Amerika tempatkan kapal tempur baru di Singapura
WASHINGTON 16 Dis. - Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) akan menempatkan kapal tempur baru di kawasan pesisir pantai di perairan Singapura dan Filipina dalam tempoh beberapa tahun akan datang, tindakan yang akan meningkatkan kebimbangan China dikepung oleh Barat.
Ketua Operasi Lautnya, Laksamana Jonathan Greenert berkata, pasukan keselamatan itu memberi fokus untuk meningkatkan strategik maritim di rantau Asia Pasifik.
Tentera laut merancang menempatkan kapal tempur pesisir pantai (LCS) terbaru di pusat tentera laut Singapura sejajar dengan rancangan diumumkan Presiden, Barack Obama untuk memulakan kerahan anggota marin secara pusingan ke Darwin, Australia bermula tahun depan, katanya dalam jurnal Proceeding yang diterbitkan oleh Institut Tentera Laut AS.
Beliau berkata, kapal AS di Singapura akan menjalankan kerjasama memerangi lanun atau penyeludupan di sekitar Laut China Selatan.
''Pada 2025, pesawat Poseidon P-8A atau pesawat pemantau maritim kawalan jauh akan dijadualkan ke Filipina atau Thailand bagi membantu memantau maritim negara berkenaan,'' ujarnya.
Sumber berkata, tentera laut juga menimbang untuk menempatkan kapal perang di Filipina.
Pada bulan lepas, AS dan Australia mengumumkan rancangan untuk meningkatkan kehadiran tentera AS di Asia Pasifik dengan 2,500 anggota marin AS beroperasi di Darwin.
Tuntutan bertindih ke atas kawasan perairan di Laut China Selatan merupakan ancaman keselamatan terbesar di Asia ekoran dituntut oleh China, Taiwan, Filipina, Malaysia, Vietnam dan Brunei. - REUTERS
No comments:
Post a Comment