Didik anak seronok berpuasa
Puasa menjadi kewajipan apabila seorang Islam
baik lelaki atau perempuan mencapai akil baligh, dan mematuhi beberapa syarat lain. Hukum ini terpakai juga kepada ibadah lain dalam Islam.
Mencapai akil baligh bermaksud lelaki dan perempuan yang
mencecah usia tertentu serta mengerti tugasnya sebagai muslim yang diperintah bersolat dan berpuasa semata-mata kerana Allah.
Kita disyorkan melatih anak-anak melaksanakan perintah Allah
seperti bersolat dan berpuasa apabila mereka berusia tujuh tahun. Malah,
sesetengah kita mula melatih anak bersolat seawal usia tiga dan empat tahun.
Anjuran laksana ibadah
Rasulullah SAW bersabda:
“Suruhlah anak kamu mengerjakan solat
ketika berumur tujuh tahun dan pukul mereka
jika meninggalkannya ketika berumur 10 tahun.
Dan asingkanlah mereka (lelaki dan perempuan)
dari tempat tidur.”
(Hadis riwayat Abu Daud)
Persoalan adakah kanak-kanak digalakkan atau sememangnya
diperintahkan berpuasa sebelum mencapai umur baligh?
Kebanyakan kita menyandarkan hadis solat itu bagi melatih
kanak-kanak berpuasa.
Umumnya, jawapan terbaik untuk soalan ini adalah apa
yang disebut hadis riwayat Imam Bukhari:
“Nabi SAW mengirim utusan
ke kampung golongan Ansar
pada siang hari Asyura (untuk menyampaikan):
Bahawa siapa yang tidak berpuasa
sejak pagi hari maka dia harus
menggantinya pada hari lain,
dan siapa yang sudah berpuasa
sejak pagi hari maka hendaklah dia
melanjutkan puasanya.
Dia (Ar-Rubai' binti Mu'awwidz) berkata:
Selepas itu kami selalu berpuasa
dan kami juga mendidik anak kecil kami
untuk berpuasa dan kami sediakan untuk mereka
semacam alat permainan diperbuat daripada bulu serigala,
apabila seorang daripada mereka
ada yang menangis meminta makan
maka kami beri dia permainan itu.
Demikianlah terus kami lakukan
hingga tiba waktu berbuka.”
Waktu terbaik berpuasa
Jelas sahabat Nabi SAW ketika itu melatih anak mereka berpuasa
walaupun belum mencapai usia akil baligh kerana menyedari pentingnya jiwa kanak-kanak dilatih memahami tanggungjawab berpuasa
apabila mencapai usia akil baligh.
Kebanyakan cerdik pandai setuju kanak-kanak digalakkan
berpuasa jika mereka dapat menanggung kesusahan ibadat itu.
Bagaimanapun, ada perbezaan pendapat kalangan ulama berkenaan
waktu terbaik kanak-kanak memulakan latihan puasa.
Sebahagiannya mencadangkan pada usia tujuh tahun atau 10 tahun
seperti dalam kes solat. Berbeza bagi Imam Ahmad bin Hanbal yang
mencadangkan ia bermula pada usia 10 tahun, manakala ulama lain
menyebut titik permulaan latihan adalah pada usia 12 tahun.
Ulama Maliki mempunyai pandangan berbeza yang mencadangkan
kanak-kanak tidak perlu digalakkan berpuasa. Bagaimanapun,
pandangan itu tidak disokong bukti sahih. Cuma satu alasan
diberikan Mazhab Maliki, mereka menganggap amalan penduduk Madinah
adalah petunjuk sah dan boleh diterima dalam Islam.
Madinah adalah tempat lahirnya masyarakat Islam dan kebanyakan
sahabat Rasulullah tinggal di situ dan terus berada di sana
untuk masa lama, malah hingga sekarang.
Namun, Imam Bukhari menunjukkan kepada kita penduduk Madinah
juga menggalakkan kanak-kanak berpuasa menerusi satu riwayat.
Kisahnya, suatu hari Umar al-Khattab dihampiri seorang lelaki
yang mabuk ketika Ramadan. Lalu Umar berkata kepadanya:
“Celaka engkau,
kamu berbuka sedangkan anak-anak kami berpuasa.”
(Fath al-Bari, bab Puasa Kanak-Kanak)
Pujuk anak berpuasa
Amalan menggalakkan kanak-kanak berpuasa ketika Ramadan
juga amalan dilakukan penduduk Madinah pada zaman Umar.
Justeru, menggalakkan kanak-kanak berpuasa menjadi
pendapat dipegang majoriti ulama.
Kemungkinan juga, usia kanak-kanak yang dilatih berpuasa
pada zaman Rasulullah lebih muda daripada tujuh, 10 atau 12 tahun,
kerana dalam hadis golongan Ansar dinyatakan wanitanya
membuat barang mainan lembut untuk memujuk dan mengalih perhatian
anak mereka yang kelaparan.
Mainan seperti itu, tidak memberi erti bagi kanak-kanak
berusia 11 dan 12 tahun pada masa itu. Jadi kanak-kanak
yang mesti dipujuk adalah mereka yang berusia lebih muda.
Menggalakkan kanak-kanak berpuasa,
tidak perlu kita memaksa mereka menghabiskannya sehingga sebulan.
Ibu bapa sepatutnya menggunakan cara lebih santai dan bijak
dalam mendekatkan diri anak kepada ibadah dituntut dalam Islam.
Cari jalan supaya anak seronok berpuasa.