Bersederhana ketika
jalani ibadah puasa
Berpuasa bukanlah satu ibadat yang mudah walaupun kebanyakan orang
sudah dilatih sejak kecil, malah ada yang sudah memulakannya sebelum
masuk sekolah lagi.
Penceramah agama terkenal, Datuk Abu Hassan Din dalam program
Mukaddimah terbitan TV9 pernah memberitahu, ibu bapa tidak sepatutnya
mengumpan anak yang masih kecil dengan upah dalam usaha ‘memaksa’ mereka
berpuasa kerana kita tidak tahu seksa yang ditanggung anak apabila
dikerah untuk berlapar.
Apa yang perlu diutamakan ialah mendidik mereka menunaikan solat
sejak berumur tujuh tahun supaya ia menjadi ibadat yang mesra di hati
sepanjang hayat. Ia juga dapat mengelakkan berlakunya keadaan di mana
seseorang itu berpuasa tetapi tidak menunaikan solat.
Dalam Islam, berpuasa bukan sekadar tidak menjamah makanan dan
minuman, tetapi perlu menahan diri daripada melakukan segala perbuatan
kurang elok yang boleh mengurangkan ibadat ini termasuk pemikiran,
pertuturan, tingkah laku, pandangan dan pendengaran.
Namun dalam berusaha untuk mencapai ibadat puasa yang baik, aspek
fizikal tidak diketepikan. Rasa letih dan mengantuk adalah perkara biasa
terutama pada minggu pertama. Namun ada beberapa kaedah untuk membantu
kita terus bertenaga sepanjang hari berpuasa iaitu:
Bagi individu yang ada masalah kesihatan, sepatutnya
berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat terutama kaedah dan jadual
pengambilan ubat, juga aspek keselamatan (gejala yang mungkin dialami
kerana berpuasa). Ini kerana bagi penyakit kencing manis contohnya,
keadaan setiap pesakit berbeza dan pendekatan yang perlu diambil
sekiranya berlaku satu-satu gejala juga tidak sama.
Walaupun anda cukup sihat, anda masih boleh mengalami
masalah sekiranya tidak mengamalkan pemakanan yang betul. Antara masalah
yang kerap dialami kebanyakan orang sepanjang Ramadan ialah kekurangan
air, zat dan tidak cukup rehat.
Lewatkan bersahur. Ada orang suka bersahur pada jam 3 atau
4 pagi sedangkan imsak masih jauh. Bagi yang jarang bersahur, tahun ini
cubalah sedaya upaya bangun awal untuk menjamah sedikit makanan,
sekurang-kurangnya secawan minuman panas dan kurma.
Sahur adalah sunnah dan ia menjadi waktu makan yang amat
penting untuk membekalkan tenaga sepanjang hari. Ambil sajian seimbang
yang mengandungi karbohidrat, protein, sayur dan buah-buahan. Jika
boleh, minum banyak air kosong ketika sahur.
Jika anda bekerja di luar, pada hari yang panas, cubalah
berlindung di tempat teduh dan pakai pelindung kepala seperti topi atau
payung.
Didiklah hati untuk bersederhana ketika berbuka. Mulakan
berbuka dengan sajian yang ringan seperti kurma, susu, air atau jus
buah. Selepas solat Maghrib, bolehlah disambung dengan makan makanan
yang lebih berat.
Selepas solat Tarawih, cuba elakkan minum kopi, teh atau
minuman berkarbonat. Jika teringin, ambillah sekadar satu cawan saja,
tetapi pastikan ia tidak terlalu manis. Namun lebih baik jika minuman
yang manis ini diganti dengan air suam.
Sajikan hidangan sihat untuk diri sendiri dan keluarga
dengan menghidangkan buah-buahan atau kacang bagi menggantikan kuih-muih
khususnya jika ada ahli keluarga yang menghidap penyakit kronik seperti
kencing manis, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi. Walaupun
secara logiknya Ramadan adalah bulan yang paling sesuai untuk mengawal
penyakit, ramai orang sukar melakukannya kerana terlebih makan.
Bagi individu yang ada masalah pedih ulu hati, elakkan makanan bergoreng, berlemak dan pedas terutama ketika berbuka.
Banyakkan minum air masak selepas berbuka. Cuba minum
lapan gelas air sebelum tidur. Pada awalnya anda mungkin akan kerap
terjaga pada waktu malam untuk ke bilik air, tetapi perkara ini ada
hikmahnya kerana anda boleh bangun beribadat tanpa perlukan jam loceng.
Lakukan senaman ringan selama 15 hingga 20 minit setiap
hari seperti berjalan, sama ada pada waktu pagi atau petang sebelum
berbuka.
Cuba berhenti merokok. Ramadan adalah bulan terbaik untuk berhenti merokok dan meningkatkan tahap kesihatan.
Pada waktu rehat tengah hari, tidur sekejap (10 hingga 15
minit) untuk menghilangkan rasa mengantuk dan mengembalikan kecergasan
supaya prestasi kerja tidak terjejas.