Photobucket

Sahabat Maya :

Thursday, April 12, 2012

6 langkah : Model Assure






Model ASSURE

(Heinich, Molenda, dan Russell , 1993)



Model ASSURE mengandungi enam langkah:

analisis ciri pelajar,

nyatakan objektif,

pilih media dan bahan,

gunakan media dan bahan,

libatkan pelajar,

nilai dan semak semula media dan bahan.




1. Analisis ciri pelajar.



a) Mengenal pasti ciri-ciri umum seperti jantina,

umur, bakat, gaya pembelajaran,

kelas dan taraf sosioekonomi.




b) Mengenal pasti ciri-ciri peringkat masuk

(specific entry characteristics) dan pengetahuan

yang sedia ada yang berkaitan dengan tajuk

dan kandungan pelajaran seperti

pengetahuan, kemahiran dan sikap pelajar.





2. Nyatakan objektif-objektifpembelajaran secara khusus.



a) Objektif mungkin diambil dari sukatan pelajaran,

panduan kurikulum atau buku teks.




b) Penentuan objektif adalah

berdasarkan kepada peringkat prestasi

yang ingin dicapai,

keadaan pembelajaran dan kriteria

atau darjah pencapaian yang dihajati.





3. Pilih media dan bahan.



Bahan media dipilih berdasarkan

kepada tingkat kebolehan pelajar dan

matlamat atau objektif pembelajaran yang ingin dicapai.




4. Gunakan alat/bahan pengajaran.



a) Sediakan media dan bahan yang akan

digunakan dan masa pembelajaran yang diperlukan.

Contoh: Pribiu (Preview) video sebelum mengajar.




b) Kemudian sediakan

media dan bahan-bahan, alat-alat serta

kemudahan-kemudahan yang diperlukan.




c) Sediakan tempat belajar seperti kelas,

makmal atau pusat sumber dan lain-lain

kemudahan dan keperluan untuk belajar.





d) Sediakan pelajar.

Contoh, sediakan set induksi

atau nyata­kan tujuan dan objektif pembelajaran.




e) Sedia pengalaman pembelajaran.

Bagaimana anda menyampaikan media?

Sebagai penyampai utama atau bertindak

sebagai pemudah cara atau pengurus pembelajaran?





5. Libatkan pelajar.



Untuk mempastikan bahawa

proses pembelajaran itu berlaku,

pelajar perlu dilibatkan dalam aktiviti pembelajaran

seperti mem­buat latihan, perbincangan,

latih tubi, kuiz, projek dan sebagai­nya.

Kegiatan pengukuhan (reinforcement activities)

seperti pengukuhan sertamerta

diberi selepas pelajar memberi tindak balas yang betul

(Skinner, 1954).





6. Nilai dan semak semula bahan.



Setelah selesai pengajaran,

penilaian tentang kekuatan dan keberkesanan

bahan media itu secara menyeluruh harus dijalankan.

Dalam penilaian itu soalan berikut harus difikirkan:




a. Adakah objektif-objektif pembelajaran tercapai?



b. Adakah alat/bahan media yang digunakan

membantu proses pengajaran-pembelajaran?

Adakah kesemua pelajar menggunakan

alat/bahan media dengan cara yang betul?



c. Adakah suasana pembelajaran selesa?



d. Adakah peluang-peluang pemerhatian individu diberi?










Teruskan membaca..

Wednesday, April 11, 2012

Jom Bersyair.










SYAIR KELEBIHAN ILMU





Ilmu itu gemala sakti,

Sinarnya cerah cahaya sejati,

Asal puncanya lamun didapati,

Sukar bercerai sehingga mati.




Harganya tidak dapat dinilaikan,

Sebuah dunia belinya bukan,

Kuasanya besar sukat digunakan,

Di laut di darat di rimba di pekan.





Masa seorang ialah taulan,

Teman berbeka suluh berjalan,

Masa berhimpun ia pengenalan,

Hias penyata polan si polan.





Bagi yang duka ia penghibur,

Ia penerang bagi yang kabur,

Ialah kandil di dalam kubur,

Lamun dengannya beramal subur.





Ia penerang jalan ke syurga,

Ia pemuas tekak yang dahaga,

Ialah sungai ialah telaga,

Laut yang luas ialah juga.





Ialah alat sangat berguna,

Idaman orang yang bijaksana,

Hamparnya luas amat saujana,

Tepinya ajal sempadannya fana.







Sumber: Za'ba

Puisi Warisan, 1994.

Dewan Bahasa dan Pustaka.






Teruskan membaca..

Teori-Teori Pembelajaran






Teori-Teori Pembelajaran:


Konten, Pedagogi dan

Psikologinya.


Oleh Kamaludin Ahmad: 1996



Teori tingkahlaku, sains kognitif dan binaan mempunyai ciri yang berbeza dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Ciri-ciri tersebut dapat dilihat berdasarkan asas teorinya, tumpuan kemahiran atau konten, pedagogi atau kaedah P&P dan aspek psikologinya dalam P&P.




Ciri-ciri Teori Tingkahlaku



Asas teorinya ialah pelajar menerima ilmu pengetahuan melalui proses rangsangan (diberi) dan tindakbalas, pengekalannya pula melalui peneguhan. Aspek kemahiran atau kontenyang diberi tumpuan ialah murid dapat menguasi kemahiran kira mengira dan dalam proses menyelesaikan sesuatu masalah murid dapat menguasai prosedurnya. Kemahiran lain pula keupayaan ingatan untuk menguasai maklumat yang banyak. Untuk menguasai kemahiran di atas pedagogi yang biasa diamalkan ialah kaedah pemusatan guru dan murid menerima maklumat yang disampaikan melalui tunjuk cara dan contoh penyelesaian. Jika bahan pembelajaran digunakan, ia dalam bentuk arahan tertib dan responnya ialah tingkahlaku yang dijangkakan. Bagi memantapkan maklumat yang diterima murid akan diberi latihan yang berulang atau latih-tubi dan ini mengwujudkan pelaziman (teori Pavlov). Dalam proses ini juga Skinner telah mencadangkan peneguhan (reinforcemen) sama ada bersifat positif atau negatif bagi mengekalkan tingkalaku yang diingini atau menghapuskan tingkahlaku yang tidak diperlukan. Proses di atas melibat ciri-ciri psikologi; pertamanya murid menyerap ilmu melalui proses rangsangan dan tindakbalas. Rangsangan dan tindakbalas yang diulang telah membentuk suatu hubungan (bond). Perhubungan ini dikukuhkan melalui latihan, dan tugas guru adalah untuk membina bond dan mengkukuhkan bond. Aspek tingkah laku yang dilihat pula ialah pengalaman ‘sedar’ (conscious).




Ciri-ciri Teori Sains Kognitif




“Cognition is the act of knowing”. Dari itu teorinya menekankan bagaimana murid memperolehi ilmu pengetahuan. Aktiviti tersebut melibatkan persepsi, minat, kreativiti, ingatan, penyelesaian masalah, pemikiran dan penggunan bahasa. Kemahiran atau konten yang ditekankan ialah murid berupaya memproses maklumat dengan sistem struktur pengetahuan mereka.



Untuk murid memperolehi pengetahuan tersebut, pedagogi yang disarankan bersifat pemusatan-murid dengan aktiviti berkumpulan, kolaboratif dan kooperatif. Dari itu dalam P&P, murid memainkan peranan penting, guru merupakan pemimpin dan membimbing aktiviti. Aktiviti inkuri penemuan penting dalam proses ini. Penyampaian guru pula ditumpukan kepada pengajaran yang bermakna. Interaksi dua hala antara guru-murid dan murid-murid digalakkan, interaksi ini diharapkan murid dapat berfikir. Schoenfeld pula mencadangkan supaya guru menjadi model untuk meta-kognitif dalam proses penyelesaian masalah. Dari itu dalam sesuatu aktiviti penyelesaian masalah, yang dipentingkan ialah proses dan konsep dan bukan jawapannya.



Dari aspek psikologi, minda manusia dibayangkan sebagai satu sistem berstruktur untuk mengurus maklumat.Penekanannya bagaimana manusia menerima, mentafsir, ‘encode’, menyimpan dan ‘retrieve’ maklumat dalam pelbagai cara. Dari itu dikatakan semua aktiviti mental mempunyai asas psikologikal.



Ciri-ciri Teori Binaan



(Constructivism): Asas teori ini ialah murid membina ilmu pengetahuan melaluitindakan aktif dan pemikirannya untuk memberi makna terhadap pengalamannya. Kemahiran dan konten yang ingin dicapai ialah murid dapat membina konsep dan juga merubah konsep image mereka kepada konsep definasi.



Bagi mencapai matlamat di atas, pedagogi yang digunakan ialah pemusatan-murid dengan guru menyediakan peluang-peluang untuk murid dapat membina pengetahuan dan membentuk kemahiran, yang mana mereka dapat menghubungkaitkan pengalaman lampau (old knowledge) mereka dengan kegunaan masa depan. Untuk itu guru bertindak sebagai fasilitator dan haruslah dapat menyediakan aktiviti-aktiviti berasaskan ‘hands-on’ dan ‘minds-on’ (mengwujudkan pengalaman aktif); berlaku interaksi antara guru-murid dan murid-murid untuk proses ‘negotiation’ (termasuk refleksi) bagi proses pembinaan dan pengubahsuaian konsep (abstraksi); aktiviti-aktiviti yang meransangkan fikiran, sama ada soal-jawab atau dalam proses penyelesaian masalah. Guru juga sesuai berperanan sebagai pelajar atau penyelidik, supaya guru lebih memahami bagaimana murid membina konsep atau pengetahuan. Penilaian dalam proses P&P pula merangkumi cara menyelesaikan masalah dengan munasabah dan pengetahuan.



Aspek psikologi dalam konstruktif menerangkan bagaimana pengetahuan disusun dalam minda manusia dan pembelajaran yang bermakna itu bermula dengan pengetahuan atau pengalaman sedia ada murid. Bagi Dewey pembelajaran sebagai proses menyusus atau membina pengalaman secara berterusan.



Kesimpulan dari ketiga-tiga teori di atas ialah: teori tingkahlaku percaya adalah lebih produktif untuk mengkaji bagaimana persekitaran dan ciri-cirinya, seperti ‘reinforcers’, ciri-ciri guru, bahan mengajar, kondisi bilik darjah secara terus mempengaruhi tingkahlaku pembelajaran pelajar; teori kognitif pula percaya adalah lebih bersifat saintifik hasilnya mengkaji bagaimana pembolehubah persekitaran, termasuk tingkahlaku guru dalam bilik darjah, mempengaruhi proses mental pelajar, seperti pemikiran, penyelesaian masalah dan heuristik, yang mana sebaliknya mempengaruhi pembelajaran, penemuan pengetahuan, pembentukan sikap, kepercayaan dan tindakan; bagi konstruktif pula ia juga berkait dengan aspek kognitif, dan yang penting bagaimana persekitaran yang ada membantu pelajar membina pengetahuan atau konsep dan pengubahsuaiannya melalui manipulatif bahan, bahasa, interaksi sosial dan ‘negotiation’.




Model Kosntruktif



Kajian mengenai pengajaran matematik telah menghasilkan beberapa model teori pengajaran matematik; antaranya ialah,‘Teacher Effectivenes Model’, ‘Process-Product Model’ dan ‘Constructivist Model’. Ketiga-tiga model ini berkembang seiring dengan perkembangan teori-teori pembelajaran. Pengajaran berdasarkan kepada model-model tersebut jelas dipengaruhi oleh teori-teori pembelajaran.



Model konstruktivis, merupakan model pengajaran yang mutakhir dalam dunia pendidikan yang mula berkembang secara pesat sejak 80an. Model ini mendapat sambutan untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (termasuk di Malaysia) kerana ia dikatakan mempunyai ciri-ciri yang menyebabkan murid-murid memperolehi dan membina ilmu pengetahuan dengan lebih berkesan tanpa paksaan.



Ciri-ciri utama dalam model konstruktivis; pertamanya ialah peranan guru berubah, kaedah pengajarannya menumpu kepada kejayaan murid membina skema pengkonsepan berdasarkan kepada pengalaman mereka yang aktif. Guru adalah sebagai pengurus bilik darjah, dan murid diterima sebagai individu yang mempunyai ciri-ciri perlakuan yang berbeza, yang mana setiap murid dianggap penting dalam proses pembelajaran dan perlu diberi perhatian saksama. Maka guru harus perhatin dengan persekitara pembelajaran, dia harus bijak untuk menyediakan bahan-bahan manipulatif bagi murid dan dapat menyediakan peluang-peluang dalam proses murid berinteraksi dengan bahan supaya murid dapat membinailmu pengetahuan (konsep dan sebgainya). Di samping itu guru harus sedar bagaimana peluang yang disediakan olehnya dapat menyebabkan murid menghubungkaitkan pengetahuan lalu dengan yang baru dan melakukan aktiviti ‘penyusunan semula’ ilmu pengetahuan. Akhir, guru harus dapat melihat dunia pembelajaran matematik bukan sahaja dari kaca matanya tetapi yang penting adalah dari kaca mata murid-muridnya.



Ciri yang kedua ialah murid itu sendiri. Dari sudut pandangan konstruktivis, setiap murid mempunyai peranan dalam menentukan apa yang akan mereka pelajari. Berdasarkan teori, ciri pembelajaran sebagai satu proses yang mana murid-murid mengubah suaikan ‘internal mental representations’ untuk membina struktur atau hubungan matematikal. Dengan itu murid akan dapat sedar bahawa pengetahuan sebagai sesuatu yang boleh disesuaikan dan boleh berubah, yang menentukannya ialah mereka sendiri.



Ketiga guru dan murid harus sedar bahawa pengajaran dan pembelajaran ialah satu proses interaksi sosial. Ilmu pengetahuan yang dibina selalunya berlaku apabila ada interaksi sosial sesama ahli di dalam bilik darjah, murid-murid dan guru. Guru harus memberi peluang supaya murid banyak berinteraksi, supaya mereka berpeluang berkongsi persepsi, menghormati pandangan alternatif rakan dan seterusnya proses ini mengwujudkan ‘negotiation’ atau perundingan yang menyebabkan murid menyesuaikan idea atau konsepnya dengan yang baru. Di samping itu guru memberi peluang kepada murid supaya lebih berkeyakinan, kerana idea mereka diterima dan dihormati. Dalam interaksi ini kemahiran berkomunikasi dan bahasa memain peranan penting dalam mempersembahkan sesuatu idea secara verbal dan ini akan memantapkan konsep yang telah dibina.



Akhirnya guru dan murid juga sedar dan tahu bahawa pembinaan ilmu pengetahuan merupakan proses pemikiran (kognitif). Guru dapat menggalakkan dan murid sedar untuk melakukan refleksi terhadap proses pembelajaran mereka dan juga melakukan meta-kognitif. Ini akan memberi kesedaran kepada murid bahawa pengetahuan lalu sangat berkaitan dengan yang baru. Seterusnya aktiviti dan soal-jawab hendaklah sesuatu yang merangsangkan fikiran murid.



Kesimpulan yang dapat dibuat bahawa ciri-ciri model konstruktivis sesuatu yang praktikal dan bersesuaian sama ada untuk guru dan juga untuk murid-murid. Model ini memberi peluang kepada guru memilih kaedah P&P yang sesuai dan memberi peluang kepada murid untuk lebih aktif dalam proses P&P. Model ini akan mengwujudkan proses P&P yang lebih harmonis.










Apakah strategi / pendekatan

atau

kaedah yang sesuai

dengan
Teori Konstruktivisme


  • Menyoal
  • Perbincangan
  • Sumbang Saran
  • Perbahasan
  • Projek
  • Kajian kes






Reka bentuk pengajaran

dibina berasaskan kepada

6 perkara



  • Menentukan keperluan murid
  • Menentukan matlamat dan objektif
  • Membina prosedur penilaian
  • Merekabentuk dan memilih strategi penyampaian
  • Mencuba sistem pengajaran
  • Menilai kesesuaian sistem










Teruskan membaca..

Sembah Tahniah: Daulat Tuanku!


SEMBAH TAHNIAH




DAULAT TUANKU




Dengan lafaz ikrar,

Tuanku Abdul Halim selamat ditabal




KUALA LUMPUR: Dengan sempurnanya lafaz ikrar sebagai Ketua Negara, Tuanku Abdul Halim Mu'azam Shah, 84, selamat ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 dalam satu upacara penuh istiadat kebesaran Raja-Raja Melayu, di Istana Negara, di sini, hari ini.

Sebaik selesai kemuncak Istiadat Pertabalan itu, tiupan nafiri dan paluan nobat dengan lagu "Perang" bergema di Balairong Seri, dan para hadirin berdiri dan melaungkan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali, diketuai oleh pemangku Datuk Maharaja Lela Azwan Effendy Zairakithnaini.


Serentak itu juga, tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan dan lagu "Negaraku" dimainkan oleh Pancaragam Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia, diketuai Left Sabri Abdullah.
Istiadat Pertabalan yang berlangsung penuh berwarna-warni itu disaksikan kira-kira 900 orang tetamu termasuk Raja-Raja Melayu dan Permaisuri masing-masing, wakil-wakil Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor, Yang Di-Pertua-Yang Di-Pertua Negeri, Perdana Menteri, Menteri-menteri Kabinet dan isteri masing-masing.

Turut menyaksikan acara gemilang itu ialah tetamu-tetamu kehormat yang terdiri dari ketua-ketua Diplomat asing dan ketua-ketua jabatan kerajaan lainnya.

Upacara hari ini mengandungi dua sejarah penting bagi Seri Paduka kerana ini kali kedua baginda ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong selain merupakan Yang di-Pertuan Agong pertama yang ditabalkan di Istana Negara baru di Jalan Duta.

Tuanku Abdul Halim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima pada 1970 semasa berusia 42 tahun, dan kini empat dekad kemudian, baginda ditabalkan sekali lagi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada usia 84.
Menambah keunikan pertabalan kali ini ialah Perdana Menterinya, Datuk Seri Najib Razak, di mana semasa Tuanku Abdul Halim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima, perdana menteri pada masa itu adalah ayahanda Najib, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussain, iaitu perdana menteri kedua negara.

Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah disiar secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Istiadat Pertabalan dimulakan sebaik keberangkatan masuk Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah ke Balairong Seri dengan diiringi tiupan nafiri dan paluan nobat lagu "Belayar" oleh Kumpulan Nobat Diraja Kedah.

Keberangkatan masuk pasangan Diraja itu didahului pemangku Datuk Maharaja Lela Azwan Effendy Zairakithnaini, serta diapit panglima-panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama.

Cogan Alam dan Cogan Agama, kedua-duanya tongkat perak yang merupakan sebahagian alat kebesaran Diraja yang menjadi lambang kebesaran Kerajaan Malaysia.

Tuanku Abdul Halim berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong iaitu muskat (seperti kot hitam labuh) yang bersulam emas serta berseluar panjang bersulam di kaki dengan bertengkolok "Dendam Tak Sudah".

Baginda juga memakai Pending Diraja, diperbuat daripada emas bertatahkan permata delima dengan lambang Kerajaan Persekutuan tertera di tengah-tengahnya bersama-sama tali bengkung yang diperbuat daripada kain sakhlat bertekat benang emas berbunga-bunga.

Di pinggang Seri Paduka tersemat Keris Pendek Diraja yang hulunya diperbuat daripada mata keris lama dengan bersarung gading bertatahkan emas.

Tuanku Hajah Haminah pula memakai perhiasan Raja Permaisuri Agong iaitu Gendik Diraja yang merupakan pakaian ulu (kepala) dan Kalung Diraja, kedua-duanya diperbuat daripada emas putih bertatah berlian dan mengenakan persalinan baju panjang sedondon.

Seri Paduka berdua kemudiannya bersemayam di Singgahsana untuk Istiadat Pertabalan.

Istiadat diteruskan dengan membawa masuk baki alatan kebesaran yang diketuai oleh pemangku Datuk Maharaja Lela bersama Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Awang Kechik Abdul Rahman membawa masuk senaskhah al-Quran, Keris Panjang Diraja yang juga Keris Kerajaan, Surat Pengisytiharan dan Warkah Ikrar dibawa oleh pegawai-pegawai Istana Negara, diikuti Pegawai Agama Istana Negara Datuk Abd Aziz Che Yacob dengan diiringi paluan nobat dengan lagu "Palu".

Nashkah al-Quran, sebagai lambang kemuliaan Islam sebagai agama rasmi negara, kemudiannya disembahkan kepada Seri Paduka oleh pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela.

Baginda lalu mencium al-Quran dan meletakkannya di atas rehal yang terletak di atas meja tengah di antara Seri Paduka berdua.

Pemangku Datuk Maharaja Lela kemudiannya menyampaikan surat pengisytiharan pertabalan kepada Najib yang tampil ke hadapan Singgahsana, mengangkat sembah dan membacakan perisytiharan itu.

Ini diikuti dengan Pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela mempersembahkan Keris Kerajaan sebgai alat kebesaran utama negara kepada Yang di-Pertuan Agong.

Seri Paduka yang menerima keris berkenaan lalu dihunus, dan dikucup sebelum menyarungkan semula keris itu sebagai simbolik kebesaran dan kekuasaan kepada Seri Paduka.

Keris itu kemudian diletakkan Seri Paduka di atas meja di hadapan nashkah Al-Quran.

Seri Paduka kemudiannya melafazkan ikrar sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk menjalankan pemerintahan seadil-adilnya bagi Malaysia, mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara serta memelihara dengan sempurna agama Islam dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman.

Sebaik sahaja selesai warkah ikrar dilafazkan, nafiri ditiup dan lagu nobat "Perang" dimainkan, diikuti laungan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali oleh pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela diikuti hadirin di dalam Balairong Seri, serentak dengan tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan dan lagu "Negaraku" dimainkan.

Perdana Menteri kemudiannya sekali lagi menghadap sebagai mewakili kerajaan dan rakyat mempersembahkan Ucapan Tahniah dan Taat Setia atas pertabalan baginda, diikuti dengan Tuanku Abdul Halim menyampaikan Titah Diraja.

Pegawai Agama Istana Negara Datuk Abd Aziz Che Yacob kemudian membacakan doa selamat.

Selepas itu, pahar berisi al-Quran dibawa turun dari Singgahsana oleh pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela sebelum menyembahkan bahawa Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-14 selamat disempurnakan.

Seterusnya, Balairong Seri bergema sekali lagi dengan tiupan nafiri dan paluan nobat yang memainkan lagu "Belayar" mengiringi Seri Paduka berdua meninggalkan istiadat dengan didahului pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk Pengelola Bijaya Diraja dan panglima-panglima yang membawa alat-alat Kebesaran Diraja.

Tuanku Abdul Halim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja kali ke-226 pada 14 Oktober 2011 bagi menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahannya pada 12 Disember 2011.

Pada tanggal 13 Disember 2011, sempena Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja kali ke-227, Tuanku Abdul Halim dengan rasminya diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong bagi memerintah negara buat kali yang kedua. - BERNAMA






Sumber














Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...