Photobucket

Sahabat Maya :

Thursday, October 28, 2010

Harimau pupus 12 tahun lagi?



Harimau pupus 12 tahun lagi?


SELEPAS tiga sub spesies harimau iaitu Bali, Jawa dan Caspian telah pupus, kini hanya terdapat sekitar 3,200 ekor harimau daripada enam sub spesies lain.


SUKAR membayangkan spesies haiwan yang dipanggil Pak Belang dek kerangka badannya yang tegap dan berbelang akan pupus daripada muka bumi ini.

Walaupun pahit untuk ditelan tetapi itulah hakikat yang perlu ditelan semua pihak apabila Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) menjangkakan hidupan liar tersebut akan pupus dalam masa 12 tahun lagi jika tiada inisiatif pemuliharaan dilakukan dengan segera.

"Senario buruk adalah harimau boleh menjadi pupus apabila tahun harimau mengikut kalendar Lunar tiba dalam masa 12 tahun lagi," kata Ketua Program Pemuliharaan Alam Antarabangsa, Ola Jennersten pada WWF Sweden.

Organisasi berkenaan sedang giat melakukan kempen global pemuliharaan harimau dalam usaha melipat ganda jumlah haiwan berkenaan sebelum tahun 2022.


MAMPUKAH kita mewariskan haiwan ini kepada anak cucu kita pada masa depan?


Sejak 70 tahun lalu, tiga sub spesies harimau iaitu Bali, Jawa dan Caspian sudah pun pupus, manakala enam lagi sub spesies yang masih kekal sehingga hari ini adalah Amur, Benggala, Indochina, Malaya, China Selatan dan Sumatra.

Bagaimanapun, keenam-enam sub spesies tersebut berkemungkinan akan mengikuti jejak langkah tiga spesies yang sudah pupus sebelum ini jika sesuatu tidak dilakukan dalam pemuliharaan terhadap hidupan liar itu.

Sejak seabad lalu, WWF berkata, pemburuan haram, pengecutan habitat dan perdagangan bahagian harimau yang digunakan untuk ubatan tradisional memberi kesan mendalam terhadap hidupan liar itu.

Mengikut perangkaan, jumlah harimau seluruh dunia menurun sebanyak 97 peratus dan terdapat kira-kira 3,200 hidupan liar berkenaan pada hari ini.


PERDAGANGAN organ harimau antara faktor kepupusan haiwan itu.


"Walaupun angka-angka tersebut dilihat agak suram, keadaan sekarang adalah lebih baik berbanding sebelum ini. Ia penuh dengan harapan untuk menyelamatkan harimau-harimau ini," kata Jennersten.

Jennersten memuji satu inisiatif politik 13 negeri harimau (tiger states) dan badan-badan lain yang akan mengadakan persidangan di Rusia pada 21 hingga 24 November ini sebagai langkah menghentikan kemungkinan kepupusan spesies harimau itu.

"Ini akan tercapai melalui penambahan penglibatan politik, tumpuan pada landskap harimau yang mempunyai peluang besar dalam pengekalan jangka panjang harimau dan peningkatan kawalan perdagangan organ harimau," katanya.

Perdana Menteri Rusia, Vladimir Putin yang merupakan seorang pencinta alam semula jadi dan pernah mencium hidupan liar seperti harimau di hadapan umum dijangk menghadiri persidangan yang akan diadakan di Saint Petersburg, Rusia itu nanti.


WWF berjaya merakamkan kelibat seekor harimau Sumatra di Bukit Batabuh, Indonesia Mei lalu.


Menurut WWF, sebanyak 1,800 harimau kini boleh dilihat di India, Nepal, Bhutan dan Bangladesh. Di Sumatera, Indonesia pula terdapat 450 ekor manakala 400 berada di Malaysia.

Sebanyak 350 ekor lagi harimau itu berada di sekitar Asia Tenggara dan 450 hidup berada di Rusia. - AFP





======================
http://alongsafa.com/wp-content/uploads/2010/10/mbahmarijan.jpg

Awan panas luar biasa




SEBAGAI pengarang kanan yang mengetuai pasukan laporan khas portal berita Vivanews.com, jiwa wartawan Yuniawan Wajyu Nughroho untuk memperoleh rencana-rencana eksklusif sentiasa membara. Ketika Yogyakarta berdepan dengan ancaman letusan Gunung Merapi, Yuniawan enggan ketinggalan mendapatkan bahan-bahan menarik.

Empat tahun lalu Yuniawan pernah mewawancara warga emas yang dianggap sebagai penjaga Gunung Merapi Mbah Maridjan, 83. Kali ini dia mahu bertemu semula dengan lelaki tersebut yang dianggap oleh ramai penduduk sebagai seorang yang boleh meramal letusan Merapi.

Namun, Yuniawan mungkin tidak menyangka bahawa petang Selasa lalu adalah perbualan terakhirnya dengan pengarangnya, Nezar Patria yang sempat menghubungi beliau. Nezar mengingatkan Yuniawan supaya berhati-hati dan meninggalkan kawasan terbabit sekiranya mendengar siren kecemasan.

Sekitar pukul 7 malam, seorang aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernama Rini Soegiharto memaklumkan kemungkinan Yuniawan dalam kebahaya.

Menurut Rini, perbualannya dengan Yuniawan sekitar pukul 6 petang terputus. Rupa-rupanya itu adalah panggilan telefon terakhir Yuniawan.

Kira-kira pukul 10.42 malam, Vivanews menerima panggilan daripada seorang tenaga kerja Pusat Pengurusan Bencana yang melakukan pencarian mangsa letusan Gunung Merapi. Mereka menemui kad pengenalan Yuniawan. Beliau disahkan sebagai salah seorang mangsa korban yang ditemui di rumah Mbah Maridjan.

Debu-debu volkanik

Selain orang ramai, wartawan Yuniawan merupakan salah seorang yang menjadi mangsa korban Merapi. Sejak beberapa hari lalu, awan panas dan debu-debu vulkanik dimuntahkan gunung berapi paling aktif di Indonesia, Gunung Merapi, yang memaksa ribuan penduduk yang tinggal di lereng-lereng gunung itu berpindah mencari tempat perlindungan.

Perkampungan di sekitar lereng gunung berapi yang dahulunya menghijau dengan tanaman pertanian yang subur telah berubah wajah menjadi kelabu apabila diselimuti debu-debu vulkanik.

Bahkan, letusan Gunung Merapi tersebut mencetuskan rasa panik di kalangan penduduk setempat yang ingin mendapat perlindungan daripada debu-debu vulkanik dan awan panas yang melanda kawasan penempatan mereka.

Gunung Merapi dengan ketinggian 2,968 meter meletus selepas para saintis memberi amaran tekanan di bahagian bawah kubah lahar gunung tersebut akan menghasilkan letusan paling kuat dalam tempoh beberapa tahun.


SUKARELAWAN mengangkut mayat-mayat yang menjadi mangsa awan panas Gunung Merapi.


Ketua daerah Sleman di Pulau Jawa, Sri Purnomo berkata, pihak berkuasa telah memberi amaran kepada kira-kira 11,400 penduduk yang tinggal di selatan lereng gunung itu supaya bersedia untuk pemindahan segera.

Terdapat kira-kira 40,000 penduduk yang menetap berhampiran gunung paling aktif di Indonesia itu bahkan penduduk itu sebelum ini enggan meninggalkan rumah dan tanaman mereka.

Kebanyakan penduduk tempatan juga dipercayai masih menjalankan aktiviti harian mereka seperti mengusahakan ladang dan memberi makan haiwan ternakan sebelum letusan gunung berapi itu berlaku.

Sri Purnomo berkata, khemah-khemah untuk penduduk yang dipindahkan telah didirikan di bangunan-bangunan kerajaan dan beberapa padang sukan lebih 10 kilometer (km) dari kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua ahli vulkanologi, Subandriyo berkata, letusan itu berlaku sebelum waktu senja.

Sebelum letusan berlaku, gunung itu terlebih dahulu telah mengeluarkan bunyi menderam dan asap tebal selama beberapa jam.

“Kita dapat mendengar bunyi deraman yang sangat kuat bagaikan badai selama beberapa ketika. Kemungkinan bunyi berkenaan berlaku selama 15 minit.

“Selepas itu kelihatan kepulan debu panas besar mula dikeluarkan ke udara dari Gunung Merapi,” kata seorang petani yang masih belum meninggalkan rumahnya di kawasan cerun gunung berapi itu ketika ia meletus.

Muntahan awan panas

Penduduk setempat juga memaklumkan bahawa mereka ada terbau belerang yang sangat kuat sebelum letusan gunung berapi itu berlaku.

“Tenaganya meningkat... kami berharap ia akan reda perlahan-lahan.

“Jika tidak kita akan melihat satu letusan yang besar, lebih besar daripada apa yang kita lihat semasa ia meletus beberapa tahun lalu,” kata ahli vulkanologi kerajaan, Surono.

Dalam pada itu, pegawai Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi Vulkanik Yogjakarta (BPPTK), Agung Nandaka berkata, sukar bagi penduduk yang berada lima kilometer dari puncak gunung berkenaan untuk berpindah sebelum berlaku muntahan awan panas.

“Ini kerana ia panas dan mempunyai kelajuan yang luar biasa,” katanya.

Sementara itu, seorang bayi berusia dua bulan telah terkorban dalam letusan berkenaan, manakala 20 lagi cedera apabila gunung itu mula meletus.

Bayi tersebut yang tidak diketahui jantinanya mati semasa didukung ibunya ketika orang ramai bertempiaran menyelamatkan diri.

Stesen televisyen swasta, Metro TV melaporkan, mayat bayi itu telah dihantar ke hospital berdekatan.

Seorang wartawan agensi berita berkata, kebanyakan yang cedera akibat terkena debu panas yang dihamburkan oleh Gunung Merapi melecur teruk.

Selain itu, pasukan penyelamat telah menemui 15 mayat di dalam dan luar rumah Mbah Maridjan di Cangkringan daerah Sleman. Mbah Maridjan merupakan Jurukunci Merapi sejak awal tahun 1980-an.


PENDUDUK kampung yang terjejas akibat letusan Gunung Merapi beratur untuk mendapatkan makanan.


Kesemua mangsa dipercayai meninggal dunia disebabkan melecur akibat suhu tinggi awan panas debu volkanik.

Bagaimanapun, pasukan penyelamat enggan mengesahkan mayat Jurukunci Merapi berkenaan adalah antara 15 mayat yang ditemui sehingga hasil ujian asid deoksiribonukleik ( DNA ) diperoleh.

Puluhan ternakan lembu penduduk kampung di lereng gunung Merapi juga ditemui mati.

Merapi yang membawa erti Gunung Api biasanya mengalami letusan-letusan kecil pada setiap dua atau tiga tahun dan akan mengeluarkan laharnya dalam tempoh 10 hingga 15 tahun.

Kali terakhir gunung berapi berkenaan meletus adalah pada tahun 2006 apabila ia mengeluarkan gas dan serpihan batu menyebabkan dua orang terkorban.

Pada tahun 1994, letusan Gunung Merapi lebih dahsyat berbanding tahun 2006 apabila ia mengakibatkan 60 orang maut.

Pada tahun 1930, ia telah mengorbankan 1,300 orang manakala lebih satu dozen perkampungan musnah.

Indonesia terletak di Lingkaran Api Pasifik, lokasi terletaknya pertemuan lapisan-lapisan benua yang menyebabkan kekerapan berlaku aktiviti seismik dan gunung berapi. Negara itu dikatakan mempunyai lebih 120 buah gunung berapi yang aktif.






Ditelan Abu Merapi



Yuniawan Wahyu Nugroho (kiri) (Koleksi peribadi). - Foto Vivanews.com


Kisah Saat-saat Akhir Sebelum Wartawan Vivanews.Com Ditelan Abu Merapi




JAKARTA: Portal berita Vivanews.com yang menyaksikan kematian wartawan kanannya ditelan abu panas di kaki Gunung Merapi malam semalam menceritakan saat-saat akhir perbualan di antara pengarang beritanya dengan mangsa.

Portal berita popular itu telah menceritakan di halaman utamanya pada Rabu bagaimana pada jam 5.30 petang Selasa, di Tingkat 31, Wisma Standard Chartered, di sini, menjadi cemas dan panik apabila tercetusnya berita Gunung Merapi mulai meluahkan lavanya.

Pengarangnya, Nezar Patria segera menghubungi wartawan kanan mereka di lapangan, Yuniawan Wahyu Nugroho, yang telahpun berada di Yogyakarta.

Wartawan yang lebih dikenali sebagai Wawan ini telah bertolak ke kota budaya itu awal Selasa sekitar pukul 1 dari Jakarta dia sudah mengatur janji untuk mewawancara Mbah Maridjan yang lebih dikenali sebagai ‘penjaga’ Gunung Merapi.

(Nota: Mbah Maridjan turut terkorban dalam kejadian itu)

"Hallo, Wan, posisi anda di mana," tanya Nezar di hujung telefon.

"Ini...di rumah Mbah Maridjan," kata Wawan.

"Sudah ada letusan. Apa tidak berbahaya..." Nezar bertanya.

"Di sini masih ada banyak orang. Saya menunggu Mbah Maridjan yang lagi sholat," jawab Wawan.

Lantas, Nezar menekankan, "Kalau berbahaya dan jika kedengaran siren, segera turun. Jangan bertahan di situ untuk wawancara."

Wawan menjawab "Iya". Namun, perbincangan putus kerana signal telefon yang lemah.

Menyambung perbincangan yang terputus itu, Wawan lalu mengirim SMS, pada pukul 5.49 petang (Waktu Indonesia Barat -WIB). Bunyi SMS itu: "Mas, saya sudah berada di rumah Mbah Maridjan. Mbah Maridjan masih sholat," kata Wawan.

Dalam pesan pendeknya, Nezar menjawab, "Hati-hati. Jangan sampai kena abu lava."

Setelah itu tidak ada hubungan lagi dengan Wawan.

Satu jam kemudian, bilik berita dikejutkan dengan panggilan telefon daripada seorang ahli keluarga Wawan, seorang aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernama Rini Soegiharto. Wawan dikabarkan dalam kedaan berbahaya.

Sidang pengarang Vivanews turut cemas. Sejumlah rakan lantas cuba mencari maklumat menerusi pelbagai pihak. Mereka menghubungi sanak saudara Wawan, kawan-kawannya yang lain, menghubungi pasukan mencari dan menyelamat, sukarelawan Pusat Pengurusan Bencana sehinggalah membuat laporan kepada pihak polis akan kehilangannya.

***

Akhirnya mereka memperolehi maklumat lanjut daripada Rini. Pada pukul 6.29 petang WIB, dia menerima panggilan daripada Wawan. "Saya lagi di rumah Mbah Maridjan. Saya menunggu, dia lagi sholat," kata Wawan di ujung telefon kepada Rini. Rini pun mengingatkan agar wartawan kanan portal berita itu berhati-hati.

Namun, dalam perbincangan singkat itu, di hujung telefon, Rini terdengar bunyi siren kecemasan dan sejumlah orang menjerit-jerit... "Ada api, ada api, panas, panas."

Tiba-tiba percakapannya dengan Wawan langsung terputus. Rupa-rupanya ini telah ditakdirkan menjadi panggilan telefon terakhir Wawan. Berulang kali dihubungi semula, namun tidak tersambung.

Rini cemas. Dia teringat kisah empat tahun lalu, saat Gunung Merapi meletus. Wawan juga yang membuat meliput letusan gunung berapi tersebut dan bertemu Mbah Maridjan. Saat itu, keduanya juga saling berkomunikasi. Rini teringat pada tahun 2006 juga ada letusan lahar yang panas menuruni lereng gunung.

Namun, kali ini Rini yang berteman baik dengan wawan sejak kuliah di Universiti Gajah Mada merasa situasinya sangat menegangkan. Di television, dia melihat awan panas sudah membubung, sedangkan Wawan masih di rumah Mbah Maridjan yang berjarak hanya empat kilometer dari puncak gunung tersebut.

Menurut cerita Agus, pembantu Mbah Maridjan, sebenarnya saat mendengar bunyi siren sebagai tanda gunung meletus, ia bersama keluarga Mbah Mardijan dan beberapa orang yang terakhir bertahan di lereng gunung itu sudah memutuskan untuk turun.

Mereka mengendarai dua kenderaan sampai ke tempat selamat. Wawan juga turun sejauh 4 kilometer ke kediaman Agus, yang juga kenalannya di Yogya.

Namun, sampai di tempat operasi menyelamat dijalankan, dua orang yakni Tutur, tenaga pasukan perubatan Yogyakarta dan Wawan mengambil keputusan untuk naik semula ke puncak untuk memaksa Mbah Maridjan yang masih bertahan dan sembayang di masjid turun.

"Mereka berdua menaiki Suzuki APV ke atas menjemput Mbah Maridjan. Namun, saat ini kami kehilangan kontak dengan mereka. Kami duga mereka terjebak, kerana awan panas sudah sampai ke kediaman Mbah Maridjan," katanya kepada Vivanews pada lebih kurang pukul 8.30 malam Selasa.

Dan pada jam 10.42 malam WIB, Vivanews mendapat panggilan daripada Iman Surahman, seorang tenaga kerja Pusat Pengurusan Bencana yang melakukan pencarian mangsa letusan Gunung Merapi sejak petang Selasa. Iman menemui kad pengenalan wartawan Yuniawan Nugroho pada salah seorang mangsa korban yang ditemui di rumah Mbah Maridjan.

***

Yuniawan, yang lahir pada 1 Jun 1968 di Blora adalah editor yang mengetuai pasukan laporan khas Vivanews.com. Wawan tertarik untuk mewawancara Mbah Maridjan di Yogyakarta.

Alasannya, dia sudah pernah membuat liputan di Gunung Merapi pada tahun 2006 dan mengenali para pembantu Mbah Maridjan seperti Agus dan lain-lain sehingga berpeluang mewawancara dengan orang tua yang disegani di Gunung Merapi tersebut.

Sebagai salah satu editor kanan, Wawan dikenali sebagai seorang wartawan yang bekerja keras, bersungguh-sungguh dan berperwatakan keras. Wawan jarang mengeluh mengerjakan tugas-tugas yang diamanahkan.

"Dia seorang yang sangat bersopan santun dan memiliki jaringan luas terutama dalam bidang politik," ujar Nezar.

Rini juga mengenali Wawan sebagai seorang yang sangat baik dan memiliki banyak kenalan, baik di kalangan aktivis, ahli politik hingga ke peringkat antarabangsa. "Ramai sekali teman yang sedih dan merasa kehilangannya," kata Rini.

Wawan memang sudah belasan tahun bekerja sebagai wartawan. Sebelumnya, dia cukup lama bekerja di harian Suara Pembaharuan. Pada 2008, Wawan ikut menyertai Vivanews apabila portal berita itu baru ditubuhkan.

Namun, tidak lama kemudian Wawan memilih untuk kembali ke Jakarta dan berkhidmat dengan salah sebuah akhbar di sini. Menjelang Lebaran tahun ini, Wawan kembali ke pangkuan Vivanews untuk mengepalai pasukan laporan khasnya.

Kini, Wawan dipanggil oleh Yang Maha Kuasa. Allayarham pergi meninggalkan rakan-rakannya ketika sedang bertugas. Beliau turut meninggalkan isteri dan dua orang anak yang amat dikasihinya dan foto mereka selalu ada di dompetnya.

========================================


Hanya Dua

Daripada 19 SJK (C) Siap & Beroperasi

- Mohd Puad

KUALA LUMPUR: Hanya dua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina atau SJK (C) yang sudah siap dan mula beroperasi pada tahun ini, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, proses perpindahan dua sekolah itu adalah SJK (C) Tai Hong dari Kota Tinggi ke Taman Impian Emas, Johor Bahru dan SJK (C) Pai Tze dari Bukit Serampang ke Setia Eco Gardens, Johor Bahru.

"Tujuh sekolah SJK (C) lagi masih dalam proses pembinaan dan sebuah sekolah baru selesai masalah tapak.

"Selebihnya, ia masih dalam proses membuat perolehan tanah, penyediaan pelan pembangunan atau mengemukakan permohonan kebenaran merancang untuk kelulusan pihak berkuasa tempatan," katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Nga Kor Ming (DAP-Taiping) yang meminta menyatakan secara terperinci status terkini pembinaan 19 SJK (C) yang diumumkan serta dijanjikan oleh Kerajaan pada 31 Januari 2008.

Jawapan Mohd Puad itu menyebabkan Kor Ming meluahkan rasa kesal apabila menyifatkan Kerajaan gagal menyiapkan 17 sekolah SJK (C) seperti mana dalam manifesto pilihan raya lalu.

“Setakat ini, hanya dua sekolah yang berjaya disiapkan manakala 17 sekolah lagi masih belum beroperasi. Tempoh tiga tahun bagi membina dua sekolah tidak selari dengan cogan kata kerajaan iaitu pencapaian diutamakan, rakyat didahulukan.

"Sehubungan itu, bilangan SJK perlu ditambah memandangkan lebih ramai murid bukan sahaja masyarakat Cina bahkan murid Melayu dan India turut bersekolah di SJK (C)," katanya.

Dalam pada itu, Kor Ming menggesa Kementerian Pelajaran agar memansuhkan tiga surat pekeliling dan garis panduan yang didakwa mengamalkan diskriminasi terhadap Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) di negara ini.

Beliau berkata, garis panduan dan surat pekeliling tersebut menyusahkan serta membebankan meskipun undang-undang menetapkan semua aliran adalah sekolah kerajaan.

Menurutnya, antara kandungan surat pekeliling tersebut menyatakan tapak sekolah rezab milik kerajaan dibina sekolah kebangsaan sahaja kecuali mendapat pengecualian daripada menteri menyebabkan tindakan kerajaan itu dipersoalkan.

“Mengapa tapak sekolah rezab kerajaan tidak boleh dibina semua sekolah tanpa mengira SJKC atau SJK Tamil (T) dan perkara ini tidak adil adil sama sekali,” katanya.

Kor Ming berkata, dua lagi garis panduan dan surat pekeliling yang ditetapkan kementerian juga tidak munasabah, antaranya terpaksa mengumpulkan sendiri dana sebanyak 80 peratus bagi SJK untuk membina bangunan baru.

“Semua lembaga pengelola SJK (C) dan SJK (T) yang ingin membina sekolah baru berikutan kesesakan bilik darjah perlu mengumpul sendiri dana 80 peratus baru boleh mengemukakan permohonan,” katanya.

Menurut beliau, masyarakat Cina di negara ini perlu menangung perbelanjaan RM100 juta setahun sebagai sumbangan peribadi kepada sekolah jenis kebangsaan dan keadaan itu sudah lama wujud lebih 50 tahun lalu.

Katanya lagi, garis panduan ketiga disifatkan tidak masuk akal apabila murid yang belajar di sekolah kebangsaan tidak dibenarkan bertukar ke SJK.

“Saya menerima pelbagai rayuan daripada ibu bapa tetapi masih tidak dibenarkan pertukaran biarpun rayuan demi rayuan dikemukakan.

“Alasan Kementerian Pelajaran bahawa prestasi sekolah kebangsaan diukur berdasarkan berapa ramai murid bukan Melayu belajar di sekolah kebangsaan tidak masuk akal,” katanya.



Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...