Photobucket

Sahabat Maya :

Sunday, January 10, 2010

Gus Dur tetap dikenang

Pemikiran bekas Presiden Indonesia keempat itu sering kali mengundang kontroversi. Tetapi buah fikiran tersebut menjadi kunci kepada arus perjalanan sosial, politik dan budaya dalam menyatukan masyarakat majmuk Republik Indonesia.




BELIAU merupakan seorang pemimpin yang tidak gentar sama sekali untuk mengatakan sesuatu yang diyakininya benar. Malah, lelaki itu sanggup berbeza pendapat dengan orang lain semata-mata untuk menghidupkan demokrasi sebenar di Indonesia.

Begitupun, dalam keseriusan membicarakan perjuangan Republik Indonesia ke arah negara lebih demokrasi, beliau dianggap sebagai seorang peramah dan suka berjenaka.

Bahkan anak sulung daripada enam beradik keluarga Islam berpengaruh di Indonesia itu, Abdurrahman Wahid atau lebih akrab dengan panggilan Gus Dur telah menggemparkan dunia apabila menjadi Presiden Republik Indonesia keempat dari tahun 1999 hingga 2001.

Ini kerana pada awal tahun 1998, Gus Dur telah diserang strok sehingga mengakibatkan penglihatannya semakin buruk. Sekali gus membuatkan media Barat melabelkannya sebagai nyaris buta.


GUS DUR dibantu penyokongnya ketika membuang undi di Jakarta pada tahun 1999.


Gus Dur telah memenangi 11 peratus daripada jumlah undi dalam pilihan raya umum (Pemilu) pada tahun 1999. Sedangkan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) memenangi 35 peratus.

Bagaimanapun, keputusan itu tidak menjamin pemilihan Megawati Sukarnoputri sebagai Presiden. Ini disebabkan kuasa untuk memilih Presiden dan Naib Presiden pada peringkat itu masih dalam tangan Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR).

Sewaktu MPR memulakan persidangan pada Oktober 1999, Pengerusi MPR, Amien Rais telah menubuhkan sebuah parti campuran terdiri daripada parti-parti Islam dan Golkar, dikenali sebagai Paksi Pusat.

Parti campuran itu telah mencalonkan Gus Dur sebagai presiden dan beliau berjaya menewaskan Megawati dalam pilihan raya Presiden demokrasi yang pertama di Indonesia.


TUN Dr. Mahathir Mohamad menandatangani buku takziah kematian bekas Presiden Indonesia, Gus Dur di kedutaan Indonesia baru-baru ini.


Disebabkan penyokong-penyokong Megawati mula merusuh selepas menerima berita berkenaan, Gus Dur telah melantik Megawati sebagai Naib Presiden untuk meredakan keadaan.

Pengasas Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) itu, sebuah parti politik yang berasaskan Islam, menggantikan Presiden B.J. Habibie setelah dipilih oleh MPR.

Tokoh pemikiran Islam moden

Tidak sampai sebulan Gus Dur mengepalai tampuk pemerintahan Republik Indonesia, beliau telah mencetuskan kontroversi apabila menyifatkan para anggota legislatifnya seperti budak berada dalam taman kanak-kanak.

Beliau turut mengatakan akan menjalin hubungan perdagangan dengan Israel, negara yang dibenci kebanyakan orang di Indonesia sehingga mengundang reaksi keras daripada beberapa komponen Islam di negara berkenaan.

Anak kelahiran Denanyar, Jombang, Jawa Timur itu merupakan bekas pemimpin pertubuhan Nadhlatul Ulama (NU) dari tahun 1984 hingga 1999. Mempunyai pengikut hampir 40 juta orang, Gus Dur ialah seorang tokoh pemikiran Islam moden yang tidak pernah membezakan golongan masyarakat, selain menjadi pejuang kaum minoriti sehingga digelar Bapa Pluralisme.


MEGAWATI Sukarnoputri dan pemimpin Indonesia mengadakan pertemuan di rumah Gus Dur.


Gus Dur bertanggungjawab menghapuskan pengharaman ke atas kaum Tionghua untuk menyambut Tahun Baru Cina serta membubarkan Kementerian Maklumat Negara yang menyekat kebebasan akhbar selama berdekad-dekad, selain menggalakkan perkembangan kegiatan intelek dan seni.

Lelaki bertubuh gempal itu juga dikatakan mempunyai kiai-kiai khas yang didakwa memainkan peranan yang cukup penting dalam pemerintahannya. Sehinggakan ketika pertama kali hendak menjejak kaki ke Istana Merdeka selepas dilantik sebagai Presiden, Gus Dur menggunakan khidmat mereka kononnya untuk 'mencuci' kekuatan jahat penguasa sebelumnya.

Ketika menjadi Presiden, Gus Dur juga menjalani amalan dan upacara tertentu. Selain mengunjungi kiai yang dikatakan mempunyai karomah pada setiap Jumaat, beliau akan mengundang sekurang-kurangnya lima kiai ke Istana Merdeka untuk berwirid, membaca surah al-Ikhlas, surah Yasin, al-Kahfi serta mendoakan keselamatannya.

Setiap malam, pasti ada seorang atau dua orang kiai yang ditemui oleh Gus Dur selepas pukul 11 malam. Secara peribadi, Gus Dur sendiri mempunyai amalan khusus. Dalam keadaan tidak menentu dan perasaan tidak tenang, beliau melakukan banyak wirid.

Gus Dur yang gemar berjoging juga kerap membaca surah Yasin sebanyak tiga kali dan ayat Kursi tujuh kali pada setiap malam, khususnya malam Rabu. Manakala pada malam Jumaat Gus Dur membaca surah al-Kahfi sebanyak 11 kali.


RIBUAN rakyat Indonesia mengangkat keranda jenazah Gus Dur di Jombang, Jawa Timur, Indonesia.


Perjuangan Gus Dur memegang tampuk pemerintahan Republik Indonesia tidak kekal lama disebabkan serangan penyakit angin ahmar dan tuduhan rasuah. Akhirnya, beliau disingkirkan daripada jawatan itu oleh MPR dan pimpinannya digantikan oleh Megawati Sukarnoputri pada 23 Julai 2001.

Setelah tidak lagi memegang jawatan nombor satu Indonesia, Gus Dur kembali kepada kehidupan asalnya.

Beliau meninggal dunia ketika usia 69 tahun pada pukul 6.45 petang pada hari akhir tahun 2009 di Rumah Sakit Cipto Mangunkusumo (RSCM).

Sumber toleransi

Kesihatan Gus Dur dilaporkan merosot ketika menziarahi kubur Ibu Nyai Fatah di Pesantren Bahrul Ulum Tambak Beras, Jombang, Jawa Timur pada 24 Disember tahun lalu. Kemudian dia dikejarkan ke Hospital Swadana Jombang sebelum dipindahkan ke Hospital Cipto Mangunkusumo pada 25 Disember.

Gigi Gus Dur dicabut berikutan gusinya yang membengkak, serta terpaksa menjalani rawatan dialisis di hospital sama.

Pengarah Hospital Cipto Mangunkusumo, Akmal Taher berkata, Gus Dur meninggal dunia akibat kegagalan jantung, ginjal dan masalah gula dalam darah.

Beliau meninggalkan seorang balu, Sinta Nuriyah dan empat orang anak perempuan iaitu Alisa Qortrunnada Munawarah (Lisa), Zannuba Arifah (Venny), Anisa Hayatunufus (Nufus) dan Inayah Wulandari (Ina).

Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono pada akhir upacara pengebumian negara untuk Gus Dur di Pondok Pesantren Tebu Ireng, Jombang, Jawa Timur baru-baru ini, menyifatkan bekas Presiden Indonesia itu sebagai tokoh utama yang mendorong kepada perubahan demokrasi.


PENYOKONG Gus Dur sedang berdoa di Kem Jawa Timur.


"Gus Dur menyatukan masyarakat majmuk daripada pelbagai etnik, daerah dan agama. Sesungguhnya dia ialah bapa pluralisme dan multi-kulturalisme. Selama masa kepemimpinannya pada 1999-2001, Gus Dur meletakkan kebijaksanaan yang bukan saja mengakhiri diskriminasi tapi juga memuliakan pelbagai bentuk kemajmukan itu," kata Susilo.

Baginya, Gus Dur banyak memberi teladan mengenai Islam sebagai sumber perdamaian dan toleransi. Sehingga menginspirasi banyak tokoh sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

"Beliau juga tercatat sebagai peletak dasar dan perkembangan demokrasi di Indonesia. Pada awal tahun 1990-an, Gus Dur bersama tokoh-tokoh lain mendirikan Forum Demokrasi yang menyemaikan gagasan-gagasan strategik bagi demokrasi dan pembangunan.

"Gus Dur ialah salah seorang guru dan putera terbaik bangsa yang telah memberi pengabdian terbaiknya. Sama ada kepada pertubuhan Nahdlatul Ulama (NU) yang dipimpinnya selama 15 tahun, mahupun kepada bangsa Indonesia," tambah Susilo.

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad pula mengungkapkan Gus Dur sebagai seorang patriotik, nasionalis yang berjuang untuk Indonesia dan agama Islam.

"Walaupun ada ketikanya tidak bersetuju dengan pandangan beliau, tetapi saya tetap hormat padanya.

"Gus Dur selalu ada cerita lucu untuk diceritakan kepada kami walaupun pada ketika itu kami sedang berbincang perkara yang serius," jelas Tun Dr. Mahathir.

Dalam pada itu, pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Mohamad Agus Yusuf berkata, Gus Dur merupakan seorang pemimpin Islam liberal yang mempunyai pengaruh dan aura tersendiri.

"Pendekatan Islam liberal dibawa Gus Dur bukan sahaja diterima oleh rakyat Islam Indonesia, malah mereka yang bukan beragama Islam sehingga menyebabkannya berjaya memenangi pilihan raya," katanya.

Dalam menghadapi ancaman terorisme, beliau muncul sebagai pemimpin Islam liberal dan berpengaruh. Tidak hanya di Indonesia tetapi di peringkat antarabangsa.


PENYOKONG Gus Dur menanti penuh sabar kelibatnya selepas beliau disingkirkan daripada jawatan Presiden Republik Indonesia.


"Gus Dur juga mempunyai sikap terbuka yang menjadikan Indonesia lebih terbuka. Namun dari segi pembangunan, tidak banyak perubahan yang dilakukan," ujarnya.

Gus Dur yang dilahirkan pada 4 Ogos 1940 menuntut di Sekolah Menengah Ekonomi Pertama (SMEP) di Gowongan, Yogyakarta, Indonesia pada tahun 1953.

Sewaktu berumur 22 tahun pada tahun 1962, Gus Dur melanjutkan pendidikannya di Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau juga sempat mempelajari sastera dan ilmu sosial di Fakulti Sastera Universiti Baghdad. Iraq. Dari Baghdad, beliau kembali ke Indonesia pada tahun 1974 dan memulakan karier sebagai cendekiawan dengan menulis sejumlah kolum di pelbagai media massa tempatan.

Gus Dur merupakan idola kepada ramai rakyat negara republik berkenaan khususnya bagi keempat puterinya. Jasa beliau dalam menghidupkan demokrasi sebenar di Indonesia pasti akan dikenang oleh semua rakyat Indonesia.

Sumber : Kosmo!

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...