Melabelkan buku terlaris
BUKU best seller boleh difahami sebagai buku paling laris yang diterbitkan pada jangka masa tertentu. Buku paling laris ini boleh dikategorikan dalam bidang tertentu seperti buku fiksyen atau non-fiksyen. Setiap buku yang diterbitkan ada peminatnya tersendiri.
Secara amnya best ertinya baik dan seller bermakna terjual. Oleh itu best seller boleh difahami sebagai buku yang paling banyak terjual atau dibeli oleh pembaca.
Menurut sejarah, best seller adalah istilah bagi jualan buku yang pertama digunakan di Kansas pada 1889. Di Barat pada abad ke-16 dan 17, buku Robinsoe Crusoe (1719) dan The Adventure of Roderick (1748) adalah novel pendek yang suka dibaca oleh orang ramai dan dianggap terlaris.
Ada banyak kriteria yang menentukan buku terlaris. Ia bergantung pada penerbit yang menjalankan perniagaan buku itu. Misalnya sesebuah penerbit itu menentukan kriteria buku terlaris adalah hasil ulang cetak dan jumlah yang dicetak dalam waktu tiga bulan sejak terbit pertama kali.
Pengiraan ini dibuat pada setiap minggu, bulan atau tahun. Buku-buku ini dikategorikan sebagai novel, buku agama, buku pengetahuan atau sebagainya. Label buku terlaris itu boleh ditentukan selepas buku tersebut mendapat sambutan pembaca dan terpaksa diulang cetak beberapa kali atas permintaan pembaca. Label itu dilekatkan di kulit buku untuk menarik perhatian pembaca.
Meletakkan label buku terlaris dianggap sesetengah pihak sebagai amat wajar. Ini kerana ia dilihat sebagai usaha mempromosikan buku tersebut supaya mencatatkan lebih banyak jualan.
Menurut kajian, perkara ini dilakukan atas dorongan untuk mengaut keuntungan. Ada fakta menyebutkan bahawa buku-buku yang dijual terpaksa dicetak berulang kali kerana ada pembaca lebih terpengaruh dengan label buku terlaris yang diletakkan.
Di Indonesia ada kajian menunjukkan pada 2010, daripada 85.1 peratus penduduk Indonesia, seramai 240.271.522 juta orang beragama Islam, 9.2 peratus Protestan, 3.5 peratus Katolik, 1,8 peratus Hindu dan 0.4 peratus Buddha.
Daripada statistik penduduk di atas,
buku atau kitab suci terlaris yang dijual
sepanjang tahun di negara tersebut
adalah seperti berikut:
1. Al-Quran
2. Injil
3. Veda (Kitab suci agama Hindu)
4. Vinaya Pitaka, Sutta Pitaka, Abhidhamma Pitaka
(Kitab suci agama Buddha)
Al-Quran terlaris kerana majoriti penduduk Indonesia ialah penganut agama Islam. Hampir setiap rumah memiliki al-Quran. Begitu juga di Malaysia, selain buku umum, kitab suci adalah yang terlaris.
Di Eropah dan Amerika Syarikat (AS), kitab suci al-Quran mula dibeli dan dibaca oleh warga Inggeris selepas tercetusnya Islamofobia. Berjuta-juta naskhah dijual kepada pembaca yang ingin mengetahui ajaran Islam.
Selain al-Quran, Wikipedia mencatatkan antara buku umum terlaris dunia adalah A Tale of Two Cities oleh Charles Dicken yang diterbitkan pada 1859 dengan jualan 200 juta naskhah di seluruh dunia.
Buku-buku lain termasuk The Little Prince karangan Antoine de Saint Exuper terbit 1943 terjual lebih 140 juta naskhah, The Hobbit karya J.R.R.Tolkein terbit 1937 terjual 100 juta naskhah, Dream of the Red Chamber karya Cao Xueqin ditulis dalam bahasa Cina pada 1754-1791 terjual 100 juta naskhah, begitu juga buku And Then There None karya Agatha Christie yang terbit tahun 1939 juga terjual 100 juta naskhah di seluruh dunia.
Pada 2012 di negara kita,
antara buku umum terlaris adalah
seperti berikut:
1 A Doctor In The House: The Memoirs Of Tun Dr. Mahathir Mohammad oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad
2 Wisdom From Laughter: 500 Jokes
With Life Lessons oleh Oh Teik Bin & Lee Kiang Wui
3 Ubat, Doa & Penyembuhan Serta
Khasiat Surah Al-Quran oleh Ustaz Sharhan Safie
4 Marketing Halal: Creating New
Economy, New Wealth oleh Liow Ren Jan & Jamil Bidin
5 Mydin di Sebalik Tabir oleh Dr.Siti
Hawa Mohd.
6 Ensiklopedia Solat: Kombinasi Fakta
Hukum Dan Sains (Fiqah, Falsafah, Sejarah, Saintifik) (Ilustrasi & Foto Menarik) oleh Datuk Hashim Yahaya.
7 Hotshots- 40 Years Of Great News
Images oleh The Star
8 Travelog Kewartawanan Islam oleh
Roslan Hamid
9 Memoir Perjuangan Politik Syed
Husin Ali oleh Dr. Syed Husin Ali.
10 The Best Of Chef Wan: A Taste Of
Malaysia oleh Chef Wan.
MPH Book Store pula mencatatkan
buku terlaris akhir 2012 antaranya:
1 Tuhan Sedang Menguji Kita oleh Ustaz
Kazim Alias.
2 Di Mana Dia Di Hatiku oleh Pahrol
Mohd. Juoi.
3 Penawar Duka Pengubat Sengsara
oleh Dr. Asri Zainal Abidin.
4 Rothschild: Yahudi Kepercayaan Dajal
oleh Ibnu Yaacob.
5 400 Kesalahan Dalam Solat oleh
Muhammad al Misri
6 Ensiklopedia Solat-Kombinasi Fakta,
Hukum dan Sains oleh Datuk Hashim Yahaya.
7 Diari Hamil: Menanti Detik Keindahan
Bersama Mu oleh Khariul Nisa Zakaria
8 Sebelum Aku Berikan-Berusaha
Mencapai Mampu oleh Haikal Asyraf
9 Ziarah ke Alam Barzah oleh Al Imam
Jalaluddin As Sayuti
10 Di Hamparan Shahrukh - Ku Seru
Nama Mu oleh Hasrizal Abdul Jamil
Dari catatan di atas kita dapati buku-buku agama dan memoir personaliti terkemuka tanah air menjadi buku terlaris. Namun begitu ia belum dapat mengatasi jualan buku kategori novel cinta yang mencapai ratusan ribu naskhah dan diulang cetak berulang kali.
Berdasarkan hakikat ini industri penerbitan buku boleh digerakmajukan dan bilangan pembaca boleh digandakan sekiranya kita bersedia melakukan sesuatu yang boleh menghidupkan suasana pembacaan dalam kalangan orang ramai. Mengadakan label buku terlaris antara usaha yang boleh dijalankan.