SEJAUH mana kebenaran kata-kata ini? Ujian Pencapaian Sekolah Rendah
(UPSR) Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan dan Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) bakal menjelma tak berapa hari lagi, pada ketika inibukan saja
anak-anak yang kelam kabut bahkan ibu bapa turut gelisah. Siang malam
menjadi acara anak-anak ini keluar masuk tempat tuisyen.
Adakah kerana kejayaan dalam peperiksaan penting ini menjadi indeks
kejayaan ibu bapa? Adakah jumlah A dalam peperiksaan anak-anak menjadi
indeks pengukur kejayaan ibu bapa? Betulkah jika anak berjaya mendapat
5A dalam UPSR menjamin kejayaan dalam SPM?
Semua persoalan ini mungkin boleh dijawab oleh semua ibu bapa tetapi tahap keyakinan ibu bapa masih diragui.
Ibu bapa anak-anak zaman generasi Y sekarang ini terlalu memikirkan
kecemerlangan dalam peperiksaan penting sebagai acuan kejayaan anak-anak
mereka.
Mereka berlumba-lumba mencari tempat tuisyen yang baik untuk
anak-anak mereka bagi memastikan anak-anak berjaya. Justeru, beribu
ringgit wang dihabiskan.
Mereka sanggup menghantar dan mengambil anak dari tempat tuisyen
asalkan anak mereka 'bertuisyen'. Masa anak-anak ini jika tidak
dihabiskan di tempat tuisyen mereka akan bersama-sama dengan gajet
masing-masing. Kehidupan mereka lebih bersifat komersial.
Siapakah yang harus disalahkan? Adakah dunia pendidikan kita terlalu menekan kepada kejayaan akademik semata-mata?
Ini sedikit sebanyak menyebabkan masa untuk anak-anak menghayati
zaman kanak-kanak mereka sudah tidak wujud sepertimana zaman ibu bapa
mereka dahulu. Tiada lagi main lompat tali, main lempar bola kaki tiga,
mengayuh basikal sekeliling kampung dan sebagainya.
Tempoh 24 jam seperti tidak cukup untuk anak-anak dan juga untuk ibu
bapa. Arah haluan seperti tidak bertujuan, kemudi dilayari masa
mengejari. Pepatah 'masa itu emas' seperti tidak lagi boleh dipakai
kerana nilai emas sekarang seperti infiniti kayu pengukurnya.
Ini adalah kerana kebenaran nya diragui. Sejauhmana kebenaran bahawa
jika anak-anak berjaya dalam peperiksaan penting ini mencerminkan
kejayaan ibu bapa? Di mana pula kebenaran bahawa cemerlang anak-anak
bukan sahaja melalui kejayaan intelek mereka tetapi juga melalui ukuran
sahsiah dan keperibadian mereka?
Ibu bapa akan membandingkan kejayaan anak-anak mereka dengan
anak-anak kawan-kawan mereka. Seolah-olah anak-anak yang tidak berjaya
dari sudut intelek bukan satu anugerah kepada mereka. Bahkan mereka cuba
untuk menutup rasa aib mereka dengan cuba mengalih perhatian kepada
hal-hal lain. Anak-anak yang kurang bernasib baik ini seperti 'melukut
di tepi gantang'.
Padahal sejarah telah membuktikan manusia yang berjaya bukan hanya melalui akademik semata.
Rasulullah SAW sendiri seorang yang buta huruf tetapi berjaya
mengembangkan Islam hingga ke hari kiamat. Mungkin mereka boleh menjadi
seperti Thomas Edison, seorang yang pekak yang telah menghasilkan
sesuatu yang memberi manfaat kepada manusia sejagat iaitu ciptaan mentol
lampu. Begitu juga, tidak mustahil mereka akan menjadi seperti Abraham
Lincoln yang kurang cerdik sewaktu kecil akhirnya menjadi menteri.
Oleh itu, sebagai ibu bapa, kita perlu memainkan peranan dalam
menyeimbangkan antara ilmu dunia dan akhirat. Setiap ibu bapa
mengharapkan yang terbaik untuk setiap anak-anak.
Walaupun, kejayaan di dalam peperiksaan penting ini, tetapi bukan pengukur segala-galanya.
UPSR, PMR dan SPM bukan penentu segala kebahagiaan di masa depan.
Keseimbangan amat perlu. Lahiriah dan batiniah. Keunikan mereka tidak
sama antara setiap individu. Tiada satu kecemerlangan dalam hidup yang
boleh dibandingkan dengan kecemerlangan insaniah.
Berilah ruang untuk anak-anak dan kita sendiri bernafas. Hargailah
anak-anak kerana mereka adalah anugerah yang tidak ternilai dalam
kehidupan kita.
Teruskan membaca..
KATA bonda, Ramadan itu hidupnya di hati dan
sanubari. Kalbu yang putih akan mewarnakan Ramadan dengan sejernih kasih
dan cinta. Kasih kudus yang tiada duanya. Cinta itu hanya untuk Maha
Esa. Pencipta suratan takdir dan perjalanan hidup makhluk di alam
material ini. Ramadan itu ladang yang membenihkan ranum amal di kebun
sesayup fana. Kutip dan pungutlah dengan jemari keikhlasan sebelum
dedahan dan reranting usia melabuhkan diri di tanah abadi.
Kata bonda lagi, usia yang percuma ini adalah deru sungai yang
mengalir menuju ke muara. Adakalanya lenang bergenang melepasi kerikil
dan bebatu dan adakalanya lesu disanggah gelodak sampah serta sisa-sisa
yang berperca musibah. Hidup ini kembara yang panjang dan berliku di
gurun waktu yang penuh keliru dan bercelaru. Bonda mahu saya isikan
setiap nafas hayat ini sebagai manusia yang memiliki jiwa besar dan
iltizam yang berkobar. Ramadan itulah permulaannya. Limpah berkat yang
berulang datang dan pergi di limpahan musim.
Kampung kecil kami adalah catatan terindah setiap kali Ramadan
membukakan pintu waktu. Tanah dingin yang kekal diselaputi warna-warna
hijau belantara serta aneka flora yang menyemerbak maya. Aroma pepohon
yang merimbun serta landskap ladang dan kebun tetap kurniaan terindah
buat warga yang cintakan damai dan sejahtera.
Cinta kami bukan sekadar pada lukisan alam yang meluhurkan bening
kalbu tetapi hati dan jiwa kami terpaut pada kental dan kemimnya jalinan
persaudaraan dan ikatan persahabatan yang tinggi di antara tetangga dan
sanak keluarga. Desa tradisi yang kejap diikat dengan limpahan budaya
luhur serta nilai resam Melayu yang dipusakai turun temurun. Kamilah
generasi yang mewarisi adab dan akhlak yang diperturunkan oleh fahaman
dan anutan agung tinggalan para alim ulama dan anbia tercinta.
Satu-satunya surau kecil yang terletak di simpang jalan antara tanah
pusara dan sebidang semak samun yang tidak terjaga itulah madrasah luhur
yang mengakrabkan hati-hati para Jemaah dalam satu ikatan ukhuwah di
desa ini. Surau tua berperabung zink separuh uzur serta berdinding papan
yang kian mereput tetap melebat rindu di hati anak-anak kariah yang
cintakan luhur kebenaran saat Ramadan mula melabuhkan lembayung fajar.
Cinta anak-anak muda di tanah desa ini pada surau tua itu semakin
utuh dan menebal tatkala usrah dan zikrulah yang mencicipi halwa
pendengaran kami dilunakkan dengan kisah-kisah Ramadan yang penuh
nostalgia. Ramadan mengakrabkan kalbu untuk tunduk pada syariah dan akar
akidah yang menunjang pohon peribadi.
Surau yang kecil di mata insan lain tetapi tetapi agung dan membesar
di hati kami. Di madrasah kayu itulah kami - anak-anak desa ini mengenal
huruf dan kalimah kalam Tuhan. Segala hukum dan hakam kami pelajari.
Daripada ilmu akidah yang mendidik hati mengenal Illahi hinggalah
kepada ilmu kefarduan yang mengasuh kami dengan akhlak dan syariat.
Guru-guru dan mualim yang silih berganti datang dan pergi tidak pernah
jemu-jemu mewardahkan cuping pendengaran kami dengan tarbiah dan syarah
supaya menjadi manusia yang mampu membezakan antara kebenaran dengan
kebatilan. Justeru,di sinilah ladang hati dengan sebidang takwa yang
mencambah.
Kata Haji Syuib yang hampir suku abad mengabdikan dirinya sebagai
imam di surau itu, Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga untuk
melengkapkan rukun syariat ketiga tetapi Ramadan mendidik kalbu yang
sentiasa dikeraskan oleh sisa dan hadam makanan supaya menjadi lembut
dengan ikhlas dan tawaduk. Hati yang diuji dengan lesu dan dahaga akan
mudah bertukar dengan rasa simpati, ihsan dan berperikemanusiaan. Jasad
yang seharian tidak dijengah makanan duniawi akan mendidik sanubari
menjadi gigih dan tabah mendepani uji. Justeru, Imam tua itu
berulangkali mewariskan kami dengan ceritera sebabak Perang Badar yang
terakam di helai dan lembar sirah agung. Kata insan yang cukup disegani
di desa kelahiran ini tatkala sesi tazkirah malam-malam Ramadan yang
kami tekuni dengan amal dan ibadah.
"Puasa itu perisai takwa yang menajamkan pedang juang dalam kalangan
sahabat. Buktinya , sejumlah tiga ratus tiga belas jasad yang
bersalutkan iman dan istiqamah bangkit mencabar musuh dan petualang yang
jauh lebih besar. Akhirnya, Islam yang diranumkan dengan ikatan
persaudaraan serta terapi puasa mampu menewaskan gerombolan manusia yang
sekadar dilengkapi dengan senjata duniawi tetapi hilang roh kebenaran
hakiki."
Kami membaca sejarah itu dengan lunak cinta. Cinta agung yang memilih
syahid daripada wangi duniawi.Hati yang disepuh oleh rindu sabil akan
menolak apa-apa sahaja ganjar material. yang sekadar dikunyah fana dan
seketika. Justeru, kemenanganlah yang kami impikan sebagaimana agungnya
Badar menterjemahkan perjuangan hakiki.
Tidak cukup dengan sebabak Perang Badar yang menjadi wadah kisah
penuh iktibar, para mualim yang diberikan ruang usrah malam-malam
Ramadan tercinta akan melunakkan cuping pendengaran kami dengan susunan
kisah dan ceritera. Sejarah perang dan sengketalah yang sering melunaki
pangkal hati kami agar menghayati betapa nikmat keamanan dan
kesejahteraan itu satu anugerah terindah daripada Allah untuk hamba-Nya.
Lalu, dibisikinya kata-kata yang tidak pernah hilang di cuping ingatan
ini.
" Jiwa yang sejahtera dan suasana yang selesa adalah anugerah Tuhan
yang tidak ternilai. Harga kedamaian yang dikecapi perlu dibayar dengan
satu perjuangan yang panjang dan berliku. Nenek moyang kita dahululah
yang sanggup menempuh bara sengketa dan api pertumpahan darah demi
memastikan keturunan bangsa di tanah air ini mampu menikmati warna-warna
keamanan sebenar."
SahabatLalu, ruang waktu antara sela-sela ibadah
sunat itulah dikhataminya kami dengan episod perjuangan agung para
sahabat, fuqaha, tabiin, solihin, mursyid serta pejuang agama yang
menjejaki jalan syahid yang agung. Saya dan teman-teman dihamparkan
selingkar sirah terhebat panglima Tariq Ibnu Ziyad yang mengemudi armada
Ramadan menuju ke Andalusia. Perang agung merobohkan empayar Rom milik
Raja Frederick di tanah Cordova menjadi babak kisah yang begitu
mengujakan jiwa anak-anak muda seperti kami di tanah kerdil ini. Tidak
cukup dengan itu, diwadahkan lagi sebabak kegigihan Salahuddin Ayubi
menawan wilayah Gaza hingga ke Jubayl seterusnya membebaskan tanah mulus
Aqsa daripada cengkaman kaum Frank yang kejam dan angkuh.
Ramadanlah yang membukakan hijab dan tekad sehingga tamaddun Islam
berhimpun dan berkampung ke seluruh empayar dunia menakluki hingga ke
padang gersang Afrika serta Eropah timur. Kami menelingakan diri dengan
penuh khusyuk mendalami kisah di dalam sirah. Kata bonda dengan luhur
bicara berhemah,
"Anak-anak bangsa seperti kamu yang hidup di alaf moden ini sudah
hilang warna-warna perjuangan mempertahankan hak dan kebenaran. Kamu
dilalaikan dengan segala macam gajet dan sistem hidup yang diatur oleh
musuh yang mencari kesempatan untuk melemahkan jiwa kita dengan memuja
duniawi. Hiburan melampau dengan gaya hidup sosial yang songsang telah
menjadikan generasi kita hilang maruah dan jati diri. Percakaran politik
dek fahaman yang berbeza di banyak tanah air juga telah merobohkan
kekuatan dan keperkasaan ummah. Kita tidak belajar daripada sejarah
penghayatan Ramadan. Puasa itu perisai takwa yang pernah mengibarkan
panji -panji dengan kemenangan hakiki ".
Puasa itu terapi hati. Mengasuh nurani dengan nilai-nilai mahmudah
daripada lekit hitam penyakit mazmumah. Ujub, sombong, dengki, amarah
serta tamak haloba yang bersarang di dalam sukma akan mencambahkan porak
peranda dan kacau bilau. Orang-orang tua kami selalu berwasiat supaya
menghalau serangga batil yang cuba bertapak di kebun batini kerana
bahayanya akan kami rasai apabila Jemaah dan kariah mula dirasuk balah
dan ditusuk telingkah. Sengketa bangsa adalah seburuk-buruk petaka yang
boleh memusnahkan kehidupan.
Hari -hari Ramadan yang diuji dengan letih dan dahaga luar biasa ,
lidah dan halkum kami sekadar digelisahkan dengan keinginan untuk cepat
berbuka. Menghadam segala makanan dan aneka kuih muih yang banyak
terjaja adalah rutin cinta yang tidak pernah terpadam. Nafsu untuk
mengenyangkan jasad dan usus adalah matlamat utama. Lalu, yang kami
saksikan di hadapan mata tiada lain melainkan budaya menjamu selera
dengan pelbagai menu dan juadah. Ramadan dari tahun ke tahun bagaikan
sebuah pesta makanan dan tradisi mengenyangkan perut jasmani. Justeru,
berebut-rebutlah para oportunis yang menguasai salur media mewarnakan
kaca siaran dengan apa sahaja rancangan berjenama makanan dan hidangan
di atas nama penghayatan Ramadan. Di lembar naskah pula dijamunya kornea
mata dengan aneka menu pelbagai citarasa konon bulan berkat ini tidak
lengkap tanpa barisan sajian tradisi atau moden. Pesan bonda kepada saya
saat kami bersama mengakrabkan waktu berbuka,
" Hati kita tidak diisi dengan makanan rohani yang berkualiti. Jiwa
yang kosong akan mudah dicambahi dengan sisa dan daki hitam serakahan.
Janganlah kamu terpedaya dengan nafsu dan keinginan yang membuak-buak.
Perut yang kenyang akan menjadikan tubuh jasmani mudah culas dan malas
untuk mengerjakan ibadah ".
Justeru, tatkala menghadap makanan, kami diajar supaya bersederhana
serta tidak tamak haloba. Kami belajar beramal dengan sunah Rasul
tatkala menghadam juadah rezeki kurniaan Allah. Tambah bonda, rezeki
yang sedikit akan digandakan oleh Allah andai terpancar di hati rasa
syukur.
Surau tua tempat kami memilih untuk menjamu nurani dengan zikir dan
fikir kala menjelang petang hingga ke malam larut kekal menjadi rumah
terindah kala musim-musim Ramadan bertandang. Di situlah kami
menghiaskan lidah dengan rangkap tilawah dalam tadarus yang tulus. Di
situlah juga kami warga kecil ini menghidupkan malam-malam Ramadan
dengan Qiamulail serta ratib doa yang tidak putus-putus. Surau separuh
uzur yang kian dimamah anai-anai itu tetap kami tegakkan di sudut hati
dan sanubari sebagai madrasah yang mengasuh kami dengan wadah mahmudah.
Sewaktu sahabat-sahabat seusia kami ramai yang mudah tergelincir oleh
serakah ganja dan dadah musim-musim keremajaan, kami masih tegar
bertahan dengan iman dan perisai kebenaran. Ramadanlah yang mendidik
kalbu membalut jasad dengan takwa yang utuh dan padu. Selagi puasa itu
amal yang membalut baju sahsiah selagi itulah hembus nafsu yang
bergelantangan di luar sana dengan pujuk keliru kami lontar dan lempar
sejauh-jauhnya. Kami memilih jihad menjadi manusia berluhur berakhlak.
Kami ingin membina kehidupan sebagai bangsa bermaruah.
Musim-musim Ramadan di kampung pencil yang melarat oleh kedaifan dan
kemiskinan ini, saya dan sahabat-sahabat seusia tidak pernah mengeluh
dan kecewa. Apa yang ada di hadapan mata itulah rezeki Tuhan yang perlu
dikongsi bersama teman dan taulan. Walau sekadar nasi berlauk ikan
kering dan sambal tetap kami nikmati dengan rasa syukur dan ikhlas di
hati.
KebunKata bonda, daerah Ramadan inilah kebun yang
perlu kami semaikan jalinan keakraban sesama jemaah. Kekuatannya
terletak pada hati yang patuh dan jiwa yang tulus. Ikhlas dan reda itu
benteng ampuh yang membangunkan jasad dengan kudrat ummah. Sengketa dan
pecah belah akan hanya meleraikan jiwa yang kehilangan cinta dan setia
untuk memelihara agama dan bangsa.
"Jiwa yang fakir akan mudah mendidik akal untuk berfikir di mana
benar dan di mana batil. Lapar dan dahaga menyemai peribadi daripada
nafsu haloba dan cinta dunia",
Kami dengar dan kami hayati apa sahaja patah dan kalimah para mualim
setiap kali Ramadan bertandang dalam ziarah waktu yang datang dan pergi
dalam pusingan hari. Waktu berengsot di aspal musim meninggalkan sisa
dan cerita di laman nostalgia. Tatkala takdir dan suratan hidup membawa
hasrat dan iltizam kami ke menara ilmu terbilang seterusnya dibaluti
dengan jawatan dan kerjaya ke kota raya mewah lagi terbilang. Tinggallah
ceritera Ramadan kami di bumi pencil pendalaman sebagai perca ingatan
yang beradu di selimut kenangan. Kemiskinan dan kemelaratan hidup yang
pernah berparut di lipatan waktu sepanjang perjalanan usia di desa
kelahiran mudah sahaja dikambus hari yang datang dan pergi. Takdir
mengubah segala-galanya.
Dek kemahiran dan ilmu pendidikan yang kami kecapi hingga ke
peringkat tertinggi telah mengubah dunia hidup kami dengan limpah
kemewahan dan kesenangan yang tidak putus-putus. Dalam kalangan kami,
ada yang sudah berjawatan tinggi dengan pelbagai gelar dan pangkat. Kota
besar dan agam ini telah menyelesakan kami dengan rutin hidup moden.
Segala ingatan dan kenangan sepanjang Ramadan di tanah desa kelahiran
kami kunci serapat-rapatnya. Ramadan demi Ramadan datang di aspal tahun
kami telah melupakan sejarah terindah itu.
Suatu ketika, saat Ramadan bertandang dan lebaran kian menjengah,
rindu membawa saya dan teman -teman kembali mengatur langkah tradisi
mencari akar diri di desa halaman yang limpah oleh kenangan. Alangkah
syahdu dan sendunya kalbu saat kami tatapi bumi tradisi kami telah
bertukar menjadi pekan yang dirancakkan dengan pembangunan luar biasa.
Tiada lagi rumah-rumah kayu tradisi berganti deretan teres dan banglo
mewah. Bangunan kedai dan kilang industri tumbuh membiak di mana-mana.
Malah, surau kecil kami sudah lama hilang dek arus kemodenan yang
melimpah. Lebih meluluhkan, warga asing dan kelibat pendatang yang
membawa selut dan lumpur budaya liar kian hari kian menghakis identiti
timur serta luhur resam tinggalan moyang. Saya terasa seakan berada di
bumi yang serba asing. Anak-anak muda sebangsa yang dahulunya bercambah
oleh luhur moral kini diselaputi segala macam warna-warna hitam gejala.
Ramadan ini, saya menjejaki kembali lembar-lembar kisah dan ceritera
yang pernah terjilid dalam antologi nostalgia di tanah kelahiran. Namun,
segala-galanya hampa. Yang saya temui hanyalah sisa dan perca yang
terlerai dan berkecai dihakis oleh peredaran musim. Ceritera terindah
yang pernah bertamu di laman naskhah Ramadan silam.
Teruskan membaca..