Photobucket

Sahabat Maya :

Sunday, May 27, 2012

Keunikan Rumah Haji Su



Rumah 70 tingkap

pix_gal0
Kediaman Haji Su simbol kehebatan
pertukangan Melayu era 1800,
ilham pedagang tersohor gabung seni bina
Nusantara termasuk
Jaipur, India







RAMAI terfikir apa agaknya rahsia di sebalik gahnya sebuah rumah agam Melayu yang tampak usang di Kampung Losong Haji Su di Kuala Terengganu, Terengganu, hingga Lembaga Muzium Terengganu melabur RM3.2 juta membeli kediaman itu. Sekalipun usang dan buruk, rumah agam ini damai dikelilingi pokok buluh cina.
Aura kediaman mewah zaman silam itu tetap menyerlah, hinggakan rumah itu sering dibanjiri pelancong tempatan dan luar negara termasuk dari Mesir, Belanda, Jepun dan Amerika Syarikat (AS). Tidak ketinggalan, kalangan arkitek tersohor antarabangsa termasuk dari Filipina dan Korea Selatan yang mahu mengkaji kehalusan seni bina rumah agam ini.








Selain arkitek, pengkaji sejarah juga tidak ketinggalan merakamkan gambar rumah agam ini, biarpun mereka tidak dibenarkan memasuki harta peninggalan jutawan Melayu Terengganu tersohor iaitu Su Mohammed Salleh Mohammed. Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Haji Su di kalangan masyarakat tempatan, cukup terkenal di Terengganu pada era 1800-an. Ketokohan Haji Su terserlah hinggakan namanya terpahat pada nama Kampung Losong Haji Su, Kuala Terengganu.









Selepas beberapa kali tertangguh, hasrat menjejaki rumah agam Melayu yang dibina pada 1850 ini akhirnya tercapai selepas Pengarah Muzium Terengganu, Mohd Yusof Abdullah sedia meluangkan masa dari kesibukan jadualnya untuk bersama penulis, baru-baru ini untuk melihat sendiri keunikan Rumah Haji Su.









Rumah Haji Su adalah manifestasi kekayaan usahawan Melayu lama dan cita rasa tinggi mereka selayak taraf martabat bangsa. Seperti yang diakui Mohd Yusof, Rumah Haji Su bercirikan keunikan seni bina dan ketukangan masyarakat Melayu tradisional Terengganu dibeli untuk dipulihara dalam usaha mengekalkan martabat kesenian Melayu.










Kali pertama memasuki rumah itu, diakui meremang bula roma dan rasa takut mula menular ke peroman. Perasaan terus menerjah dibawa ke zaman silam pada era kegemilangan rumah agam ini, di mana sudah pasti, ruang tamu tersergam besar seperti balairong seri istana itu meriah dengan pelbagai aktiviti - namun kini dimamah sepi. Rumah agam kayu cengal itu pernah didiami semua anak Haji Su sehinggalah anak bongsunya meninggal dunia pada 2008, rumah itu tidak berpenghuni serta terbiar begitu saja.









Begitupun, keunikan dan keindahan seni reka rumah yang dibina secara pasak tanpa sebarang paku itu cepat menyulam kembali rasa teruja ketika meneroka ruang tamu seluas 4.8 meter x 18 meter tanpa disokong tiang seri, selain keindahan siling rumah. Keseluruhan rumah itu diperbuat daripada kayu cengal dan mempunyai 70 tingkap serta 12 pintu besar yang diukir indah oleh adiguru ukir tempatan. Keseluruhan rumah dihias indah dengan seni ukir menarik dengan pelbagai motif yang padan dengan kehidupan istina zaman silam.








Tidak mahu rumah yang merakam sejarah silam teknokrat Terengganu zaman silam, Lembaga Muzium Terengganu (LMT) mengambil masa lebih dua tahun menjejak waris rumah itu yang tiba-tiba seperti terputus 'rahmat' dan terbiar sepi hingga membingungkan ramai yang kagum dan memuja keindahannya.









"LMT mengambil inisiatif menjejak pemilik rumah itu bertujuan mengambil alih dan mempertahankan rumah itu yang sarat dengan warisan seni bina dan ketukangan masyarakat Melayu tradisional. Rumah itu perlu dipulihara serta dijadikan antara aset penting dalam sektor pelancongan di negeri ini," kata Mohd Yusof.









Lebih jauh meneroka rumah agam yang turut menempatkan 10 rumah warga lain ketika itu, rumah yang kini sudah berusia 162 tahun di tapak seluar 0.4851 hektar terus mengujakan sesiapa saja. Justeru, apabila kerja baik pulih disempurnakan nanti, pasti teratak mewah lambang keusahawanan Melayu silam akan menjadi aset penting menyemarakkan kegiatan pelancongan Terengganu.










Berdasarkan beberapa catatan dan riwayat soheh, rumah agam itu mula dibina pada 1840 dan siap 10 tahun kemudian oleh sekumpulan tukang Melayu yang sangat hebat sehinggakan tiang di dalam rumah itu tidak kelihatan. Tiang itu dikatakan semuanya disembunyikan di sebalik dinding. Binaannya bercirikan rekaan rumah Limas Belanda dan Bujang Berpeleh Kembar Tiga yang menjadi ciri utama rekaan rumah Melayu negeri ini.








Ada juga penerapan seni bina dari luar kerana Haji Su seorang pedagang yang belayar di seluruh Asia serta memperoleh ilham untuk diterapkan dalam seni bina kediamannya. Sebagai contoh, ukiran di dinding bahagian atas rumah itu menyamai ukiran istana dan kota lama di Jaipur, India.









Dindingnya daripada papan kesek dihiasi dengan bendul berlorek yang memisahkan bahagian atas dan bawah rumah serta berfungsi mengukuhkan setiap sambungan dinding. Kiri dan kanan bahagian bumbung pula dikemaskan dengan kayu peleh, manakala puncak setiap bumbung diletakkan kayu berukiran sebagai hiasan. Ada tiga bahagian dalam rumah itu, ruang beranda agak kecil, tetapi sebaik melangkah ke ruang tamu, keluasannya cukup menyenangkan dengan ukuran 4.8 meter x 18 meter dan dibahagikan kepada dua sudut.










Penyelidikan LMT mendapati, pembinaan dua sudut itu bertujuan memisahkan tetamu lelaki dan wanita sebagai mematuhi peraturan dan adat serta agama. Manakala bahagian rumah ibu atau ruang makan seluas kira-kira 2 meter x 4 meter dan dilengkapi meja makan klasik untuk meraikan tetamu dalam pelbagai majlis yang diadakan.









"Seni ukiran menarik memenuhi bahagian dalam rumah bagi memastikan dinding tidak kelihatan kosong. Manakala kawasan luar rumah direka untuk mempunyai halaman luas dan dipagari dengan pokok buluh cina," kata Mohd Yusof lagi.









Ciri lain yang menarik bagi rumah itu ialah 70 tingkap dan 12 pintu besar yang dibina bagi membolehkan sistem pengudaraan memasuki setiap ruang, manakala bahagian atas tingkap dipasang cermin bagi memberi laluan cahaya semula jadi. Ini penting supaya setiap ruang dan sudut mendapat pencahayaan yang cukup, manakala lantainya yang menggunakan papan cengal kelihatan sentiasa kemas walaupun tidak dibersihkan.









Mengulas kejayaan pembelian rumah itu, Mohd Yusof berkata, ia adalah sebahagian usaha kerajaan mengekalkan monumen atau artifak warisan bangsa agar tidak lenyap begitu saja.











"Mungkin ada yang mempersoalkan mengapa membelanjakan wang membeli rumah usang. Ia bukan sekadar soal rumah atau tapak warisan, tetapi kita sebenarnya turut membeli dan mengekalkan bersama ilmu mengenai seni bina Melayu, yang melambangkan intipati kemajuan teknologi, ketinggian nilai seni serta acuan corak budaya.









"Apa yang pernah menjadi lambang kebanggaan dalam kehidupan silam bangsa dan kini hampir lenyap perlu terus dipertahankan untuk diwarisi," katanya.






INFO





  • Rumah Haji Su siap dibina pada 1850 oleh usahawan Melayu, Su Mohammed Salleh Mohammed atau Haji Su

  • Konsep rekaan ialah Limas Belanda dan Bujang Berpeleh Kembar Tiga berpasak tanpa paku

  • Diambilalih LMT pada 2010 dengan kos RM3.2 juta (termasuk kos tanah)

  • Terletak di Kampung Losong Haji Su, Losong, Kuala Terengganu

  • Ciri-ciri unik antaranya memiliki 70 tingkap dan 12 pintu masuk.






Teruskan membaca..

Panduan pilih program motivasi



Panduan pilih program motivasi


Oleh Dr Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad

drasmadi@maptraining.com.my




LEBIH 20 tahun lalu, program motivasi terutamanya bagi pelajar sesuatu yang baru. Hanya beberapa nama besar yang menjalankan program motivasi ketika itu.




Hari ini, program motivasi semakin bercambah dengan lebih ramai individu yang menceburkan diri ke dalam lapangan ini. Selaku Presiden TAMRIN (Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia), saya amat menggalakkan perkembangan positif ini.




Bagaimana memilih program motivasi yang bagus bagi anak-anak kita?




Nama besar bukan jaminan - Ramai yang terpancing apabila individu yang ada nama besar menjalankan program motivasi. Kita perlu faham, program motivasi tidak sama dengan ceramah satu dua jam. Seseorang yang tiada pengalaman dalam bidang latihan tidak mampu mengendalikan program motivasi dengan berkesan.





Peranan seorang motivator amat berbeza berbanding peranan seorang guru, pensyarah dan penceramah. Guru dan pensyarah tugasnya mengajar. Penceramah memberikan ilmu dan meningkatkan kesedaran (awareness). Sama ada wujud tindakan atau perubahan itu bukan objektifnya, yang penting menyampaikan. Biasanya, apa yang disampaikan itu bersifat umum.




Sebaliknya motivator tugasnya menyampaikan ilmu dan menunjukkan cara (contohnya ialah cara mengambil nota yang betul) dengan membuka minda, mendorong perubahan dan peserta bertindak selepas program ke arah memperbaiki dirinya. Tidak semua penceramah boleh menjadi motivator.


  • Yuran penyertaan sesuatu yang subjektif - Berapakah yuran yang perlu dibayar? Ini adalah soalan yang bermain dalam fikiran kita. Tiada satu garis panduan khusus kerana yuran adalah subjektif bergantung kepada:

    - Pengalaman dan kelulusan akademik motivator.

    - Kos yang ditanggung seperti sewa dewan, promosi, modul dan bahan, makan minum, bangunan pejabat, pengurusan, kakitangan dan fasilitator.


  • Kena faham objektif program - Ramai ibu bapa yang mengharapkan anak mereka berubah selepas program. Sebelum ibu bapa meletak harapan terlalu tinggi kita mestilah faham objektif program itu.

    Seminar motivasi Bahasa Inggeris misalnya, mendorong pelajar minat dan mahu belajar Bahasa Inggeris. Oleh itu tidak adil jika kita mahu dia berubah sikap dan positif dalam semua perkara selepas program.

    Program Kem Ibadah pula bertujuan untuk mendorong anak-anak minat beribadah, faham dan tahu cara solat yang betul dan terdorong melakukan pelbagai amalan sunat. Oleh itu adalah tidak adil kalau kita mahu anak cemerlang akademiknya selepas tamat menghadiri program itu.


  • Pengisian dan aktiviti mestilah tidak bertentangan dengan syariah - Ada sesetengah program yang meniru pengisian dan aktiviti daripada luar negara atau barat yang tidak faham sensitiviti dan pantang larang kita terutamanya orang Melayu dan Islam.

    Aktiviti yang membabitkan pergaulan bebas lelaki dan perempuan, memalukan atau mengaib peserta, mendesak atau memaksa dan seumpamanya tidak sesuai dengan masyarakat kita.


  • Penceramah dan fasilitator mesti ada kredibiliti dan berintegriti - Sikap ikut apa yang saya cakap tapi jangan tiru apa saya buat tidak sesuai dalam mendidik pelajar. Biasanya, selepas tamat program, motivator akan dijadikan model ikutan, mentor serta contoh diteladani.

    Oleh itu, mereka yang terlibat dengan program hendaklah terdiri daripada individu mempunyai kredibiliti tinggi serta berintegriti.


  • Lokasi selesa dan selamat - Apabila memilih program maka pilihlah program yang dijalankan di lokasi selesa dan selamat. Kita tidak mahu merisikokan anak-anak dengan sesuatu yang membahayakan diri mereka. Pastikan aktiviti lasak dipantau dan diajar jurulatih dan fasilitator yang bertauliah. Tempat selesa juga membolehkan peserta memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap apa disampaikan.


  • Khidmat susulan selepas program - Ibu bapa perlu memilih program dijalankan oleh mereka yang senang dihubungi apabila ada sebarang isu atau masalah.

    Di MAP Training & Consultancy Sdn Bhd, kami memberikan peluang kepada pelajar mendapatkan khidmat susulan melalu Facebook, emel atau datang ke pejabat selepas temu janji.


  • Pengalaman dan testimoni satu kelebihan - Apabila memilih program maka pilihlah program yang mempunyai rekod baik kerana pengalaman tidak boleh dijualbeli. Pengalaman perlu diraih melalui berjam-jam perlaksanaan kursus dan program. Sebab itulah program yang sudah lama bertapak sering mendapat sambutan berbanding program baru diperkenalkan.

    Tambahan pula testimoni daripada peserta banyak dan keyakinan orang akan bertambah apabila peserta yang pernah menghadiri program sendiri mempromosikan.

    Sempena cuti sekolah ini, MAP Training & Consultancy Sdn Bhd menjalankan program motivasi bagi para pelajar berusia 10 hingga 19 tahun.

    Motivasi alihan pelajar adalah satu program motivasi yang wujud sejak 1995. Sehingga kini, lebih 100,000 pelajar menyertai program motivasi itu.

    Untuk mengetahui lokasi serta tarikh seminar terkini, hubungi pejabat motivasi alihan pelajar iaitu 03-22734622, 016-5580719, 05-3134622, 016-5580619 atau layari laman web kami di www.laman-map.com.




  • Sumber






    Teruskan membaca..

    'Terima kasih PM peluang masuk UiTM'



    'Terima kasih PM

    peluang masuk UiTM'


    NUR ZAKIAH memeluk ibunya, Salmah Ali Sahab sebagai tanda gembira kerana menerima tawaran melanjutkan pelajaran dalam program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB), semalam.
    NUR ZAKIAH memeluk ibunya,
    Salmah Ali Sahab sebagai tanda gembira kerana
    menerima tawaran melanjutkan pelajaran dalam program
    Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB), semalam.




    Program MDAB bantu pelajar miskin ke IPTA





    SERI ISKANDAR: “Terima kasih PM (Perdana Menteri), ” kata Nur Zakiah Jamaluddin, 18, yang berpeluang mengikuti pengajian Pra-Universiti Program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini.






    Nur Zakiah, anak pemandu lori menzahirkan kegembiraan itu kerana dapat belajar di UiTM Kampus Seri Iskandar secara percuma sekali gus memenuhi impian belajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).







    Program yang diilhamkan oleh Datuk Seri Najib Razak itu berjaya memberi kesempatan kepadanya dan penuntut lain khususnya dari keluarga berpendapatan rendah memasuki universiti.







    Nur Zakiah berkata, sebelum ini beliau telah ditawarkan ke kolej swasta, namun terpaksa ditolak kerana tidak mampu untuk membiayai yuran pengajian serta perbelanjaan sara hidup ketika pengajian.








    “Dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lalu, saya tidak mendapat sebarang A, justeru program UiTM medan terbaik saya menebus kekecewaan lalu,” katanya kepada Berita Minggu pada majlis penyerahan surat tawaran program MDAB di UiTM Perak kelmarin.









    Majlis itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Blanja, Datuk Mohd Zaim Abu Hasan yang turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria.

    Program MDAB itu usaha sama Gerakan Destini Anak Bangsa (GDAB) untuk memberi ruang kepada Bumiputera kurang berkemampuan menimba ilmu di peringkat tertinggi.







    Nur Fatihaizma Sabaruddin, 18, berkata program MDAB mengubat kekecewaan untuk meneruskan pengajian kerana gagal mencapai keputusan yang cemerlang dalam SPM tahun lalu.











    “Sebelum ini, saya rasa agak sedih dan terkilan kerana tidak mendapat sebarang tawaran belajar ke mana-mana tempat.










    “Dengan adanya program seumpama ini memberi peluang kepada saya membuktikan saya juga mampu berjaya sehingga ke peringkat lebih tinggi.










    “Saya mahu membanggakan keluarga dan mengubah nasib keluarga yang berkorban untuk saya. Terima kasih terutama kepada PM kerana mengilhamkan program seumpama ini, " katanya.







    Teruskan membaca..

    Karnival belia capai kemuncak



    Karnival belia capai kemuncak



    ORANG ramai berpusu-pusu
    untuk sama-sama
    memberikan sambutan meriah
    pada
    Himpunan Jutaan Belia 2012
    di Putrajaya, semalam.



    PUTRAJAYA 26 Mei - Sambutan Himpunan Jutaan Belia mencapai kemuncak hari ini dengan ramai belia pelbagai kaum tidak mahu melepaskan peluang menyertai aktiviti-aktiviti menarik yang diadakan.



    Tidak kira konsert artis tempatan dan antarabangsa, Pesta Jepun, aktiviti sukan lasak, pesta layang-layang, pertandingan sorak atau aktiviti kesenian, semua tapak pameran dan aktiviti telah dipenuhi dengan belia.



    Suasana meriah tersebut turut menunjukkan Kementerian Belia dan Sukan semakin menghampiri sasaran dua juta pengunjung dalam tempoh lima hari.



    Sambutan Himpunan Jutaan Belia yang memasuki hari keempat pada hari ini bertambah berwarna-warni apabila ramai orang muda memakai kemeja “Saya sayang PM" dalam pelbagai warna sebagai tanda sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengadakan program walkabout hari ini.



    Panas terik tidak menghalang puluhan ribu belia menggunakan pelbagai cara termasuk sorakan, tepukan, sepanduk, kain rentang, paluan gendang dan tarian untuk memberi sokongan kepada Perdana Menteri yang melawat tapak Himpunan Jutaan Belia, di sini hari ini.



    Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor memulakan program walkabout pada pukul 3 petang dengan mengadakan lawatan ke tapak My Kampung Art untuk melihat kain batik terpanjang di Malaysia berukuran 263.3 meter.



    Di situ, Najib dan isteri dihiburkan dengan Kawad Berirama Belia 1Malaysia yang disertai lebih 1,000 belia, iaitu kawad berirama paling besar pernah diadakan di negara ini.



    Program ramah mesra rakyat bersama Perdana Menteri diikuti dengan lawatan ke tapak pameran pendidikan dan keusahawan muda serta Pesta Jepun diadakan di Presint 2.



    Seterusnya, Perdana Menteri dan isteri singgah di Little India dan Taman Kebudayaan Pemuda Cina di mana mereka disambut meriah dengan paluan gendang India, gendang 24 musim Cina dan tarian singa.



    Di hadapan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan pula, ketibaan Najib dan menteri-menteri Kabinet disambut dengan sorakan serta tepukan gemuruh para belia yang turut mempersembahkan Dikir Barat 1Malaysia.







    Sumber










    Teruskan membaca..

    LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...