Jambatan perangkap maut
PENDUDUK Kampung Kurnia, Kuantan
menunjukkan jambatan kayu yang menunggu masa untuk roboh.
menunjukkan jambatan kayu yang menunggu masa untuk roboh.
KUANTAN: Sebuah jambatan kayu di Kampung Kurnia di sini, tidak ubah seperti perangkap maut apabila hanya menunggu mangsa untuk roboh, sekali gus mengundang bahaya kepada pengguna terutama kanak-kanak.
Seorang penduduk, Saidi Ismail, 45, berkata ada tiga jambatan utama yang dibina di kampung berkenaan untuk melintasi tali air, namun dua daripadanya kurang selamat untuk digunakan berikutan kerosakan teruk serta tiada penghadang.
Katanya, satu daripadanya adalah jambatan lama yang dibina daripada kayu, namun ia sudah lama dibiarkan rosak dan hampir roboh serta tidak lagi selamat untuk digunakan.
Beliau berkata, meskipun hanya segelintir penduduk yang masih menggunakan jambatan kayu itu, ia tetap dikhuatiri akan membahayakan pengguna dan langkah membaiki atau merobohkannya perlu dilakukan segera sebelum ada yang menjadi mangsa.
“Jambatan itu tidak sepatutnya dibiarkan dalam keadaan begitu kerana ia boleh mengancam keselamatan orang ramai dan selagi ia wujud di situ, selagi itulah masih ada orang yang akan menggunakannya.
“Lebih baik ia dirobohkan terus jika tidak mahu membaikinya kerana langkah itu boleh mengelak penduduk terutama kanak-kanak daripada terus menggunakan jambatan uzur berkenaan,” katanya ketika ditemui di kampung berkenaan, baru-baru ini.
Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Khairul, 29, berkata sebuah lagi jambatan konkrit di kampung terbabit yang dibina tanpa besi penghadang di kiri dan kanannya turut menimbulkan keresahan penduduk.
Katanya, langkah menggantikan jambatan lama dengan jambatan konkrit beberapa tahun lalu menggembirakan penduduk di sini, namun mereka kecewa apabila ia tidak dibina dengan sempurna iaitu tanpa besi penghadang.
“Keadaan ini membahayakan pengguna, malah pernah ada kereta tergelincir sehingga tayarnya tersangkut sebelum dibantu penduduk berhampiran mengangkatnya beramai-ramai,” katanya.
No comments:
Post a Comment