Photobucket

Sahabat Maya :

Monday, January 11, 2010

Tubuh Kecil, Jiwanya Besar

Kelebihan 'orang mini'

Orang kerdil di Malaysia ada yang menjadi guru, pelakon filem dan subkontraktor.





AZAHARI ABDULLAH


AZAHARI ABDULLAH, 46, begitu popular di kalangan murid-murid sebuah sekolah persendirian Cina di Kota Damansara, Selangor.

“Mungkin ketinggian saya cuma 135 sentimeter (sm), jadi ke mana-mana pun pergi saya akan menjadi tumpuan,” kata guru lelaki kerdil itu.

Orang kerdil merujuk kepada keadaan fizikal seseorang yang hanya boleh mencecah ketinggian maksimum sekitar 4 kaki 8 inci bagi lelaki dan 4 kaki 6 inci bagi perempuan.

Secara asas, faktor genetik menjadi punca berlakunya kekerdilan dengan nisbah 1 bagi setiap 25,000 kelahiran di dunia.

Menjadi manusia kerdil ternyata memberi masalah kepada Azahari pada peringkat awal.

“Bukan mudah untuk majikan mengambil pekerja kerdil,” katanya yang menganggur selama hampir lima tahun selepas tamat pengajian sebelum diterima mengajar di sekolah tersebut.

Mengimbas pengalaman ketika ditemu duga pada sekitar tahun 1980-an dan 1990-an, Azahari memberitahu, beliau dipanggil temu duga sebanyak tiga kali namun tiada satu pun yang berjaya.

“Boleh ke buat kerja nanti? Macam mana nak mengajar? Itulah antara pertanyaan yang sering diajukan kepada saya.

“Sampaikan saya kata, beri saya peluang dahulu, baru tahu saya boleh buat kerja atau tidak,” ceritanya.

Azahari yang juga guru panitia ialah orang kerdil normal, jadi beliau tiada masalah untuk mengendalikan alat bantuan mengajar seperti komputer riba dan projektor.

Bagaimanapun, kerdil tidak seimbang atau Achondroplasia dialami hampir 70 peratus orang kerdil. Dalam kes itu, tangan dan kaki mereka pendek berbanding kepala serta badan.

Bagi Chong Kah Hing, 26, pula kekerdilannya hanya dikesan ketika dia berumur enam bulan apabila dia pergi mendapatkan rawatan biasa di hospital.

“Ia memang mengejutkan sebab tiada sejarah kelahiran orang kerdil dalam keluarga saya,” katanya.


DENGAN memasang kerusi boleh laras, Kah Hing bebas memandu ke mana-mana.





Berketinggian 130 sm, kerjaya sebagai subkontraktor memerlukannya memanjat di tempat tinggi terutama melibatkan kerja pendawaian elektrik di kilang-kilang besar.

“Bukankah ada tangga serta palang untuk panjat atau mencapai sesuatu di bahagian yang tinggi? Jadi, tinggi atau rendah bukan alasan dalam melakukan sesuatu kerja,” katanya bersemangat.

Kah Hing pernah muncul dalam filem arahan Mamat Khalid, Kala Malam Bulan Mengambang, sebagai pelakon tambahan.

Walaupun kemunculannya hanya dalam beberapa babak, bakatnya memang terserlah.

“Pertama kali hadir di lokasi penggambaran filem itu, semua orang terkejut, termasuklah pengarah. Kekok juga. Namun penerimaan yang baik daripada semua krew serta pelakon membuatkan perasaan malu itu hilang,” kata Kah Hing yang sering ketawa ketika bercerita.

Melihat penampilannya, jelas benar faktor kerdil itu langsung tidak mengganggu. Malah Kah Hing bangga memandu kereta Kancil berwarna merah miliknya.

“Ramai yang anggap orang kerdil macam kami ini tak boleh memandu. Berbahayalah, tak nampaklah nanti.

“Kini, dengan sedikit pelarasan yang dilakukan pada bahagian tempat duduk, saya boleh pergi ke mana saja tanpa menyusahkan sesiapa,” jelasnya sambil menunjukkan besi yang boleh diubahsuai di tempat duduk pemandu kereta itu.

Kata Kah Hing, selain menerima tawaran berlakon, kebanyakan masa terluangnya dihabiskan dengan bermain bola sepak dan futsal.

“Saya tak pernah anggap saya kerdil. Kawan-kawan pun begitu. Malah, saya mempunyai lebih ramai rakan normal berbanding kerdil dan mereka amat menghormati saya,” tegasnya.


“Kebanyakan mereka hanya berniaga kecil-kecilan. Ini tidak akan mengubah nasib mereka sekiranya tiada pihak yang mahu memberi peluang,” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan Zuraidah Abdul Hanan, 42, juga wanita kerdil, pada tahun 1993.

Menyentuh penglibatan orang kerdil dalam bidang lakonan, ujarnya, jangan sempitkan peranan dan watak untuk mereka.

“Jangan stereotaip dengan hanya memberi peranan sebagai pelawak sedangkan mereka mampu membawa watak lebih mencabar seperti yang dilakukan di Hollywood.

“Justeru, saya harap pengarah yang ingin mengambil mereka berlakon, buka minda dan jangan ragu-ragu dengan kebolehan mereka,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...