Photobucket

Sahabat Maya :

Sunday, January 10, 2010

Kemunculan SpaceShipTwo

Kapal angkasa komersial ciptaan Virgin Galactic dapat merealisasikan impian mereka yang ingin melancong ke angkasa.




SELEPAS pembinaannya dirahsiakan selama lima tahun, akhirnya kapal angkasa yang membolehkan pengunjung melawat ke angkasa lepas telah menjadi realiti.

Orang ramai turut berpeluang melihat reka bentuk SpaceShipTwo yang dilancarkan di Gurun Mojave, Los Angeles, Amerika Syarikat itu.

"Kita semua telah lama bersabar untuk melihat reka bentuk pengangkutan ini," jelas Peter Cheney, 63, yang berpotensi menjadi pelancong angkasa lepas dari Seattle.

Jurucakap Virgin Galactic, Jackie McQuillan berjanji untuk menganjurkan pertunjukan pembukaan yang menakjubkan kepada pelanggan yang akan terbang ke angkasa lepas, terutama golongan VIP. Projek itu ditaja oleh pengasas Virgin Galactic iaitu bilionair British, Sir Richard Branson dengan kerjasama pereka kapal terbang terkemuka, Burt Rutan.


SIR RICHARD
BRANSON


Prototaip SpaceShipOne

SpaceShipTwo merupakan prototaip kepada SpaceShipOne. Pada tahun 2004, SpaceShipOne memperoleh hadiah Ansari X bernilai AS$10 juta (RM34 juta). Ia merupakan sebuah kapal angkasa swasta pertama menembusi ruang angkasa.

Sejak itu, para jurutera dari syarikat Rutan, Scaled Composite: LCC, telah membina kapal angkasa tersebut di sebuah makmal di Mojave. Kali terakhir gurun itu menjadi riuh-rendah ialah kurang dari setahun lalu apabila Branson dan Rutan melancarkan WhiteKnightTwo, pesawat induk yang akan membawa SpaceShipTwo ke altitud lebih tinggi.

Begitupun, perjalanan untuk membawa pelancong ke ruang angkasa masih jauh. Sepanjang setahun yang lalu, WhiteKnightTwo telah menjalani latihan penerbangan. SpaceShipTwo dijangka melakukan latihan terbang bermula pada tahun hadapan. Ia bakal membuat latihan terbang pada altitud maksimum pada tahun 2011.

Buat masa ini, pelanggan Virgin Galactic menunggu bilakah masa yang sesuai untuk melakukan penerbangan sulung. Semua itu bergantung pada keberkesanan program latihan. Sekarang, seramai 300 pelanggan telah pun membuat bayaran sebanyak AS$200,000 (RM687,500) untuk tiket atau memberikan wang pendahuluan.


GAMBARAN artis mengenai kapal angkasa komersial apabila ia beroperasi kelak.


Komposit ringan

SpaceShipTwo dibina menggunakan bahan komposit ringan dan motor roket hibrid. Berukuran 18.28 meter, ia mempunyai kabin yang hampir serupa dengan saiz jet eksekutif Falcon 900. Banyak tingkap disediakan termasuk bukaan berkaca di bahagian atas kapal. Biarpun SpaceShipTwo direka bentuk untuk tiga orang, ia boleh membawa sehingga enam orang penumpang dan dua orang juruterbang.

"Kapal angkasa ini amat cantik dan besar," jelas Pengasas X Prize, Peter Diamandis yang pernah melihat pembinaannya dalam beberapa tahap. Setakat ini, peluang menikmati keajaiban ciptaan sebegitu hanya terbuka kepada sesetengah kakitangan kerajaan selain para angkasawan dan segelintir orang kaya yang boleh mengeluarkan jutaan ringgit untuk menaiki roket Rusia.


KEADAAN SpaceShipTwo yang disambung dengan kapal induknya, WhiteKnightTwo.


Setelah menyaksikan kejayaan SpaceShipOne, ramai yang percaya bahawa lebih banyak syarikat akan menawarkan peluang sama sebelum berakhirnya dekad ini. Seorang pakar akademik dari Universiti George Washington, Amerika Syarikat, John Logsdon mengakui bahawa pembangunannya amat memberangsangkan.

"Semua pihak mengambil tindakan berjaga-jaga dan memastikan setiap langkah yang diambil bertepatan dan sesuai," kata Logsdon.

Bagaimanapun, tragedi pernah menimpa ke atas projek mega itu apabila berlaku satu letupan yang meragut nyawa tiga orang jurutera Rutan pada tahun 2007. Kejadian itu telah mengakibatkan proses pembangunan kapal angkasa tersebut tertangguh untuk seketika.


KERJA-KERJA pemasangan kapal angkasa ini sedang giat dijalankan di kilang Mojave Spaceport di Mojave,

California.


Perjalanan selama dua setengah jam di atas SpaceShipTwo merangkumi penerbangan naik dan turun tanpa mengelilingi Bumi, serta lima minit merasai ruang angkasa tanpa graviti. SpaceShipTwo akan diangkat oleh WhiteKnightTwo dan dilepaskan pada ketinggian 50,000 kaki atau 15,240 meter. Kemudian enjin kapal angkasa membakar beberapa kombinasi bahan api untuk sampai sejauh 104 kilometer lagi dari permukaan Bumi.

Sesudah sampai ke destinasi, ia akan meluncur ke ruang atmosfera dan mendarat seperti mana-mana kapal terbang. Untuk makluman, Virgin Galactic bukanlah satu-satunya syarikat yang terlibat dalam bisnes itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Amazon.com Inc, Jeff Bezos; pereka permainan komputer; John Carmack dan usahawan roket, Jeff Greason ialah antara pemain lain yang aktif dalam merealisasikan impian menghantar pelancong ke ruang angkasa. - AP

Sumber : Kosmo!

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...