Photobucket

Sahabat Maya :

Sunday, January 10, 2010

Kemunculan SpaceShipTwo

Kapal angkasa komersial ciptaan Virgin Galactic dapat merealisasikan impian mereka yang ingin melancong ke angkasa.




SELEPAS pembinaannya dirahsiakan selama lima tahun, akhirnya kapal angkasa yang membolehkan pengunjung melawat ke angkasa lepas telah menjadi realiti.

Orang ramai turut berpeluang melihat reka bentuk SpaceShipTwo yang dilancarkan di Gurun Mojave, Los Angeles, Amerika Syarikat itu.

"Kita semua telah lama bersabar untuk melihat reka bentuk pengangkutan ini," jelas Peter Cheney, 63, yang berpotensi menjadi pelancong angkasa lepas dari Seattle.

Jurucakap Virgin Galactic, Jackie McQuillan berjanji untuk menganjurkan pertunjukan pembukaan yang menakjubkan kepada pelanggan yang akan terbang ke angkasa lepas, terutama golongan VIP. Projek itu ditaja oleh pengasas Virgin Galactic iaitu bilionair British, Sir Richard Branson dengan kerjasama pereka kapal terbang terkemuka, Burt Rutan.


SIR RICHARD
BRANSON


Prototaip SpaceShipOne

SpaceShipTwo merupakan prototaip kepada SpaceShipOne. Pada tahun 2004, SpaceShipOne memperoleh hadiah Ansari X bernilai AS$10 juta (RM34 juta). Ia merupakan sebuah kapal angkasa swasta pertama menembusi ruang angkasa.

Sejak itu, para jurutera dari syarikat Rutan, Scaled Composite: LCC, telah membina kapal angkasa tersebut di sebuah makmal di Mojave. Kali terakhir gurun itu menjadi riuh-rendah ialah kurang dari setahun lalu apabila Branson dan Rutan melancarkan WhiteKnightTwo, pesawat induk yang akan membawa SpaceShipTwo ke altitud lebih tinggi.

Begitupun, perjalanan untuk membawa pelancong ke ruang angkasa masih jauh. Sepanjang setahun yang lalu, WhiteKnightTwo telah menjalani latihan penerbangan. SpaceShipTwo dijangka melakukan latihan terbang bermula pada tahun hadapan. Ia bakal membuat latihan terbang pada altitud maksimum pada tahun 2011.

Buat masa ini, pelanggan Virgin Galactic menunggu bilakah masa yang sesuai untuk melakukan penerbangan sulung. Semua itu bergantung pada keberkesanan program latihan. Sekarang, seramai 300 pelanggan telah pun membuat bayaran sebanyak AS$200,000 (RM687,500) untuk tiket atau memberikan wang pendahuluan.


GAMBARAN artis mengenai kapal angkasa komersial apabila ia beroperasi kelak.


Komposit ringan

SpaceShipTwo dibina menggunakan bahan komposit ringan dan motor roket hibrid. Berukuran 18.28 meter, ia mempunyai kabin yang hampir serupa dengan saiz jet eksekutif Falcon 900. Banyak tingkap disediakan termasuk bukaan berkaca di bahagian atas kapal. Biarpun SpaceShipTwo direka bentuk untuk tiga orang, ia boleh membawa sehingga enam orang penumpang dan dua orang juruterbang.

"Kapal angkasa ini amat cantik dan besar," jelas Pengasas X Prize, Peter Diamandis yang pernah melihat pembinaannya dalam beberapa tahap. Setakat ini, peluang menikmati keajaiban ciptaan sebegitu hanya terbuka kepada sesetengah kakitangan kerajaan selain para angkasawan dan segelintir orang kaya yang boleh mengeluarkan jutaan ringgit untuk menaiki roket Rusia.


KEADAAN SpaceShipTwo yang disambung dengan kapal induknya, WhiteKnightTwo.


Setelah menyaksikan kejayaan SpaceShipOne, ramai yang percaya bahawa lebih banyak syarikat akan menawarkan peluang sama sebelum berakhirnya dekad ini. Seorang pakar akademik dari Universiti George Washington, Amerika Syarikat, John Logsdon mengakui bahawa pembangunannya amat memberangsangkan.

"Semua pihak mengambil tindakan berjaga-jaga dan memastikan setiap langkah yang diambil bertepatan dan sesuai," kata Logsdon.

Bagaimanapun, tragedi pernah menimpa ke atas projek mega itu apabila berlaku satu letupan yang meragut nyawa tiga orang jurutera Rutan pada tahun 2007. Kejadian itu telah mengakibatkan proses pembangunan kapal angkasa tersebut tertangguh untuk seketika.


KERJA-KERJA pemasangan kapal angkasa ini sedang giat dijalankan di kilang Mojave Spaceport di Mojave,

California.


Perjalanan selama dua setengah jam di atas SpaceShipTwo merangkumi penerbangan naik dan turun tanpa mengelilingi Bumi, serta lima minit merasai ruang angkasa tanpa graviti. SpaceShipTwo akan diangkat oleh WhiteKnightTwo dan dilepaskan pada ketinggian 50,000 kaki atau 15,240 meter. Kemudian enjin kapal angkasa membakar beberapa kombinasi bahan api untuk sampai sejauh 104 kilometer lagi dari permukaan Bumi.

Sesudah sampai ke destinasi, ia akan meluncur ke ruang atmosfera dan mendarat seperti mana-mana kapal terbang. Untuk makluman, Virgin Galactic bukanlah satu-satunya syarikat yang terlibat dalam bisnes itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Amazon.com Inc, Jeff Bezos; pereka permainan komputer; John Carmack dan usahawan roket, Jeff Greason ialah antara pemain lain yang aktif dalam merealisasikan impian menghantar pelancong ke ruang angkasa. - AP

Sumber : Kosmo!

Teruskan membaca..

Takut ke sekolah kecelaruan sementara



MUSIM cuti sekolah untuk tahun 2009 sudah berakhir dan tiba masanya untuk kembali ke sekolah. Perasaan untuk menjejakkan kaki semula ke sekolah pasti mengujakan lebih-lebih lagi apabila dapat bertemu rakan-rakan selepas bercuti panjang.

Namun tidak kurang juga yang dilanda gementar dan gundah-gulana terutama bagi mereka yang baru bergelar 'murid sekolah'.

Sesetengah kanak-kanak berasa gugup dan takut pada hari pertama mereka berada di sekolah. Malah ada juga yang menangis dan meraung tanpa mempedulikan persekitaran.

'Simptom' ini adalah kecelaruan sementara yang berlaku ekoran masih tidak selesa dengan situasi yang baru mereka alami.

Kaunselor Institut Perguruan Kampus Ilmu Khas, Noraniza Mohd. Noor memberitahu, kecelaruan tersebut hanyalah bersifat sementara.

klik di sini Utusan Malaysia

Teruskan membaca..

Usah abai penjagaan diabetes

Rawatan diabetes adalah tanggungjawab sepanjang hayat, baik bagi penghidap mahupun ahli keluarga terdekat.


SELAIN suntikan insulin, penghidap perlu peka kepada vaksin terkini bagi penyakit lain.


BUKAN sekadar orang yang gemuk cenderung menghidap diabetes. Mereka yang kurus juga berisiko mendapat penyakit kencing manis ini jika corak pemakanan dan gaya hidup sihat tidak dijaga atau diamalkan.

Paterikan dalam fikiran tentang peringatan ini - diabetes adalah penyakit yang serius.

Maka, bagi mereka yang telah didiagnosis menghidapinya, hendaklah membulatkan tekad untuk mengikuti komitmen penjagaan kesihatan sepanjang masa.

Percayalah, usaha itu berbaloi kerana bukan sahaja dapat mengurangkan risiko kesihatan, malah menghindarkan masalah yang mengancam nyawa.

Berikut adalah 10 kaedah rawatan dan penjagaan yang membolehkan penghidap menikmati hari mendatang dengan lebih baik:

1. Komitmen untuk menangani diabetes

Pasukan perubatan seperti doktor, jururawat dan pakar diet boleh membantu anda dalam memahami dan menyokong rutin penjagaan diabetes. Pokok pangkalnya, diri anda perlu berjanji untuk berubah dan melaksanakan penjagaan itu demi masa depan sendiri.

Antara aspek gaya hidup yang perlu diberi tumpuan adalah soal pemakanan sihat, senaman dan berat badan.

Pada masa yang sama, pastikan paras gula dalam darah selalu diperiksa supaya paras sasaran seperti yang dinasihatkan doktor dapat dicapai.

Jangan berlengah jika memerlukan perhatian dan rawatan diabetes dari pihak klinik atau hospital.

2. Hentikan tabiat merokok

Jika anda menghisap rokok atau apa juga jenis tembakau lain, dapatkan panduan doktor untuk menghentikan tabiat tersebut.

Merokok akan meningkatkan risiko terhadap pelbagai komplikasi diabetes seperti serangan jantung, strok, kerosakan saraf dan penyakit buah pinggang.

Perokok yang menghidap diabetes adalah tiga kali ganda berhadapan dengan maut akibat penyakit kardiovaskular berbanding penghidap diabetes yang tidak merokok.

3. Kawal tekanan darah dan paras kolesterol

Tekanan darah tinggi boleh merosakkan saluran darah.

Paras kolesterol yang tinggi juga perlu diberi tumpuan memandangkan kemungkinan kerosakan saluran darah itu lebih berganda bagi penghidap diabetes.

Apabila kedua-dua masalah ini bergabung, seseorang penghidap boleh diancam masalah kesihatan yang mengancam nyawa seperti serangan jantung dan strok.

Semua itu boleh dicapai dengan mengambil pemakanan sihat dan sering bersenam.


RUJUK kepada pakar diet untuk memahami konsep pemakanan ideal.


4. Ikuti pemeriksaan tahunan untuk mata dan fizikal

Dengan mengikuti rutin pemeriksaan diabetes, tidak bermakna pemeriksaan tahunan terhadap tubuh dan mata boleh diabaikan.

Semasa pemeriksaan kesihatan tubuh, doktor boleh mengenal pasti komplikasi yang berkaitan diabetes seperti tanda-tanda kerosakan fungsi buah pinggang, saraf atau masalah jantung.

Pemeriksaan mata pula boleh mengesan sekiranya seseorang pesakit mengalami katarak, glaukoma atau kerosakan pada retina.

5. Pastikan vaksin yang terkini

Gula dalam darah tinggi boleh melemahkan sistem imunisasi seterusnya meningkatkan kepentingan pengambilan vaksin. Dapatkan konsultasi doktor tentang vaksin flu untuk menghindar komplikasi demam selesema.

Vaksin pneumonia yang lebih daripada satu dos suntikan amat penting bagi penghidap diabetes yang ebrusia 65 tahun ke atas. Tidak ketinggalan, pastikan anda mengambil tahu tentang suntikan tetanus dan juga hepatitis B.

6. Jaga kebersihan gigi

Diabetes membuatkan penghidapnya cenderung kepada jangkitan gusi. Maka, nasihat mengenai rutin memberus gigi sekurang-kuragnya dua kali sehari itu banyak kepentingannya.

Selain itu, pastikan amalan flos dilakukan dan pastikan temu janji dengan doktor gigi sekurang-kurangnya dua kali setahun. Temui doktor gigi segera jika terlihat gusi dalam keadaan berdarah, bengkak atau kemerah-merahan.

7. Beri perhatian kepada kaki

Gula dalam darah yang tinggi boleh merosakkan saraf di kaki lantas menjejaskan pengaliran darah ke bahagian tersebut. Jika dibiarkan kemelaratan itu tanpa dirawat, sebarang kejadian luka dan lepuhan boleh menjadi jangkitan serius.

Antara langkah penjagaan kaki adalah seperti membasuh kaki dengan air hangat setiap hari, mengeringkannya dengan baik terutama di celah-celah jari, sapukan pelembap hingga ke pergelangan kaki dengan losyen serta rawat kaki secepat mungkin jika terdapat luka, ruam, lepuhan atau bengkak.

8. Ambil aspirin harian

Aspirin mengelakkan darah anda daripada tersumbat. Dengan mengambil aspirin setiap hari. ia mengurangkan risiko serangan jantung dan strok.

Kedua-dua penyakit ini adalah kemungkinan yang berbahaya jika seseorang itu menghidap diabetes. Maklumat lanjut tentang terapi pengambilan aspirin harian boleh ditanyakan terus kepada doktor. Tanyakan juga dos yang bersesuaian.


TABIAT makan yang tidak terkawal membawa mudarat.


9. Elakkan minuman beralkohol

Bergantung kepada berapa banyak anda minum dan makan pada waktu yang sama, alkohol akan menyebabkan gula dalam darah menjadi rendah.

Bagi mereka yang memilih untuk minum, dinasihatkan agar tidak berlebihan dan jangan lupa untuk makan. Kiraan pengambilan kalori harian juga perlu dikira dalam makanan dan minuman beralkohol itu.

10. Hindari stres

Kalau anda dalam keadaan stres, pastikan rutin penjagaan diabetes anda akan terganggu. Penghasilan hormon akibat daripada stres yang berpanjangan boleh menghalang insulin daripada menjalankan fungsinya dengan baik.

Bagi menanganinya, pastikan anda meletakkan had kepada stres dan mulakan pengkhususan keutamaan dalam kerja. Kalau punya masa terluang, pelajari teknik relaksasi dan dapatkan tidur yang secukupnya.

Sumber : Kosmo!

Teruskan membaca..

Keunikan pesta Tanglung, Teluk Cempedak

kuantan3 Keunikan pesta Tanglung, Teluk Cempedak

kuantan4 Keunikan pesta Tanglung, Teluk Cempedak

kuantan5 Keunikan pesta Tanglung, Teluk Cempedak

kuantan6 Keunikan pesta Tanglung, Teluk Cempedak

kuantan7 Keunikan pesta Tanglung, Teluk Cempedak

kuantan8 Keunikan pesta Tanglung, Teluk Cempedak

kuantan9 Keunikan pesta Tanglung, Teluk Cempedak

kuantan10 Keunikan pesta Tanglung, Teluk Cempedak

kuantan1 Keunikan pesta Tanglung, Teluk Cempedak

Teruskan membaca..

Bandar Karpet Merah

city lounge1 Bandar Karpet Merah

Bandar karpet merah ni dikenali sebagai ‘City Lounge’ yang terletak di St. Gallen, Switzerland. Ia telah Di inspirasikan oleh Carlos Martinez dengan Pipilotti Rist, dalam keputusan pertandingan yang dianjurkan untuk mereka satu kawasan ala-ala ruang tamu di kawasan umum.

A red carpet flows all around the buildings, recreating places to relax, places to converse, places to park, fountains, even fake cars you can climb on.

Projek ni berjaya menghidupkan suasana bandar lama ni kepada bandar yang lagi happening!! Tengok lagi gambar

city lounge2 Bandar Karpet Merah

city lounge3 1 Bandar Karpet Merah city lounge3 2 Bandar Karpet Merah

Macam dekat rumah sendiri :nyayi:

city lounge4 1 Bandar Karpet Merah city lounge4 2 Bandar Karpet Merah

city lounge5 Bandar Karpet Merah

Boleh duduk kat atas kerete :teruja:

city lounge6 Bandar Karpet Merah

Baru nampak berseri sikit. Letak kat Bandar Hilir Melaka pun syok gak :ketawa:

Photos by Thomas Mayer

Teruskan membaca..

Imam Masjid Negara sebak atas mimbar...


Imam Masjid Negara sebak atas mimbar... Jimadie Shah Othman Jan 8, 10 5:33pm Imam Besar Masjid Negara menitiskan air mata dan tersedu-sedan ketika membacakan doa di akhir khutbah Jumaat hari ini yang menyentuh isu penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam. Berbeza dengan solat Jumaat sebelum ini, suara Tan Sri Ismail Muhammad kedengaran sebak dan terputus-putus dari mimbar masjid, di penghubung bacaan doa tersebut. Ismail membacakan khutbah yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berjudul 'Akidah benteng kekuatan ummah'. Khutbah tersebut, antara lain, menegaskan bahawa lafaz Allah khusus bagi umat Islam dan tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama lain, seperti yang telah diputuskan dalam muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 2008 . Khutbah tersebut menyeru umat Islam dan rakyat Malaysia mengelak daripada menimbulkan isu-isu sensitif kerana "penggunaan lafaz Allah telah beratus-ratus tahun digunakan oleh masyarakat Islam di negara ini". Selepas tamat solat Jumaat pada kira-kira jam 2.00 petang, beratus orang menyertai demonstrasi bagi membantah penggunaan perkataan Allah dalam mingguan Katholik, Herald. Perhimpunan itu anjuran dua pertubuhan Melayu - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) - turut disertai Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) dan Majlis Permuafakatan Ummah (Perwaris). Sejak sebelum solat lagi, beberapa sepanduk anti-penggunaan nama Allah di kalangan bukan Islam, digantung di anjung masjid negara, antaranya berbunyi Bersatu pertahankan maruah! Bersatu untuk Islam!; Jangan cabar kemakmuran dan perhubungan kaum sedia ada; Hak, maruah, martabat bangsa Melayu dan agama Islam akan kami pertahankan Dua sukarelawan PPIM juga menyediakan meja bagi mengutip tandatangan jemaah membantah perkara itu. Memulakan perhimpunan itu sejurus selepas solat Jumaat, Ketua Wira PERKASA Selangor, Arman Azha Abu Hanifah membacakan 'Deklarasi Masjid Negara' menuntut: Penganut Katholik menggunakan perkataan tuhan bagi menggantikan kalimah Allah dalam penerbitannya. Perkara berkaitan Islam mesti dibawa ke Mahkamah Syariah, bukan mahkamah sivil. Majlis Raja-raja Melayu perlu memainkan peranan lebih proaktif untuk mempertahankan agama dan umat Islam Bacaan deklarasi itu disambut teriakan takbir bertalu-talu daripada mereka yang menyertai perhimpunan tersebut. Pada masa yang sama satu bendera merah bertulis 'Melayu' dalam warna hitam, dikibarkan bersama bendera berjalur tiga - merah, kuning dan hijau - mewakili Pekida. Poster Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria turut dijulang. Dalam masa yang sama, sebuah helikopter polis kelihatan berlegar-legar memantau perhimpunan tersebut dari udara. Bercakap kepada pemberi selepas perhimpunan tersebut tamat pada jam 2.20 petang, Arman berkata, petisyen bantahan yang ditandatangani jemaah hari ini akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Mengulas kebakaran gereja di tengah-tengah ketegangan isu tersebut, Arman berkata, pihaknya menyelar tindakan tersebut dan meminta semua pihak bertolak ansur "kerana Islam menyeru kepada keamanan".
klik di sini Malaysiakini
Teruskan membaca..

Gus Dur tetap dikenang

Pemikiran bekas Presiden Indonesia keempat itu sering kali mengundang kontroversi. Tetapi buah fikiran tersebut menjadi kunci kepada arus perjalanan sosial, politik dan budaya dalam menyatukan masyarakat majmuk Republik Indonesia.




BELIAU merupakan seorang pemimpin yang tidak gentar sama sekali untuk mengatakan sesuatu yang diyakininya benar. Malah, lelaki itu sanggup berbeza pendapat dengan orang lain semata-mata untuk menghidupkan demokrasi sebenar di Indonesia.

Begitupun, dalam keseriusan membicarakan perjuangan Republik Indonesia ke arah negara lebih demokrasi, beliau dianggap sebagai seorang peramah dan suka berjenaka.

Bahkan anak sulung daripada enam beradik keluarga Islam berpengaruh di Indonesia itu, Abdurrahman Wahid atau lebih akrab dengan panggilan Gus Dur telah menggemparkan dunia apabila menjadi Presiden Republik Indonesia keempat dari tahun 1999 hingga 2001.

Ini kerana pada awal tahun 1998, Gus Dur telah diserang strok sehingga mengakibatkan penglihatannya semakin buruk. Sekali gus membuatkan media Barat melabelkannya sebagai nyaris buta.


GUS DUR dibantu penyokongnya ketika membuang undi di Jakarta pada tahun 1999.


Gus Dur telah memenangi 11 peratus daripada jumlah undi dalam pilihan raya umum (Pemilu) pada tahun 1999. Sedangkan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) memenangi 35 peratus.

Bagaimanapun, keputusan itu tidak menjamin pemilihan Megawati Sukarnoputri sebagai Presiden. Ini disebabkan kuasa untuk memilih Presiden dan Naib Presiden pada peringkat itu masih dalam tangan Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR).

Sewaktu MPR memulakan persidangan pada Oktober 1999, Pengerusi MPR, Amien Rais telah menubuhkan sebuah parti campuran terdiri daripada parti-parti Islam dan Golkar, dikenali sebagai Paksi Pusat.

Parti campuran itu telah mencalonkan Gus Dur sebagai presiden dan beliau berjaya menewaskan Megawati dalam pilihan raya Presiden demokrasi yang pertama di Indonesia.


TUN Dr. Mahathir Mohamad menandatangani buku takziah kematian bekas Presiden Indonesia, Gus Dur di kedutaan Indonesia baru-baru ini.


Disebabkan penyokong-penyokong Megawati mula merusuh selepas menerima berita berkenaan, Gus Dur telah melantik Megawati sebagai Naib Presiden untuk meredakan keadaan.

Pengasas Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) itu, sebuah parti politik yang berasaskan Islam, menggantikan Presiden B.J. Habibie setelah dipilih oleh MPR.

Tokoh pemikiran Islam moden

Tidak sampai sebulan Gus Dur mengepalai tampuk pemerintahan Republik Indonesia, beliau telah mencetuskan kontroversi apabila menyifatkan para anggota legislatifnya seperti budak berada dalam taman kanak-kanak.

Beliau turut mengatakan akan menjalin hubungan perdagangan dengan Israel, negara yang dibenci kebanyakan orang di Indonesia sehingga mengundang reaksi keras daripada beberapa komponen Islam di negara berkenaan.

Anak kelahiran Denanyar, Jombang, Jawa Timur itu merupakan bekas pemimpin pertubuhan Nadhlatul Ulama (NU) dari tahun 1984 hingga 1999. Mempunyai pengikut hampir 40 juta orang, Gus Dur ialah seorang tokoh pemikiran Islam moden yang tidak pernah membezakan golongan masyarakat, selain menjadi pejuang kaum minoriti sehingga digelar Bapa Pluralisme.


MEGAWATI Sukarnoputri dan pemimpin Indonesia mengadakan pertemuan di rumah Gus Dur.


Gus Dur bertanggungjawab menghapuskan pengharaman ke atas kaum Tionghua untuk menyambut Tahun Baru Cina serta membubarkan Kementerian Maklumat Negara yang menyekat kebebasan akhbar selama berdekad-dekad, selain menggalakkan perkembangan kegiatan intelek dan seni.

Lelaki bertubuh gempal itu juga dikatakan mempunyai kiai-kiai khas yang didakwa memainkan peranan yang cukup penting dalam pemerintahannya. Sehinggakan ketika pertama kali hendak menjejak kaki ke Istana Merdeka selepas dilantik sebagai Presiden, Gus Dur menggunakan khidmat mereka kononnya untuk 'mencuci' kekuatan jahat penguasa sebelumnya.

Ketika menjadi Presiden, Gus Dur juga menjalani amalan dan upacara tertentu. Selain mengunjungi kiai yang dikatakan mempunyai karomah pada setiap Jumaat, beliau akan mengundang sekurang-kurangnya lima kiai ke Istana Merdeka untuk berwirid, membaca surah al-Ikhlas, surah Yasin, al-Kahfi serta mendoakan keselamatannya.

Setiap malam, pasti ada seorang atau dua orang kiai yang ditemui oleh Gus Dur selepas pukul 11 malam. Secara peribadi, Gus Dur sendiri mempunyai amalan khusus. Dalam keadaan tidak menentu dan perasaan tidak tenang, beliau melakukan banyak wirid.

Gus Dur yang gemar berjoging juga kerap membaca surah Yasin sebanyak tiga kali dan ayat Kursi tujuh kali pada setiap malam, khususnya malam Rabu. Manakala pada malam Jumaat Gus Dur membaca surah al-Kahfi sebanyak 11 kali.


RIBUAN rakyat Indonesia mengangkat keranda jenazah Gus Dur di Jombang, Jawa Timur, Indonesia.


Perjuangan Gus Dur memegang tampuk pemerintahan Republik Indonesia tidak kekal lama disebabkan serangan penyakit angin ahmar dan tuduhan rasuah. Akhirnya, beliau disingkirkan daripada jawatan itu oleh MPR dan pimpinannya digantikan oleh Megawati Sukarnoputri pada 23 Julai 2001.

Setelah tidak lagi memegang jawatan nombor satu Indonesia, Gus Dur kembali kepada kehidupan asalnya.

Beliau meninggal dunia ketika usia 69 tahun pada pukul 6.45 petang pada hari akhir tahun 2009 di Rumah Sakit Cipto Mangunkusumo (RSCM).

Sumber toleransi

Kesihatan Gus Dur dilaporkan merosot ketika menziarahi kubur Ibu Nyai Fatah di Pesantren Bahrul Ulum Tambak Beras, Jombang, Jawa Timur pada 24 Disember tahun lalu. Kemudian dia dikejarkan ke Hospital Swadana Jombang sebelum dipindahkan ke Hospital Cipto Mangunkusumo pada 25 Disember.

Gigi Gus Dur dicabut berikutan gusinya yang membengkak, serta terpaksa menjalani rawatan dialisis di hospital sama.

Pengarah Hospital Cipto Mangunkusumo, Akmal Taher berkata, Gus Dur meninggal dunia akibat kegagalan jantung, ginjal dan masalah gula dalam darah.

Beliau meninggalkan seorang balu, Sinta Nuriyah dan empat orang anak perempuan iaitu Alisa Qortrunnada Munawarah (Lisa), Zannuba Arifah (Venny), Anisa Hayatunufus (Nufus) dan Inayah Wulandari (Ina).

Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono pada akhir upacara pengebumian negara untuk Gus Dur di Pondok Pesantren Tebu Ireng, Jombang, Jawa Timur baru-baru ini, menyifatkan bekas Presiden Indonesia itu sebagai tokoh utama yang mendorong kepada perubahan demokrasi.


PENYOKONG Gus Dur sedang berdoa di Kem Jawa Timur.


"Gus Dur menyatukan masyarakat majmuk daripada pelbagai etnik, daerah dan agama. Sesungguhnya dia ialah bapa pluralisme dan multi-kulturalisme. Selama masa kepemimpinannya pada 1999-2001, Gus Dur meletakkan kebijaksanaan yang bukan saja mengakhiri diskriminasi tapi juga memuliakan pelbagai bentuk kemajmukan itu," kata Susilo.

Baginya, Gus Dur banyak memberi teladan mengenai Islam sebagai sumber perdamaian dan toleransi. Sehingga menginspirasi banyak tokoh sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

"Beliau juga tercatat sebagai peletak dasar dan perkembangan demokrasi di Indonesia. Pada awal tahun 1990-an, Gus Dur bersama tokoh-tokoh lain mendirikan Forum Demokrasi yang menyemaikan gagasan-gagasan strategik bagi demokrasi dan pembangunan.

"Gus Dur ialah salah seorang guru dan putera terbaik bangsa yang telah memberi pengabdian terbaiknya. Sama ada kepada pertubuhan Nahdlatul Ulama (NU) yang dipimpinnya selama 15 tahun, mahupun kepada bangsa Indonesia," tambah Susilo.

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad pula mengungkapkan Gus Dur sebagai seorang patriotik, nasionalis yang berjuang untuk Indonesia dan agama Islam.

"Walaupun ada ketikanya tidak bersetuju dengan pandangan beliau, tetapi saya tetap hormat padanya.

"Gus Dur selalu ada cerita lucu untuk diceritakan kepada kami walaupun pada ketika itu kami sedang berbincang perkara yang serius," jelas Tun Dr. Mahathir.

Dalam pada itu, pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Mohamad Agus Yusuf berkata, Gus Dur merupakan seorang pemimpin Islam liberal yang mempunyai pengaruh dan aura tersendiri.

"Pendekatan Islam liberal dibawa Gus Dur bukan sahaja diterima oleh rakyat Islam Indonesia, malah mereka yang bukan beragama Islam sehingga menyebabkannya berjaya memenangi pilihan raya," katanya.

Dalam menghadapi ancaman terorisme, beliau muncul sebagai pemimpin Islam liberal dan berpengaruh. Tidak hanya di Indonesia tetapi di peringkat antarabangsa.


PENYOKONG Gus Dur menanti penuh sabar kelibatnya selepas beliau disingkirkan daripada jawatan Presiden Republik Indonesia.


"Gus Dur juga mempunyai sikap terbuka yang menjadikan Indonesia lebih terbuka. Namun dari segi pembangunan, tidak banyak perubahan yang dilakukan," ujarnya.

Gus Dur yang dilahirkan pada 4 Ogos 1940 menuntut di Sekolah Menengah Ekonomi Pertama (SMEP) di Gowongan, Yogyakarta, Indonesia pada tahun 1953.

Sewaktu berumur 22 tahun pada tahun 1962, Gus Dur melanjutkan pendidikannya di Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau juga sempat mempelajari sastera dan ilmu sosial di Fakulti Sastera Universiti Baghdad. Iraq. Dari Baghdad, beliau kembali ke Indonesia pada tahun 1974 dan memulakan karier sebagai cendekiawan dengan menulis sejumlah kolum di pelbagai media massa tempatan.

Gus Dur merupakan idola kepada ramai rakyat negara republik berkenaan khususnya bagi keempat puterinya. Jasa beliau dalam menghidupkan demokrasi sebenar di Indonesia pasti akan dikenang oleh semua rakyat Indonesia.

Sumber : Kosmo!

Teruskan membaca..

Thursday, January 7, 2010

Bawa skrip berbeza



Setahun yang lalu, skuad bola sepak kebangsaan dibelasah 5-0, tetapi hari ini Malaysia turun menghadapi lawan yang sama.

Namun berdasarkan perkembangan semasa, setidak-tidaknya skuad bimbingan K Rajagobal akan menampilkan skrip berbeza ketika turun menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Al Shabab Dubai bagi perlawanan kelayakan Piala Asia 2011.

Sekalipun pintu ke pusingan akhir dianggap sudah tertutup dan sekadar pelengkap jadual Kumpulan C, Rajagobal tetap membawa harapan dan menganggap perlawanan kelayakan Piala Asia hari ini tetap penting.

“Bukan senang Malaysia mahu mengaturkan pertemuan dengan pasukan hebat seperti UAE. Kami akan menggunakan kesempatan ini untuk menimba pengalaman sebaiknya.

“Perlawanan di Dubai saya sifatkan sebagai peluang terbaik untuk menentang lawan antarabangsa yang lebih kuat dan tinggi ranking.:

“Apa yang penting peminat dapat menerima apa sahaja keputusan di sana.

“Sudah pasti kami ke sana membawa misi untuk melakukan sesuatu. Saya yakin dengan kemampuan pemain saya. Saya mahu mereka terus berusaha keras untuk meningkatkan permainan mereka,” katanya.

Bagi perlawanan menentang pasukan yang dibimbing Srecko Katanec itu, Malaysia hanya membawa seramai 18 pemain sahaja termasuk hanya seorang sahaja pemain senior, Norhafiz Zamani Misbah sebagai kapten.

Rajagobal terpaksa mengetepikan Sabre Mat Abu, Mazlizam Mohamad, Abdul Manaf Mamat, Ahmad Shakir Ali dan Amri Yahya yang masih bergelut dengan kecederaan.

Jurulatih itu jelas menuntut komitmen dan kecergasan tinggi daripada anak buahnya.

“Adalah mustahil memanggil pengganti mereka kerana liga belum lagi bermula.

“Pasukan ini ada masa depan dan kami akan bersedia dengan pemain dengan pemain muda.

“Sudah pasti suasananya berbeza. Saya tidak mahu mereka terus leka.

“Pemain tidak perlu takut dan bermainlah dengan penuh keyakinan. Itu penting sebagai persediaan pada masa depan,” katanya.

Sumber : Sinar Harian
Teruskan membaca..

Wednesday, January 6, 2010

Guru Berkualiti

Peningkatan kualiti guru keperluan mendesak


Muhyiddin Yassin bersalaman dengan peserta Seminar Kongres Antarabangsa Bagi Keberkesanan dan Penambahbaikan Sekolah 2010 Kali Ke-23 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Ahmad Zakki Jilan


KUALA LUMPUR 5 Jan. - Peningkatan kualiti warga perguruan melalui program pembangunan profesionalisme berterusan kini merupakan keperluan mendesak, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, ia penting bagi memperbaiki kompetensi, pengetahuan dan keupayaan warga guru agar menjadi lebih dinamik.

Beliau berkata, usaha juga perlu dilakukan bagi menarik penyertaan lebih ramai individu yang berkebolehan menyertai profesion perguruan yang semakin mencabar.

"Apa yang lebih penting pada laluan untuk menuju ke arah kecemerlangan pendidikan ialah kualiti para guru.

"Semua pihak tahu bahawa kualiti sistem pendidikan yang kita ada tidak boleh mengatasi kualiti yang dimiliki para guru kerana merekalah yang akan menentukan prestasi sesebuah sekolah dan pencapaian pelajarnya," katanya.

Beliau berucap demikian sewaktu merasmikan Seminar Kongres Antarabangsa Bagi Keberkesanan dan Penambahbaikan Sekolah 2010 (ICSEI 2010) Kali Ke-23, di sini hari ini.

ICSEI 2010 yang dianjurkan oleh Universiti Malaysia (UM) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran itu berlangsung sehingga Jumaat ini dan disertai kira-kira 600 peserta tempatan dan antarabangsa.

Hadir sama pada majlis perasmian itu ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang; Pro-Canselor UM, Toh Puan Dr. Aishah Ong; Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tan Sri Arshad Ayub dan Timbalan Naib Canselor UM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Jamil Maah.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, sebagai sebahagian usaha meningkatkan kualiti guru, kerajaan telah menaik taraf semua maktab perguruan menjadi institut perguruan dan memperkenalkan program ijazah khas untuk para guru yang tidak mempunyai ijazah.

Katanya, Kementerian Pelajaran juga menggariskan beberapa strategi untuk meningkatkan tahap profesion perguruan antaranya mengetatkan proses pemilihan bakal guru, memperbaiki suasana pengajaran, mengukuhkan keyakinan diri guru dan memberikan khidmat sokongan yang berterusan.

"Dalam hal ini, kita menyediakan yang terbaik kepada para guru dengan peluang saksama untuk meningkatkan kerjaya mereka.

"Pengetua dan guru cemerlang pula diberikan peluang naik pangkat sebagai galakan kepada mereka meningkatkan prestasi dan seterusnya menambah baik proses pengajaran dan pembelajaran," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, pihaknya turut melakukan kajian semula kurikulum kebangsaan bagi memastikan ia memenuhi harapan dan tuntutan pendidikan berkualiti.

Katanya, kajian semula itu membabitkan penerapan elemen kreativiti, inovasi dan kemahiran hidup kepada aspek pengajaran dan pembelajaran.

"Ini dilakukan melalui perubahan kandungan kurikulum, organisasi, pedagogi dan pendekatan dalam bilik darjah bagi memastikannya secara efektif memperkukuhkan potensi yang kreativiti dan potensi yang dimiliki pelajar.

"Perubahan ini dijangka sesuai untuk membentuk ekonomi berasakan ilmu pengetahuan yang kejayaannya bergantung kepada potensi kreativiti dan inovasi modal insan," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Teruskan membaca..

Ditahan kerana bergurau seluar dalamnya ada bahan letupan

BERLIN - Polis Berlin menyatakan seorang lelaki Jerman ditahan buat sementara di sebuah lapangan terbang di Stuttgart selepas dia berulang kali memberitahu pegawai keselamatan bahawa terdapat bahan letupan di dalam seluar dalamnya.


Lelaki yang berusia 42 tahun itu kelihatan cuba bergurau kerana sebelum ini terdapat seorang lelaki Nigeria yang gagal meletupkan sebuah pesawat ke Detroit dari Armsterdam pada 25 Disember lalu dengan membakar bahan letupan di dalam seluar dalamnya.

Polis berkata, satu pemeriksaan terhadap lelaki itu tidak menemui sebarang bahan letupan namun dia tidak dibenarkan menaiki penerbangan bersama isteri dan anak perempuannya ke Mesir. - AP

Sumber : Kosmo!

Teruskan membaca..

Ekoran keputusan benarkan akhbar Katolik guna perkataan Allah Mahkamah Tinggi dengar permohonan KDN hari ini


KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengemukakan permohonan bagi penangguhan perintah Mahkamah Tinggi yang membenarkan sebuah akhbar mingguan Katolik menggunakan perkataan Allah.

Permohonan itu difailkan di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Semalam, kementerian itu mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan pada 31 Disember lepas bahawa Herald - The Catholic Weekly berhak menggunakan perkataan itu untuk tujuan tunjuk ajar dan pendidikan bagi penganut agama Kristian.

Keputusan dibuat berdasarkan Perkara 11 dan 12 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sumber : Kosmo!

Teruskan membaca..

Bekalan Air Bersih Di India

Penuras air yang diperkenalkan di India bertujuan membantu mengurangkan peningkatan pelbagai penyakit berbahaya.


ALAT penuras yang diperkenalkan di India dapat mengasingkan organisma mikro, warna dan bau.


KONGLOMERAT gergasi India, Kumpulan Tata memperkenalkan penuras air kos sederhana untuk menawarkan air minuman yang selamat kepada jutaan penduduk di negara itu. Selain menghasilkan air yang bersih, pengenalan alat penuras air itu secara tidak langsung membantu untuk mengurangkan peningkatan pelbagai penyakit berbahaya.

Tata Swach, penuras air yang mendapat nama dalam bahasa Hindi yang membawa maksud bersih itu direka secara unik terutama untuk kegunaan isi rumah yang tinggal di kawasan luar bandar.

Penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar menjalani kehidupan tanpa bekalan elektrik dan air yang lancar serta menggunakan abu dari kilang beras untuk menuras bakteria yang terdapat dalam air.

Menurut laporan sebuah akhbar, alat penuras itu dijual pada harga kurang daripada 1,000 rupee (RM73) dan menggunakan zarah-zarah kecil yang terbentuk daripada bahan perak untuk membunuh kuman yang mengundang penyakit-penyakit seperti cirit-birit, taun dan kepialu.

Pengarah Eksekutif Konglomerat Kumpulan Tata, R. Gopalakrishnan berkata, pengenalan Swach merupakan langkah pertama dalam usaha menawarkan kepada para pengguna dan rakyat biasa hak untuk mendapatkan air yang selamat serta bersih.

"Memang benar, dasar awam sebelum ini pernah cuba untuk memenuhi tuntutan ini tetapi tidak dapat mencapai kejayaan setakat ini," ujar Pengerusi Tata Chemicals, R. Mukundan kepada media di Mumbai.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih daripada seorang dalam enam orang di seluruh dunia iaitu 894 juta orang tidak mempunyai akses air yang bersih untuk kegunaan asas mereka. Ini telah mengundang kepada punca merebak beberapa penyakit utama dan kematian terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Hampir 90 peratus kematian berpunca daripada cirit birit kerana kekurangan sanitasi, air minuman yang tidak selamat dan air untuk membersih. Di India, 75 peratus daripada populasi tempatan tidak ada akses untuk meminum air yang bersih.


AIR minuman yang tidak selamat di India.


Penyakit

Menurut Laporan Pembangunan Air Dunia PBB yang disiarkan pada Mac lalu, bekalan air yang mencukupi, sanitasi, kebersihan dan pengurusan sumber air yang lebih baik boleh mengurangkan beban penyakit yang berlaku di seluruh dunia hampir satu persepuluh.

Alat penurasan Tata itu lebih menjurus kepada skala yang lebih besar. Ia juga telah dibekalkan di kawasan yang dilanda tsunami pada Disember 2004 yang semakin membangun sejak tiga tahun yang lalu.

Alat tersebut pula disasarkan kepada 85 peratus warga India yang tidak menuras air di rumah mereka.

Penuras air terbaru itu mempunyai kapasiti air sebanyak 9.5 liter dan boleh menuras 3,000 liter air sehingga katridge itu ditukar kepada yang baru. Alat itu mampu bertahan sehingga 200 hari dan sesuai untuk keluarga yang sederhana," kata Mukundan.

Selain itu, terdapat juga alat penuras air kos sederhana yang lain di dalam pasaran termasuk model alat penuras bateri keluaran Hindustan Unilever yang mempunyai kapasiti air sebanyak 4.5 liter dan boleh turas lebih daripada 1,500 liter.

Tata yang turut menjual air mineral jenama mewah Himalayan telah melabur 1 bilion rupee (RM73,435,247 juta) dalam projek tersebut dan berhasrat untuk menjual tiga juta unit pada lima tahun akan datang.

Katanya, alat penuras itu juga mendapat standard Agensi Kawalan Alam Sekitar Amerika Syarikat (AS). Ia dapat mengasingkan organisma mikro, warna dan bau serta telah diuji di 600 isi rumah kawasan luar bandar di empat negeri di India.


PENDUDUK luar bandar di India masih berdepan dengan krisis mendapatkan bekalan air bersih.


Mukundan berkata, pada awalnya syarikat berhasrat untuk jual alat itu di Afrika tetapi terlebih dahulu mereka ingin mendapat pengenalan di pasaran India kerana mempunyai potensi yang tinggi.

Pegawai program untuk kerja amal British WaterAid, Shipra Saxena yang menyokong pelancaran alat penuras itu apabila dihubungi melalui e-mel berkaitan peranan yang dimainkan oleh sektor ataupun firma-firma swasta dalam menawarkan perkhidmatan awam yang sebenarnya perlu dikendalikan oleh sektor kerajaan.

"Setiap sektor ada peranan yang perlu dimainkan. Sebab itu, mereka selalu menonjol walaupun kerajaan telah buat kerja yang serupa. Justeru, skopnya yang terlalu besar selalunya menemui kegagalan." - AFP

Teruskan membaca..

Terapi Gantian Antihemofilik

Bagi mengelakkan berlakunya pendarahan tidak perlu, Fadhli memberitahu, sejak kecil dia cuba sedaya-upaya mengelakkan aktiviti-aktiviti fizikal seperti bola sepak.




PERNAH sekali ketika berada di tingkatan empat atau lima, dia telah 'dijemput' untuk naik ke atas pentas. Di hadapan ratusan pelajar sekolah berasrama penuh itu, dia berdiri dengan penuh perasaan malu. Malu dan tidak menyangka sama sekali diri menjadi perhatian seluruh sekolah.


PENGHIDAP hemofilia berhak mendapat rawatan yang betul.

Pagi itu dalam perhimpunan sekolah, nama lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Muhammad Fadhli menjadi glamor. Status glamor itu bagi Fadhli pada ketika itu sangat tidak kena pada tempatnya.

"Saya langsung tidak sangka guru kanan akan umumkan yang saya ada hemofilia. Sejak hari itu, semua orang rasa macam saya sangat luar biasa.

"Layanan yang diterima oleh guru dan rakan-rakan cukup berbeza," katanya ketika ditemui Kosmo! di ibu negara baru-baru ini.

Hampir setiap hari, dia diajukan dengan soalan-soalan sama ada dia sakit atau berdarah di mana-mana bahagian tubuh. Fadhli sebenarnya bukan tidak menghargai orang mengambil berat. Cuma dia mengharapkan agar dirinya dilayan dengan lebih neutral dan biasa seperti orang lain.

Lagipun secara fizikalnya, Fadhli seorang yang normal. Penyakit hemofilia A yang didiagnosis sejak kecil itu tidak sedikit pun menampakkan dia sakit dari luar.

Hakikatnya, lelaki berusia 24 tahun itu membesar dengan kesakitan. Rasa sakit pada bahagian-bahagian sendi seperti siku itu baginya bagaikan satu bentuk penyeksaan.

Biasa berlaku kepada golongan lelaki, hemofilia merupakan sejenis masalah pendarahan yang sangat jarang berlaku. Dalam gangguan pendarahan seperti ini, darah tidak dapat membeku ekoran kekurangan atau ketiadaan sejenis agen pembekuan darah, faktor VIII(8). Hasilnya, pendarahan berlaku secara berterusan.

Bagi mengelakkan berlakunya pendarahan tidak perlu Fadhli memberitahu, sejak kecil dia cuba sedaya-upaya mengelakkan aktiviti-aktiviti fizikal seperti bola sepak.


PENDARAHAN yang dialami oleh pesakit hemofilia adakalanya tidak dapat dilihat dengan mata kasar.


Bertuah

"Kalau berenang atau bermain ping pong, okey lagi. Tetapi apabila semakin dewasa, saya rasa tertekan juga bila nampak semua kawan main (bola sepak) waktu Pendidikan Jasmani.

"Jadi, bila diri ada had untuk melakukan aktiviti fizikal, saya rasa terpencil," tambahnya yang merupakan seorang graduan Universiti Kebangsaan (UKM). Malah, dia juga pernah menangis mengenangkan nasib yang menimpa dirinya itu.

Dalam kepayahan hidup sebagai seorang pesakit hemofilia, Fadhli sebenarnya menyifatkan dirinya cukup bertuah. Bertuah kerana didiagnosis dengan penyakit itu sekitar tahun 1980-an dan bukannya pada zaman lampau.

Sebabnya kecanggihan sains dan teknologi hari ini memungkinkan kaedah yang lebih baik untuk merawat pesakit hemofilia.


AWAS jika anda berdepan dengan pendarahan yang serius.


Fadhli memberitahu, dalam kesakitan dia terpaksa mengambil suntikan faktor antihemofilik (Faktor 8) dari Pusat Darah Negara (PDN). Suntikan ubat itu adalah satu-satunya rawatan utama untuk hemofilia. Bertindak sebagai terapi gantian, suntikan Faktor 8 mampu membantu pesakit hemofilia mencegah dan mengawal episod-episod pendarahan tidak beku.

"Sekurang-kurangnya, saya bertuah tidak lahir sekitar tahun 1960-an. Saya difahamkan pada zaman itu, pesakit hemofilia tidak hidup melebihi usia 30 tahun," ujar Fadhli yang juga mempunyai seorang abang penghidap hemofilia.

Penggunaan terapi gantian suntikan antihemofilik itu juga bermakna golongan pesakit hemofilia hari ini dapat mengawal masalah pendarahan di rumah.

Malah, Presiden Persatuan Hemofilia Malaysia, Datuk Dr. Faraizah Abdul Karim ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini berkata, kebanyakan pesakit hemofilia mempunyai tempoh jangka hayat seperti populasi normal dalam dekad ini. Namun, keadaan itu tidak mungkin dicapai jika pesakit hemofilia tidak memperoleh rawatan yang sesuai dan sewajarnya.

Suntikan Faktor Antihemofilik mula diluluskan penggunaannya oleh Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) dan European Agency for the Evaluation of Medicinal Products (EMEA) pada tahun 2000.


DR. FARAIZAH memberi penerangan kepada salah seorang pesakit hemofilia.



BOLA sepak antara sukan yang perlu dielakkan oleh penghidap hemofilia.


>Tahap kesedaran

Hari ini, produk itu telah didaftar dan digunakan secara rasmi di lebih 54 negara di dunia, manakala di Asia Pasifik pula, ia boleh didapati di sembilan buah negara. Tahap keselamatan dan keberkesanan produk itu telah diuji dalam pelbagai kajian klinikal melebihi tempoh 18 tahun.

Faraizah yang juga Perunding Patologi Kanan di PDN berkata, Fadhli sebenarnya tidak keseorangan dalam perjuangan mengawal penyakit hemofilia itu.

Hemofilia juga dikenali sebagai penyakit diraja merupakan kumpulan penyakit darah yang diwarisi. Penyakit itu mengakibatkan ketidakmampuan tubuh untuk mengawal pembekuan darah.

Fadhli merupakan antara sebilangan 1,100 orang pesakit hemofilia yang berdaftar dengan PDN. Menyifatkan tahap kesedaran rakyat Malaysia tentang keadaan penyakit ini masih di takuk lama, beliau berpendapat lebih banyak usaha perlu dipergiatkan.

Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), PDN dan Persatuan Hemofilia Malaysia tidak berhenti mengadakan seminar dan bengkel-bengkel untuk orang ramai termasuk golongan perubatan profesional.

Biarpun hemofilia banyak berlaku kepada golongan lelaki tetapi wanita yang menghidap hemofilia sangat jarang ditemui. Malah, sepanjang kerjaya Faraizah di PDN, belum ada rekod wanita penghidap hemofilia dalam pendaftaran melainkan pembawa hemofilia A simptomatik.

Tambahnya, pembawa hemofilia wanita itu mampu berdepan dengan penyakit itu jauh lebih baik berbanding pesakit lelaki. Sebabnya, mereka tidak terdedah kepada risiko pendarahan yang teruk.

Bercerita lanjut, Faraizah mendedahkan, semua pesakit hemofilia seharusnya melibatkan diri dalam aktiviti fizikal.

"Ini penting untuk tumbesaran dan kesejahteraan hidup pesakit kecuali aktiviti-aktiviti yang melibatkan sentuhan seperti ragbi dan bola sepak kerana terdedah kepada kecederaan badan," ujarnya.

Selain rawatan berpatutan, sokongan ahli keluarga terdekat juga amat penting untuk meringankan bebanan penyakit yang ditanggung oleh pesakit. Fadhli sendiri mengakui, ibu bapanya banyak menghulurkan sokongan moral dan mengingatkannya bahawa pesakit hemofilia tidak harus dinafikan hak untuk belajar.

Turut menyertai kem- kem kumpulan sokongan pesakit hemofilia selama ini, Fadhli bertambah kuat dan tabah menghadapi dugaan penyakitnya. Tahun lalu, dia telah menjadi sebahagian daripada Kem Hemofilia Asia Pasifik yang pertama diadakan di Kuala Lumpur.

Kem tiga hari itu dianjurkan oleh Persatuan Hemofilia Malaysia dan syarikat farmaseutikal terkemuka, Bayer Schering Pharma. Disertai oleh 20 orang pesakit kanak-kanak dan golongan belia, para penjaga dan golongan pakar perubatan dari serata Asia Pasifik, mereka hadir dengan satu objektif iaitu diharapkan wujud kaedah pengurusan lebih proaktif untuk semua pesakit hemofilia di rantau ini.






Teruskan membaca..

Facebook: Lebih 75,086 rakyat bantah guna kalimah Allah

KUALA LUMPUR 5 Jan. - Satu kumpulan yang menggelarkan diri mereka 'Menentang Penggunaan Nama Allah Oleh Golongan Bukan Islam' di laman web sosial Facebook berjaya menarik lebih 75,000 orang untuk menjadi rakan kepada kumpulan berkenaan.

Sejak laman tersebut mula dibuka beberapa hari lalu, jumlah mereka yang menyertainya semakin meningkat setiap hari sehingga jumlahnya melebihi angka 75,000 orang malam ini.

Malah dalam tempoh sejam sahaja, jumlah mereka yang menyertai sebagai rakan laman yang ditubuhkan untuk menyatakan bantahan kepada penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam telah meningkat lebih 1,000 orang.

Ini menjadikan angka mereka yang menjadi rakan laman itu meningkat seramai 75,086 orang setakat 12 tengah malam ini sahaja.

Antara yang turut menjadi rakan kepada laman itu ialah Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Shamsul Anuar Nasarah dan Ahli Parlimen Kuala Lipis, Datuk Dr. Shahrom Osman.

Laman tersebut melibatkan tujuh orang pengendali termasuk Tun Faisal Ismail Aziz yang juga Pengerusi Unit Media Baru Pergerakan Pemuda UMNO.

Menurut pengasas laman itu, yang menggelarkan dirinya sebagai Ali Baba Bujang Lapok, mereka menyasarkan seramai satu juta orang rakan.

Malah laman berkenaan kini sedang mengaturkan untuk membuat petisyen bantahan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Justeru di dalam profil kumpulan itu, mereka menawarkan kepada mana-mana rakan laman itu yang mahir dalam menulis petisyen supaya memaklumkan kepada pihak pengendali.

Sumber : Utusan Malaysia

Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...