Photobucket

Sahabat Maya :

Friday, December 9, 2011

Model pengajaran, pembelajaran Bahasa Inggeris Australia dikaji: Muhyiddin



Model pengajaran, pembelajaran

Bahasa Inggeris Australia dikaji:

Muhyiddin



PERTH: Kementerian Pelajaran akan mengkaji model Kursus Intensif Bahasa Inggeris yang dilaksanakan di Australia sebagai contoh bagi memantapkan lagi pengajaran dan pembelajaran bahasa itu di Malaysia.






Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata model Australia itu contoh yang baik untuk dipelajari dan melihat sama ada ia selaras dengan matlamat pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).




Gambar sekadar hiasan..



Beliau yang juga Menteri Pelajaran, berkata berdasarkan pengalaman Australia, kementerian akan melihat kemungkinan menimbang keperluan untuk menambah sukatan mata pelajaran Bahasa Inggeris di peringkat pra-sekolah sebagai langkah permulaan.
"Kalau boleh kita mahu ada satu tempoh masa di mana pembelajaran Bahasa Inggeris dibuat secara intensif. Jadi kita akan kaji, mungkinkah, kita boleh mulakan di peringkat pra sekolah kerana dikatakan waktu usia masih kecil mereka lebih mudah menangkap dan boleh mudah mahir.





"Itu permulaannya dan selepas itu bila sudah masuk sekolah formal, kita akan kaji kemungkinan sama ada ketika darjah tiga atau darjah empat, diadakan sekali lagi program yang intensif ini," katanya selepas menghadiri taklimat tertutup dengan Jabatan Pendidikan Australia Barat di sini, hari ini.





Sesi taklimat kira-kira dua jam itu dihadiri Pengarah Kurikulum dan Perkhidmatan Sokongan Jabatan Pelajaran Australia Barat, Karen Webster dan Ketua Konsultasinya, Coral Jenkins.





Ia bertujuan menjelaskan mengenai pelaksanaan kursus intensif itu yang digunakan untuk mengajar dan meningkatkan kemahiran murid-murid bukan penutur jati Bahasa Inggeris, sebaik saja mereka memasuki sistem pelajaran di negara itu yang berteraskan Bahasa Inggeris.




Menurut Muhyiddin, pelajar terpilih, kebanyakannya daripada keluarga masyarakat Asia seperti Vietnam, Malaysia dan China yang bermastautin di Australia, diwajibkan untuk mengikuti kursus selama setahun di Pusat Intensif Bahasa Inggeris dengan perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Australia.





Katanya, hanya tenaga pengajar yang terlatih akan diambil untuk mengajar Bahasa Inggeris secara intensif selama kira-kira lima jam sehari di pusat berkenaan. Di Malaysia mata pelajaran Bahasa Inggeris hanya diajar lima jam seminggu.





"Saya difahamkan kursus itu cukup berkesan di mana dalam tempoh setahun itu pelajar boleh menguasai Bahasa Inggeris dan apabila mereka balik semula ke sekolah biasa," katanya.





Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, sekiranya sesuai, pelaksanaannya perlu disesuaikan dengan konteks dan persekitaran di Malaysia, selain mengambil kira jumlah tenaga pengajar dan kos yang perlu ditanggung kerajaan.





"Di sini (Australia) mungkin lebih mudah kerana jumlah yang terlibat pun tidak banyak iaitu kira-kira 7,000 murid saja, berbanding di Malaysia satu kohort membabitkan kira-kira 500,000 murid di seluruh negara, jadi untuk melaksanakan kursus ini akan memerlukan kos yang tinggi."





Muhyiddin berkata, berdasarkan taklimat wakil jabatan itu, kerajaan Australia dianggar mengeluarkan kos sebanyak AUS$12,000 bagi setiap pelajar yang mengikuti kursus itu, iaitu dua kali ganda daripada perbelanjaan untuk murid-murid di sekolah biasa.




Kerajaan, sebelum ini sudah memperkenalkan pelbagai langkah untuk memantapkan penggunaan dan kemahiran Bahasa Inggeris di kalangan pelajar Malaysia termasuk membawa guru penutur jati Bahasa Inggeris dari luar negara dan menambah jadual pengajaran bahasa itu di sekolah-sekolah di seluruh negara. - BERNAMA



Sumber






No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...