ulama tarekat yang bersuluk terkenal. Tuan Kisa-i ( datuk Hamka) tetap mengamal Thariqat Naqsyabandiyah, istiqamah mengikut Mazhab Syafie. Pemahaman Islam Tuan Kisa-i sama dengan pegangan ‘Kaum Tua’, tetapi pada zaman beliau istilah ‘Kaum Tua’ dan ‘Kaum Muda’ belum tersebar luas.



Anak beliau, Syeikh Haji Abdul Karim Amrullah, adalah seorang pelopor dan termasuk tokoh besar dalam perjuangan ‘Kaum Muda’. Syeikh Haji Abdul Karim Amrullah menolak amalan Thariqat Naqsyabandiyah, sekali gus menolak ikatan ‘taqlid’, tetapi lebih cenderung kepada pemikiran Syeikh Muhammad Abduh. Manakala ibunya pula bernama Siti Safiyah Binti Gelanggar yang bergelar Bagindo nan Batuah.



Menurut sejarahnya, bapa beliau pernah dibuang daerah oleh penjajah Belanda ke Sukabumi dalam tahun 1941 lantaran fatwa beliau yang dianggap membahayakan penjajah dan keselamatan umum. Haji Abdul Karim adalah tuan guru kepada Sheikh Haji Ahmad Jelebu[1] yang riwayat hidupnya turut disajikan dalam koleksi ini. Beliau meninggal dunia pada 21 Jun 1945.




Pendidikan




Hamka mendapat pendidikan awal agama dari Madrasah Tawalib yang didirikan oleh bapanya. Masa kecilnya, seperti kanak-kanak lain beliau juga dikatakan lasak dan nakal. Ini diceritakan sendiri oleh Sheikh Haji Ahmad Jelebu bahawa Hamka pernah menyimbah air kepada penuntut lain semasa mengambil wuduk. Selepas itu beliau berguru pula kepada Sheikh Ibrahim Musa di Bukit Tinggi. Dalam tahun 1924, Hamka berhijrah ke Jawa sempat menuntut pula kepada pemimpin gerakan Islam Indonesia seperti Haji Omar Said Chakraminoto. Lain-lain gurunya ialah Haji Fakharudin, Ki Bagus, Hadi Kesumo dan iparnya sendiri Rashid Sultan Mansur.




Kerjaya Hidup




Hamka telah menyertai Gerakan Muhamadiah dan menerajui kepimpinan pertubuhan itu di Padang Panjang tahun 1928. Hamka bergiat aktif bagi menentang gejala khurafat, bidaah dan kebatinan sesat di sana. Beliau menubuhkan Madrasah Mubalighin pada 1929 dan dua berikutnya, Pak Hamka berpindah pula ke Kota Makasar, Sulawesi untuk menjadi pimpinan Muhamadiah.



Keilmuan dan ketokohan yang ada pada beliau mendorong beberapa buah universiti mengambilnya sebagai pensyarah dalam bidang agama dan falsafah. Antara universiti itu ialah Universiti Islam Jakarta, Universiti Mohamadiah Sumatera Barat, Universiti Islam Pemerintah di Jogjakarta dan Universiti Islam Makasar. Bagi mengiktiraf keilmuannya, Universiti Al Azhar, Mesir telah menganugerahkan Doktor Kehormat dalam tahun 1958 dan beliau turut menerima ijazah Doktor Persuratan UKM pada 7 Jun 1974.



Novel-novel dan kitab-kitab



Keistimewaan Pak Hamka ialah kebolehannya menulis novel dan menghasilkan kitab-kitab agama yang terkenal. Berikut ialah beberapa buah buku karangan tersebut:



a. Novel



Tenggelamnya Kapal Vanderwick
Dalam Lembah kehidupan
Di Bawah Lindungan Kaabah
Kenangan Hidup
Merantau Ke Deli
Ayahku
Laila Majnun
Siti Sabariah



b. Kitab Agama dan Falsafah



Tafsir Al Azhar ( 30 Juz)
Khatib Ul Ummah ( 1925)
Tarikh Abu Bakar As Sidiq
Ringkasan Tarikh Umat Islam
Islam dan Adat Minangkabau
Tasawuf Moden
Falsafah Hidup
Lembaga Hidup
Lembaga Budi



c. Majalah



Kemahuan Zaman ( 1929)
Al Mahdi ( 1933)
Pendoman Masyarakat ( 1936 – 1942)
Semangat Islam ( 1944- 1948)
Menara ( 1946-1948)
Panji Masyarakat ( 1959)











Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...