Photobucket

Sahabat Maya :

Sunday, January 3, 2010

Hong Kong dicemari jerebu

Masalah jerebu yang meningkatkan risiko kesihatan dan ‘menelan’ panorama indah Hong Kong menyebabkan setengah juta penduduk mahu meninggalkan bandar raya itu.


JEREBU di Hong Kong dipercayai berpunca daripada pusat janakuasa, enjin kapal dan kenderaan serta asap kilang di wilayah Guangdong, China.


DI atas puncak Victoria Peak, sekumpulan pelancong cuba melihat panorama bangunan pencakar lagit dan pelabuhan Hong Kong yang cantik.

Malangnya, fenomena jerebu hampir-hampir menenggelamkan tarikan pelancongan popular itu.

Keadaan itu nyata mengecewakan para pelancong yang mengunjungi Victoria Peak. Ia sepatutnya menawarkan pemandangan yang cukup indah.

Apabila panorama itu dirakam dan dijadikan penghias kulit depan buku panduan pelancongan, Lonely Planet pada tahun 2002, penggubal undang-undang wilayah itu berasa malu dan terkejut. Imej itu langsung tidak menggambarkan bandar raya selatan China itu yang maju dan moden.

Namun, langit yang berjerebu sudah menjadi perkara biasa dalam kehidupan harian tujuh juta warga Hong Kong.

Statistik daripada Pusat Pemerhatian Hong Kong menunjukkan bahawa jumlah jam tahunan bagi masalah 'penglihatan terhad' naik mendadak daripada 295 jam pada tahun 1988 kepada 1,100 jam pada tahun 2008.

Istilah itu merujuk kepada jarak penglihatan kurang daripada lapan kilometer semasa ketiadaan kabus atau hujan.

"Sekarang sukar hendak lihat langit biru di Hong Kong," komen Profesor Anthony Hedley dari Jabatan Perubatan Komuniti di Universiti Hong Kong.

"Hanya beberapa hari kualiti udara kami menepati tahap selamat yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)."

Jerebu di Hong Kong terbentuk daripada gabungan partikel dan gas-gas yang dikeluarkan oleh pusat janakuasa elektrik, enjin kapal dan kenderaan serta puluhan ribu kilang dari wilayah yang berdekatan dengan Guangdong, Tanah Besar China.

"Ia sangat bertoksik. Partikel itu sangat kecil sehingga ia mudah menembusi paru-paru dan saluran darah. Kalau ini terjadi, ia boleh merosakkan saluran arteri dan pundi udara," kata Hedley.

Kabus dan kabut semula jadi hanyalah komponen kecil dalam jerebu terutama sewaktu cuaca lembap. Masalah itu bertambah buruk di kawasan bandar yang padat seperti Hong Kong kerana dalam kebanyakan masa, bahan pencemar itu terperangkap di antara bangunan-bangunan.

Walaupun kebelakangan ini kerajaan telah berikrar untuk meningkatkan kualiti udara dalam kadar segera, namun para pengkritik berasakan bahawa ia tidak cukup agresif.

"Jika kita bertindak selambat ini, mungkin lima dekad lagi baru kami boleh menghirup udara bersih."

Impak kesihatan

Tahun lalu, Hedley dan pasukannya telah melancarkan Indeks Persekitaran Hedley. Indeks itu menyediakan ukuran pada masa sebenar berkaitan impak kesihatan dan kewangan akibat pencemaran udara di Hong Kong.

Indeks itu menunjukkan bahawa di antara Januari dan pertengahan Disember 2009, masalah kesihatan dan kerugian produktiviti disebabkan oleh pencemaran udara telah mencecah 1.8 bilion dolar Hong Kong (RM793 bilion).

Pasukan itu menganggarkan terdapat sebanyak 5.9 perjumpaan dengan doktor, selain 793 kematian pramatang berlaku akibat pencemaran udara sepanjang tempoh tersebut.

Hasil kajian yang bakal didedahkan dalam beberapa bulan akan datang akan membolehkan sesiapa sahaja untuk menjangkakan bilangan kematian berdasarkan kepada tahap penglihatan pada hari tersebut.

Sementara itu, sekumpulan saintis alam sekitar menaiki sebuah van untuk melawat 18 buah wilayah di bandar raya tersebut bagi mengukur tahap pencemaran di tepi jalan pada setiap hari.

Salah satu objektifnya adalah untuk membandingkan data yang dikumpul oleh stesen-stesen pengukur kualiti udara di tepi jalan.

Chak Chan, pemangku Ketua Divisyen Alam Sekitar di Universiti Sains dan Teknologi Hong Kong yang juga ketua projek itu memberitahu, kadar karbon monoksida, sulfur dioksida dan nitrogen dioksida yang direkodkan di pusat perniagaan biasanya dua atau tiga kali lebih tinggi berbanding data yang dikumpul oleh kerajaan.


LANGIT berjerebu merupakan pemandangan biasa dalam kehidupan harian warga Hong Kong.


"Kami percaya bahawa data yang kami kumpul lebih tepat dan menggambarkan situasi di jalan raya di Hong Kong. Ini kerana alat yang kami gunakan adalah mudah alih sedangkan mereka menggunakan alat yang dipasang di lokasi-lokasi tertentu," kata Chan.

Seorang jurucakap dari Jabatan Perlindungan Alam Sekitar menjelaskan pencemaran udara adalah masalah serantau.

"Kadar penglihatan yang terhad ialah sebahagian daripada masalah pencemaran udara di rantau Pearl River Delta."

Bagaimanapun kajian yang dijalankan oleh sebuah badan pemikir, Civic Exchange mendapati masalah itu timbul akibat pelepasan gas di Hong Kong sendiri dan bukannya kilang-kilang di wilayah China lain.

Biarpun pada tahun 2006 kerajaan telah menetapkan syarat bahawa kereta baru yang didaftarkan mestilah menepati standard pembebasan asap Eropah, tetapi Civic Exchange mendapati 99 peratus daripada bas francais berada di bawah standard Euro4.

Christine Loh, Pegawai Eksekutif Civic Exchange memberi amaran bahawa pencemaran udara telah menghalau keluar mereka yang mempunyai kenangan terhadap kejayaan bandar tersebut.

"Paling mengejutkan ialah kaji selidik kami menunjukkan setengah juta penduduk Hong Kong terutama golongan profesional bercadang untuk meninggalkan Hong Kong. Semuanya gara-gara pencemaran udara," kata Loh.

Hedley menggesa supaya warga Hong Kong terus memberi tekanan kepada kerajaan agar bertindak dengan lebih cepat dan agresif.

"Nasihat saya, hantar mesej kepada Ketua Eksekutif Hong Kong dan beritahu dia kita mahukan udara bersih sekarang. Disebabkan masalah ini, kita terpaksa menanggung beban yang besar dan merugikan." - AFP

Sumber : Kosmo!

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...