UTHM jadi IPT pertama tubuh Briged Relasis
BATU PAHAT 29 Nov. - Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) diberi kepercayaan oleh Ikatan Relawan Rakyat (Rela) untuk menjadi institusi pengajian tinggi (IPT) pertama menubuhkan Briged Rela Siswa Siswi (Relasis).
Seiring penubuhan briged itu, UTHM dengan kerjasama Rela telah mereka bentuk dan menyediakan buku mengenai Panduan Briged Relasis IPT sebagai rujukan dalam melaksanakan penubuhan Relasis di IPT lain di seluruh negara.
Tambah membanggakan, buku panduan itu telah dilancarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada majlis Penganugerahan Pangkat Pegawai Kehormat Rela UTHM di kampus universiti itu di sini baru-baru ini.
Hishammuddin dalam ucapannya pada majlis itu menyeru golongan belia agar membuka minda mereka untuk turut sama menjadi anggota beruniform bagi membangkitkan lagi kesedaran mereka dalam usaha mempertahankan negara.
"Relasis adalah salah satu daripadanya. Dengan menyertai badan beruniform ini, golongan belia yang terdiri daripada kepelbagaian majmuk dapat 'diikat' menjadi satu kumpulan yang kuat demi kestabilan negara," katanya.
Sementara itu Naib Canselor UTHM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin berkata, walaupun penubuhan Relasis masih di peringkat awal, jumlah pelajar yang berminat menyertainya amat membanggakan.
"Setakat ini Relasis UTHM mempunyai seramai 344 anggota dan jumlah pengambilan tersebut akan bertambah lagi selaras dengan pertambahan pelajar dari masa ke semasa," katanya.
Mohd. Noh berkata, walaupun Relasis dianggotai penuntut universiti, UTHM turut melantik 23 staf akademik dan bukan akademik sebagai Pegawai Kehormat Rela Universiti yang akan bertindak sebagai mentor.
Beliau berharap penyertaan dalam pasukan beruniform seperti Relasis akan dapat melahirkan mahasiswa yang mempunyai disiplin tinggi, bertanggungjawab terhadap keselamatan dan keamanan negara selain mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi.