Balad:
Nostalgia haji guna kapal laut
BALAD, atau Al-Balad, ialah nama sebuah bandar di Jeddah yang sememangnya dulu terkenal dalam kalangan jemaah yang datang mengerjakan ibadat haji menggunakan kapal laut.
Terletak berhampiran Laut Merah, Balad menjadi tempat persinggahan para jemaah sebelum mereka meneruskan perjalanan ke Mekah yang terletak kira-kira 80 km dari sini.
Di persekitaran bandar ini yang bersejarah bagi Jeddah, kini masih terdapat bangunan lama yang dahulunya digunakan jemaah untuk bermalam. Menurut Pengarah Perbandaran Bersejarah Jeddah, Sami S. Nahlur, pada ketika itu, kapal laut menjadi pengangkutan utama jemaah dari negara-negara Asia termasuk Malaysia. Balad, yang asalnya kawasan penempatan nelayan, adalah tempat persinggahan pertama sebaik jemaah tiba di Arab Saudi.
Mereka akan bermalam beberapa hari di bandar ini sebelum meneruskan perjalanan menggunakan kenderaan darat.
Bangunan bersejarah
Tinjauan di sebuah bangunan yang kini diwartakan sebagai bangunan bersejarah, mendapati sungguhpun di dalamnya kelihatan usang tetapi masih kukuh sekiranya mahu didiami.
Naseef House, bangunan setinggi lima tingkat (35 meter) dan kini berusia 120 tahun itu mempunyai 70 bilik yang dilengkapi dengan bilik air dan dapur untuk memasak.
Sejak 1974, Balad tidak lagi menjadi tempat persinggahan selepas kapal terbang menjadi pengangkutan utama jemaah dari negara masing-masing ke sini.
Jemaah yang tiba dengan kapal terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah, akan dibawa terus ke Mekah dengan bas.
Sistem jalan raya yang baik termasuk adanya lebuh raya dari Jeddah ke Mekah, membolehkan para jemaah menaiki bas yang hanya mengambil masa kira-kira dua jam untuk tiba di kota suci itu.
Bandar raya kedua terbesar
Jeddah dengan anggaran penduduk dua juta orang, adalah bandar raya kedua terbesar di Arab Saudi selepas Riyadh, yang sedang pesat membangun dengan sistem jalan raya yang baik dan pusat komersial.
Kewujudan lapangan terbang dan pelabuhan, menjadikan Jeddah sebuk dengan aktiviti import dan eksport.
Adalah sukar untuk melihat orang menunggang motosikal di bandar raya ini begitu juga tidak ada wanita yang memandu kenderaan di sini.
"Mereka lebih senang naik kereta, cepat sampai (ke destinasi), dalamnya dingin (ada penghawa dingin), tambahan harga petrol murah di sini, 10 Rial sudah penuh tangki (kereta)," kata Abdul Rahman Yusof, pemandu teksi warga Bangladesh yang pernah bekerja di Kuala Lumpur.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment