Photobucket

Sahabat Maya :

Friday, December 9, 2011

Perkahwinan jauhi gejala maksiat, zina



Khutbah Jumaat:


Perkahwinan jauhi gejala maksiat, zina



RUMAHKU, syurgaku, mahligaiku. Begitu indah sekali ungkapan ini dituturkan setiap insan yang punyai hati dan perasaan ingin mencintai serta dicintai.
Justeru, Islam menggalakkan perkahwinan kerana di situ terletaknya segala penyelesaian masalah sosial yang kian hebat berlaku hari ini.






Lebih tepat ingin ditegaskan, perbuatan zina itu lebih terkutuk dan keji walaupun ia mungkin lebih mudah berbanding perkahwinan. Perkara haram lebih digemari daripada yang halal namun, kesannya meruntuhkan sistem kekeluargaan Islam dan menjerumus masyarakat ke lembah kehinaan. Islam mengatur perjalanan umatnya begitu bersistem sekali dan pasti setiap daripada kita sama ada sudah memasuki gerbang perkahwinan atau memasang impian mengharapkan rumah tangga yang aman persis di syurga, bukan saja di akhirat bahkan di dunia lagi.





Begitulah yang selalu kedengaran untuk menggambarkan syurga dalam rumah tangga yang disegerakan di dunia ini supaya bukan saja mendapat reda Allah tetapi keampunan-Nya juga.





Persoalannya, rumah tangga yang bagaimana dipanggil syurga? Semestinya rumah tangga yang dipupuk kasih sayang, mawaddah, sakinah, qanaah dan reda.





Firman Allah bermaksud:



“Dan antara tanda yang membuktikan



kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa ia



menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki),



isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu



bersenang hati dan hidup mesra dengannya



dan dijadikan antara kamu (suami isteri)



perasaan kasih sayang dan belas kasihan.




Sesungguhnya yang demikian itu



mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran)



bagi orang yang berfikir.”



(Surah ar-Ruum, ayat 21)






Langit tidak selalu cerah, gelora laut kadangkala membadai pantai malah ungkapan lain seperti sedangkan lidah lagi tergigit dan pelbagai kata-kata menggambarkan betapa sebuah perkahwinan berlaku perselisihan faham.






Bahkan dalam keluarga Rasulullah SAW sendiri pernah berlaku sedemikian rupa. Cuma apa yang diperkatakan ketika ini untuk kita merenung serta menilai kembali segala ikrar dan perjanjian kita.







Masihkah suami ingat ketika lafaz nikah diikrarkan? Bagaimana pula janji membawa pasangan menuju Ilahi dengan pelaksanaan perintah-Nya?







Jawapannya mungkin pelbagai, namun perlu kita fahami bahawa matlamat sebuah perkahwinan bukan berakhir dengan perceraian atau kelakuan sumbang pasangan masing-masing tetapi perlu disantuni penuh adab dan etika sebagai seorang muslim.







Firman Allah SWT yang meletakkan amal soleh sebagai penentu kebahagiaan keluarga:





“Sesiapa yang beramal soleh,



dari lelaki atau perempuan,



sedang ia beriman,



maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan



Dia dengan kehidupan yang baik;



dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka,



dengan memberikan pahala yang lebih dari apa



yang mereka telah kerjakan.”



(Surah an-Nahl, ayat 97)








Rumah tangga yang dibina atas dasar iman dan takwa tidak mungkin ditemui keretakan padanya.







Jika setiap pasangan suami isteri mematuhi perintah Allah SWT dan mengikuti sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan berumah tangga, pasti tidak akan berlaku keretakan, salah faham, prasangka atau bertikam lidah.







Yang ada hanyalah kasih sayang dan ketenangan. Inilah syurga dunia yang dijanjikan Yang Maha Esa.







Sempena cuti sekolah ini, ramai yang bakal bergelar suami atau isteri. Ingatlah bahawa proses perkahwinan adalah permulaan sebuah keluarga Islam bagi melahirkan generasi yang taat dan sedia berkorban demi agama.







Semoga kita dapat memelihara masyarakat Islam hasil perkongsian kasih melalui perkahwinan dan mengatakan tidak kepada perbuatan maksiat serta zina.







Rasulullah SAW menganjurkan umatnya untuk melangsungkan perkahwinan bagi yang mampu, perkara ini tidak lain untuk memelihara hati dan anggota badan kita daripada terjebak dengan maksiat dan noda lebih-lebih lagi perbuatan zina.








Apabila proses ini berlaku dengan syumul, maka tidak mustahil masyarakat Islam yang lahir kelak akan berupaya mengembalikan kekuatan Islam di persada dunia.







Nikmat perkahwinan yang sebenar ialah apabila menggapai reda Ilahi dalam melayari bahtera kasih dan proses perkahwinan menjadi pencetus pembinaan generasi Islam yang bakal memartabatkan semula agama.







Sumber







No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...