Photobucket

Sahabat Maya :

Monday, September 20, 2010

Tip UPSR



Tip UPSR: Kira tanda hitam 40, jika kurang ada soalan tak jawab
Oleh Anuar Ahmad
upen@bharian.com.my
2010/09/14


Bahasa Melayu Pemahaman
BAGI membantu calon mendapat markah maksimum, beberapa petua diberikan bagi menjawab soalan kertas ini dengan baik. Seperti yang diketahui, kertas 1 mempunyai dua bahagian iaitu tatabahasa dan pemahaman. Kedua-dua bahagian ini mempunyai teknik menjawab yang berbeza.
1.1 Tatabahasa

Pastikan anda sudah menguasai kesemua bahagian tatabahasa. Ini penting kerana kesemua pilihan jawapan yang diberikan perlu difahami terlebih dahulu sebelum anda menjawab soalan. Di bawah ini merupakan beberapa langkah yang perlu dilakukan oleh calon sewaktu hendak menjawab soalan bahagian tatabahasa.

1.1.1 Faham
Calon perlulah memahami kesemua pilihan jawapan yang disediakan. Kesalahan memilih jawapan berlaku kerana calon tidak memahami pilihan jawapan yang diberikan. Calon hanya cuba mengagak maksud jawapan berkenaan. Kebiasaannya akan wujud satu atau dua pengganggu jawapan yang paling dekat dengan jawapan yang tepat. Oleh itu, calon perlu benar-benar memahami pilihan jawapan yang disediakan. Catatlah secara ringkas maksud pilihan jawapan berkenaan. Contoh:

A memberi menyampaikan sesuatu
B mengirim menghantar menerusi sesuatu
C membalas menjawab surat
D menerima mendapat sesuatu

1.1.2 Baca

Bacalah ayat yang disediakan. Fahami betul-betul ayat tersebut dan kesesuaiannya dengan pilihan jawapan. Kadang-kadang ada pilihan jawapan yang seolah-olah boleh dipilih sebagai jawapan. Pilihan jawapan yang sebeginilah yang biasanya menjadi perangkap utama.
Contoh:
Ayah ._____ sepucuk telegram dari kampung.

1.1.3 Kesan

Anda perlu mengesan klu yang terdapat dalam ayat atau gambar. Bulat atau gariskan klu berkenaan. Ini penting kerana klu inilah yang akan membantu dan memudahkan anda memilih jawapan yang tepat.

(Bulatkan perkataan ‘dari’ sebagai klu jawapan yang menunjukkan ayah menerima)

Ayah _____ sepucuk telegram dari kampung.

1.1.4 Pilih

Peringkat ini adalah peringkat paling penting. Pilihlah jawapan yang paling tepat dan mengikut kehendak soalan. Pengganggu yang diberikan sudah pasti akan mengelirukan adik-adik. Oleh itu, fahamilah betul-betul kesesuaian ayat dengan pilihan jawapan.

Ayah _____ sepucuk telegram dari kampung.

A memberi menyampaikan sesuatu
B mengirim menghantar menerusi sesuatu <-- Pengganggu yang hampir tepat C membalas menjawab surat D menerima mendapat sesuatu <-- Jawapan yang paling tepat Calon-calon, pastikan: * 1 soalan hanya ada 1 - 1 1/2 minit sahaja. * Jangan membuang masa dengan cuba menjawab soalan yang susah. * Jawab soalan Bahagian Tatabahasa (Soalan 1 hingga Soalan 30) terlebih dahulu. * Peruntukan masa antara 15 hingga 20 minit untuk Bahagian Tatabahasa. * Jawab soalan yang lebih mudah dahulu. * Segera jawab soalan Bahagian Petikan. * Peruntukan masa 10 minit untuk setiap petikan. * Baki masa untuk tujuan menyemak semula jawapan. 1.2 Pemahaman

Calon-calon hanya perlu menjawab 10 soalan sahaja dalam bahagian pemahaman. Namun begitu setiap soalan amat berkait rapat dengan petikan yang disediakan. Untuk menjawab soalan pemahaman, calon perlulah memperbanyakkan latihan menjawab kerana bahagian ini memerlukan kemahiran yang tinggi dalam hal memahami petikan. Antara langkah-langkah yang perlu dilakukan sewaktu hendak menjawab soalan petikan ialah:

1.2.1 Baca dan faham

Calon-calon perlu membaca petikan dan memahaminya terlebih dahulu. Selepas itu, barulah membaca soalan dan memahami pilihan jawapan yang disediakan. Jangan sesekali menjawab soalan tanpa membaca petikan terlebih dahulu.

1.2.2 Cari pembayang jawapan

Kebiasaannya klu atau pembayang jawapan berada dalam petikan. Calon perlu menggariskan klu tersebut. Pastikan klu berkenaan berkait rapat dengan soalan.

…Lawatan tersebut diadakan adalah bertujuan untuk mendedahkan kepada murid-murid proses membuat kerepek di kilang.

1.2.3 Penyesuaian

Sesuaikan pembayang yang anda garis dengan pilihan jawapan yang diberikan. Teliti dan fahami betul-betul sebelum memilih jawapan.

Apakah tujuan utama program lawatan diadakan? (soalan)

… bertujuan untuk mendedahkan kepada murid-murid proses membuat kerepek... (pembayang jawapan)

1.2.4 Memilih

Jika calon sudah jumpa pilihan jawapan yang sesuai dengan pembayang yang digaris, pilihlah jawapan tersebut mengikut kehendak soalan. Jangan sesekali memilih pilihan jawapan yang tidak ada pembayangnya dalam petikan.

Berdasarkan catatan di atas, apakah tujuan utama program lawatan diadakan?

A Menyedarkan murid-murid betapa susahnya mencari rezeki.
B Meraikan sambutan dan hari terbuka yang diadakan oleh pihak kilang.
C Menggalakkan murid-murid agar menyertai industri membuat kerepek.
D Menambahkan pengetahuan murid berkenaan proses membuat kerepek.

Langkah-langkah diatas perlu dilakukan dengan penuh teliti. Namun begitu, beberapa kelemahan perlulah diatasi agar calon-calon tidak melakukan kesilapan. Antara kelemahan-kelemahan tersebut ialah:

* Tidak membaca arahan untuk setiap soalan.
* Menjawab soalan dengan tergesa-gesa.
* Kurang memberi tumpuan kepada kata kunci pada setiap soalan.
* Membuang masa dengan soalan yang susah.
* Keliru dengan pengganggu yang hampir sama ejaannya atau maknanya.
* Tersalah menanda jawapan yang sepatutnya pada kertas jawapan.
* Menghabiskan masa terlalu lama membaca petikan.
* Tidak memadam jawapan yang salah dengan bersih pada kertas OMR.

Ingat!

Kira jumlah tanda hitam adalah cukup 40. Jika kurang, ini bermakna ada soalan yang belum berjawab, tetapi jika lebih, mungkin ada soalan yang ditanda dengan dua jawapan. Selamat menghadapi UPSR 2010. Semoga berjaya!
Teruskan membaca..

Doa Menghadapi Peperiksaan


1) Lakukan solat hajat sepanjang minggu peperiksaan.

2) Sewaktu hendak keluar rumah menuju ke dewan peperiksaan, ambil wudhu dan berpakaian bersih.

3) Sewaktu hendak melangkah keluar dari rumah menuju ke dewan exam, takbir sebanyak 9 kali. Keluar rumah dgn kaki kanan.

4) Bila dah sampai di dewan peperiksaan, takbir lagi 9 kali. (Allahu Akbar - x 9).

5) Ketika anda sedang menunggu kertas jawapan atau sebelum menjawab soalan, hendaklah membaca surah berikut hingga akhir 9 kali... (budget2 la masa ya...al-maklum...9 kali you!!!... baca la masa cikgu tgh agih2kan kertas tu).



6) Sekiranya anda terlupa ketika sdg menjwb soalan peperiksaan, anda hendaklah membaca selawat ke atas Nabi S.A.W sebanyak 3 kali.

Semoga Allah permudahkan segala urusan kita.
Teruskan membaca..

WARKAH AYAHANDA PENGARAH PELAJARAN JOHOR KEPADA SEMUA CALON UPSR NEGERI JOHOR 2010


WARKAH AYAHANDA PENGARAH PELAJARAN JOHOR KEPADA SEMUA CALON UPSR NEGERI JOHOR TAHUN 2010

Anakanda,

Ke hadapan anakanda calon-calon UPSR 2010 negeri Johor yang dikasihi. Ayahanda doakan agar anakanda sekalian dikurniakan kesihatan yang terbaik untuk menghadapi peperiksaan UPSR pada 21 hingga 23 September 2010 nanti. Ayahanda harapkan agar anakanda sentiasa tenang dan bersedia dari segi mental dan fizikal untuk peperiksaan yang penting ini.

Dengan kehadiran warkah ini, ayahanda berharap agar dapat menjadi pengganti diri ayahanda dan sesungguhnya anakanda tidak bersendirian dalam menghadapi saat-saat penting dalam kehidupan anakanda. Warkah ini juga umpama harapan dan kasih sayang yang tulus dari ayahanda yang terlalu ingin melihat anakanda beroleh kejayaan yang cemerlang dalam hidup anakanda. Kegembiraan dan kecemerlangan anakanda adalah kepuasan dan kejayaan ayahanda jua.

Anakanda yang dikasihi,

Kejayaan yang hendak diraih sebenarnya memerlukan usaha yang berterusan, tiada kejayaan yang boleh dicapai dengan mudah. Walaupun begitu sekiranya anakanda bersungguh-sungguh dalam apa jua usaha, semua perkara menjadi mudah dan boleh dicapai. Anggaplah kesusahan semasa berusaha untuk cemerlang adalah pengalaman manis yang akan dikenang satu hari nanti. Sifat putus asa dan bertangguh hendaklah dibuang jauh-jauh dari diri anakanda.

Seperkara yang ayahanda ingin berkongsi ialah jangan malu untuk bertanya. Seperti kata pepatah melayu “Malu Bertanya Sesat Jalan” Tanyalah apa jua kemusykilan pada yang mahir. Di sekolah umpamanya kita mempunyai guru-guru yang cemerlang, kaunselor – kaunselor yang gemilang dan guru – guru pakar yang terbilang. Bertanyalah pada mereka semua. Semua persoalan akan terungkai . Bayangkanlah sekiranya anakanda rajin bertanya pada mereka, anakanda akan menjadi pelajar luarbiasa dan cemerlang.

Anakanda yang dikasihi,

Ayahanda tahu bahawa masa kini semakin suntuk, ketika warkah ini dibaca, ayahanda rasa hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi peperiksaan UPSR akan berlangsung. Anakanda harus tenang sehinggalah hari peperiksaan yang sebenar. Cuba dapatkan sokongan dari ibu bapa, keluarga dan guru-guru. Minta restu dan berbuat baiklah pada mereka. Anakanda juga jangan melupakan jasa mereka yang bertungkus lumus menjadikan anakanda pandai. Mohonlah kemaafan dan doa daripada mereka. Ayahanda yakin mereka semua akan mendoakan anakanda. Sebelum ayahanda mengundur diri, sekali lagi ayahanda nasihatkan agar anakanda menjaga kesihatan dan bersenamlah selalu agar badan sihat dan cergas. Gunakanlah masa yang masih berbaki ini sebaik yang mungkin. Jangan buang masa kerana “Masa Itu Emas”. Rajinlah mengulangkaji dan ketahuilah subjek atau topik yang masih belum dikuasai sepenuhnya.

Akhirkata sampaikan salam takzim ayahanda kepada ibu bapa dan guru anakanda. Sekali lagi kita capai “Johor Top 5” tahun ini. Selamat menduduki peperiksaan UPSR. Semoga berjaya dengan cemerlang.

Daripada Ayahanda

(HAJI SUFA’AT BIN TUMIN)

Pengarah Pelajaran Johor

17 Ogos 2010



Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...