Genius matematik, Teh Jiasheng berkongsi rahsia kepantasan otaknya mengira angka 10 digit kali 10 digit menggunakan teknik arimetik minda sempoa.
TEH JIASHENG, 17, menarik nafas, memejamkan mata menahan sejenak dan melepaskannya dengan tersekat-sekat. Udara yang disedut masuk ke peparu bagaikan terhalang oleh perasaan gundah gulana yang menyelubungi diri.
Jiasheng menunggu dengan perasaan berdebar-debar tatkala guru tuisyennya, Ang Yin Yin mendapatkan jawapan menggunakan mesin pengira komputer riba 10 digit kali 10 digit sambil diperhatikan seorang pembantu Malaysia Book of Records (MBOR).
Selesai menyebutkan angka-angka jawapan, Yin Yin menggeleng-gelengkan kepala menandakan jawapan yang diberikan Jiasheng tidak tepat untuk kali ketiga.
Jiasheng menelan air liur. Dia hampa. Ada sesuatu yang meruap di fikirannya. Dia sukar membuang resah yang bersarang di hati.
"Boleh saya cuba sekali lagi?" pinta Jiasheng secara tiba-tiba sambil menoleh ke arah Pengarah Urusan MBOR, Datuk Danny Ooi untuk memecahkan rekod Pengira Matematik Terhandal di Malaysia.
Usaha mencatatkan rekod baru itu berlangsung di pejabat MBOR di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur.
Danny kemudiannya mengambil semula kotak nombor berhampirannya. Satu demi satu nombor dikeluarkan tanpa dilihat oleh Jiasheng. Ternyata Jiasheng diberi satu lagi peluang untuk melayakkannya mencipta rekod.
Angka sepuluh digit kali sepuluh digit dihulurkan kepada Jiasheng dan pencatat masa mula mengira masa yang diambil Jiasheng untuk mengira angka-angka tersebut.
Dia hanya menyelesaikan pengiraan angka-angka tersebut dengan mencongaknya tanpa bantuan mesin pengira. Kalau ada pun pen dan kertas, ia digunakan Jiasheng untuk menulis jawapan digit-digit yang panjang berjela.
Namun, rezeki tidak menyebelahi Jiasheng. Percaturannya masih gagal.
Bukan mudah untuk Jiasheng mengira angka sebanyak itu. Setiap angka 10 digit kali 10 digit memerlukan jawapan sehingga 20 digit. Mesin pengira pun tidak mampu untuk mengira digit sebanyak itu.
Jiasheng diberi tempoh selama dua minggu oleh Danny Ooi untuk kembali ke situ.
Remaja genius
Pada 30 Disember lalu, Jiasheng berjaya memecah rekod pengira matematik paling handal di Malaysia dengan catatan masa selama 54 saat. Walaupun semasa sesi latihan, Jiasheng mampu mengira angka 10 digit kali sepuluh digit dalam masa 25 saat, namun dia tetap berjaya memecah rekod MBOR.
Jiasheng meleburkan rekod yang dipegang oleh Tee Jun Yong, 21, pada tahun 2003. Ketika itu Jun Yong berusia 14 tahun. Malah Jiasheng memiliki rekod yang lebih baik apabila dia dapat mengira angka yang lebih besar berbanding Jun Yong yang hanya mengira angka 10 digit kali enam digit.
Menyingkap latar belakang anak sulung daripada empat beradik itu, Jiasheng merupakan seorang genius matematik sejak kecil lagi.
Semasa Jiasheng berumur enam tahun, dia sudah pandai mengira angka. Menyedari kelebihan Jiasheng, ibunya, Wang Mei Tyug menghantar Jiasheng belajar di Pusat Tuisyen Bina Jaya Ventures di Batu Pahat, Johor.
Hasilnya, dia tidak pernah memperoleh keputusan B dalam subjek Matematik semasa belajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cheng Xiu, Batu Pahat, dan Chinese High School Batu Pahat. Semuanya A.
|
|
"Biasanya saya dapat markah lebih 90 peratus dalam Matematik," kata Jiasheng.
Jika ada pertandingan mengira atau sesi kuiz di dalam kelas, dia pasti mendahului senarai peserta.
Dia juga menjadi pelajar kesayangan guru kerana kerap muncul sebagai juara dalam pertandingan matematik.
Adakah mengambil makanan tambahan menjadi rahsia kejayaannya? Jiasheng menggeleng-gelengkan kepala.
"Saya makan semua makanan. Tetapi makanan dan minuman yang paling saya suka ialah tauhu dan air soya," katanya.
Belajar sempoa
Di Pusat Tuisyen Bina Jaya, Jiasheng didedahkan dengan teknik mengira menggunakan kaedah aritmetik minda sempoa.
Ia bukan sekadar membantu pelajar menguasai matematik dengan cemerlang bahkan mendedahkan pelajar kepada elemen konsentrasi dan ingatan yang kuat.
"Aritmetik minda sempoa membantu pelajar merangsang otak kiri dan kanan secara serentak bagi membolehkan mereka mendapat jawapan dengan cepat dan tepat," kata Pengarah Pusat Tuisyen Bina Jaya, Ernest Kwek.
Dalam tempoh setahun, Jiasheng mahir dalam teknik sempoa. Pada umur tujuh tahun, Jiasheng tidak lagi memerlukan sempoa untuk mengira. Dia hanya menggunakan otak untuk mencongak beberapa angka mudah.
"Dia memang seorang kanak-kanak yang luar biasa. Di Pusat Tuisyen Bina Jaya, Jiasheng merupakan pelajar terbaik. Sudah banyak pertandingan matematik yang dimenanginya," ujar Ernest.
Bagaimana Jiasheng mampu mengira tanpa bantuan sempoa mahupun mesin pengira?
|
"Saya membayangkan sempoa di dalam otak apabila jari-jemari saya menolak manik-manik sempoa sehingga mendapat jawapan," katanya yang rajin melakukan latihan matematik.
Jiasheng akan memperuntukkan masa selama beberapa jam sehari untuk melakukan latihan. Kebanyakan latihan yang dilakukan diperoleh melalui buku rujukan dari Taiwan.
Selain Jiasheng, adik-beradiknya juga mahir dalam matematik.
Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Pepatah itu sentiasa dipegang oleh Jiasheng. Seawal umur tujuh tahun, Jiasheng sudah terdedah dalam pertandingan matematik.
Dia yang juga mahir bermain piano, kerap menjadi johan pertandingan di peringkat kebangsaan, malah turut mengharumkan nama Malaysia di luar negara iaitu Taiwan, Hong Kong dan Thailand.
Antara pertandingan yang disertai Jiasheng sehingga berjaya dinobatkan sebagai juara ialah Pertandingan Aritmetik Minda Sempoa Kebangsaan Chung Hwa (1999 dan 2003), dan Piala Aritmetik Minda Sempoa Khoo Guang Yi (2002).
Dia turut merangkul kejuaraan dalam Pertandingan Aritmetik Minda Sempoa Terbuka Malaysia (2004), Pertandingan Aritmetik Minda Sempoa Antarabangsa Malaysia (2007) dan Pertandingan Aritmetik Minda Sempoa Antarabangsa (2008), selain menjuarai Pertandingan Aritmetik Minda Sempoa Antarabangsa 2009.
Bagaimanapun, semua kejayaan itu bukan diperoleh dengan mudah.
"Saya pernah putus asa semasa mula-mula mempelajari sempoa. Ini kerana selepas saya memvisualkan sempoa di dalam otak, banyak kali jawapan yang saya berikan semasa menjawab soalan matematik adalah salah.
"Saya pernah merasakan teknik ini sukar. Namun, latihan yang kerap di samping tunjuk ajar guru yang bagus, akhirnya saya mampu melaluinya," katanya.
Selepas mahir sempoa, Jiasheng juga pernah berasa bongkak apabila kerap kali menjuarai pertandingan. Akhirnya, pada umur 12 tahun, buat pertama kalinya dia kalah dalam pertandingan aritmetik di Genting Highlands.
Walaupun tewas, tiada sebab untuk Jiasheng berputus asa. Sebaliknya, dia menjadikan pengalaman itu sebagai satu pengajaran dan amaran supaya melipatgandakan usahanya.
"Tiada sebab pelajar tidak boleh mahir matematik. Otak yang dianugerahkan oleh Tuhan adalah sama. Cuma yang membezakan adalah teknik dan latihan yang dipraktikkan oleh seseorang pelajar.
"Selain itu, faktor genetik dan pemakanan yang membina minda seperti vitamin juga boleh mempengaruhi perkembangan minda pelajar," kata Ketua Program Matematik, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Ishak Hashim.
Setiap pelajar yang ingin mahir dalam matematik juga perlu melakukan latihan demi latihan. Jika mereka sudah dilatih sejak kecil, maka mereka akan lebih mahir.
"Tidak guna juga jika kerap melakukan latihan tetapi kaedah yang digunakan tidak betul. Seiringkan kaedah dan juga latihan," katanya.
Sumber : Kosmo!
No comments:
Post a Comment