Photobucket

Sahabat Maya :

Showing posts with label Koleksi Khutbah Jumaat. Show all posts
Showing posts with label Koleksi Khutbah Jumaat. Show all posts

Friday, December 27, 2013

Khutbah Jumaat



Khutbah Jumaat: 

 

 

 

Jana semangat Islam 

dengan mata hati

Usaha pertingkat kualiti diri,
 elak bersengketa sesama sendiri
 
 
 


Hari ini adalah Jumaat terakhir bagi 2013, bermakna detik waktu berjalan begitu pantas, saat, minit, jam, hari, minggu, bulan dan tahun terus berlalu tanpa menunggu kita. Sedarlah, pergerakan masa ini bermakna ia telah menambah lagi usia kita yang sememangnya kurniaan Allah SWT.
Bertambahnya usia, selayaknya membuat kita menjadi insan lebih bernilai di sisi Allah SWT. Nikmat usia dipinjamkan Allah SWT yang bersifat sementara adalah anugerah sangat bernilai bagi hamba yang mengerti erti hidup sebagai satu ibadah. 
 
 
 

Rasulullah SAW bersabda;



“Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah dengan angan-angan (yang banyak).”



(Riwayat at-Tirmizi)






Firman Allah SWT yang bermaksud: 
 
 
 
“(Katakanlah wahai Muhammad
 kepada mereka): Maka 
segeralah kamu kembali 
kepada Allah (dengan bertaubat
 dan taat), sesungguhnya aku 
diutuskan Allah kepada kamu,
 sebagai pemberi amaran
 yang nyata.”
 
 
 (Surah adz-Dzaariyat, ayat 50) 
 
 
 
 
 


Justeru, tahun baru yang akan menjelma ini hendaklah dimulakan dengan lafaz kesyukuran kerana kita masih lagi diizinkan meneruskan kehidupan di samping menjalankan tugasan harian sama ada sebagai anak, ibu, bapa, pendidik, pelajar, pekerja amnya dan individu Muslim khasnya. 
 
 
 
 


Semoga kehadiran tahun baru membawa pengertian cukup besar bagi mencetuskan rasa ingin berubah dari satu kekurangan kepada satu kekuatan yang baru. Dalam kesyukuran ini, usahlah kita sesekali lupa pada sejarah kerana sejarah adalah cerminan masa lalu untuk panduan pada masa depan.
 
 
 


Ibarat memandu kenderaan, kita memerlukan cermin sebagai panduan. Bolehkah kita memandu dengan selamat jika tidak adanya cermin? Itulah pentingnya sejarah. 
 
 
 
 

Negara sudah merdeka 56 tahun, namun kita telah dijajah hampir 446 tahun oleh Portugis, Belanda, British, Jepun dan menerima ancaman pengganas komunis. Ini semua bermula selepas jatuhnya Empayar Kesultanan Melayu Melaka dan khilafah Islam Uthmaniyyah di Turki. 
 
 
 


Derita di bawah cengkaman penjajah
 
 
 


Bayangkanlah, betapa peritnya, deritanya, azab dan seksanya kehidupan apabila berada di bawah cengkaman penjajah dan ditindas oleh musuh. Mungkin ada antara kita tidak pernah mengalami pengalaman dan penderitaan di bawah cengkaman penjajah dan negara ditadbir oleh musuh.
 
 
 


Persoalannya, adakah kita mahu peristiwa sama berulang kembali? Adakah kita mahu merasakan azab dan seksanya? Adakah kita rela menerima penjajahan moden yang sudah pasti tidak akan ada jalan keluar untuk kita melepaskan diri?. 
 
 
 


Tepuklah dada, tanyalah iman dan akal serta bermuhasabah diri. Bermuhasabah atau menghitung diri adalah satu amalan anbiya’, mursalin dan orang soleh. Justeru, perkara penting yang harus dijadikan budaya dalam hidup semua manusia ialah menilai diri sendiri. 
 
 
 


Mengikut Ibnu Qudamah: 
 
 
 
“Pengertian muhasabah ialah 
melihat keadaan modal,
 keadaan keuntungan dan 
kerugian, supaya dapat 
mengenal pasti sebarang 
penambahan dan pengurangan. 
Modalnya dalam konteks agama
 ialah perkara yang difardukan, 
keuntungan ialah perkara sunat
dan kerugiannya pula ialah maksiat.” 
 
 
 


Ibnul Qaiyim pula berkata: 
 
 
“Muhasabah ialah
 membezakan antara apa yang
 diperolehnya dan apa yang perlu 
 ditanggungnya. Setelah mengetahui
 yang demikian, maka dia hendaklah 
membawa apa yang diperolehnya 
dan melunaskan apa yang
 ditanggungnya. Dia seolah-olah
 seorang musafir yang tidak akan kembali.” 
 
 
 


Rasulullah SAW pernah memuji
 sikap muhasabah dalam sabda Baginda:
 
 
 
 “Orang yang pintar ialah
 orang yang menghitung dirinya
 serta beramal untuk hari
 selepas kematian sementara orang
 yang lemah ialah orang yang 
mengikut hawa nafsunya serta
 berangan-angan terhadap Allah
 dengan angan-angan (yang banyak).”
 
 
 
 (Riwayat at-Tirmizi)
 
 
 
 


Sesiapa yang bermuhasabah diri tidak akan membiarkan ruang dan masa untuk melakukan perkara batil sebaliknya menyibukkan diri dengan ketaatan. Jika inilah keadaannya maka mana mungkin boleh didapati jalan dan ruang untuk membuat kesalahan dan kebatilan. 
 
 
 
 


Memetik kata-kata ulama as-Sayyid Ahmad ar-Rifaie dalam kitabnya Burhan al-Muayyad:
 
 
 
 “Daripada takut akan timbulnya muhasabah.
 Daripada muhasabah timbulnya muraqabah.
 Daripada muraqabah hati akan sentiasa
 sibuk bersama Allah SWT.”
 
 
 


Laksana amanah
 
 
 


Marilah kita bersama menghitung setiap tindakan kita selama ini, sejauh mana telah melaksanakan amanah sebagai hamba Allah SWT. Apakah kita telah benar-benar melaksanakannya mengikut lunas dan akhlak Islam. 
 
 
 


Marilah kita mulakan tahun baru ini dengan menanamkan semangat menyampaikan sesuatu yang baik dengan penuh kebenaran. Kebenaran yang hakiki itu kadangkala menuntut kita bersikap yakin dan berani dalam setiap hal. 
 
 
 


Hayatilah ungkapan ‘berkatalah benar sekalipun pahit’ untuk menjadi satu semangat kepada kita bila berdepan cabaran dan dugaan. Namun kata-kata benar yang hendak kita lafazkan haruslah berprinsip dan beretika. Kita juga hendaklah saling ingat mengingati atas prinsip kebenaran. 
 
 
 


Marilah kita bersama menjana kembali semangat Islami dengan mata hati. Kita mulai semangat dengan jiwa tawaduk, berusaha mempertingkatkan kualiti diri untuk mendapat keredaan Allah SWT. Inilah masanya kita mesti bangun dan sedar wahai umat Islam daripada terus bersengketa dan berbalah sesama sendiri. 
 
 
 


Firman Allah SWT yang bermaksud: 
 
 
“Kamu adalah 
sebaik-baik umat
yang dilahirkan bagi (faedah)
 umat manusia, (kerana) 
kamu menyuruh berbuat
 segala perkara yang baik dan
 melarang daripada
 yang mungkar, serta
 kamu pula
 beriman kepada Allah.
Dan kalaulah 
Ahli Kitab itu beriman,
 tentulah itu lebih baik 
bagi mereka. (Tetapi)
 di antara mereka ada
 yang beriman, dan 
 kebanyakan mereka
 orang yang fasik.” 
 
 
(Surah Ali-Imran, ayat 110) 
 
 
 
 
Sumber
 




It’s Jumuah ..
so i wanted to wish you
 a blessed Jumuah....... inshaAllah!




Teruskan membaca..

Friday, September 13, 2013

Mengekal jati diri ummah


Khutbah Jumaat: 


Mengekal jati diri ummah



Keamanan, kemakmuran negara
 boleh lenyap jika terpukau bayangan palsu


Satu perkara yang menjadi cabaran dalam sesebuah negara adalah memelihara kedaulatannya serta mengekalkan jati diri sesebuah ummah yang menghuni negara itu. Bagi Malaysia, terdapat beberapa cabaran harus bagi umat Islam hadapi dan pikul secara bersama.
Pertama, mempertahankan Islam sebagai Agama Persekutuan. Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menegaskan bahawa Islam ialah agama Persekutuan, tetapi agama lain boleh diamal dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.

“Wahai orang-orang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” Surah Al-Maidah, ayat 8

Perkara 3 Perlembagaan bertepatan dengan kedudukan Islam sebagai satu-satunya agama diterima Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 19 bermaksud: “Sesungguhnya agama (yang diredai) di sisi Allah hanyalah Islam.”

Pada masa sama, kita perlu menghormati rakyat bukan Islam yang hendak mengamalkan ajaran agama mereka kerana hak mereka dijamin di bawah negara Islam. Lihat saja bagaimana Rasulullah SAW mentadbir Madinah Al-Munawwarah dari sudut praktis Islamnya dalam masyarakat majmuk.

Tidak guna kekerasan

Rasulullah SAW tidak sesekali menggunakan kekerasan, bahkan berlembut dengan penduduk Madinah yang bukan beragama Islam. Sekiranya terdapat penentangan secara jelas, barulah Rasulullah SAW bertindak tegas dalam mempertahankan kedaulatan dan kesucian agama Islam.
Kedua, pelaksanaan sistem pendidikan negara. Cabaran kedua ini ialah dari sudut pendidikan. Rasulullah SAW amat mengambil berat soal pendidikan dalam pemerintahannya. Misalnya apabila seruan jihad dilaungkan, Rasulullah SAW membahagikan umatnya kepada dua kelompok iaitu satu kelompok keluar berjihad di medan perang dan satu kelompok lagi kekal di Madinah untuk terus menuntut ilmu serta menjaga hal ehwal pentadbiran Madinah.

Ketiga, mengekalkan perpaduan rakyat. Perpaduan rakyat menjadi cabaran utama dihadapi kerajaan Malaysia. Isu perpaduan adalah satu daripada sembilan cabaran untuk mencapai matlamat Wawasan 2020.

Untuk mengekalkan perpaduan, ia sangat mencabar dan memerlukan suatu tempoh yang lama. Misalnya sekolah kebangsaan yang diilhamkan pemimpin negara sebagai wahana untuk perpaduan rakyat pelbagai kaum. Ia dapat dijadikan tempat untuk generasi muda hidup bermasyarakat, saling bekerjasama antara satu sama lain serta melahirkan rakyat setia dan menyumbang kepada kesejahteraan negara.

Rasulullah SAW dan sahabat mengambil pengajaran daripada Surah Al-Maidah, ayat 8 yang bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Keempat, peningkatan masalah sosial. Pembangunan pesat memberi impak negatif kepada negara. Pembangunan fizikal yang sangat pesat seperti di Kuala Lumpur menyebabkan penghijrahan beramai-ramai ke bandar. Natijahnya, kos sara hidup di bandar meningkat dan ada sebilangan yang tidak mampu menghadapinya.

Kesannya, peratusan kemiskinan meningkat, gejala sosial semakin teruk malah norma kehidupan bermasyarakat kian luntur khususnya dalam komuniti masyarakat majmuk di Malaysia. Selain itu, faktor kerohanian yang nipis juga menyebabkan berlaku kebejatan sosial ini.

Kelima, memastikan pembangunan negara seimbang duniawi dan ukhrawi. Hal yang berkaitan dengan negara bukan terhenti sekadar di dunia, bahkan ia akan dipersoalkan di hari akhirat. Kerana itu dalam membangunkan sesebuah negara yang seimbang di antara duniawi dan ukhrawi, beberapa panduan atau kriteria tertentu wajib menjadi keutamaan.

Kriteria imbangi duniawi, ukhrawi

Dr Yusuf Al-Qaradhawi menyenaraikan beberapa kriteria negara yang seimbang antara duniawi dan ukhrawi iaitu Islam sebagai sumber rujukan, melindungi hak dan kebebasan individu, negara yang berprinsip dan berakhlak.

Melihat kriteria ini dalam konteks negara kita, ada sudut yang boleh dibanggakan kerana kita sudah memilikinya dan ada juga sudut yang kita perlu insafi, bermuhasabah serta memperbaikinya secara bersama demi memastikan Malaysia kekal menjadi negara Islam yang kuat dan kukuh.

Keamanan dan kemakmuran yang kita nikmati saat ini mungkin boleh lenyap serta musnah jika kita terus terpukau dengan bayangan palsu dan imaginasi indah disajikan musuh Islam hingga akhirnya mengabaikan tanggungjawab kita untuk mempertahankan kesucian agama dan kedaulatan negara.

Adakah kita mahu mewariskan kepada anak cucu kita sebuah negara yang hilang kedaulatannya? Sebuah negara yang agama Islam bukan lagi menjadi agama Persekutuan? Satu bangsa yang ditindas dan hilang maruahnya?

Rasulullah SAW dalam hadis diriwayatkan Imam at-Tabrani Rahimahullah daripada Abu Umamah RA berkata yang bermaksud: “Sesungguhnya akan ada selepas aku pemerintah-pemerintah, maka hendaklah kamu taat kepada mereka, kerana pemerintah umpama perisai yang kamu berlindung di sebaliknya. Jika mereka memerintah dengan baik, maka kamu dan mereka akan beroleh kebaikan, tetapi jika mereka memerintah dengan cara yang tidak baik, maka mereka akan menanggung akibatnya, manakala kamu terselamat daripada menanggung akibat perbuatan mereka.”

Rumusannya, kepatuhan dan kesetiaan kepada negara adalah satu tuntutan agama setiap rakyat. Kedua, umat Islam bertanggungjawab memartabatkan kedaulatan negara dengan memelihara keamanan dan kedamaian yang sedang dinikmati bersama hari ini. Ketiga, umat Islam perlu bersama memperkukuhkan jati diri sebagai rakyat dalam sebuah negara Islam bagi menyahut seruan kerajaan dalam merealisasikan impian negara.

Firman Allah SWT dalam surah al-A’Raf ayat 3-5 bermaksud: “Ikutilah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selain-Nya (iaitu pemimpin yang membawa kesesatan). Amat sedikitlah kamu mengambil pelajaran (daripadanya). Betapa banyaknya negeri yang Kami binasakan, maka datanglah seksaan Kami (menimpa penduduk) ketika mereka berada di malam hari, atau di waktu mereka beristirahat di tengah hari. Maka tidak adalah keluhan mereka di waktu datang kepada mereka seksaan Kami, kecuali mengatakan: Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang zalim.”


Khutbah dipetik dari laman web Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)


Teruskan membaca..

Friday, August 23, 2013

Khutbah Jumaat



Jumaat mubarakah buat semua.....

Khutbah Jumaat: Tiga waktu dilarang ziarah

Kunjungan pada awal pagi, tengah hari dan tengah malam tak sesuai kerana ia masa beristirahat

Pada bulan Syawal yang mulia ini, umat Islam masih dengan kehangatan menyambut Aidilfitri selepas sebulan berpuasa. Dalam keghairahan menyambut Syawal, pelbagai aktiviti disusun untuk memeriahkan sambutan seperti amalan berziarah, mengadakan kenduri, rumah terbuka dan sebagainya.
Amalan berziarah amat dituntut dalam Islam, apatah lagi dalam bulan Syawal sempena sambutan hari raya ini. Bahkan, Aidilfitri memberi peluang dan ruang yang luas untuk kita mempraktikkan ajaran Islam melalui konsep berkenalan dan mengeratkan hubungan silaturahim sesama Muslim.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambung tali silaturahim”.

Perkara ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 10 bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”.

Oleh yang demikian, amalan ziarah bukan saja untuk mengeratkan hubungan sesama Muslim, tetapi ke arah pembentukan semangat perpaduan di kalangan umat Islam itu sendiri.

Satu-satu kaum itu tidak dapat bersatu padu sekiranya tiada semangat perpaduan dan tidak wujud perasaan hormat-menghormati sesama Muslim atau bukan Muslim.

Nabi SAW menggambarkan bagaimana rapatnya hubungan antara individu Muslim dengan orang lain. Keimanan seorang Muslim itu mempunyai kaitan yang sangat rapat dan tidak dapat dipisahkan dengan kasih sayang antara mereka.
Jika tidak wujud kasih sayang antara anggota masyarakat, sudah pasti sukar untuk membentuk perpaduan yang kukuh. Malah, perasaan kasih sayang sesama Muslim akan mengukuhkan lagi tali persaudaraan sesama mereka.

Amalan ziarah dapat merapatkan hubungan yang renggang, mendekatkan yang jauh, mendamaikan antara individu yang bersengketa, mempertautkan kasih-sayang, mengikis perasaan benci dan menghilangkan segala hasad dengki.

Walaupun demikian, sudah menjadi lumrah anak dibiarkan oleh ibu bapa untuk menonton televisyen di rumah berbanding diajak bersama untuk menziarahi sanak saudara.

Sedangkan tindakan itu, bukan saja menjauhkan anak kita daripada mengamalkan sunnah Nabi SAW, malah secara tidak langsung merenggangkan hubungan mereka dengan ahli keluarga yang lain.

Kurang ambil berat renggang hubungan

Bahkan menyebabkan anak-anak juga tidak memandang berat mengenai hubungan kekeluargaan serta menyisihkan diri daripada bergaul dengan orang lain.

Oleh itu, peranan ibu bapa amatlah penting bagi mendidik anak-anak supaya memandang berat soal hubungan silaturahim sesama ahli keluarga dan sanak-saudara.

Jika orang sihat pun disuruh untuk menziarahi apatah lagi orang yang sakit. Apabila amalan ini dipraktikkan, sudah pasti individu yang sakit itu akan merasakan bahawa dirinya diingati dan dihargai.

Dengan lahirnya perasaan gembira di dalam hati pesakit sudah pasti boleh membawa kepada ketenangan jiwa dan cenderung kepada kesembuhan daripada penyakit yang dialami.

Bukankah banyak hadis Nabi SAW yang menceritakan mengenai galakkan untuk menziarahi orang yang sakit?

Bukankah dengan berziarah kita sebenarnya menyempurnakan hak yang patut diperoleh oleh saudara kita?

Hayatilah hadis ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah ra, bermaksud: “Hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain ada lima iaitu: menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, memenuhi undangan atau jemputan dan mendoakan orang yang bersin”.

Adab dalam memenuhi tuntutan ziarah

Dalam memenuhi tuntutan menziarahi, kita perlulah memelihara adabnya supaya pelaksanaan tuntutan itu sejajar dengan kehendak syariat. Antaranya, pertama: Meletakkan niat ziarah kerana Allah SWT untuk mengeratkan lagi hubungan, silaturahim tidak kira antara orang kaya ataupun miskin.

Menghubungkan silaturahim itu adalah satu tuntutan dan mempunyai banyak kelebihannya. Dalam hadis riwayat al-Bukhari daripada Anas bin Malik ra berkata Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambung tali silaturahim”.

Kedua, memilih waktu yang sesuai untuk berziarah sama ada menziarahi orang sakit, jiran tetangga, adik-beradik atau sahabat handai. Elak daripada mengunjungi pada awal pagi, tengah hari dan tengah malam.

Hal ini kerana pada kebiasaan waktu tersebut adalah waktu beristirahat atau persiapan untuk keperluan ahli keluarga. Firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 58:

Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa (iaitu) sebelum sembahyang Subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah solat Isya’, itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya).

Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka) orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (yang menjelaskan hukum-hukum-Nya) dan (Ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

Ketiga, apabila bertemu dengan tuan rumah, digalakkan untuk mendahului dengan mengucapkan salam dan seterusnya berjabat tangan dengan tuan rumah, dalam hadis riwayat Abu Daud, daripada al-Barra’ ra, Rasulullah bersabda:

“Tidaklah dari kalangan dua orang Islam yang bertemu, lalu berjabat tangan bersalaman kecuali kedua-dua mereka diampunkan dosa sehingga sebelum mereka berpisah”.

Keempat, bertanya khabar dan tidak bercakap perkara yang mencemarkan kesucian menyambut Aidilfitri sehingga menimbulkan rasa tidak senang orang yang dikunjungi.

Kelima, memelihara diri daripada perlakuan dan tindakan yang tidak baik sewaktu menziarahi kerana perbuatan tersebut boleh mengganggu atau tidak disenangi oleh tuan rumah.

Keenam, elakkan daripada bersikap sombong, riya’, takabbur dan bongkak. Sewajarnya perasaan bangga diri dan bersikap menunjuk-nunjuk kesenangan yang ada. 


Khutbah dipetik dari
 laman web Jabatan Agama Islam
 Wilayah Persekutuan
 (JAWI)




Sumber : 
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KhutbahJumaat_Tigawaktudilarangziarah/Article
Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...