|
Makanan
Subjek ini merupakan yang paling sinonim dengan rakyat Malaysia, dan mungkin juga paling banyak dibincangkan dalam ruangan Kesihatan selama ini. Secara realistiknya, kebanyakan rakyat negara ini berada pada tahap 'terlalu banyak' pilihan dan terlebih makan.
Walaupun masih ada segelintir rakyat yang hidup dalam kesusahan, peningkatan mendadak kes penyakit berkait dengan makanan menjadi bukti tahap kemewahan makanan di Malaysia - sesuai dengan jolokan syurga makanan. Penyakit seperti obesiti, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, diabetes, penyakit jantung, strok dan bermacam lagi bukan sahaja menyerang golongan dewasa, malahan kanak-kanak seawal usia belasan tahun.
Yang paling jelas, amalan 'makan melampau' sering berlaku di musim perayaan atau ketika sambutan tertentu - seperti Krismas dan Tahun Baru yang disambut minggu ini. Berbuih mulut pakar kesihatan dan Kementerian Kesihatan, hasilnya amatlah menghampakan. Makanan segera, yang diproses atau mana-mana makanan yang mudah dibeli untuk dimakan dengan cepat tetap menjadi pilihan. Kebiasaannya, perubahan gaya hidup dan pemakanan hanya berlaku apabila diri sendiri atau ahli keluarga diserang penyakit kronik.
Tetapi, rakyat Malaysia mahupun mana-mana penduduk dunia tidak boleh disalahkan sepenuhnya. Bebanan kerja dan gaya hidup yang semakin pantas telah memaksa mereka memilih cara tersebut.
Seks, Rokok, Murung
Kemurungan sebenarnya semakin kuat menggenggam golongan pekerja di negara ini. Dunia semakin pantas mengurangkan waktu kita bersama keluarga (rehat), masa bersenam dan masa makan, tetapi nampaknya tetap ada masa untuk merokok.
Penduduk Malaysia dan dunia kini terbukti tidak cukup atau tidak menjalin hubungan seks yang memuaskan. Seks yang membantu mengurangkan tekanan hidup menjadi tumpuan ramai tetapi kurang dibincangkan masyarakat Timur. Bukan sahaja dengan isteri, masa riadah bersama keluarga juga semakin terhad.
Hasilnya, semakin ramai yang kemurungan!
Keperluan bekerja dengan pantas juga memaksa ramai kurang aktif - menggunakan lif dari tangga. Mereka yang ada lebihan masa pula tidak mahu lagi menggunakan tangga kerana lebih mudah menggunakan lif.
Selepas satu tempoh, keluhan kepenatan bergema jika terpaksa menaiki tangga ke satu tingkat di atas sekalipun. Semua bentuk senaman juga ditolak atas alasan kepenatan bekerja sepanjang minggu dan waktu hujung minggu dihabiskan berehat dan tidur.
Akibatnya, semakin ramai yang lemah dan kemurungan!
Tidak cukup dengan keletihan serta kemerosotan kesihatan fizikal dan mental, masih ada yang menghabiskan masa dan wang untuk rokok. Dari segi kesihatan, rokok dikaitkan dengan hampir semua jenis penyakit memandangkan setiap batang rokok mempunyai beribu-ribu bahan kimia dan toksin. Secara purata, setiap batang rokok juga memendekkan 11 minit atau jumlah sekitar 14 tahun bagi perokok biasa.
Hasilnya, begitu ramai yang sakit, lemah dan kemurungan!
Ubat, suplemen, teknologi
Banyak perkembangan teknologi perubatan, ubat dan juga suplemen kesihatan yang berlaku sepanjang 2009. Sebarang masalah dari mata hingga ke hujung kaki kini dapat dirawat dengan bermacam teknologi baru - sama ada di Malaysia atau luar negara.
Ubat juga menunjukkan perkembangan pesat, terutamanya untuk bermacam jenis kanser tahap kritikal - termasuklah aplikasi vaksin mencegah kanser serviks yang telah diwajibkan bagi gadis remaja di negara ini. Selain itu, rakyat Malaysia juga banyak dibantu melalui program rawatan percuma atau bersubsidi untuk penyakit-penyakit tertentu.
Pengambilan suplemen tertentu juga makin digalakkan - bukan untuk merawat tetapi untuk menjaga tahap kesihatan diri dan menguatkan badan bagi menentang penyakit dan jangkitan. Namun, yang lebih penting tetap gaya hidup dan cara pemakanan yang sihat bagi mengekalkan kekuatan badan dalam melindungi diri dari ancaman penyakit dan kuman.
Suram
Tahun 2009 juga membawa khabar suram - pendermaan organ dan Influenza A H1N1. Krisis pendermaan organ telah berlarutan lebih dua tahun sejak penghujung 2007 - selepas Tee Hui Yi menerima jantung baru. Selepas lebih dua tahun, barulah tiba giliran Tan Geek Koon pula menerima jantung baru - sedangkan lapan lagi masih menunggu.
Masalah kekurangan penderma telah berlarutan sejak program transplan dimulakan lagi, dahulunya berpunca dari kurang pendedahan kepada kepada umum. Kini, masalah utama bukan lagi kurangnya pengikrar menderma organ, sebaliknya tidak memaklumkan niat kepada ahli keluarga. Ahli keluarga yang tidak dapat menerima hakikat kehilangan orang tersayang dan kemungkinan mendermakan organ mereka hampir pasti menolak usaha mendapatkan organ untuk transplan.
Ditambah masalah bilangan pesakit yang memerlukan organ baru terus meningkat, jelas sekali Malaysia masih jauh dari mencapai sasaran pendermaan organ yang cukup untuk keperluan rawatan tempatan.
Virus H1N1 menjadi antara masalah jangkitan kuman utama negara sejak sekian lama selepas peningkatan mendadak penyakit kronik. Ditambah dengan bilangan penghidap penyakit kronik yang semakin ramai, H1N1 mula meragut banyak nyawa di seluruh dunia.
Ancamannya juga belum berakhir. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan satu gelombang kedua yang lebih teruk bakal menjelang. Persoalannya, adakah Malaysia dan dunia bersedia menghadapi gelombang kedua?
Walaupun penyakit berjangkit dan kronik semakin menular di Malaysia dan seluruh dunia, sambutan satu dekad baru bermula 2010 tidaklah begitu suram seperti yang dijangkakan. Kebanyakan penyakit kini ada ubat dan rawatannya - termasuk H1N1 yang telah tersedia vaksinnya.
Mungkin masanya telah tiba untuk tumpuan dialih kepada pencegahan pula - terutamanya pemakanan dan gaya hidup. Berhenti merokok - cuba selagi tidak berjaya, sekurang-kurangnya banyakkan naik tangga - jika malas bersenam, rehat secukupnya dan habiskan lebih masa bersama keluarga - pastikan hubungan seks suami isteri yang lebih memuaskan.
Aturkan lebih masa untuk menjaga keperluan diri dan keluarga, bukan hanya untuk kerja. Alasan 'tiada masa' hanya bagi yang malas dan tidak menyayangi diri dan orang tersayang.
Elakkan rokok, elakkan kemurungan, jaga pemakanan. Jadikan 2010 permulaan yang lebih sihat, cergas dan gemilang.
Sumber : Utusan Malaysia/27.12.2009/Ahad