MRT tergendala
SINGAPURA 16 Dis. – Beribu-ribu penumpang terkandas apabila sistem pengangkutan MRT (Transit Rel Massa) negara ini, tiba-tiba terhenti pada waktu puncak semalam, mengakibatkan orang ramai terperangkap dalam kegelapan selama lebih lima jam.
Kejadian itu berlaku pada pukul 6.50 petang di laluan MRT Utara-Selatan. Ia dilapor berpunca daripada masalah bekalan elektrik.
Akhbar Straits Times melaporkan, penumpang di sebuah daripada gerabak kereta api itu terpaksa memecahkan tingkap bagi membolehkan udara masuk selepas pemandu enggan membuka pintu atas sebab-sebab keselamatan.
Sebahagian penumpang yang terkandas turut berjalan di sepanjang terowong yang gelap untuk ke stesen-stesen berhampiran, dalam kejadian terburuk sepanjang 24 tahun operasi MRT tersebut.
Straits Times melaporkan, seorang wanita turut pengsan dalam kejadian berkenaan.
“Kami bergelap dan terperangkap tanpa udara. Keadaan sungguh gelap dan kami hanya menggunakan telefon bimbit untuk mendapatkan cahaya,” kata penumpang, Oh Shu Fen, 23, kepada akhbar tersebut.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
Perkhidmatan MRT hanya disambung semula lebih lima jam kemudian.
Operator MRT, SMRT Corp. Ltd. hari ini memohon maaf atas kesulitan tersebut dan berjanji akan menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut. – AFP
No comments:
Post a Comment