Photobucket

Sahabat Maya :

Tuesday, November 20, 2012

Mencari Ketenangan Hati


" Hati yang tenang hanya dengan mengingati Allah swt "  - (sayacikgu)
Cuti-cuti begini, ada la sedikit ruang untuk membaca
 dan koreksi diri melalui  bahan bacaan percuma di internet ini.
  Semoga perkongsian bahan "Apa yang saya baca hari ini?'
mendapat manfaat buat semua :)


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjsSMQQXdgjsbg7BjbEpjOdYPTwphEs0CRJvxfJMjI5bbnvVnnImUB63hnVru3-r4Ee_QAII5jL2-uLPwUQMnsqOJhwTN16pvx5dWjPrIQSl8fmiyW7ihocAKRqwg9bBlLdXkHuC6HshZU/s1600/jagalah_hati1.png
Mencari Ketenangan Hati



Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Namun zikrullah yang bagaimana dapat memberi kesan dan impak kepada hati? Ramai yang berzikir tetapi tidak tenang.




Ada orang berkata, "ketika saya dihimpit hutang, jatuh sakit, dicerca dan difitnah, saya pun berzikir. Saya ucapkan subhanallah, alhamdulillah, Allah hu Akbar beratus-ratus malah beribu-ribu kali tetapi mengapa hati tidak tenang juga?"




Zikrullah hakikatnya bukan sekadar menyebut atau menuturkan kalimah. Ada bezanya antara berzikir dengan "membaca" kalimah zikir. Zikir yang berkesan melibatkan tiga dimensi – dimensi lidah (qauli), hati (qalbi) dan perlakuan (fikli).





Mari kita lihat lebih dekat bagaimana ketiga-tiga dimensi zikir ini diaplikasikan. Katalah lidah kita mengucapkan subhanallah – ertinya Maha Suci Allah. Itu zikir qauli.




Namun, pada masa yang sama hati hendaklah merasakan Allah itu Maha Suci pada zat, sifat dan af'al (perbuatannya). Segala ilmu yang kita miliki tentang kesucian Allah hendaklah dirasai bukan hanya diketahui. Allah itu misalnya, suci daripada sifat-sifat kotor seperti dendam, khianat, prasangka dan sebagainya.




Dimensi Kata, Rasa Dan Tindakan




Jika seorang hamba yang berdosa bertaubat kepada-Nya, Allah bukan sahaja mengampunkannya, malah menghapuskan catatan dosa itu, bahkan menyayangi dan memberi "hadiah" kepadanya. 




Firman Allah:




"Wahai orang-orang yang beriman!

 Bertaubatlah kepada Allah 

dengan taubat yang semurni-murninya, 

mudah-mudahan Allah akan

 menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu

 dan memasukkan kamu ke dalam

 syurga-syurga yang mengalir 

di bawahnya sungai-sungai..."

 (Surah At Tahrim: 8)




Firman Allah lagi:




"... Sungguh, 

Allah menyukai orang 

yang taubat dan menyukai

 orang yang menyucikan diri." 

(Surah Al-Baqarah: 222)




Sifat ini berbeza sekali dengan kita manusia yang kekadang begitu sukar memaafkan kesalahan orang lain. Dan segelintir yang mampu memaafkan pula begitu sukar melupakan – forgive yes, forget not! Hendak memberi hadiah kepada orang yang bersalah mencaci, memfitnah dan menghina kita?
Ah, jauh panggang daripada api! 




Begitulah kotornya hati kita yang sentiasa diselubungi dendam, prasangka dan sukar memaafkan. Tidak seperti Allah yang begitu suci, lunak dan pemaaf. Jadi, apabila kita bertasbih, rasa-rasa inilah yang harus diresapkan ke dalam hati. Ini zikir qalbi namanya.




Tidak cukup di tahap itu, zikrullah perlu dipertingkatkan lagi ke dimensi ketiga. Hendaklah orang yang bertasbih itu memastikan perlakuannya benar-benar menyucikan Allah.



 Ertinya, dia melakukan perkara yang selaras dengan suruhan Allah yang Maha Suci dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Yang halal, wajib, harus dan sunat dibuat. Manakala yang haram dan makruh ditinggalkannya. Zina, mengumpat, mencuri, memfitnah dan lain-lain dosa yang keji dan kotor dijauhi. Bila ini dapat dilakukan kita telah tiba di dimensi ketiga zikrullah – zikir fikli!



Sekiranya ketiga-tiga dimensi zikrullah itu dapat dilakukan, maka kesannya sangat mendalam kepada hati. 




Sekurang-kurang hati
 akan dapat merasakan empat perkara:




Rasa kehambaan
Rasa bertuhan.
 Memahami maksud takdir.
 Mendapat hikmah di sebalik ujian.




Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita, agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti.




Untuk menjaga kebersihan hati maka kita juga perlu untuk menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat.




Rasa Kehambaan




Rasa kehambaan ialah rasa yang perlu ada di dalam hati seorang hamba Allah terhadap Tuhan-Nya. Antara rasa itu ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain lagi. Bila diuji dengan kesakitan, kemiskinan, cercaan misalnya, seorang yang memiliki rasa kehambaan nampak segala-galanya itu datang daripada Allah. 




Firman Allah:


"Katakanlah (Muhammad),

 tidak akan menimpa kami 

 melainkan apa yang telah

 ditetapkan Allah bagi kami.

 Dialah pelindung kami, 

dan hanya kepada Allah 

bertawakal orang-orang yang beriman."

 (Surah At Taubah: 51)




Seorang hamba akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Bukankah dia seorang hamba? Dia akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku yang diuji? Kenapa aku, bukan orang lain? Ini samalah dengan mempersoalkan Allah yang mendatangkan ujian itu. Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Jika kita "memberontak" hati akan bertambah kacau.



Imam Ghazali pernah menyatakan bahawa cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah "memberontak" kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya.



Misalnya, dia tidak lalu mahu makan-minum secara teratur, tidak mandi, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas, tidak mengemaskan misai dan janggut dan lain-lain yang menjadi selalunya menjadi rutin hidupnya.



Ungkapan mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang adalah satu "demonstrasi" seorang yang sudah tercabut rasa kehambaannya apabila diuji.
Bila ditimpa ujian kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja' – innalillah wa inna ilaihi rajiun. 




Firman Allah:



"...Iaitu orang-orang

 yang apabila ditimpa musibah, 

mereka berkata sesungguhnya 

kami milik Allah dan kepada-nyalah

 kami kembali." 

(Surah Al-Baqarah: 156)



Mengapa kita diperintahkan mengucapkan istirja'?




Kalimah ini sebenarnya mengingatkan kita agar kembali merasakan rasa kehambaan. Bahawa kita adalah hamba milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini.



Rasa Bertuhan




Rasa kehambaan yang serba lemah, miskin, kurang dan jahil itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Bila kita rasa lemah timbul pergantungan kepada yang Maha kuat. Bila kita rasa kurang timbul pengharapan kepada yang Maha sempurna. Bila miskin, timbul rasa hendak meminta kepada yang Maha kaya. Rasa pengharapan, pengaduan dan permintaan hasil menghayati sifat-sifat Allah yang Maha sempurna itulah yang dikatakan rasa bertuhan.



Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina, lemah sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa berani, mulia dan kuat. Seorang hamba yang paling kuat di kalangan manusia ialah dia yang merasa lemah di sisi Allah.




Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya. Inilah rasa yang dialami oleh Rasulullah SAW yang menenteramkan kebimbangan Sayidina Abu Bakar ketika bersembunyi di gua Thaur dengan katanya, 



"la tahzan 

 innallaha maana – jangan takut,

 sesungguhnya Allah bersama kita!"




Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para nabi dan Rasul, mujaddid dan mujtahid, para mujahid dan murabbi sanggup berdepan kekuatan majoriti masyarakat yang menentang mereka mahupun kezaliman pemerintah yang mempunyai kuasa.




Tidak ada istilah kecewa dan putus asa dalam kamus hidup mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah.



Firman Allah:



"Dan 

pohonlah pertolongan 

dengan sabar dan solat."

 (Surah Al-Baqarah)




Dalam apa jua keadaan, positif mahupun negatif, miskin ataupun kaya, berkuasa ataupun rakyat biasa, tidak dikenali ataupun popular, hati mereka tetap tenang. 



Firman Allah:



"Dialah Tuhan 

yang menurunkan ketenangan

 ke dalam hati orang yang beriman,

 supaya keimanan mereka 

makin bertambah daripada

 keimanan yang telah ada. 

Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, 

dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana."

 (Surah Al-Fath: 4)



Bila hati tenang berlakulah
 keadaan yang dijelaskan oleh 
 Rasulullah SAW melalui sabdanya:



Maksudnya:





 "Amat menarik hati

 keadaan orang beriman, 

semua pekerjaannya baik belaka,

 dan itu ada hanya pada orang beriman: 

Jika memperoleh kesenangan, 

dia bersyukur. Dan itu

 memberikannya kebaikan (pahala). 

 Jika ditimpa bahaya (kesusahan), 

dia sabar dan itu juga 

memberikannya kebaikan."

 -Al Hadis-



Memahami Maksud Takdir Allah




Mana mungkin kita mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal:  




" We can't direct the wind 

but we can adjust our sail – 

kita tidak mampu mengawal 

arah tiupan angin, 

kita hanya mampu mengawal

 kemudi pelayaran kita."




Kemudi dalam pelayaran kehidupan kita adalah hati. Hati yang bersifat bolak-balik (terutamanya bila diuji) hanya akan tenang bila kita beriman kepada Allah – yakin kepada kasih-sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya. 




Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif. Baik dan buruk hanya pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandangan-Nya yang Maha luas, semua yang ditakdirkan ke atas hamba-Nya pasti bermaksud baik.



Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan, bersangka baik kepada Allah berdasarkan firman-Nya:



"Ada perkara 

yang kamu tidak suka 

tetapi ia baik bagi kamu

 dan ada perkara yang kamu suka 

tetapi ia buruk bagi kamu, 

Dan sesungguhnya 

Allah Maha Mengetahui dan

 kamu tidak mengetahuinya."

 (Surah Al-Baqarah : 216)




Seorang ahli hikmah,
 Ibn Atoillah menjelaskan hakikat ini
 menerusi katanya:



 "Barang siapa yang menyangka 

sifat kasih sayang Allah

 terpisah dalam takdir-Nya, 

maka itu adalah kerana 

pendeknya penglihatan akal 

dan mata hati seseorang."




Siapa tidak inginkan kekayaan,
 malah kita dituntut mencari harta. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, masih miskin juga, bersangka baiklah dengan Tuhan... mungkin itu caranya untuk kita mendapat pahala sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita tidak berilmu, maka berusahalah untuk belajar, kerana itulah maksud Allah mentakdirkan begitu.



Kalau kita berkuasa, 
Allah inginkan kita melaksanakan keadilan.
 Sebaliknya, kalau kita diperintah
 (oleh pemimpin yang baik), itulah jalan
 untuk kita memberi ketaatan. 
Rupanya cantik kita gunakan ke arah kebaikan. 
Hodoh? kita terselamat daripada fitnah dan godaan. 
Ya, dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin
 untuk memahami apa maksud Allah di sebalik takdir itu.



Jadi, kita tidak akan merungut, stres dan tertekan dengan ujian hidup. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini: 




"Untuk meringankan

 kepedihan bala yang menimpa,

 hendak dikenal bahawa Allah-lah

 yang menurunkan bala itu. 

Dan yakinlah 

bahawa keputusan (takdir) Allah itu 

akan memberikan yang terbaik."




Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya, 
namun ingatlah takdir Tuhan 
sentiasa mengatasi tadbir insan. 



Jangan cuba mengambil alih "kerja Tuhan" yakni cuba menentukan arah angin dalam kehidupan ini tetapi buatlah kerja kita, yakni mengawal pelayaran hidup kita dengan meningkatkan iman dari semasa ke semasa. Kata bijak pandai: 


"It's not what happens to you,

 but it's what you do about it. 

It is not how low you fall 

but how high you bounce back!"



Mendapat Hikmah Bila Diuji



Hikmah adalah sesuatu yang tersirat di sebalik yang tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh "mehnah" – didikan langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya.



Rasulullah s.a.w. bersabda:



  "Perumpamaan orang

 yang beriman

 apabila ditimpa ujian, 

bagai besi yang dimasukkan

 ke dalam api, lalu

 hilanglah karatnya (tahi besi) 

dan tinggallah yang baik sahaja!"


Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah ada di kalangan para rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi – yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian.


Ringkasnya, hikmah adalah kurnia termahal di sebalik ujian buat golongan para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin ialah mereka yang sentiasa diuji.



Firman Allah: 




"Apakah kamu mengira 

akan masuk ke dalam syurga 

sedangkan kepada kamu

 belum datang penderitaan 

 sebagaimana yang dideritai 

orang-orang terdahulu daripada kamu, 

iaitu mereka ditimpa kesengsaraan,

 kemelaratan dan kegoncangan, 

sehingga Rasul dan orang-orang

 yang beriman bersamanya merintih: 

"Bilakah datangnya pertolongan Allah?"

 (Surah Al-Baqarah: 214)


Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Malah dalam keadaan berdosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu pengampunan. Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat.
Justeru, telah sering para muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah) tentang hikmah ujian dengan berkata:


 "Allah melapangkan bagimu

 supaya engkau tidak selalu 

dalam kesempitan dan Allah 

menyempitkan bagi mu 

supaya engkau tidak hanyut 

dalam kelapangan, dan Allah

 melepaskan engkau dari keduanya, 

supaya engkau tidak bergantung 

 kepada sesuatu selain Allah."


Apabila keempat-empat perkara ini dapat kita miliki maka hati akan sentiasa riang, gembira dan tenang dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Sentiasa melakukan kerja amal, tolong menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup dengan berkasih sayang antara satu dengan lain.
 


Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak zikrullah. Itulah satu-satunya jalan untuk mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat nanti. Manusia perlukan zikir umpama ikan perlukan air. 


Tanpa zikir, hati akan mati. Tidak salah memburu kekayaan, ilmu, nama yang baik, pangkat yang tinggi tetapi zikrullah mestilah menjadi teras dan asasnya.
Insya-Allah, dengan zikrullah hati kita akan lapang sekalipun duduk di dalam pondok yang sempit apatah lagi kalau tinggal di istana yang luas. Inilah bukti keadilan Allah kerana meletakkan kebahagiaan pada zikrullah – sesuatu yang dapat dicapai oleh semua manusia tidak kira miskin atau kaya, berkuasa atau rakyat jelata, hodoh atau jelita.


Dengan itu semua orang layak untuk bahagia asalkan tahu erti dan melalui jalan yang sebenar dalam mencarinya. Rupa-rupanya yang di cari terlalu dekat... hanya berada di dalam hati sendiri!



Biodata Penulis


Ustaz Pahrol Mohd Juoi 
merupakan seorang penulis buku, artikel,
 lirik nasyid dan juga skrip. Salah satu buku 
karangan beliau adalah 'Tentang Cinta.' 
Penulis kelahiran Ipoh, Perak ini 
merupakan seorang master trainer 
untuk syarikat Fitrah Perkasa Sdn. Bhd.
 dan juga ketua editor majalah Solusi. 
Blog beliau adalah
 www.genta-rasa.com.







p/s :  



Sesungguhnya,

kekayaan bukanlah terletak pada banyaknya harta benda

yang dapat dikuasai ataupun banyaknya wang yang dimiliki.

Kerana keinginan dan nafsu, tidak pernah ada puasnya.

Seberapa banyak pun harta benda yang telah dimiliki,

tetapi jika hati tetap merasa kurang, 
maka sejatinya ia  adalah orang yang miskin.

Kerana itu, sesungguhnya........
 
kekayaan terletak di dalam hati.
 
Biarpun harta benda atau wang yang dimiliki 
hanya sekadar cukup untuk makan dan 
memenuhi keperluan hidup seharian,
 
tetapi
 jika hati sudah merasa cukup dengan semua itu,
 
nescaya ia adalah orang yang paling kaya di dunia ini.
 
Ya, kuncinya adalah kekayaan hati :)

Teruskan membaca..

UPSR 2012: Prestasi 7 negeri turun




UPSR 2012: Prestasi 7 negeri turun


KUALA LUMPUR - Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah tahun ini tidak banyak berbeza berbanding tahun lepas dengan beberapa negeri menunjukkan peningkatan dalam jumlah dan peratusan murid yang memperoleh keputusan semua A.

Selain Kuala Lumpur, negeri yang mencatat peningkatan ialah Sarawak, Negeri Sembilan, Kedah, Pahang, Sabah dan Perlis.


Tujuh negeri pula mencatat sedikit penurunan iaitu Terengganu, Pulau Pinang, Kelantan, Perak, Selangor, Johor dan Melaka.


Di KUALA LUMPUR, 2,487 atau 10.35 peratus daripada 24,021 calon memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran.


Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Abdullah Mad Yunus berkata, keputusan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 0.37 peratus berbanding tahun lepas iaitu 2,441 murid daripada 22,766 calon mendapat semua A.

Beliau berkata, tiga sekolah yang mencatat pencapaian semua A tertinggi ialah Sekolah Kebangsaan Setiawangsa (97 murid), Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara (93 murid) dan Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1 (89 murid).


Di KUCHING, 2,010 daripada 45,946 calon UPSR Sarawak mencatat keputusan semua A berbanding 1,835 calon tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 175 orang atau 0.22 peratus, kata Pengarah Pelajaran Sarawak Abdillah Adam.


Beliau berkata, seramai 26,009 calon atau 56.9 peratus berjaya memperoleh sekurang-kurangnya penguasaaan minimum Gred C dalam semua mata pelajaran yang diambil, berbanding 24,344 calon atau 55.52 peratus pada tahun lepas, peningkatan sebanyak 1.38 peratus.


Di SEREMBAN, Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan Kalsom Khalid berkata, seramai 2,197 orang atau 11.4 peratus memperoleh keputusan penuh 5A atau 7A berbanding 2,169 calon atau 11.6 peratus pada 2011.


Beliau berkata, seramai 13,632 calon atau 70.9 peratus pelajar mencapai tahap penguasaan minimum gred 'C' dalam keseluruhan mata pelajaran yang diambil, meningkat 2.6 peratus berbanding pencapaian 2011.


Di KUANTAN, jumlah pelajar UPSR di Pahang yang memperoleh keputusan 5A turut meningkat kepada 3,025 berbanding 2,977 tahun lepas.


Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang Rosdi Ismail berkata seramai 19,152 calon pula berjaya menguasai semua mata pelajaran iaitu mendapat gred A, B dan C.


Dalam masa sama, beliau berkata pencapaian calon UPSR sekolah di tanah rancangan Felda yang berjaya mendapat gred serupa juga menunjukkan trend peningkatan iaitu 452 orang daripada 5,062 calon berbanding tahun lepasa, 446 orang dari 5,004 calon.


Di KANGAR, walaupun jumlah calon UPSR negeri Perlis tahun ini berkurangan namun jumlah yang mencatat keputusan cemerlang meningkat kepada 416 orang berbanding 388 orang pada 2011.


Pengarah Pelajaran Perlis Dun Kasa berkata peratus kelulusan keseluruhan juga meningkat sebanyak 3.31 peratus kepada 65.71 peratus.


Di ALOR STAR, seramai 3,342 calon di Kedah memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran, meningkat sebanyak 0.11 peratus berbanding tahun lepas. 

 
Pengarah Pelajaran Kedah Mansor Lat berkata pencapaian peratus kelulusan keseluruhan UPSR 2012 negeri itu meningkat 1.87 peratus kepada 66.32 peratus berbanding 64.45 peratus tahun lepas.
 
Di KENINGAU, seramai 1,035 daripada 45,337 calon UPSR 2012 di Sabah memperoleh keputusan A bagi semua mata pelajaran yang diambil, sekaligus menunjukkan peningkatan 0.04 peratus berbanding tahun lepas, kata Pengarah Pelajaran Sabah Datuk Dr Muhiddin Yussin.
 
"Pada keseluruhannya seramai 21,140 calon atau 47.22 peratus berjaya mencatat sekurang-kurangnya gred C dalam mata pelajaran diambil yang menunjukkan peningkatan 2.19 peratus berbanding 20,403 calon tahun lalu," katanya.
 
Di KUALA TERENGGANU, seramai 3,012 dari 22,790 calon mendapat keputusan semua'A', merosot kepada 13.22 peratus berbanding 15.56 peratus tahun lepas, kata Pengarah Pelajaran Terengganu Zakaria Hussin.

Di SHAH ALAM, Timbalan Pengarah Pelajaran Selangor Mohd Salleh Mohd Kassim berkata 8,581 calon memperoleh semua A, menurun 0.96 peratus daripada 9,004 calon cemerlang tahun lepas.

  
Seramai 54,092 calon pula lulus dalam semua mata pelajaran yang diambil dengan gred minimum C.
  
Di IPOH, seramai 3,718 calon UPSR di negeri itu memperoleh gred cemerlang dalam semua mata pelajaran berbanding 3,882 calon tahun lepas, menurun sebanyak 0.82 peratus.
 
Timbalan Pengarah Pelajaran Perak Mohd Idris Ramli berkata bagaimanapun jumlah calon yang mencapai tahap penguasaan minima (ABC) bagi semua mata pelajaran yang diduduki meningkat kepada 28,298 calon berbanding 26,818 calon tahun lepas.
  
Di JOHOR BAHARU, Pengarah Pelajaran Johor Md Nor A Ghani berkata 9.07 peratus calon memperoleh keputusan semua A, menurun sabanyak 0.69 peratus berbanding 9.76 peratus pada 2011.
  
Beliau berkata peratusan calon yang mendapat pencapaian Baik dengan minimum gred C bagi semua mata pelajaran yang diduduki meningkat sebanyak 0.57 peratus daripada 59.66 peratus tahun lepas kepada 60.23 peratus tahun ini. - Bernama




Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...