30 sekolah dipilih jalani projek tenaga solar
SEKINCHAN: Sebanyak 30 sekolah khususnya di kawasan luar bandar akan dipilih tahun depan untuk menjalani projek tenaga solar dalam usaha membangun dan mempromosikan keupayaan teknologi sumber tenaga diperbaharui itu. Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, berkata projek itu akan dilaksanakan penjana tenaga bebas (IPP) dengan pembiayaan menerusi dana Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) di bawah kendalian kementeriannya.
Peter Chin berkata, lima sekolah di negara ini sudah menjalani projek perintis tenaga solar itu sebelum ini.
Beliau berkata, program itu adalah usaha kementerian untuk mendidik dan memberi penerangan kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga dan memelihara alam sekitar.
“Pelbagai insentif kewangan turut disediakan bagi menggalakkan syarikat swasta mengambil langkah serius mengamalkan aplikasi teknologi hijau dalam penghasilan produk dan perkhidmatan mereka,” katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment