Photobucket

Sahabat Maya :

Tuesday, December 6, 2011

Luqman Haziq, Nasri raih Anugerah Media 2011


Luqman Haziq, Nasri raih Anugerah Media 2011


ABDUL Ghani Othman (tengah) bersama para penerima anugerah
dari Kumpulan Utusan, termasuk Raja Jaafar Raja Ali (kanan)
dan Nasri Jamaluddin (dua dari kanan) di Danga Konvensyen,
Johor Bahru, malam kelmarin.




JOHOR BAHRU 6 Dis. - Kumpulan Utusan mengungguli dua daripada enam kategori yang dipertandingkan bagi media cetak Bahasa Melayu dalam Anugerah Media Johor 2011 yang diadakan buat kali kedua di sini, malam tadi.



Ketua Biro Johor, Luqman Haziq Abdullah memenangi tempat pertama kategori Laporan Berita Ekonomi Terbaik manakala Penolong Ketua Biro Kosmo, Nasri Jamaluddin memenangi tempat pertama bagi kategori Laporan Berita Sukan.



Anugerah Media Johor turut menyaksikan jurugambar Utusan Malaysia, Raja Jaafar Ali berjaya meraih hadiah saguhati bagi kategori Fotografi Minat Insani Terbaik.



Kemenangan tersebut membolehkan mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, trofi dan sijil bagi hadiah utama serta RM500 dan sijil bagi saguhati.



Hadiah kemenangan disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Belia dan Sukan negeri, Md. Jais Sarday dan Presiden Kelab Media Johor, Mohamad Fauzi Ishak.



Mengulas mengenai anugerah tersebut, Abdul Ghani berkata, ia merupakan inisiatif untuk menghargai peranan dan sumbangan pengamal media cetak dan elektronik.



"Golongan ini sering bersama-sama dengan pihak kerajaan, khususnya dalam memberikan publisiti melalui pelaporan dan penyiaran berita mengenai pembangunan, kemajuan dan kejayaan negeri sepanjang tahun ini.



"Semoga anugerah tahunan ini menjadi landasan kepada para pengamal media massa di negeri ini untuk terus cemerlang, malah menjadi wadah untuk melengkapkan diri dengan ilmu dan informasi bagi menghasilkan berita yang terbaik," katanya.



Sebanyak 330 penyertaan bagi kategori media cetak dan elektronik melibatkan laporan berita mewakili empat bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil yang disiarkan sepanjang tahun lalu diterima bagi dinilai oleh Institut Akhbar Malaysia (MPI) untuk Anugerah Media Johor kali ini.



Bagi radio pula, terdapat lima kategori dipertandingkan iaitu Penyiar Radio Terbaik, Liputan Berita Radio Terbaik, Majalah Radio Terbaik, Bicarawara Radio Terbaik dan Jingle Pengumuman Awam Radio Terbaik.



Sementara itu, televisyen pula terdapat empat kategori iaitu Wartawan TV terbaik, Liputan Berita TV Terbaik, Liputan Berita Pelancongan TV Terbaik dan Jurukamera TV Terbaik.




Sumber










Teruskan membaca..

Usah ragu terhadap Allah






Usah ragu terhadap Allah





IMAN adalah membenarkan dengan hati,mengucapkan dengan lisan, dan melakukan dengan anggota badan (beramal). Dengan demikian, iman kepada Allah bererti meyakini dengan sepenuh hati Allah itu ada.




Sebagai Muslim, jangan ada sebarang keraguan terhadap Allah. Kadang-kadang kita alpa untuk mencari dan mengenali Allah. Ilmuwan, ustaz serta mubaligh janganlah berputus asa dalam memperkenalkan Allah kepada penganutnya yang masih tercicir dengan ilmu tauhid ini.



Gunakan segala kebijaksanaan dalam mengajar, manalah tahu cara berhikmah kita menjadi sebab untuk mereka akhirnya mencintai Allah terutamanya kepada yang setengahnya mengenal Tuhan menggunakan logik akal saja tanpa berpandukan hujah naqli (ayat al-Quran dan hadis).





Islam sememangnya logik dan masuk akal walaupun berbicara mengenai perkara ghaib, qada dan qadar, jin dan sebagainya yang hanya nampak tersembunyi sedangkan sangat jelas kalau dilihat dengan dalil al-Quran dan hadis serta rohani yang bersih.





Sebagai contoh yang kita pernah dengar sekiranya kita membelek kitab ringan untuk mereka yang baru belajar, rasanya sangat sesuai untuk tatapan remaja di ruangan tazkirah kali ini.





Contohnya, kisah seorang pemuda yang belajar di negara barat kononnya mendakwa dirinya pandai. Apabila pulang ke tanah air, dia mencari orang pandai kerana ingin berhujah mengenai ketuhanan dan perkara ghaib.





Akhirnya dia bertemu seorang tua yang alim. Tanya pemuda berkenaan: Anda siapa? Dan apakah boleh menjawab pertanyaan saya?





Jawab orang tua berilmu itu: Saya hamba Allah dan dengan izin-Nya saya akan cuba menjawab pertanyaan anda.





Tanya pemuda: Anda yakin? Sedangkan profesor dan ramai orang pintar tidak mampu menjawab pertanyaan saya.






Jawab orang tua alim itu: Insya-Allah saya akan mencuba sejauh kemampuan saya.



Tanya pemuda: Saya ada tiga pertanyaan.





1. Kalau memang Tuhan itu ada, tunjukkan kewujudan Tuhan kepada saya?





2. Apakah yang dinamakan takdir?





3. Kalau syaitan diciptakan dari api kenapa dimasukkan ke dalam neraka yang dibuat dari api, tentu tidak menyakitkan buat syaitan sebab mereka memiliki unsur yang sama. Sama-sama daripada api. Apakah Tuhan tidak pernah berfikir sejauh itu?





Tiba-tiba orang itu menampar pipi pemuda itu dengan kuat. Tanya pemuda itu sambil menahan sakit: Kenapa anda tampar saya, adakah marah kepada saya?





Jawab orang alim itu: Saya tidak marah... tamparan itu adalah jawapan saya atas tiga pertanyaan yang anda ajukan kepada saya.





Pemuda: Saya sungguh-sungguh tidak mengerti.




Tanya orang alim: Bagaimana rasanya tamparan saya?





Jawab pemuda: Tentu saja saya merasakan sakit.





Tanya orang alim: Jadi anda percaya bahawa sakit itu ada?





Jawab Pemuda: Ya.





Tanya alim: Tunjukkan pada saya wujud sakit itu!





Jawab Pemuda: Saya tidak mampu.





Orang alim: Itulah jawapan pertanyaan pertama. Kita tidak nampak sakit tapi rasa sakit dan percaya adanya sakit itu. Allah tidak nampak tetapi kena percaya adanya Allah. Semua merasakan ada Tuhan tanpa mampu melihat wujudnya.





Tanya orang alim: Apakah tadi malam anda bermimpi akan ditampar oleh saya?





Jawab pemuda: Tidak.





Tanya alim lagi: Apakah anda terfikir akan menerima tamparan dari saya hari ini?





Jawab pemuda: Tidak.





Si alim menjawab: Itulah yang dinamakan takdir, kita tidak tahu apa yang akan berlaku esok dan hari-hari mendatang.




Tanya si alim lagi: Tangan saya diperbuat daripada apa yang digunakan untuk menampar anda?





Jawab pemuda: Kulit.





Tanya si alim lagi: Pipi anda dibuat daripada apa?





Jawab pemuda: Kulit.





Tanya si alim lagi: Bagaimana rasanya tamparan saya?





Jawab Pemuda: Sakit.





Jawab si alim: Tangan saya dan pipi anda sama sahaja. Ada kulit, daging tetapi anda boleh rasa sakit juga. Jika Tuhan berkehendak maka neraka akan menjadi tempat menyakitkan untuk syaitan.





Sebagaimana juga tangan saya sama ada daging atau kulit, sepatutnya anda tidak merasa sakit.





Semoga contoh tidak seberapa ini akan menjadi iktibar mengenai yang ghaib dan tersembunyi sebenar ada dan mesti dipercayai.








Teruskan membaca..

Harimau Muda kembali berlatih tanpa Apek


SKUAD Olimpik negara kembali turun ke padang semalam sebagai persediaan menghadapi tiga perlawanan persahabatan menentang kelab Liga Australia di Sydney meskipun tanpa kelibat kapten, Khairul Fahmi Che Mat yang terpaksa bergegas pulang ke Kota Bharu sebaik menerima berita kematian adiknya, Mohd Amirul Izzat Che Mat, 16, akibat demam panas.



Cuti selama seminggu yang diberikan jurulatih Ong Kim Swee memberi ruang kepada semua pemain kembali ‘segar’ selepas mengerah kudrat menyempurnakan misi mempertahankan pingat emas Sukan Sea Indonesia dan pusingan kelayakan Sukan Olimpik London 2012 bulan lalu.




“Saya memanggil 36 pemain bagi kem latihan kali ini namun Apek (Khairul Fahmi) dikecualikan kerana terpaksa pulang semula ke kampung kerana adiknya meninggal dunia. Dia menghubungi saya ketika dalam perjalanan ke sini dan kemudian berpatah balik ke Kota Bharu. Saya memberikan dia cuti namun akan tetap bersama skuad ke Sydney.



“Selain itu Irfan Fazail, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria, Gary Steven Robbart tidak menjalani latihan akibat kecederaan, Muhammad Syazwan Tajuddin demam manakala Syazwan Yusof terpaksa dikecualikan kerana Kelantan tidak mempunyai penjaga gol kerana Khairul Fahmi turut bersama skuad kali ini,” katanya yang ditemui pemberita pada sesi latihan pertama semalam.




Selain ingin memulihkan kembali moral pemain selepas dikecewakan dengan kekalahan 2-3 di tangan Bahrain, fokus Kim Swee kini adalah untuk mencari pemain baru Harimau Muda A bagi saingan Liga Singapura musim depan selepas kehilangan beberapa tonggak yang menyarung jersi pasukan negeri antaranya, Mohd Muslim Ahmad dan Abdul Shukor Jusoh (Terengganu) dan K Gurusamy (Selangor).




Daripada 36 pemain, beliau hanya akan memilih 23 pemain ke Sydney Sabtu ini bagi pertemuan dengan Sydney FC, Central Coast Mariners FC dan Newcastle Jets FC.

“Saya mahu mencari empat hingga lima pemain lagi untuk melengkapkan senarai 30 pemain Harimau Muda A yang akan beraksi dalam Liga Singapura musim depan.




“Selain itu perlawanan di Sydney juga akan saya gunakan untuk menguji pemain baru dan yang kurang diturunkan sebelum ini. Ini juga persediaan terbaik pasukan sebelum mengharungi tiga lagi perlawanan pusingan kedua kelayakan Olimpik tahun depan,” kata Kim Swee.




Sumber





Teruskan membaca..

Tahan kereta api bawa kekasih


Tahan kereta api bawa kekasih

 MOHD SHUKRI  (kiri)   menunjukkan telefon bimbit yang digunakan suspek untuk membuat panggilan palsu pada sidang media di Ipoh semalam.
MOHD SHUKRI (kiri) menunjukkan telefon bimbit
yang digunakan suspek untuk membuat panggilan palsu
pada sidang media di Ipoh semalam.



Pemuda buat panggilan bom palsu halang teman wanita ke ibu kota



IPOH: Ancaman bom palsu yang menyebabkan lebih 1,200 penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari utara ke ibu negara terkandas lebih enam jam pada Khamis lalu, berpunca daripada seorang pekerja jualan langsung yang bergaduh dengan teman wanita serta mahu menghalangnya ke Kuala Lumpur.
Lelaki berusia 25 tahun itu mengakui membuat panggilan palsu bagi menyekat perjalanan kekasihnya yang mahu menaiki tren untuk menghadiri satu kursus di ibu negara walaupun sudah dilarang.


Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata perbuatannya terbongkar selepas suspek ditangkap di Teluk Intan, jam 6.10 petang Sabtu lalu dan selepas disoal siasat dia mengakui membuat panggilan itu kerana berang dengan tindakan teman wanitanya yang berkeras meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.



"Dia kini ditahan reman lima hari sehingga Khamis ini dan polis merampas sebuah telefon bimbit jenis Nokia 1280 yang dipercayai digunakan suspek untuk membuat panggilan palsu itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah," katanya semalam.



Khamis lalu, perjalanan tren Ekspres Langkawi dari Haatyai-Kuala Lumpur Sentral, Ekspres Langkawi Butterworth-Kuala Lumpur Sentral, Sinar Mutiara dari Ipoh-Kuala Lumpur Sentral dan perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) dari Ipoh ke Kuala Lumpur Sentral terkandas lebih enam jam selepas KTMB menerima panggilan mengatakan ada objek dipercayai bahan letupan di landasan antara laluan Sungkai-Slim River.



Bagaimanapun, selepas pemeriksaan dan pemantauan lebih 10 jam, polis mendapati objek yang ditemui berdekatan landasan di Kilometer 259.25 itu adalah satu botol plastik berbalut tikar plastik yang ditimbus dengan batu di Jambatan Sungai Pekan Lama, Sungkai.
Objek itu kemudian diletupkan dan hasil pemeriksaan tidak menemui sebarang bahan letupan.



"Kita kesal dengan perbuatan itu dan menasihatkan orang ramai tidak membuat panggilan palsu untuk kepentingan diri terutama menggunakan talian kecemasan 999. Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab ini," katanya.








Teruskan membaca..

DBP cetak 15.9 juta buku teks



DBP cetak 15.9 juta buku teks

Termuzi (kanan) bersama Dr Azman merasmikan Program Setitik Budi Selautan Kasih di DBP, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Termuzi (kanan) bersama Dr Azman
merasmikan Program Setitik Budi Selautan Kasih di DBP,
Kuala Lumpur baru-baru ini.





DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) mencetak kira-kira 15.9 juta buku teks termasuk 7.9 juta buku cetakan baru untuk edaran semua sekolah seluruh negara mengikut jadual.



Semua kerja berkenaan selesai sejak sebulan lalu dan semua buku berkenaan sedia diagihkan sebelum sesi persekolahan bermula awal tahun depan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Termuzi Abdul Aziz, berkata proses pengedaran buku teks ke Sabah dan Sarawak selesai sepenuhnya manakala di semenanjung proses penghantaran buku teks membabitkan cetakan baru akan selesai dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata, DBP begitu mengutamakan penghantaran ke Sabah dan Sarawak memandangkan lokasinya jauh.



Proses penghantaran di kedua-dua negeri itu katanya, menggunakan perkhidmatan empat kapal terbang iaitu dua pesawat kargo Boeing 747 dan Airbus dengan kapasiti muatan masing-masing 100 tan dan 65 tan.



“Sebanyak 818,782 buku teks cetakan baru membabitkan 44 tajuk diedarkan ke Sabah manakala di Sarawak (673,164) sudah diedarkan.



“Sesi penghantaran di kedua-dua negeri itu selesai sepenuhnya pada 2 November lalu,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Setitik Budi Selautan Kasih anjuran bersama Badan Keluarga DBP dan Fakulti Pengurusan Maklumat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.



Turut hadir, Timbalan Dekan Fakulti Pengurusan Maklumat UiTM, Dr Azman Mat Isa dan Pengerusi Badan Keluarga DBP, Kusni Ahad.



Termuzi berkata, penghantaran buku cetakan baru ke sekolah di Semenanjung masih berbaki 20 peratus dan dijangka diselesaikan dalam tempoh terdekat.



“Proses penghantaran sudah 80 peratus selesai kerana kita mula mengedarkan ke Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) sejak 15 November lalu dan ada dalam kalangan murid sudah menerima buku teks masing-masing sebelum cuti sekolah.



“Jika ada sekolah yang belum menerima buku teks ini. Itu mungkin atas pertimbangan JPN negeri yang belum memberikan kepada sekolah atas pelbagai sebab atau masalah banjir,” katanya.



Mengulas proses mencetak 15.9 juta buku membabitkan 200 tajuk buku cetakan semula, Termuzi berkata, pihaknya tiada masalah mengenainya kerana semua tajuk berkenaan termasuk 53 tajuk buku baru disiapkan mengikut jadual.



Kerjasama daripada Bahagian Buku Teks DBP dan Bahagian Kurikulum Kementerian Pelajaran begitu memuaskan dan mencetaknya dapat dipercepatkan.





Teruskan membaca..

Hubungan Pelik Antara Avril Lavigne Dan Deryck Whibley



Hubungan Pelik Antara Avril Lavigne Dan Deryck Whibley



Avril Lavigne




WALAUPUN sudah setahun bercerai, penyanyi Avril Lavigne dan bekas suaminya, yang merupakan vokalis kumpulan Sum 41, Deryck Whibley masih mempunyai hubungan akrab antara satu sama lain.

Bagaimanapun, kemesraan mereka itu menunjukkan hubungan tersebut lebih daripada seorang teman lebih-lebih lagi Avril dan Derick dilihat intim berdua sekaligus memberi persepsi bahawa mereka mungkin akan rujuk kembali.

Andaian tersebut menjadi lebih kukuh apabila melihat kedua-dua mereka agak mesra ketika menikmati makan malam di sebuah restoran Italy, West Hollywood, walaupun mereka turut berada di samping rakan-rakan Sum 41 bagi meraikan kejayaan kumpulan itu yang menerima pencalonan Hard Rock/Metal Terbaik Anugerah Grammy.

Bagaimanapun makan berdua bukanlah sesuatu yang pelik buat Avril dan Deryck kerana mereka pernah bercuti bersama-sama di Saint-Tropez baru-baru ini.


Deryck Whibley


Hubungan pelik itu membuatkan ramai yang mendoakan agar mereka kembali bersama namun berdasarkan temubualnya bersama Ryan Seacrest, penyanyi yang popular dengan lagu When You're Gone itu berkata dia dan bekas suaminya itu berkawan rapat.



"Deryck merupakan kawan baik saya dan kami masih lagi bekerjasama dalam bidang muzik. Rasanya, kami akan teruskan hubungan persahabatan ini," ujarnya.



Kedua-dua mereka pernah mendirikan rumahtangga pada Julai 2006 dan bercerai pada 16 September2011.



Ramai yang ingin melihat Avril dan Deryck kembali bersama, namun,ia mungkin tidak akan menjadi kenyataan memandangkan Avril kini sedang hangat bercinta dengan adik tiri kepada Kim kardashian, Brody Jenner.




Teruskan membaca..

Jambatan perangkap maut


Jambatan perangkap maut





  PENDUDUK Kampung Kurnia, Kuantan menunjukkan jambatan kayu yang  menunggu masa untuk roboh.
PENDUDUK Kampung Kurnia, Kuantan
menunjukkan jambatan kayu yang menunggu masa untuk roboh.



Tunggu masa roboh bahayakan pengguna terutama kanak-kanak




KUANTAN: Sebuah jambatan kayu di Kampung Kurnia di sini, tidak ubah seperti perangkap maut apabila hanya menunggu mangsa untuk roboh, sekali gus mengundang bahaya kepada pengguna terutama kanak-kanak.
Difahamkan, jambatan sepanjang kira-kira tiga meter melintasi tali air itu dahulunya menjadi laluan utama penduduk kampung termasuk pelajar Sekolah Rendah Agama Al-Irsyad, namun terbiar usang sejak beberapa jambatan baru dibina.
Bagaimanapun, dikatakan masih ada penduduk yang menggunakan jambatan berkenaan sebagai jalan pintas termasuk pelajar sekolah yang berbasikal dan berjalan kaki walaupun menyedari keadaan jambatan berkenaan berisiko untuk digunakan.




Seorang penduduk, Saidi Ismail, 45, berkata ada tiga jambatan utama yang dibina di kampung berkenaan untuk melintasi tali air, namun dua daripadanya kurang selamat untuk digunakan berikutan kerosakan teruk serta tiada penghadang.




Katanya, satu daripadanya adalah jambatan lama yang dibina daripada kayu, namun ia sudah lama dibiarkan rosak dan hampir roboh serta tidak lagi selamat untuk digunakan.




Beliau berkata, meskipun hanya segelintir penduduk yang masih menggunakan jambatan kayu itu, ia tetap dikhuatiri akan membahayakan pengguna dan langkah membaiki atau merobohkannya perlu dilakukan segera sebelum ada yang menjadi mangsa.
“Jambatan itu tidak sepatutnya dibiarkan dalam keadaan begitu kerana ia boleh mengancam keselamatan orang ramai dan selagi ia wujud di situ, selagi itulah masih ada orang yang akan menggunakannya.




“Lebih baik ia dirobohkan terus jika tidak mahu membaikinya kerana langkah itu boleh mengelak penduduk terutama kanak-kanak daripada terus menggunakan jambatan uzur berkenaan,” katanya ketika ditemui di kampung berkenaan, baru-baru ini.




Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Khairul, 29, berkata sebuah lagi jambatan konkrit di kampung terbabit yang dibina tanpa besi penghadang di kiri dan kanannya turut menimbulkan keresahan penduduk.




Katanya, langkah menggantikan jambatan lama dengan jambatan konkrit beberapa tahun lalu menggembirakan penduduk di sini, namun mereka kecewa apabila ia tidak dibina dengan sempurna iaitu tanpa besi penghadang.




“Keadaan ini membahayakan pengguna, malah pernah ada kereta tergelincir sehingga tayarnya tersangkut sebelum dibantu penduduk berhampiran mengangkatnya beramai-ramai,” katanya.






Teruskan membaca..

Socrates Meninggal Dunia Akibat Jangkitan Usus



Socrates Meninggal Dunia Akibat Jangkitan Usus



Socrates (kiri) di era kegemilangannya ketika pertemuan menentang Ireland pada Piala Dunia 1986 di Guadalajara.





SAO PAULO: Kapten Brazil pada Piala Dunia 1982, Socrates atau terkenal dengan jolokan 'Golden Heel' meninggal dunia pada usia 57 tahun akibat jangkitan usus.




Socrates Brasileiro de Souza Viera de Oliveira menerima rawatan di Hospital Albert Einstein di sini sejak Khamis kerana keracunan makanan.




Beliau memiliki kelayakan sebagai seorang doktor tetapi tidak dapat lari daripada masalah ketagihan arak dan rokok.




Dia juga cukup terkenal sebagai aktivis politik yang bersuara lantang dan berulang kali menentang jentera junta Brazil pada era 70-an dan 80-an.




Dalam temu bual dalam sebuah program televisyen baru-baru ini, Socrates menyifatkan alkohol sebagai 'rakan' dan mengakui pengambilan minuman keras itu secara berterusan tidak menjejaskan prestasinya di atas padang.




Socrates beraksi pada Piala Dunia 1986 tetapi kelihatan tidak cukup cergas dan dia dikenang kerana gagal menyempurnakan penalti pada suku akhir dan kalah kepada Perancis.




Di peringkat kelab, beliau beraksi untuk gergasi Brazil, Corinthians (1978-84) dan tidak gembira ketika berhijrah ke Fiorentina di Itali (1984-85).




Socrates melakukan 60 penampilan di peringkat antarabangsa bersama Brazil dan menjaringkan 22 gol.




Beliau menamatkan kariernya pada 1989 dan melakukan kemunculan semula dalam bola sepak 15 tahun kemudian, iaitu pada usia 50 tahun bersama kelab amatur, Garforth Town di utara England, di mana dia hanya beraksi selama 10 minit.




"Socrates adalah rakan, kawan baik, salah seorang lagenda bola sepak dunia. Dia akan sentiasa dikenang," kata bekas rakan sepasukannya, Junior.





Teruskan membaca..

Sobri Anuar Ambil Iktibar Kontroversi Persenda Zaiton Sameon

Sobri Anuar (kanan) dan pasangannya Bob Kuman daripada kumpulan Bawal Power ketika beraksi dalam pertandingan Maharaja Lawak Mega.







Sobri Anuar Ambil Iktibar Kontroversi Persenda Zaiton Sameon





PETALING JAYA: Pelawak Mohd Sobri Anuar, 35 (Sobri), mengakui berasa terkesan dengan impak dan respons umum susulan persembahan komedi yang didakwa mempersendakan penyanyi Zaiton Sameon pada Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM18) dan konsert Maharaja Lawak Mega (MLM), bulan lalu.




Sobri berkata kejadian tersebut menjadi pengajaran dan panduan buatnya agar lebih berhati-hati dan peka ketika berlawak, khususnya di depan khalayak atau acara-acara rasmi.





“Saya akui terkesan dengan impak kontroversi lawak itu tetapi mujurlah sokongan keluarga dan kawan-kawan rapat banyak memberi perangsang agar tidak mudah patah semangat.




“Seperti yang sudah dijelaskan kepada media sebelum ini, lawak itu bukan berniat untuk mempersendakan sesiapa tetapi cara dan pendekatan sebegitu tidak bersesuaian dengan budaya dan pemikiran masyarakat kita pada masa ini.




“Saya berharap, sedikit demi sedikit, masyarakat kita akan lebih terbuka untuk menerima pendekatan komedi begitu pada masa depan,” katanya kepada mStar Online, Isnin.




Apabila ditanya adakah kontroversi itu akan mengganggu gugat tumpuannya dalam MLM, Sobri berkata sebagai orang baru dia menerima segala kritikan dan akan menyesuaikan pendekatan komedinya agar lebih disenangi selepas ini.




“Saya harus fleksibel dan menyesuaikan komedi saya agar dapat diterima ramai. Di Malaysia, gaya komedi sedemikian masih belum dapat diterima oleh kebanyakan pihak.




“Walhal, tujuan komedi itu adalah untuk memberikan pengajaran dan teguran dalam gaya yang santai dan lawak jenaka.




“Bagaimanapun, sebagai orang Melayu dan pendatang baru, saya terima segala kritikan dan pandangan dengan hati terbuka,” katanya.




Sobri juga berharap agar kontroversi yang tercetus ini akan memberikan impak positif kepada jenamanya sebagai pelawak baru tanah air.




“Saya ada merujuk kepada keluarga, teman-teman rapat dan rakan-rakan artis tentang kes ini dan mereka meminta saya melihat insiden ini daripada sudut positif.




“Terus-terang, saya sendiri tidak pasti adakah kes ini akan membantu melonjakkan nama saya atau sebaliknya.




“Apa pun, saya harus berterima kasih kepada Zaiton kerana tidak memanjangkan hal ini. Saya sangat hargai tegurannya dan menghormati penyanyi berpengalaman sepertinya,” katanya.




Kontroversi lawak Sobri bermula apabila bekas graduan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ini mementaskan jenaka yang mempersendakan Zaiton Sameon ketika dia muncul sewaktu iklan pada AIM18, 12 November lalu.




Sobri meneruskan pendekatan komedi yang serupa ketika beraksi pada minggu keempat MLM, 18 November lalu, sekaligus menghangatkan lagi kontroversi berkenaan.




Sobri dan pasangannya, Bob Kuman yang bergabung sebagai kumpulan Bawal Power masih lagi meneruskan persaingan dalam MLM yang bersiaran pada setiap Jumaat pukul 10 malam di Astro Warna (saluran 132).





Teruskan membaca..

Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (Lima 2011)




Kapal selam kedua milik negara,
KD Tun Razak berlabuh di Awana Porto Malai
sempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi
(Lima 2011)
edisi ke-11, di Langkawi pada Isnin.
LIMA 2011 yang akan bermula esok
sehingga 10 Disember ini melibatkan
400 syarikat daripada 35 negara
.



Langkawi Permata Berharga: Ahmad Zahid



LANGKAWI: Kerajaan melihat Langkawi sebagai permata yang amat berharga dan akan memastikan pembangunan pulau lagenda ini dilaksanakan secara menyeluruh dan tersusun, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.




Katanya, pembangunan yang dilaksanakan kerajaan melalui Perbadanan Pembangunan Langkawi (LADA) dengan menyediakan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, lapangan terbang, jeti, saliran, air dan elektrik bertujuan memberi keselesaan kepada pelancong dan kehidupan penduduk Langkawi.




Beliau berkata setakat ini kerajaan Persekutuan menyediakan kemudahan asas seperti bekalan elektrik sebanyak 350 mega voltan dan bekalan air (13,448 juta gelen) yang dibekalkan dari tanah besar.




"Jalan raya yang mengelilingi pulau adalah sejauh lebih 200 kilometer pula adalah dianggap antara yang terbaik berbanding kawasan pulau peranginan di negara lain," katanya ketika berucap di majlis Pemimpin Bersama Rakyat Sempena Pameran Mritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) di Perkarangan Masjid Aishah, Sungai Menghulu, Kuah dekat sini, semalam.




Katanya, banyak kemudahan penginapan, pengangkutan, perdagangan dan pelbagai perniagaan berkembang maju sekaligus memberi banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk Langkawi sendiri.




Ahmad Zahid berkata jumlah pelancong ke Langkawi terus meningkat, dengan pada 2000, seramai 1,810,460 pelancong datang ke Langkawi dan meningkat kepada 1,835,287 (2005) dan 2,303,098 pada 2008.




"Ini menunjukkan bahawa Langkawi sentiasa berada di hati pelancong seluruh dunia setiap tahun dan rekod cemerlang ini harus dikekalkan," katanya.




Beliau berkata, selain penganjuran LIMA di Langkawi, acara peringkat antarabangsa seperti Kejohanan Paintball Antarabangsa, Regata Antarabangsa Langkawi. Le Tour De Langkawi dan Thriatlon Ironman merancakkan lagi industri pelancongan di Langkawi.




Menurutnya, program LIMA yang mula diperkenalkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan diteruskan selagi ia dapat membantu meningkatkan pendapatan negara dan rakyat tempatan.




Bagaimanapun, beliau kesal kerana melalui program LIMA, ada pengusaha hotel menawarkan harga bilik yang terlalu mahal apabila mereka mengenakan bayaran selama tujuh hari sedangkan pelancong hanya tinggal di situ tiga hari.




"Baru-baru ini saya berjumpa dengan pengusaha hotel terbabit supaya LIMA kali ini mereka tidak mengenakan kadar bayaran tinggi sebaliknya berjanji mengikut peraturan biasa.




"Kita jangan cemarkan imej pulau ini supaya ia terus dikunjungi pelancong asing dan tempatan," tegas Ahmad Zahid. - BERNAMA







Teruskan membaca..

Nazmi enggan cepat lupa diri




Nazmi Faiz Mansor
Nazmi Faiz Mansor




‘Saya akan cuba tingkatkan permainan serta perbaiki kelemahan diri’


PEMAIN sedang meningkat, Nazmi Faiz Mansor berazam ‘tidak mahu cepat hanyut’ dengan pujian dan populariti diterima, sebaliknya akan terus cuba meningkatkan permainan dan memperbaiki kelemahan diri.

“Pada awal saya terkejut juga dengan perhatian diberi selepas memenangi pingat emas Sukan SEA di Jakarta, tetapi saya sedar saya tidak boleh berpuas hati setakat ini dan perlu meningkatkan prestasi saya,” kata pemain 17 tahun itu.



“Tetapi jurulatih sering memberi amaran dan nasihat kepada kami supaya tidak melayan perkara-perkara remeh begitu dan mahu kami memberi tumpuan penuh kepada latihan dan kerjaya sebagai pemain bola sepak.


“Saya gembira jurulatih (Ong Kim Swee) memberi saya peluang sekali lagi untuk bersama skuad Olimpik ke Australia dan saya akan gunakan peluang ini mengutip seberapa banyak pengalaman antarabangsa.”


Nazmi akur antara kelemahan yang ada pada dirinya dan perlu diperbaiki segera ialah ketahanannya beraksi selama 90 minit di mana sebelum ini, dia sering mengalami kekejangan selepas sejam beraksi.


“Saya sudah berjumpa pakar di ISN dan sampel darah saya diambil, tetapi belum mendapat keputusan ujian masalah yang saya alami itu,” kata Nazmi yang meledak gol cantik ketika tewas 3-2 kepada Bahrain dalam kelayakan Olimpik bulan lalu. “Saya harap dalam masa terdekat, masalah ini akan dapat diselesaikan dan saya akan mula beraksi penuh pada setiap perlawanan.”


Nazmi yang kini menjadi pemain penuh Harimau Muda A (sebelumnya B), mengakui tidak teragak-agak untuk menyertai kelab luar negara sekiranya mendapat tawaran dari kelab yang mempunyai nama di peringkat Asia.





















Teruskan membaca..

Tokoh sukan paling berjaya



Nicol tokoh sukan


paling berjaya:


PM



NICOL (kiri) dan  ibu bapanya, Ann Marie dan Desmond  bergambar bersama Najib selepas satu pertemuan ringkas di pejabatnya di Putrajaya, semalam.
NICOL (kiri) dan ibu bapanya,
Ann Marie dan Desmond bergambar bersama Najib
selepas satu pertemuan ringkas di pejabatnya
di Putrajaya, semalam.







RATU skuasy negara, Nicol Ann David wajar dijulang selaku tokoh sukan paling berjaya dalam sejarah negara atas kejayaan mempertahankan gelaran pemain terbaik dunia sebanyak enam kali berturut-turut, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam.

“Saya bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Nicol,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan pemain nombor satu dunia itu di pejabat beliau di Putrajaya, semalam.




Nicol harus dijadikan contoh. Dia adalah seorang ikon sukan yang paling berjaya dalam sejarah negara kita.” Turut hadir di majlis ialah ayah dan ibu Nicol - Desmond David dan Anne Marie David serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak.




Sementara itu Nicol, berkata pertemuan dengan Perdana Menteri adalah satu peluang yang amat bermakna buat diri dan kedua-dua ibu bapanya.





“Ia adalah satu penghormatan untuk saya dan keluarga mendapat pengiktirafan daripada kerajaan dan rakyat Malaysia, terima kasih atas segala sokongan,” katanya.








Teruskan membaca..

Misi Australia gamit Harimau Muda




Debaran 36


Foto

Misi Australia gamit Harimau Muda




ONG Kim Swee memanggil 36 pelatih untuk sesi latihan, semalam dengan hajat membentuk barisan terkuat untuk siri persahabatan antarabangsa di Sydney, Australia dari 10 hingga 21 Disember ini.
“Saya memanggil ramai pemain kali ini untuk mencari empat atau lima pemain baru menggantikan pemain Harimau Muda yang berpindah ke pasukan negeri dan kelab musim depan,” kata jurulatih skuad Olimpik itu sebelum sesi latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam.
“Bagi saya kita perlu meneruskan pendedahan peringkat antarabangsa kepada pemain muda jika mahu mengekalkan kejuaraan pada Sukan SEA 2013 dan mencipta sejarah di Sukan Asia 2014.




“Kita juga tidak boleh hanya melihat kepada pasukan yang ada sekarang, tetapi perlu mula mencungkil pemain berpotensi di peringkat bawah 14 dan memberi pendedahan secara serius dan teratur.




“Selain pemain, kita juga memerlukan jurulatih peringkat akar umbi yang benar-benar serius mahu membangunkan bola sepak negara dan mereka ini juga perlu diberi pendedahan di peringkat antarabangsa.”




Dia menambah: “Kami masih mempunyai baki tiga perlawanan kelayakan Olimpik dan bakal berdepan cabaran baru di Liga Singapura tahun depan, jadi persiapan akhir tahun ini amat penting dalam menentukan hala tuju pasukan.
“Kebanyakan pemain yang saya panggil adalah dari Harimau Muda A dan B serta beberapa pemain muda dari negeri dan kelab. Jika mereka menunjukkan potensi pada sesi latihan ini mungkin saya akan berbincang dengan persatuan untuk menyerapkan mereka ke dalam skuad,” katanya.




Dalam sesi latihan semalam, hanya penjaga gol nombor satu negara, Khairul Fahmi Che Mat tidak dapat menyertai rakan-rakannya kerana terpaksa berpatah balik ke Kelantan sebaik mendapat berita adiknya meninggal dunia.




“Fahmi tetap akan menyertai pasukan ke Australia dan saya jangka dia akan menyertai latihan selewat-lewatnya Rabu ini (esok),” kata Kim Swee.




Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...