Murid lompat Tahun Tiga tak cicir subjek Tahun Dua
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran memperkenalkan silibus mampat bagi membolehkan murid pintar Tahun Satu di Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) terus melompat ke Tahun Tiga tanpa ketinggalan dalam pembelajaran sukatan Tahun Dua.
Menerusi silibus itu, murid Tahun Satu yang lulus ujian khas berdasarkan sukatan Tahun Dua pada pertengahan Ogos ini akan mempelajari 50 peratus sukatan pelajaran awal Tahun Dua dalam tempoh tiga bulan terakhir pada Tahun Satu.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata pada tahun depan murid terbabit akan terus ditempatkan di Tahun Tiga, tetapi akan mengikuti 50 peratus lagi sukatan pelajaran Tahun Dua dalam tempoh tiga bulan pertama.
"Mereka akan mengikuti pelajaran Tahun Tiga pada April setelah lulus ujian penilaian kedua bagi sukatan Tahun Dua pada akhir Mac.
"Oleh itu, murid pintar ini dapat mengurangkan tempoh pembelajaran pada peringkat sekolah rendah setahun lebih awal, iaitu daripada enam tahun kepada lima tahun," katanya kepada Berita Harian.
Bulan lalu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan pemilihan kumpulan pertama 20 SBT termasuk enam sekolah rendah yang menyaksikan pengetua dan guru besar diberi autonomi tambahan dalam pengurusan kurikulum, kewangan serta kakitangan.
Autonomi berkenaan antara lain memberi kelonggaran memanjangkan waktu persekolahan, menamatkan tempoh persekolahan pelajar cemerlang setahun lebih awal, mengagihkan kewangan mengikut keperluan serta mengambil kakitangan berdasarkan pencapaian dan bukan kekananan.
Alimuddin berkata, pelaksanaan ini silibus mampat itu adalah antara cadangan yang dibincangkan secara terperinci dalam makmal bidang keberhasilan utama negara (NKRA) selaras langkah kerajaan memperkenalkan SBT.
Mengenai pemberian autonomi untuk memanjangkan waktu persekolahan, beliau berkata, SBT masih tertakluk kepada jumlah waktu pengajaran dan pembelajaran harian yang ditetapkan kementerian.
Bagaimanapun, beliau berkata, garis panduan mengenai perkara itu sedang disediakan untuk pelaksanaan SBT di mana pengetua dan guru besar diberi kuasa untuk menjalankan dan menyusun jadual anjal atau jadual waktu yang fleksibel.