Photobucket

Sahabat Maya :

Wednesday, January 6, 2010

Bekalan Air Bersih Di India

Penuras air yang diperkenalkan di India bertujuan membantu mengurangkan peningkatan pelbagai penyakit berbahaya.


ALAT penuras yang diperkenalkan di India dapat mengasingkan organisma mikro, warna dan bau.


KONGLOMERAT gergasi India, Kumpulan Tata memperkenalkan penuras air kos sederhana untuk menawarkan air minuman yang selamat kepada jutaan penduduk di negara itu. Selain menghasilkan air yang bersih, pengenalan alat penuras air itu secara tidak langsung membantu untuk mengurangkan peningkatan pelbagai penyakit berbahaya.

Tata Swach, penuras air yang mendapat nama dalam bahasa Hindi yang membawa maksud bersih itu direka secara unik terutama untuk kegunaan isi rumah yang tinggal di kawasan luar bandar.

Penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar menjalani kehidupan tanpa bekalan elektrik dan air yang lancar serta menggunakan abu dari kilang beras untuk menuras bakteria yang terdapat dalam air.

Menurut laporan sebuah akhbar, alat penuras itu dijual pada harga kurang daripada 1,000 rupee (RM73) dan menggunakan zarah-zarah kecil yang terbentuk daripada bahan perak untuk membunuh kuman yang mengundang penyakit-penyakit seperti cirit-birit, taun dan kepialu.

Pengarah Eksekutif Konglomerat Kumpulan Tata, R. Gopalakrishnan berkata, pengenalan Swach merupakan langkah pertama dalam usaha menawarkan kepada para pengguna dan rakyat biasa hak untuk mendapatkan air yang selamat serta bersih.

"Memang benar, dasar awam sebelum ini pernah cuba untuk memenuhi tuntutan ini tetapi tidak dapat mencapai kejayaan setakat ini," ujar Pengerusi Tata Chemicals, R. Mukundan kepada media di Mumbai.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih daripada seorang dalam enam orang di seluruh dunia iaitu 894 juta orang tidak mempunyai akses air yang bersih untuk kegunaan asas mereka. Ini telah mengundang kepada punca merebak beberapa penyakit utama dan kematian terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Hampir 90 peratus kematian berpunca daripada cirit birit kerana kekurangan sanitasi, air minuman yang tidak selamat dan air untuk membersih. Di India, 75 peratus daripada populasi tempatan tidak ada akses untuk meminum air yang bersih.


AIR minuman yang tidak selamat di India.


Penyakit

Menurut Laporan Pembangunan Air Dunia PBB yang disiarkan pada Mac lalu, bekalan air yang mencukupi, sanitasi, kebersihan dan pengurusan sumber air yang lebih baik boleh mengurangkan beban penyakit yang berlaku di seluruh dunia hampir satu persepuluh.

Alat penurasan Tata itu lebih menjurus kepada skala yang lebih besar. Ia juga telah dibekalkan di kawasan yang dilanda tsunami pada Disember 2004 yang semakin membangun sejak tiga tahun yang lalu.

Alat tersebut pula disasarkan kepada 85 peratus warga India yang tidak menuras air di rumah mereka.

Penuras air terbaru itu mempunyai kapasiti air sebanyak 9.5 liter dan boleh menuras 3,000 liter air sehingga katridge itu ditukar kepada yang baru. Alat itu mampu bertahan sehingga 200 hari dan sesuai untuk keluarga yang sederhana," kata Mukundan.

Selain itu, terdapat juga alat penuras air kos sederhana yang lain di dalam pasaran termasuk model alat penuras bateri keluaran Hindustan Unilever yang mempunyai kapasiti air sebanyak 4.5 liter dan boleh turas lebih daripada 1,500 liter.

Tata yang turut menjual air mineral jenama mewah Himalayan telah melabur 1 bilion rupee (RM73,435,247 juta) dalam projek tersebut dan berhasrat untuk menjual tiga juta unit pada lima tahun akan datang.

Katanya, alat penuras itu juga mendapat standard Agensi Kawalan Alam Sekitar Amerika Syarikat (AS). Ia dapat mengasingkan organisma mikro, warna dan bau serta telah diuji di 600 isi rumah kawasan luar bandar di empat negeri di India.


PENDUDUK luar bandar di India masih berdepan dengan krisis mendapatkan bekalan air bersih.


Mukundan berkata, pada awalnya syarikat berhasrat untuk jual alat itu di Afrika tetapi terlebih dahulu mereka ingin mendapat pengenalan di pasaran India kerana mempunyai potensi yang tinggi.

Pegawai program untuk kerja amal British WaterAid, Shipra Saxena yang menyokong pelancaran alat penuras itu apabila dihubungi melalui e-mel berkaitan peranan yang dimainkan oleh sektor ataupun firma-firma swasta dalam menawarkan perkhidmatan awam yang sebenarnya perlu dikendalikan oleh sektor kerajaan.

"Setiap sektor ada peranan yang perlu dimainkan. Sebab itu, mereka selalu menonjol walaupun kerajaan telah buat kerja yang serupa. Justeru, skopnya yang terlalu besar selalunya menemui kegagalan." - AFP

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...