Maruah Perjuangan
A. Rahim Abdullah
Kemerdekaan adalah harga diri – maruah perjuangan
formula baru dan
tapak perjalanan panjang
sebuah negara bangsa yang teruji
bakal menyuluh kalbu rakyat dan pemimpin
kemerdekaan adalah telaga hayat – menyajikan minuman
kesegaran bak sumur kemakmuran abadi
yang tak pernah kering dilanda kemarau panjang.
Kemerdekaan adalah simfoni kebebasan – mergastua belantara
di rimba harapan yang bernyanyi riang
tanpa henti dan terbang ke gunung-ganang
ke padang luas dan saujana tanpa sangsi
melestarikan kebebasan dan harga diri
setelah berdekad lama membina negara
mengangkat harkat dan martabat bangsa.
Justeru jangan ada di antara kita yang lelah
jahil menafsir makna kemerdekaan
bukan arakan panji-panji dan kibaran bendera
kemerdekaan adalah roh dan jasad
yang terus mengalir di relung kalbu
tiap rakyat, tiap pemimpin, tiap pemerintah
yang megah bertakhta di minda bangsa
di sini anak-anak harus diajar erti maruah – harga diri
bakal menerimanya penuh saksama – tanpa berbelah bagi
mengakar akal budi – lalu mengalir
bercambah di perdu tanah air ini
hingga tak terbilang nilainya.
Telah puluhan tahun kita menerima – memahkotakannya
jangan ada di antara kita masih keliru – termangu tak menentu
ke sasar di halaman sendiri dalam mencari erti
kata keramat yang terletak di hujung jari
atau tersimpul di hujung rambut kita
kerana erti merdeka bukan saja nafas cinta
yang dipertaruhkan saban waktu
tetapi nilainya adalah lebih dari itu!