"LAIN kali jika awak ke sini, tolonglah belikan kami sabun mandi dan ubat gigi... ia barang mewah bagi kami," kata seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Yassin, 32 tahun.
Dalam tempoh beberapa bulan lalu hidup Yassin cukup mewah. Dia membeli-belah barang kemas yang mahal, barang elektrik berjenama dan makan di beberapa pusat beli-belah terbaik di kota metropolitan Bangkok.
Beliau bukanlah seorang ahli politik atau ahli perniagaan ternama, tetapi jurujual separuh masa dari Kuala Lumpur yang mempunyai tiga orang isteri dan sepuluh anak. Malangnya, Yassin kini menjalani hukuman penjara selama 15 tahun di Penjara Klong Prem, Bangkok.
"Saya bertungkus-lumus untuk menyara keluarga. Sehinggalah seorang rakan datang dan memujuk saya menerima satu pekerjaan yang hanya memerlukan saya berkunjung ke Bangkok, Thailand," kata Yassin.
Beliau diberi beberapa kad kredit dan diberitahu agar membeli barang yang mahal terutama barang kemas dan elektronik di beberapa buah pusat beli-belah ternama terutama di Bangkok.
Yassin mendakwa beliau tidak mengetahui bahawa dirinya menggunakan kad kredit palsu.
"Saya beli begitu banyak barang mahal, melakukan beberapa kali perjalanan ke sini dan mendapat komisyen yang baik. Tetapi saya ditangkap apabila hendak membeli satu barang yang murah awal tahun ini," kata Yassin yang tidak dapat berhubung dengan keluarganya sejak penangkapan itu.
Terjebak
Yassin bukanlah satu-satunya mangsa kerana hampir dua pertiga daripada 92 banduan rakyat Malaysia sedang 'menikmati percutian berbayar' di Penjara Klong Prem atas kesalahan yang sama. Malah, majoriti daripada kira-kira 500 banduan Malaysia di Thailand ada di penjara itu atas kesalahan yang sama.
Rakan sebiliknya, Ahmad, seorang pemandu pelancong yang menjalani hukuman enam tahun penjara, sebelum ini sering berkunjung ke kota raya itu sejak beberapa tahun lalu dengan membawa masuk rakyat Malaysia untuk menikmati
Namun tanpa disedari beliau yang ketika itu sedang 'berlibur' membeli-belah barang-barang mahal, sebenarnya menggunakan kad kredit palsu yang dibekalkan oleh seseorang di Malaysia.
"Saya tidak mempunyai sebarang hutang dan saya hanya melakukannya untuk membeli barang elektronik yang mahal dan mendapat duit tambahan. Saya sedang membeli dua telefon bimbit jenama Sony apabila saya ditangkap," kata anak kelahiran Kedah itu.
|
|
Seorang lagi pesalah kad kredit yang hanya mahu dikenali sebagai Azmi berkata, beliau mempunyai hutang yang banyak selepas perniagaan menjual keretanya mengalami kerugian ekoran kemelesetan ekonomi.
"Memang tak berbaloi. Saya hilang semua. Saya memang tidak tahu bahawa saya diberi kad kredit palsu," kata Azmi yang diberkas di Bangna, pinggir Bangkok.
Beberapa banduan yang ditemui di penjara Klong Prem berkata, pihak berkuasa Thailand terutama makhkamah begitu tegas apabila berhadapan dengan pesalah kad kredit. Sekurang-kurangnya dua rakyat Malaysia menjalani hukuman 15 tahun penjara.
Menurut polis Thai, secara purata dua rakyat Malaysia diberkas setiap bulan kerana menggunakan kad kredit palsu di negara itu.
Penglibatan rakyat Malaysia menimbulkan kebimbangan di kalangan pihak bank di Thailand hingga terpaksa bertindak membatalkan kad tulen yang digunakan oleh pemiliknya apabila melancong dan membuat transaksi di Malaysia.
"Saya terkejut apabila pulang ke Malaysia pihak bank memberitahu supaya saya mendapatkan satu kad baru. Mereka agak bimbang dengan jenayah mencuri data kad kredit di sana," kata seorang ahli pernigaan Malaysia yang menjalankan perniagaan di Bangkok sejak dua dekad lalu.
Bagaimanapun, data yang dicuri tidak diambil daripada kad kredit Malaysia kerana Malaysia telah menggantikan kad bermagnet kepada cip.
Seorang pegawai di Bahagian Pencegahan Jenayah yang enggan dikenali berkata, kebanyakan kad yang digunakan oleh pesalah rakyat Malaysia mempunyai maklumat yang diperoleh daripada kad yang dikeluarkan oleh bank dari Eropah.
"Kebiasaannya anggota sindiket berkenaan akan berhubung dengan pekerja di hotel dan pusat hiburan, dengan bayaran sekitar RM50.98 untuk setiap data yang diberi. Maklumat itu akan dihantar ke Malaysia untuk menghasilkan kad-kad kredit palsu," katanya.
Sindiket penipuan kad kredit di Thailand bukanlah satu fenomena baru kerana ia telah berlaku sejak lebih dua dekad dengan modus operandi yang berbeza-beza.
Seorang bekas pemandu pelancong ketika bercakap mengenai perkara itu memberi gambaran bagaimana sindiket kad kredit palsu beroperasi di rantau ini.
"Sekitar tahun 90-an data kad kredit lebih mudah dicuri dan mengendalikan transaksi menggunakan maklumat palsu. Ketika itu sasarannya ialah kad yang dikeluarkan di Eropah kerana ia mengambil masa tiga hari untuk pedagang mengesahkan ketulenan kad berkenaan," kata lelaki yang berusia dalam lingkungan 40-an itu.
"Masa pembelian amat penting bagi sindiket berkenaan. Lazimnya, mereka menggunakan kad pada sebelah pagi dan kerana perbezaan waktu bank hanya boleh mengesahkan kad berkenaan beberapa hari kemudian," katanya.
|
|
Bekas pemandu pelancong itu yang kini mengendalikan perniagaan sendiri berkata, sindiket terbabit akan membekalkan kira-kira sepuluh kad kepada setiap pengutus (runner), siap dengan gambar masing-masing dan maklumat dalam kad. Bagaimanapun, nombor di dalam kad itu adalah yang dicuri.
"Kebiasaannya kad emas membawa nilai antara RM1,000 hingga RM20,000. Jika transaksi pertama gagal, pengutus berkenaan akan menukar kepada kad yang lain," katanya yang mengetahui modus operandi berkenaan daripada pengutus yang juga pelancong yang digajikan oleh syarikat untuk mengendalikan pengangkutan dan penginapan.
Sebelum ini kebanyakan pengutus terdiri daripada mereka yang menganggur dan tertarik untuk melancong ke luar negara secara percuma.
Kebanyakan pengutus kini terdiri daripada mereka yang menanggung beban hutang yang banyak dan diburu oleh ah long untuk melakukan kunjungan ke Thailand. Bahkan sesetengah daripada mereka tidak mengetahui bahawa kad kredit terbabit adalah palsu.
"Mereka diberitahu supaya membeli komputer riba, barang kemas, video digital dan wiski yang mahal. Selepas mereka pulang, mereka akan mendapat 40 peratus daripada barang-barang yang dibeli dan selebihnya kepada sindiket.
"Dalam satu kejadian, tujuh rakyat Malaysia semuanya memakai sut, membeli sarang burung bernilai 540,000 baht (RM55,067). Mereka berjaya tetapi satu lagi kumpulan terdiri daripada sepuluh orang yang menaiki van dan membeli barang kemas bernilai RM28,000 agak tidak bernasib baik," tambah beliau.
Transaksi
Bagaimanapun, penipuan itu bukan hanya melibatkan sindiket dan pengutus berkenaan, malah dalam beberapa kes pemilik kedai yang sering dikunjungi pelancong terutama barang kemas dan intan berlian.
"Pengutus berkenaan akan memasuki kedai emas dan membuat pembelian kadang-kadang sehingga 50,000 baht (RM5,098). Tetapi logiknya, tiada barang yang didagangkan tetapi pemilik kedai berkenaan akan menuntut wang daripada bank sebanyak 30 peratus," katanya.
Satu transaksi terbesar yang pernah beliau saksikan lima tahun lalu di mana barang kemas bernilai 5 juta baht (RM509,886) 'dibeli' menggunakan kad kredit palsu dalam tempoh tiga bulan.
"Tetapi sekarang ia bukanlah mudah kerana pihak bank lebih peka dengan transaksi penipuan yang seumpamanya, manakala pemilik kedai emas menggesa pihak bank agar mengesahkan kad sebelum menjual," katanya.
Dengan penguatkuasaan dan pengawasan yang lebih ketat oleh pihak berkuasa, para sindiket berkenaan juga menukar taktik masing-masing.
Beliau menjelaskan, pengeluar kad kredit palsu kini memilih untuk menjual sahaja kad-kad berkenaan pada harga RM500 setiap satu daripada menggunakan pengutus untuk membuat pembelian.
Berdasarkan kepada pengamatan beliau, permintaan untuk kad kredit palsu yang dibuat di Thailand dan Malaysia berkembang di Asia Barat, China, Taiwan, Hong Kong, Indonesia, Filipina, Korea Selatan dan Afrika.
Berikutan pemeriksaan yang lebih ketat, lebih ramai penipu dapat diberkas.
|
|
Awal tahun ini, seorang rakyat Malaysia dan rakannya dari Thailand diberkas di Chiang Mai. Polis juga merampas 23 pasport palsu dan lebih 1,500 kad kredit palsu di mana 83 daripadanya mempunyai jalur magnet dan sedia digunakan.
Barang yang dirampas itu dianggarkan bernilai kira-kira 100 juta baht (RM10,197).
Di Nonthaburi, pinggir Bangkok, pihak berkuasa Thai juga memberkas seorang lagi lelaki Malaysia yang dikehendaki oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) kerana penipuan kad kredit berjumlah AS$150 juta (RM540 juta).
Namun, Thailand juga menyaksikan ramai warga Afrika terbabit dalam komplot kad kredit.
Satu laporan baru-baru ini menunjukkan seorang rakyat Nigeria yang tinggal di Thailand didakwa menjadi perancang utama di sebalik komplot kad kredit bernilai AS$400,000 (RM1,351,401). - Bernama
KOSMO!
No comments:
Post a Comment