Photobucket

Sahabat Maya :

Saturday, November 19, 2011

Empat tahap pendidikan jadi anak salih.




Khutbah Jumaat:

Rasulullah saw

garis

empat tahap pendidikan

jadi anak salih.



ANAK anugerah dan nikmat terbesar
daripada Allah SWT kepada hamba-Nya.
Mutiara hati bagi pasangan ibu bapa ini
akan menjadi saham dan membawa keuntungan
berlipat ganda jika mereka dididik dan dibentuk
dengan baik serta menjadi anak yang soleh.



Sebaliknya, jika mereka diabaikan
tidak mustahil akan menjadi anak
yang terbiar dan pada masa depan
menjadi sampah kepada masyarakat
serta negara. Justeru,
memiliki anak yang salih serta
baik budi pekerti menjadi impian
setiap ibu bapa dan keluarga.
Contohnya, kisah Nabi Zakaria
yang sudah lanjut usia tetapi
belum dikurniakan anak untuk menjadi
pewaris keturunannya.
Lalu Nabi Zakaria memohon
dengan berdoa kepada Allah SWT
supaya dikurniakan anak yang soleh.



Firman Allah SWT yang bermaksud:




“Ketika itu Nabi Zakaria berdoa
kepada Tuhan-Nya, katanya:
Wahai Tuhanku!
Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu
zuriat keturunan yang baik;
sesungguhnya Engkau sentiasa
Mendengar (menerima) doa permohonan.”
(Surah Ali-Imran, ayat 38)
.



Anak kita sebenarnya dilahirkan
dalam keadaan fitrah,
ibarat sehelai kain putih
yang suci lagi bersih daripada sebarang
kekotoran zahir ataupun batin.
Maka, menjadi tanggungjawab ibu bapa
untuk mencorakkan mereka menjadi insan
berjaya ataupun tidak.




Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:



“Apabila mati seseorang anak Adam,
maka terputuslah segala amalannya
kecuali tiga perkara,
sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat
dan anak soleh yang mendoakan.”
(Hadis riwayat iman Muslim)
.



Menurut Islam memberi pendidikan kepada anak
hendaklah dimulakan sejak awal lagi
kerana pada usia sebegini segala nilai
yang ditanamkan akan tersemat
dalam hati sanubari mereka.




Ibnu Sina berpesan, katanya:



“Ketika anak telah mendapat asuhan ibunya,
maka ajarkanlah ia adab Islam
sebelum ia diserang oleh
nilai yang buruk.”





Rasulullah SAW menggariskan
empat tahap pendidikan kepada anak
iaitu anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (enam tahun)
hendaklah kita banyak bergurau dan membelai mereka
dengan penuh kasih sayang.




Tahap Kedua,
anak berumur tujuh tahun sehingga baligh (14 tahun)

hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan,
disiplin dan memberi tanggungjawab.





Tahap ketiga (15 hingga 21 tahun)
hendaklah dididik dengan cara berkawan,
bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka
selagi tidak bertentangan syariat.




Tahap keempat (usia lebih 21 tahun),
hendaklah ibu bapa memberikan kebebasan bertindak
selagi tidak bertentangan syariat.
Ibu bapa hanya perlu bertindak sebagai
penasihat supaya segala tindakan mereka terkawal.




Ibnu Khaldun membahagikan
tujuan pendidikan kepada anak dalam tiga bentuk
iaitu mempersiapkan anak dari segi
keagamaan, akhlak dan pemikiran.




Ibu bapa tidak boleh mengambil sikap lepas tangan.
Jangan beranggapan kita sudah menunaikan kewajipan
dan hak anak apabila mereka dihantar ke sekolah.




Ingatlah tanggungjawab kita
bukan hanya memastikan mereka hidup
tetapi memastikan mereka mempunyai prinsip teguh
dan jati diri yang kuat.




Oleh itu,
pendidikan agama serta menyemai akhlak mulia
penting untuk membantu mereka berdepan
cabaran masa akan datang.
Tanpa prinsip ini ditakuti anak kita
mudah terpengaruh pelbagai pemikiran hingga
sanggup menggadai prinsip kehidupan mereka.




Memelihara anggota keluarga
daripada ancaman neraka tidak bererti
mencegah mereka daripada maksiat.
Kita juga mesti bersikap aktif mendidik
dan menerapkan nilai murni dalam diri mereka
sebagai kubu yang dapat menepis
serta menapis pengaruh sekitar
yang penuh mencabar.




Cuti sekolah sudah bermula
dan ibu bapa hendaklah
mengambil peluang ini
mengatur program bermanfaat
buat anak seperti menghadiri kem ibadah
serta motivasi yang dianjurkan pelbagai pihak.
Rancanglah sesuatu supaya cuti sekolah
dimanfaatkan sebaiknya.




Jangan biarkan mereka sendiri
yang menguruskan masa cuti
tanpa sebarang pemantauan atau panduan
kerana mutiara hati ini
sebahagian daripada amanah Allah SWT
yang akan dipersoalkan di akhirat nanti.




Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia











Teruskan membaca..

Tuanku Mizan rasmi Jambori Malaysia Ke-12



Tuanku Mizan rasmi Jambori Malaysia Ke-12


Tuanku Mizan Zainal Abidin menerima anugerah Bintang Tunas Kencana daripada Pengerusi Gerakan Pramuka Indonesia, Prof. Dr. Azrul Azwar (kiri) di Kuala Terengganu, semalam. – BERNAMA


KUALA TERENGGANU 18 Nov. – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berangkat merasmikan Jambori Malaysia Ke-12 dan Jambori Antarabangsa Negeri Terengganu 2011 di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail di sini, hari ini.



Ketibaan Seri Paduka disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Ketua Pengakap Negara, Datuk Seri Dr. Shafie Mohd. Salleh.



Sejurus selepas perasmian, Tuanku Mizan menandatangani plak pengisytiharan penubuhan Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail yang sebelum ini dikenali sebagai Kem Pengakap Telaga Batin dan berkenan melancarkan Syiling Peringatan Pengakap 100 Tahun di Malaysia.



Jambori selama lapan hari bermula semalam itu disertai 10,800 pengakap dari seluruh negara dan juga 800 pengakap dari 15 negara dari seluruh dunia.



Bertemakan ‘Menjelajah Warisan’, pelbagai kegiatan diadakan termasuk kembara bandar, aktiviti lasak dan aktiviti air.






Teruskan membaca..

Usaha teruskan momentum kecemerlangan







Usaha teruskan momentum kecemerlangan




TAHNIAH diucapkan kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan semalam. Kepada yang kurang berjaya, diharapkan tidak berputus asa dan gandakan usaha pada masa depan.



Perjalanan masih jauh dan banyak lagi peringkat pengajian yang bakal ditempuhi sebelum dapat menggapai impian dan cita-cita. UPSR hanyalah satu penilaian sumatif terhadap segala dipelajari sepanjang berada pada peringkat sekolah rendah. Kejayaan dalam peperiksaan itu dapat menentukan di mana pelajar dapat menyambung pengajian menengah sama ada di sekolah berasrama penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), sekolah menengah harian biasa atau sebagainya.





Bagaimanapun apa yang paling penting kesinambungan kecemerlangan yang diperoleh diteruskan pada peringkat menengah yang lebih mencabar. Momentum kecemerlangan semasa di sekolah rendah perlu dikekalkan dan dipertingkatkan ketika berada di sekolah menengah. Pada Mei lalu, sempena sambutan hari guru tahun ini, saya berkesempatan mengikuti satu rancangan bual bicara di televisyen yang seorang panelnya ialah seorang guru besar di sebuah sekolah rendah cemerlang di pedalaman Sarawak yang juga adalah sekolah kluster.
Guru besar itu melahirkan kebimbangan apabila ada sebilangan pelajar yang mereka ‘jaga’ ibarat menatang minyak yang penuh sehingga mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR tidak dapat mengekalkan rentak kecemerlangan apabila melanjutkan pelajaran pada peringkat sekolah menengah. Alangkah sayangnya kejayaan yang berputik tidak berterusan. Justeru, kepada pelajar, hargailah jasa guru.




Ingatlah pengorbanan mereka mendidik anda khususnya untuk menjadikan anda berjaya dalam pelajaran. Ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam memastikan kesinambungan kejayaan anak pada peringkat selanjutnya. Sokongan harus dipertingkatkan dan usah kecewa sekiranya anak-anak gagal atau kurang berjaya dalam UPSR kerana UPSR bukanlah penentu masa depan. Kata-kata dorongan perlu berterusan agar anak-anak tidak putus asa. Rakan sebaya juga adalah faktor utama untuk memastikan kesinambungan kecemerlangan pada peringkat sekolah menengah.




Pelajar yang melanjutkan pengajian di SBP, MRSM ataupun sekolah berasrama mungkin akan lebih berdisiplin kerana perlu mengikuti peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah di samping banyak kemudahan lain yang disediakan untuk memastikan kecemerlangan pelajar. Langkah kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melonggarkan syarat kemasukan ke SBP untuk pelajar kawasan luar bandar yang cemerlang dalam UPSR adalah langkah yang sangat wajar.




Masalah yang mungkin akan timbul ialah apabila pelajar menyambung pelajaran di sekolah menengah harian biasa yang mana kehidupan mereka lebih bebas. Kebiasaannya apabila berada di sekolah menengah harian, mereka akan menemui rakan baru dari kawasan berdekatan. Justeru di sini pelajar perlu bijak memilih rakan sebaya.




Banyak kajian menunjukkan pengaruh rakan sebaya adalah faktor utama pelajar terbabit dalam kancah gejala sosial. Tambah lagi dalam umur yang sedang meningkat, mereka mudah dipengaruhi untuk mencuba sesuatu yang baru. Oleh yang demikian, pelajar yang bakal memulakan pengajian peringkat menengah, semuanya terletak di tangan anda kerana andalah yang bakal menentukan masa depan anda. Jangan jadikan kejayaan dalam UPSR sia-sia sebaliknya jadikan ia titik permulaan kepada kejayaan yang seterusnya.




ABDUL HALIM ABDULLAH,
Jabatan Pendidikan Sains dan Matematik,
Fakulti Pendidikan,

Universiti Teknologi Malaysia,

Skudai, Johor.










Teruskan membaca..

Sembilan tahun berturut- turut...

SKBU 2 paling ramai calon dapat 5A


SeBAHAGIAN 83 murid yang mendapat 5A bersorak gembira
setelah menerima keputusan UPSR 2011 di SK Bandar Uda 2, Johor Bahru
, kelmarin.


JOHOR BAHRU 18 Nov. -


Sekolah Kebangsaan Bandar Uda (SKBU 2) yang merupakan sekolah berprestasi tinggi (SBT) muncul sekolah mempunyai calon paling ramai mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di negeri ini untuk tempoh sembilan tahun berturut- turut.




Guru Besar SKBU 2, Fuziah Hassan berkata, seramai 83 daripada 263 murid tahun enam yang menduduki peperiksaan itu mencatatkan keputusan cemerlang UPSR.




"Kejayaan yang diperolehi hasil usaha gigih dan komitmen calon, seluruh warga sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan padu demi kejayaan anak-anak.




"Secara jujur saya katakan walaupun jumlah 5A tertinggi di negeri ini namun kami masih tidak berpuas hati dengan pencapaian yang diperoleh kerana jika dibandingkan tahun lalu jumlah mendapat 5A ialah 91 orang dan pada 2009 seramai 105 orang," katanya pada majlis pengumuman keputusan UPSR di sekolah itu semalam.




Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Puteri, Adam Sumiru dan Yang Dipertua PIBG SKBU 2, Zarin Saniman.




Jelas Fuziah, mulai bulan ini pihaknya akan menyasarkan murid tahun lima dengan perhatian khusus agar persediaan dibuat dari sekarang demi mencapai penanda aras 120 murid mendapat 5A.




Sementara itu Adam ketika berucap pada majlis itu mahukan kecemerlangan yang dicapai oleh sekolah tersebut wajar dipertingkatkan kerana ia sedikit sebanyak menyuntik semangat ibu bapa dan masyarakat setempat.




"Semangat kerjasama dan hubungan harmoni antara warga sekolah khususnya guru, murid dan ibu bapa harus dipupuk secara berterusan kerana kaedah ini boleh melahirkan murid-murid yang cemerlang bukan sahaja dalam akademik malah kokurikulum," katanya.








Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...