Photobucket

Sahabat Maya :

Sunday, January 3, 2010

Kita Akan Kalah Jika Terus Mengalah



Mingguan Malaysia, 29 November 2009

Ramai orang bertanya, kenapa Lee Kuan Yew berjaya dengan sistem satu aliran pendidikan di Singapura dengan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Lee Kuan Yew dipuji melambung kerana dikatakan sanggup korbankan bahasa ibunda demi kepentingan negara. Betulkah? Jawapan saya, Lee Kuan Yew tidak ada pilihan. Justeru, beliau terpaksa bertindak tegas. Jika ada pilihan, saya yakin beliau tidak akan bertindak sedemikian. Ingat! bahasa Mandarin masih dijadikan subjek penting di sana berbanding bahasa Melayu, dengan alasan mereka adalah majoriti.

Sejarah Singapura perlu difahami kenapa Lee Kuan Yew memilih bahasa Inggeris? Jika Singapura bukan berasal daripada sistem kenegaraan Melayu, saya yakin Lee Kuan Yew tidak akan memilih bahasa Inggeris. Lee Kuan Yew sudah lama dapat membaca pemikiran psikologi orang Melayu. Kebolehan beliau menulis dan membaca jawi sudah dapat mencairkan orang Melayu. Jika bahasa Cina digunakan, sudah tentu ia akan ditentang oleh orang Melayu ketika itu.

Singapura tidak boleh dipisahkan dengan Melayu. Sehingga ke hari inipun saya masih mengatakan Singapura adalah sebuah negara Melayu di Kepulauan Melayu. Kecuali Singapura itu berada di gugusan kepulauan seperti Taiwan, baru saya mengikhtiraf negara itu sebagai negara bangsanya. Lee Kuan Yew hanya mengorbankan bahasa mandarin buat sementara waktu. Janganlah kita buat andaian bahawa Singapura maju kerana menggunakan bahasa Inggeris. Sifat ultra kiasu amat berkait rapat.

Kita pula janganlah terlalu hairan kenapa Singapura boleh keluar sebagai negara maju dalam jangka masa cepat? Jika ditakdirkan Singapura sebesar Malaysia atau Indonesia, saya yakin ia tidak ke mana juga. Singapura bernasib baik sebab faktor lokasi dan saiz banyak membantunya untuk keluar menjadi negara maju. Jangan terlalu kagum dengan kepemimpinan mereka, sehingga kita lupa apa yang telah dilakukan terhadap negara kita sebelum ini. Masih ingatkah sejarah dan titik hitam pemisahan Singapura-Malaysia? Adakah kemasukan Singapura ke dalam Malaysia benar-benar ikhlas? Bacalah sejarah. Apa yang penting hari ini ialah bagaimana untuk menangani sikap ultra kiasu mereka yang amat bahaya kepada politik negara kita. Ingat, pengikut-pengikut ultra kiasu Singapura ini masih ramai berada di negara kita, dengan sebab itu mereka tidak habis-habis menuntut dan mendesak. Apakah kita masih tidak sedar? Ringkasnya, mereka tidak bersendirian.

Lihatlah berapa banyak tanah-tanah strategik yang telah tergadai? Begitu juga dengan rumah-rumah mewah yang telah dibeli? Jangan lupa perjanjian air dan kawasan tadahan air yang dijaga oleh tentera Singapura walaupun berada di Johor. Lee Kuan Yew teramat jarang melawat Malaysia selepas pemisahan, kenapa beliau sanggup ke negara kita baru-baru ini terutama ke Pulau Pinang? Sedarkah kita apa yang dibincangkan secara tersurat dan tersirat? Fikirkanlah. Jangan terlepas pandang pula nasib Melayu di Pulau Pinang? Janganlah bila sudah terhantuk baru mengadah. Sebelum terhantuk perlulah berhati-hati. Bila nasi sudah menjadi bubur sudah terlambat. Perpecahan sesama kita adalah petanda jelas kejayaan mereka.

Sedarlah wahai saudaraku, Melayu Islam di Singapura telah berjaya dicairkan. Hari ini segelintir orang Melayu yang digula-gulakan dengan kuasa sudah tidak seperti Melayu Islam. Mereka bukan sahaja telah cair, tetapi sudah tidak berhati Melayu Islam, kecuali mereka yang masih bertahan di madrasah. Sejauhmana madrasah dapat bertahan? Itu masih menjadi persoalan besar hari ini. Kedudukan madrasah menjadi semakin terhimpit. Begitu juga dengan masjid-masjid mereka. Apakah kita belum sedar? Cukuplah Pulau Batu Putih yang telah terlepas. Janganlah selepas ini kita berputih mata. Ambillah pengajaran ini sebelum terlambat. Mereka yang kuat berjiwa Melayu Islam memang tidak akan terpilih menjadi pemimpin atau menteri di sana. Dengan sebab itu, orang seperti Dr Lily Zubaidah Rahim (2001) terbuang di bumi sendiri. Hanya kerana bercakap menjaga kepentingan Melayu Islam. Apakah kita tidak mengambil pengajaran?

Cuba kita fikir kenapa hari ini Singapura membelanjakan hampir USD11 bilion setahun memperkuatkan sistem pertahanan negaranya dengan populasi hanya 4.6 juta yakni nombor 23 dalam ranking dunia? Lebih dua kali ganda lebih besar daripada perbelanjaan pertahanan Indonesia (USD 4.7 bilion). Perbelanjaan pertahanannya jauh meninggalkan negara kita yang tidak langsung tersenarai dalam ranking dunia. Sedarkah kita sekutu rapat mereka adalah musuh-musuh Islam seperti Israel, Amerika, Australia, Britain dan sebagainya? Tidakkah kita terfikir, apakah agenda mereka sebenarnya kalau bukan kita? Saya yakin kita tidak akan terlepas pulau Batu Putih jika kekuatan kita melebihi kekuatan mereka. Ancaman dan amaran kita sudah cukup untuk menggetarkan mereka. Tetapi kenapa mereka begitu berani dan kurang ajar? Sebab mereka tahu, sejauhmana kekuatan mereka dan telah bersedia menghadapi apa jua situasi. Tendensi untuk mereka menang besar adalah tinggi.

Mungkin pakar-pakar pertahanan tidak bersetuju dengan saya. Tetapi kita mesti ingat, hari ini kita tidak lagi berperang menggunakan manusia, kecanggihan teknologi adalah kekuatannya. Bandingkan teknologi pertahanan perang kita dengan Singapura. Bezanya ibarat langit dengan bumi. Kita sepatutnya membelanjakan wang negara untuk pertahanan. Malangnya, wang ringgit kita banyak digunakan untuk berpolitik daripada mempertahankan negara. Sudah sampai masanya kita kurangkan sedikit berpolitik untuk membina kekuatan pertahanan negara.

Sampai bilakah kita mahu terus bersangka baik dengan mengatakan perang dingin telah tamat, dunia sudah aman? Musuh telah tiada, maka kita tidak perlu menjadi kuat? Tidakkah kita sedar bahawa musuh bertambah kuat dan sentiasa berpakat merancang untuk memusnahkan kita?

Justeru, saya menyerukan supaya kita jangan terlalu berpolitik. Masa dan wang ringgit banyak dihabis untuk menewaskan sesama sendiri. Malangnya, kita tidak hanya berpolitik dalam politik, tetapi dalam bidang lain pun berpolitik juga. Misalnya perebutan jawatan atau kuasa dalam badan-badan awam, berkanun, NGO dan sebagainya. Ini belum termasuk isu rasuah. Pendek kata, dalam bidang apapun diperkatakan, umat Islam kita berpolitik. Politik yang merugikan dan melemahkan. Ultra kiasu ambil kesempatan.

Musuh sentiasa merancangkan untuk melaga-laga kita sesama umat Islam. Hari ini kita dilaga-lagakan dengan Indonesia? Siapakah provokatornya? Marilah kita fikirkan bersama. Logiknya mudah, bila negara-negara Islam berjiran bergaduh sesama sendiri, mudahlah negara ultra kiasu dan orang ultra kiasu ini menyusun strateginya. Janganlah kita terlalu beremosi, takut memakan diri.

Barat telah berjaya melaga-lagakan negara-negara Arab. Hasilnya, negara haram Israel berjaya menguasai negara-negara Arab dengan nisbah 1 orang Israel, lebih 100 orang Arab. 100 Arab tidak dapat mengalah 1 Israel. Sedangkan dari segi logik, akan banjir 1 orang jika 100 orang pakat-pakat kencing ke atas Israel ini. Keadaan berlaku sebaliknya. 1 berjaya mengalahkan 100. Senario Arab-Israel hampir sama dengan negara kepulauan Melayu-Singapura. Mereka sudah bersedia dengan segala kekuatan teknologi. Kita asyik berpolitik tanpa kesudahan.

Kita bernasib baik kerana hari ini kita menjadi pengguna teknologi, bukan pencipta. Kebaikannya, kita tidak perlu lagi menghabiskan masa mencipta teknologi kerana ianya telah tersedia dicipta. Masa mencipta teknologi telah banyak dijimatkan. Tuntutan hari ini adalah menggunakan teknologi tersebut sepenuhnya dan diperkembangkan lagi kehebatan seperti yang cuba dilakukan oleh Iran hari ini. Tetapi Iran cuba dimangsakan oleh barat.

Barat dan ultra kiasu ini telah berjaya membaca pemikiran umat Islam. Mereka tahu teknologi mereka digunakan oleh Islam. Orang Islam akan menjadi kuat jika memperkembangkannya. Justeru, sebelum ia berlaku maka dipecah-belahkan dan dicairkan mereka supaya mudah dikuasai. Ternyata strategi mereka berjaya. Umat Islam berjaya dikuasai dan dipecah-belahkan. Bukan kerana mereka tidak pandai menggunakan teknologi, mereka pandai. Tetapi mereka dihasut supaya mempertikai atau bergaduh sesama sendiri dalam isu-isu remeh temeh seperti tarian pendet Bali. Malangnya, yang tidak bergaduh pula tidak memanfaatkan teknologi, tetapi menggunakannya secara salah. Akhirnya jiwa menjadi kosong dan cair.

Justeru, saya merayu agar kita dapat memulakan langkah pertama dengan menyelesaikan isu-isu asas mengenai pendidikan di negara kita. Ini kerana pendidikan amat penting sebagai benteng pertahanan. Ia harus dimulakan dengan sekolah satu sistem. Asas-asas patriotisme berada di situ. Jangan perjudikan masa depan dan keselamatan negara sistem ini demi untuk mempertahankan kuasa hari ini. Jika dengan kehilangan populariti, masa depan pendidikan boleh dipertahankan, rasanya tidak mengapa kita tidak popular buat sementara waktu. Apa guna populariti, jika masa depan pendidikan dan negara menjadi semakin terhakis. Berundur bukan bererti kita mengalah. Tetapi untuk bersiap sedia dengan kekuatan, daripada kita terus mengalah dan terus kalah. Saya masih teringat kata-kata latin yang berbunyi si vis pacem para bellum, bermaksud jika mahukan keamanan bersedialah untuk berperang. Adakah kita sudah bersedia ke arah itu, di kala orang lain telah lama bersedia? Jika mereka terlalu ultra kiasu, adakah kita akan terus mengalah? Kitapun kena bertindak tegas ke atas mereka untuk kepentingan masa depan. Ingat! kita akan kalah jika terus mengalah.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia


Mingguan Malaysia 22 Nov 2009

Saya amat mengharapkan kerajaan tidak akan tunduk kepada desakan Persekutuan Persatuan-persatuan Cina Malaysia (Hua Zong) supaya membantu 60 Chinese Independent Secondary School serta mengikhtiraf sijil yang dikeluarkan (UEC). Cukuplah dengan lebih 1300 SJKC yang telah sedia ada, dan akan bertambah dari masa ke semasa. Pemisahan di sekolah rendah sudah cukup berat bagi kita untuk memperkasa masa hadapan. Apakah kita mahu terus memisahkan mereka apabila berada di sekolah menengah? Ini belum ditambah dengan IPTS yang berasaskan kaum yang begitu ketara bilangannya, yang menggunakan bahasa ibunda sepenuhnya seperti di Kajang, Kuala Lumpur dan sebagainya. Saya boleh namakan satu persatu. Biarlah saya simpan dahulu. Apakah ini semangat 1Malaysia?

Di sekolah vernakular, bahasa Melayu hanya diajar tiga kali dalam seminggu. Apakah mereka ini boleh menguasai bahasa kebangsaan dengan baik? Buatlah kajian. Lihat sahaja keputusan UPSR pelajar-pelajar ini dalam bahasa Melayu dan kelas peralihan. Itu sudah cukup memberikan gambaran. Selepas itu buatlah bancian di kampung-kampung baharu. Nilailah tahap penguasaan bahasa kebangsaan. Saya bukan anti Cina. Saya amat sayangkan bangsa saya sebab mereka adalah juga kejadian Allah. Jika saya menolak mereka, bermakna saya menolak Allah yang menjadikan saya sebagai orang Cina. Apakah saya anti-Cina bila membangkitkan isu ini?

Biarlah kita bergaduh hari sekarang demi masa depan. Mudah-mudahan anak cucu cicit kita sejahtera hidup selepas ini. Kepentingan mereka mesti diutamakan berbanding kepentingan kita. Sebenarnya, menteri pelajaran mempunyai kuasa penuh untuk menolak semua sekolah vernakular ini. Tetapi kuasa itu tidak digunakan. Fikirkanlah toleransi yang tidak ada tolok bandingnya.

Sebelum tahun 1996, kita ada Akta Pelajaran 1961 Seksyen 21 (1B) yang memberi kuasa kepada menteri pelajaran untuk menutup atau memansuhkan SJKC/T. Akta ini amat ditakuti oleh persatuan-persatuan Cina. Mereka telah merayu dan mendesak kerajaan supaya memansuhkan akta ini. Atas dasar tolak ansur, pada tahun 1995, menteri pelajaran ketika itu mengambil keputusan berani memenuhi hasrat kaum Cina dengan menarik balik kuasa atau peruntukan itu apabila membentangkan Akta Pelajaran baru pada 1996 yang lebih lunak.

Akta Pelajaran 1996 yang diperkenalkan masih lagi tidak dipersetujui oleh segelintir ultra kiasu. Ultra kiasu ini berpendapat, pindaan terhadap Akta Pelajaran 1961 kepada 1996 telah menyelesaikan satu masalah dengan memansuhkan Seksyen 21 (1)(b), tetapi menimbulkan masalah baru dengan tambahan Seksyen 17 (1). Menurutnya, Seksyen 17 (1) telah memberi kuasa baru kepada menteri pelajaran untuk memaksa sekolah vernakular menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

Ultra kiasu berhujah, akta sebelumnya hanya menghalang sekolah rendah tetapi kini akta baru itu membolehkan kementerian menghalang, daripada pendidikan pra-sekolah hingga kepada pendidikan selepas peringkat menengah. Berdasarkan kepada Seksyen 28 dalam akta baru itu, hanya sekolah vernakular milik kerajaan negeri atau yang diberi ‘kebenaran khas’ oleh menteri pelajaran, yang mungkin dikecualikan daripada peruntukan di bawah Seksyen 17 (1).

Sebenarnya, akta Pendidikan 1996 yang juga dikenali sebagai Akta 550 ‘lebih lembut’ berbanding akta pelajaran 1961 yang dimansuhkan. Tidakkah ini satu toleransi? Sanggup korbankan kuasa semata-mata untuk meraikan orang lain. Kepada golongan ultra kiasu yang selalu menentang saya bacalah akta ini dan bandingkan dengan akta sebelumnya. Siapakah yang menggubal akta ini kalau bukan Perdana Menteri kita hari ini yang ketika itu adalah menteri pelajaran. Menteri pelajaran sebelum itu, langsung tidak mahu bertolak ansur. Siapakah dia? Tanyalah sekutu parti ultra kiasu ini. Sayapun tidak faham kenapa mereka begitu baik hari ini sedangkan sebelum itu akta 1961 yang paling ditakuti ultra kiasu.

Namun, sekumpulan ultra kiasu ini tidak pernah bersyukur, apatah lagi untuk menghargai. Saya tidak nampak beza SJKC dengan sekolah Cina di negeri China dari segi bahasa, kecuali tambahan mata pelajaran bahasa Melayu 3 jam seminggu? Saya teringat kata-kata Khoo Kay Kim, sistem pendidikan hari ini mesti memenuhi keperluan 1Malaysia. Sistem pendidikan pelbagai tidak akan membantu rakyat memahami gagasan tersebut. Kanak-kanak dipisahkan sejak kecil. Bila membesar agak sukar untuk mereka memberikan kerjasama sama antara satu lain. Sekolah vernakular pada asalnya diwujudkan bagi membolehkan orang Cina India belajar asal-usul negara mereka. Tetapi hari ini mereka telah menjadi rakyat Malaysia, sepatutnya keadaan sedemikian tidak perlu wujud lagi. Kay Kim amat kesal dengan segelintir pihak yang mempertahankan sekolah berasaskan kaum ini.

Saya amat mengharapkan mereka yang terlalu banyak bercakap mempertahankan sekolah vernakular ini supaya membuat kajian secara menyeluruh. Jangan asyik menyalahkan kerajaan sahaja. Apakah agenda mereka sebenarnya? Jika mahu mempertahankan warisan nenek moyang, jagalah budaya dan cara hidup semua sekali? Jangan hanya isu bahasa sahaja, sebab isu bahasa adalah masalah negara. Saya minta mereka buat kajian tentang prestasi bahasa Melayu (BM) sekolah vernakular. Pertama, kebolehan dan keupayaan memahami dan bertutur dalam BM. Kedua, peratus kegagalan BM. Ketiga, masalah kelas-kelas peralihan dan masalah komunikasi antara pelajar dalam BM. Keempat, pergaulan pelajar peralihan dengan pelajar Melayu. Kelima, kegagalan dan kelulusan rendah dalam BM peringkat PMR dan SPM. Keenam, kefahaman dan kebolehan BM setelah tamat sekolah menengah. Ketujuh, kebolehan bertutur BM di kalangan bukan Melayu. Kalau tidak mahu buat kajian juga, ambil sampel beberapa pemimpin politik dan NGO yang lantang ini, termasuk pensyarah-pensyarah di jabatan pengajian Tionghua, cubalah uji keupayaan BM mereka?

Kita teramat sedih apabila baru-baru ini, seperti yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar Cina, beberapa pertubuhan Cina seperti Dong Zong, Hua Zong, Persatuan Ketua-ketua Sekolah Cina, Persatuan Alumni Sekolah-Sekolah Cina dan lain-lain persatuan, menentang keras cadangan kementerian pelajaran untuk menyeragamkan silibus Bahasa Melayu di SK dan SJKC. Untuk makluman, silibus BM di SJKC lebih mudah berbanding SK. Begitulah bersatunya mereka. Apabila belajar BM mahukan yang mudah-mudah (cincai). Belajar bahasa sendiri mesti secara terperinci. Adakah kita sebenarnya serius memperkasakan negara? Adakah ini bukan ultra kiasu? Adakah kita masih tidak nampak dan sedar? Alasannya begitu simplistik, pelajar-pelajar SJKC tidak boleh dibebankan dengan BM yang agak susah sebab mereka terpaksa belajar tiga bahasa iaitu bahasa mandarin sebagai utama, bahasa Melayu sebagai bahasa kedua dan bahasa Inggeris sebagai bahasa ketiga. Begini nasib bahasa Melayu di bumi Melayu. Tidakkah kita sedar bahawa BM adalah bahasa yang paling mudah dipelajari di dunia? Memanglah susah kalau hanya diajar tiga kali seminggu di SJKC. Adakah kita serius?

Saya tidak menafikan ada segelintir pelajar Cina yang berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam bahasa Melayu, tetapi bilangan amat kecil. Itupun setelah diwajibkan lulus. Bayangkan jika syarat itu tidak ada. Apakah belajar bahasa Melayu kerana terpaksa belajar atau semangat sayangkan bahasa kebangsaan? Fikirkanlah. Janganlah menegakkan benang yang basah, yang rugi nanti anak cucu cicit kita, ketika itu kita telah tiada. Jangan kerana ego hari ini kita korbankan kepentingan masa hadapan.

Kepada golongan ultra kiasu ini saya ingin bertanya, berikan saya satu contoh negara di dunia ini yang mengamalkan sistem sebegini? Kalau ada saya akan mengalah. Saya tidak akan sentuh soal pendidikan vernakular. Bukankah syurga kita di sini? Jangan selalu gunakan hujah kepelbagaian sebagai satu kekuatan atau unity within diversity. Terlalu banyak berbeza juga tidak membawa kebaikan. Kita perlu mencari banyak persamaan untuk memenuhi matlamat gagasan 1Malaysia. Persamaan itu hanya akan dapat dicapai dengan berkongsi matlamat wawasan negara. Ia bermula dengan berkongsi sekolah satu aliran, tanpa menafikan hak masing-masing. Jika isu asas seperti bahasa ini pun sudah tidak dipersetujui, apakah dalam perkara lain kita boleh bersetuju? Ringkasnya, sekolah satu aliran adalah satu mimpi jika kita terus berlembut. Kiasu itu dibolehkan. Tidak salah. Malahan Islam membenarkan. Tetapi jangan menjadi ultra kiasu. Kita tetap Cina tetapi jangan jadi terlalu ultra Cina, ultra Melayu, ultra India dan lain-lain ultra bangsa di Sabah dan Sarawak. Itu sudah ekstrim dan melampau.

Saya juga tidak nafikan guru-guru sekolah vernakular rajin dan dedikasi. Tetapi itu bukan bermakna kita boleh buat generalisasi bahawa guru-guru sekolah kebangsaan tidak sama standard dengan SJKC. Ingat! Tidak semua guru-guru SJKC bagus-bagus. Saya juga berpengalaman. Saya bukan Cina masuk Melayu atau Cina murtad. Saya hanya mempertahankan kepentingan masa depan dan anak cucu cicit kita. Jangan politikkan pendidikan kerana ia amat bahaya untuk masa depan negara. Jangan nafikan peranan kerajaan terhadap sekolah bantuan modal seperti SJKC. Perlu diingatkan lebih 400 SJKC adalah bantuan penuh dan dibina oleh kerajaan dalam setiap rancangan Malaysia.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Sumber : http://ridhuantee.blogspot.com/


1 comment:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...