"Esok jangan panggil kami tuan"
Oleh Zin Mahmud
Thanks google :)
KHAMIS lalu, 30 Ogos 2012, aku membawa ayahku ke RSAT untuk pemeriksaan kesihatan berkalanya. RSAT adalah panggilan askar terhadap hospital mereka di Kementerian Pertahanan Kuala Lumpur.
Ia kependekan kepada Rumah Sakit Angkatan Tentera. Sebenarnya itu nama lama. Mana ada orang sekarang panggil hospital rumah sakit.
Nama kini ialah Pusat Perubatan Kementah (Kementerian Pertahanan).
Kalau aku masuk ke pintu pengawal dan memberitahu askar bertugas itu bahawa aku mahu pergi ke hospital, dia akan jawab “Apa?". Jadi aku kena sebut “RSAT"
Maka dalam perjalanan ke RSAT itu, aku bertanya kepada ayahku: “Ingat tak, apa abah buat pada 31 Ogos 1957?"
Aku pasti mesti dia ingat sebab tarikh-tarikh bersejarah sebegini akan membuatkan seseorang ingat di mana mereka berada dan apa yang mereka lakukan.
“Ingat. Masa itu berada di hutan di sekitar Slim River, Perak. Operasi tentera," katanya.
“Banyak komunis lagi?" tanya aku.
“Banyak. Masa itu masih darurat. Dalam hutan, dari utara sampai ke Johor, komunis masih banyak," ceritanya. Maknanya ketika Tunku Abdul Rahman memasyhurkan kemerdekaan di Tanah Melayu, perang masih berlaku antara komunis dan pihak berkuasa penjajah British.
“Operasi itu berjaya?" tanya aku lagi.
“Berjaya. Dua orang komunis dibunuh. Masa itu abah dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) kelima. Tetapi pegawai CO dan IO orang putih," katanya.
CO ialah Commanding Officer atau pegawai pemerintah. IO pula ialah Intelligence Officer atau Pegawai Perisikan.
“Sehari sebelum perisytiharan merdeka, 30 Ogos 1957, kami diminta berhimpun dan mendengar ucapan CO.
“CO itu kata, esok kamu merdeka. Malaya merdeka. Jadi mulai esok jangan panggil kami tuan lagi. Kamu sudah merdeka. Kita sama saja. Kita semua soldadu."
Keesokannya iaitu 31 Ogos 1957, mereka mengadakan majlis makan-makan bagi meraikan perisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu.
Kini perkataan soldadu sudah tidak digunakan lagi. Soldadu adalah perkataan asal Portugis yang telah diserapkan ke bahasa Melayu, tetapi kini ia sudah pun ditinggalkan.
Pada tahun kemerdekaan itu, Tanah Melayu masih dalam peperangan, antara komunis dengan kerajaan.
Tetapi kerajaan penjajah tidak mahu menamakannya sebagai peperangan. Ia mahu secara rasmi peperangan ini dianggap sebagai kecemasan ataupun Emergency. Iaitu suatu keadaan yang tiba-tiba timbul (emerge) untuk ditangani. Maka istilah Melayu yang diambil sebagai terjemahan ialah Darurat yang berasal daripada perkataan Arab, darurah, keadaan luar biasa yang memaksa seseorang menanganinya dengan cara di luar peraturan untuk sementara waktu.
Kerajaan penjajah British mengelak menamakannya sebagai peperangan kerana tidak mahu ekonomi Tanah Melayu lumpuh. Ini kerana jika diisytiharkannya sebagai perang, maka syarikat-syarikat insurans di Britain pasti enggan mengatur pembiayaan untuk ladang dan lombong di Malaya.
Lihatlah betapa hanya dengan penggunaan istilah berbeza dan peraturan undang-undang, pihak British dapat mencapai apa yang dikehendakinya.
Namun apa yang disebut Darurat adalah pada hakikatnya merupakan peperangan apabila ramai orang mati terbunuh dan pertempuran antara kedua-dua pihak.
Bagi pihak komunis, ia merupakan Perang Kemerdekaan dan mereka adalah pejuang untuk membebaskan Malaya. Bagi kerajaan pula, pihak komunis adalah pengganas yang matlamatnya menghambakan rakyat Malaya di bawah sistem kuku besi berpusat di Peking (sekarang Beijing) dan Moscow.
Justeru strateginya adalah untuk menjadikan peperangan ini antara pengganas komunis dengan rakyat dan Tanah Melayu yang berdaulat.
Maka Tanah Melayu mestilah dimerdekakan dan rakyatnya diberi suara. Apabila keadaan ini berlaku, perjuangan kemerdekaan komunis akan jelas palsu dan rakyat akan bersama dengan pihak kerajaan.
Maka langkah pertama adalah membatalkan gagasan yang hendak menjadikan Malaya sebagai tanah jajahan British secara lebih jelas iaitu Malayan Union dan memulihkan kedudukan Raja-raja Melayu dengan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1950 bersama majlis perundangan antara pemimpin tempatan dan pihak penjajah.
Langkah kedua adalah pemerintahan sendiri melalui pilihan raya umum melibatkan parti-parti politik tempatan yang diadakan pada 1955. Maka jawatan Ketua Menteri Tanah Melayu pun diwujudkan dengan disandang oleh Tunku Abdul Rahman yang partinya, Perikatan berjaya meraih kerusi terbanyak. Tunku diberikan mandat untuk berunding dengan pihak komunis bagi menamatkan Darurat.
Berdaulat
Langkah ketiga adalah kemerdekaan Tanah Melayu dengan Tunku menjadi Perdana Menteri pertama. Tiga langkah ini menjadikan Tanah Melayu berdaulat dengan sistem di mana rakyat dapat menentukan nasibnya sendiri. Justeru, perjuangan kemerdekaan komunis menjadi tidak relevan.
Langkah-langkah ini menyumbang kepada kekalahan komunis yang akhirnya membawa kepada -penamatan Darurat pada 1960.
Setelah Darurat berakhir, tidak ada sebab perlunya ada ramai tentera. Ayah aku bersama beribu-ribu lain ditamatkan perkhidmatannya mengikut tempoh masing-masing.
Ketika Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963, ayah aku menjadi penjaja air di bandar Batu Pahat. Aku masih ingat pada satu hari hujan, beliau mengayuh pulang kereta sorongnya dengan balang penuh tidak terjual.
Tetapi pada tahun berakhirnya Darurat, Singapura dikhuatiri akan jatuh ke tangan komunis. Walaupun komunis kalah di hutan Malaya, tetapi kedudukannya kukuh di bandar Singapura. Anasir-anasirnya menyusup masuk Parti Tindakan Rakyat (PAP) dengan Lee Kuan Yew bertarung untuk mengalahkan mereka.
Lee Kuan Yew berjaya mengeluarkan mereka daripada PAP di mana golongan ini masuk bertanding pilihan raya melalui Barisan Sosialis. Kalau komunis berjaya menguasai Singapura, ia akan menjadi pangkalan berbahaya. British bimbang.
Maka satu kaedah bagi menyelamatkan keadaan adalah dengan penggabungan Singapura dengan Malaya. British setuju.
Tetapi jika kedua-duanya bergabung, kaum Cina akan menjadi majoriti. Tunku tidak bersetuju. Kaedah lain perlu dicari. Maka dicadangkan penyertaan Sarawak, Brunei dan Sabah ke dalam gabungan Malaya-Singapura. Maka muncullah gagasan Malaysia.
Setelah Malaysia diisytiharkan. Indonesia melancarkan Konfrontasi Ganyang Malaysia kerana menyifatkan negara baru ini merupakan langkah untuk mengepungnya.
Sukarno melancarkan Trikora (Tiga Komando Rakyat) untuk menyerang wilayah Malaysia.
Maka satu hari pada 1964, ayahku menerima surat tawaran untuk menyertai semula Askar Melayu Diraja bagi mempertahankan negara daripada serangan Indonesia.
Beliau ditempatkan di Kem Sungai Besi. Kuarters tidak mencukupi. Maka banyaklah anggota askar menyewa di rumah-rumah papan yang dibina di ladang getah berhampiran. Penempatan itu kemudian dinamakan Kampung Malaysia Raya.
Operasi ayahku yang makan masa berbulan-bulan banyak berkisar di pantai Port Dickson dan Morib bagi mengawal pantai negara daripada diceroboh oleh komando Indonesia.
Darurat dan Konfrontasi telah memberi pekerjaan kepada ayahku. Tetapi menjadi tentera pada zaman negara diancam komunis bukanlah suatu pekerjaan makan gaji biasa. Ia menuntut pengorbanan diri dan keluarganya yang tidak dapat dinilai dengan gaji dan pencen.
Kemerdekaan Tanah Melayu dan pembentukan Malaysia tidak dicapai melalui dulang emas. Walaupun peristiwa-peristiwa ini melibatkan rundingan tetapi ia tidak berlaku secara aman. Kemerdekaan tetap diraih melalui darah, keringat dan air mata.
Sumber