Photobucket

Sahabat Maya :

Showing posts with label Teori Pembelajaran. Show all posts
Showing posts with label Teori Pembelajaran. Show all posts

Wednesday, April 11, 2012

Teori-Teori Pembelajaran






Teori-Teori Pembelajaran:


Konten, Pedagogi dan

Psikologinya.


Oleh Kamaludin Ahmad: 1996



Teori tingkahlaku, sains kognitif dan binaan mempunyai ciri yang berbeza dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Ciri-ciri tersebut dapat dilihat berdasarkan asas teorinya, tumpuan kemahiran atau konten, pedagogi atau kaedah P&P dan aspek psikologinya dalam P&P.




Ciri-ciri Teori Tingkahlaku



Asas teorinya ialah pelajar menerima ilmu pengetahuan melalui proses rangsangan (diberi) dan tindakbalas, pengekalannya pula melalui peneguhan. Aspek kemahiran atau kontenyang diberi tumpuan ialah murid dapat menguasi kemahiran kira mengira dan dalam proses menyelesaikan sesuatu masalah murid dapat menguasai prosedurnya. Kemahiran lain pula keupayaan ingatan untuk menguasai maklumat yang banyak. Untuk menguasai kemahiran di atas pedagogi yang biasa diamalkan ialah kaedah pemusatan guru dan murid menerima maklumat yang disampaikan melalui tunjuk cara dan contoh penyelesaian. Jika bahan pembelajaran digunakan, ia dalam bentuk arahan tertib dan responnya ialah tingkahlaku yang dijangkakan. Bagi memantapkan maklumat yang diterima murid akan diberi latihan yang berulang atau latih-tubi dan ini mengwujudkan pelaziman (teori Pavlov). Dalam proses ini juga Skinner telah mencadangkan peneguhan (reinforcemen) sama ada bersifat positif atau negatif bagi mengekalkan tingkalaku yang diingini atau menghapuskan tingkahlaku yang tidak diperlukan. Proses di atas melibat ciri-ciri psikologi; pertamanya murid menyerap ilmu melalui proses rangsangan dan tindakbalas. Rangsangan dan tindakbalas yang diulang telah membentuk suatu hubungan (bond). Perhubungan ini dikukuhkan melalui latihan, dan tugas guru adalah untuk membina bond dan mengkukuhkan bond. Aspek tingkah laku yang dilihat pula ialah pengalaman ‘sedar’ (conscious).




Ciri-ciri Teori Sains Kognitif




“Cognition is the act of knowing”. Dari itu teorinya menekankan bagaimana murid memperolehi ilmu pengetahuan. Aktiviti tersebut melibatkan persepsi, minat, kreativiti, ingatan, penyelesaian masalah, pemikiran dan penggunan bahasa. Kemahiran atau konten yang ditekankan ialah murid berupaya memproses maklumat dengan sistem struktur pengetahuan mereka.



Untuk murid memperolehi pengetahuan tersebut, pedagogi yang disarankan bersifat pemusatan-murid dengan aktiviti berkumpulan, kolaboratif dan kooperatif. Dari itu dalam P&P, murid memainkan peranan penting, guru merupakan pemimpin dan membimbing aktiviti. Aktiviti inkuri penemuan penting dalam proses ini. Penyampaian guru pula ditumpukan kepada pengajaran yang bermakna. Interaksi dua hala antara guru-murid dan murid-murid digalakkan, interaksi ini diharapkan murid dapat berfikir. Schoenfeld pula mencadangkan supaya guru menjadi model untuk meta-kognitif dalam proses penyelesaian masalah. Dari itu dalam sesuatu aktiviti penyelesaian masalah, yang dipentingkan ialah proses dan konsep dan bukan jawapannya.



Dari aspek psikologi, minda manusia dibayangkan sebagai satu sistem berstruktur untuk mengurus maklumat.Penekanannya bagaimana manusia menerima, mentafsir, ‘encode’, menyimpan dan ‘retrieve’ maklumat dalam pelbagai cara. Dari itu dikatakan semua aktiviti mental mempunyai asas psikologikal.



Ciri-ciri Teori Binaan



(Constructivism): Asas teori ini ialah murid membina ilmu pengetahuan melaluitindakan aktif dan pemikirannya untuk memberi makna terhadap pengalamannya. Kemahiran dan konten yang ingin dicapai ialah murid dapat membina konsep dan juga merubah konsep image mereka kepada konsep definasi.



Bagi mencapai matlamat di atas, pedagogi yang digunakan ialah pemusatan-murid dengan guru menyediakan peluang-peluang untuk murid dapat membina pengetahuan dan membentuk kemahiran, yang mana mereka dapat menghubungkaitkan pengalaman lampau (old knowledge) mereka dengan kegunaan masa depan. Untuk itu guru bertindak sebagai fasilitator dan haruslah dapat menyediakan aktiviti-aktiviti berasaskan ‘hands-on’ dan ‘minds-on’ (mengwujudkan pengalaman aktif); berlaku interaksi antara guru-murid dan murid-murid untuk proses ‘negotiation’ (termasuk refleksi) bagi proses pembinaan dan pengubahsuaian konsep (abstraksi); aktiviti-aktiviti yang meransangkan fikiran, sama ada soal-jawab atau dalam proses penyelesaian masalah. Guru juga sesuai berperanan sebagai pelajar atau penyelidik, supaya guru lebih memahami bagaimana murid membina konsep atau pengetahuan. Penilaian dalam proses P&P pula merangkumi cara menyelesaikan masalah dengan munasabah dan pengetahuan.



Aspek psikologi dalam konstruktif menerangkan bagaimana pengetahuan disusun dalam minda manusia dan pembelajaran yang bermakna itu bermula dengan pengetahuan atau pengalaman sedia ada murid. Bagi Dewey pembelajaran sebagai proses menyusus atau membina pengalaman secara berterusan.



Kesimpulan dari ketiga-tiga teori di atas ialah: teori tingkahlaku percaya adalah lebih produktif untuk mengkaji bagaimana persekitaran dan ciri-cirinya, seperti ‘reinforcers’, ciri-ciri guru, bahan mengajar, kondisi bilik darjah secara terus mempengaruhi tingkahlaku pembelajaran pelajar; teori kognitif pula percaya adalah lebih bersifat saintifik hasilnya mengkaji bagaimana pembolehubah persekitaran, termasuk tingkahlaku guru dalam bilik darjah, mempengaruhi proses mental pelajar, seperti pemikiran, penyelesaian masalah dan heuristik, yang mana sebaliknya mempengaruhi pembelajaran, penemuan pengetahuan, pembentukan sikap, kepercayaan dan tindakan; bagi konstruktif pula ia juga berkait dengan aspek kognitif, dan yang penting bagaimana persekitaran yang ada membantu pelajar membina pengetahuan atau konsep dan pengubahsuaiannya melalui manipulatif bahan, bahasa, interaksi sosial dan ‘negotiation’.




Model Kosntruktif



Kajian mengenai pengajaran matematik telah menghasilkan beberapa model teori pengajaran matematik; antaranya ialah,‘Teacher Effectivenes Model’, ‘Process-Product Model’ dan ‘Constructivist Model’. Ketiga-tiga model ini berkembang seiring dengan perkembangan teori-teori pembelajaran. Pengajaran berdasarkan kepada model-model tersebut jelas dipengaruhi oleh teori-teori pembelajaran.



Model konstruktivis, merupakan model pengajaran yang mutakhir dalam dunia pendidikan yang mula berkembang secara pesat sejak 80an. Model ini mendapat sambutan untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (termasuk di Malaysia) kerana ia dikatakan mempunyai ciri-ciri yang menyebabkan murid-murid memperolehi dan membina ilmu pengetahuan dengan lebih berkesan tanpa paksaan.



Ciri-ciri utama dalam model konstruktivis; pertamanya ialah peranan guru berubah, kaedah pengajarannya menumpu kepada kejayaan murid membina skema pengkonsepan berdasarkan kepada pengalaman mereka yang aktif. Guru adalah sebagai pengurus bilik darjah, dan murid diterima sebagai individu yang mempunyai ciri-ciri perlakuan yang berbeza, yang mana setiap murid dianggap penting dalam proses pembelajaran dan perlu diberi perhatian saksama. Maka guru harus perhatin dengan persekitara pembelajaran, dia harus bijak untuk menyediakan bahan-bahan manipulatif bagi murid dan dapat menyediakan peluang-peluang dalam proses murid berinteraksi dengan bahan supaya murid dapat membinailmu pengetahuan (konsep dan sebgainya). Di samping itu guru harus sedar bagaimana peluang yang disediakan olehnya dapat menyebabkan murid menghubungkaitkan pengetahuan lalu dengan yang baru dan melakukan aktiviti ‘penyusunan semula’ ilmu pengetahuan. Akhir, guru harus dapat melihat dunia pembelajaran matematik bukan sahaja dari kaca matanya tetapi yang penting adalah dari kaca mata murid-muridnya.



Ciri yang kedua ialah murid itu sendiri. Dari sudut pandangan konstruktivis, setiap murid mempunyai peranan dalam menentukan apa yang akan mereka pelajari. Berdasarkan teori, ciri pembelajaran sebagai satu proses yang mana murid-murid mengubah suaikan ‘internal mental representations’ untuk membina struktur atau hubungan matematikal. Dengan itu murid akan dapat sedar bahawa pengetahuan sebagai sesuatu yang boleh disesuaikan dan boleh berubah, yang menentukannya ialah mereka sendiri.



Ketiga guru dan murid harus sedar bahawa pengajaran dan pembelajaran ialah satu proses interaksi sosial. Ilmu pengetahuan yang dibina selalunya berlaku apabila ada interaksi sosial sesama ahli di dalam bilik darjah, murid-murid dan guru. Guru harus memberi peluang supaya murid banyak berinteraksi, supaya mereka berpeluang berkongsi persepsi, menghormati pandangan alternatif rakan dan seterusnya proses ini mengwujudkan ‘negotiation’ atau perundingan yang menyebabkan murid menyesuaikan idea atau konsepnya dengan yang baru. Di samping itu guru memberi peluang kepada murid supaya lebih berkeyakinan, kerana idea mereka diterima dan dihormati. Dalam interaksi ini kemahiran berkomunikasi dan bahasa memain peranan penting dalam mempersembahkan sesuatu idea secara verbal dan ini akan memantapkan konsep yang telah dibina.



Akhirnya guru dan murid juga sedar dan tahu bahawa pembinaan ilmu pengetahuan merupakan proses pemikiran (kognitif). Guru dapat menggalakkan dan murid sedar untuk melakukan refleksi terhadap proses pembelajaran mereka dan juga melakukan meta-kognitif. Ini akan memberi kesedaran kepada murid bahawa pengetahuan lalu sangat berkaitan dengan yang baru. Seterusnya aktiviti dan soal-jawab hendaklah sesuatu yang merangsangkan fikiran murid.



Kesimpulan yang dapat dibuat bahawa ciri-ciri model konstruktivis sesuatu yang praktikal dan bersesuaian sama ada untuk guru dan juga untuk murid-murid. Model ini memberi peluang kepada guru memilih kaedah P&P yang sesuai dan memberi peluang kepada murid untuk lebih aktif dalam proses P&P. Model ini akan mengwujudkan proses P&P yang lebih harmonis.










Apakah strategi / pendekatan

atau

kaedah yang sesuai

dengan
Teori Konstruktivisme


  • Menyoal
  • Perbincangan
  • Sumbang Saran
  • Perbahasan
  • Projek
  • Kajian kes






Reka bentuk pengajaran

dibina berasaskan kepada

6 perkara



  • Menentukan keperluan murid
  • Menentukan matlamat dan objektif
  • Membina prosedur penilaian
  • Merekabentuk dan memilih strategi penyampaian
  • Mencuba sistem pengajaran
  • Menilai kesesuaian sistem










Teruskan membaca..

Saturday, April 7, 2012

Pendekatan Psikologi






Pendekatan Psikologi



  • Pendekatan Behaviorisme


Pendekatan Behaviorisme menekankan kepada tingkah laku yang boleh dilihat dan diukur. Pendekatan ini dipelopori oleh John B. Watson di Universiti John Hopkins Amerika Syarikat pada tahun 1913 yang berpendapat bahawa tingkah laku dipengaruhi oleh persekitaran dan bukannya unsur-unsur dalaman. Menurut Bernstein (1994), idea-idea Watson inilah yang mengembangkan pendekatan behaviorisme yang menekankan idea bahawa tingkah laku dan proses mental adalah hasil daripada pembelajaran. Menurut pendekatan ini, tingkah laku ialah satu siri gerak balas yang dipelajari dengan wujudnya rangsangan. Pendekatan ini dikenali sebagai psikologi rangsangan gerak balas atau ringkasnya R-G. Selain J.B Watson, ahli-ahli psikologi behaviorisme yang lain ialah B.F Skinner, Ivan Pavlov dan E.L. Thorndike.






Menurut Pavlov (1962), setiap rangsangan akan menimbulkan gerak balas dan berlaku pembelajaran apabila terdapat perkaitan antara rangsangan dan gerak balas. Pelaziman bermaksud pembelajaran yang berlaku apabila ada perkaitan antara rangsangan dan gerak balas. Menurut Mahani Razali (2002), Pelaziman klasik pula adalah pembelajaran yang berlaku akibat daripada dua rangsangan ini. B.F. Skinner (1904-1990) bersetuju dengan pendapat Pavlov tetapi menyatakan bahawa tingkah laku dapat diperhatikan dalam jangka panjang supaya dapat mengubah perlakuan yang mudah kepada perlakuan kompleks.





Menurut beliau, bimbingan, latihan, ganjaran, pengukuhan dan tunjuk ajar yang berterusan adalah penting bagi menjamin perubahan tingkah laku yang berkesan. Bagi E.L. Thorndike, walaupun pembelajaran berlaku hasil gabungan antara s
timulus (rangsangan) dan response (gerak balas) seperti pendapat Pavlov dan Skinner, beliau memberi penekanan terhadap pembelajaran cuba jaya dan pengulangan. Contohnya, Ghazali, seorang murid dalam tahun enam akan terus memperbaiki kelemahan matematiknya hasil dari tunjuk ajar, galakan dan pujian dari gurunya setelah ia berjaya menyelesaikan masalah matematik yang diberikan kepadanya.








  • Pendekatan Psikoanalitik



Pendekatan ini dipelopori oleh Sigmund Freud (1856-1939) yang berpendapat bahawa sebahagian besar tingkah laku dipengaruhi oleh proses-proses psikologi tidak sedar yang merujuk kepada pemikiran, kebimbangan serta harapan yang tidak disedari oleh seseorang termasuk perlakuan normal dan abnormal hasil daripada faktor ganetik dan persekitaran. Ahli teori pendekatan psikoanalitik menekankan kepentingan zaman awal individu dan percaya bahwa peristiwa masa kecil mempunyai kesan sepanjang hayat pada keadaan psikologi individu.






Teori struktur personaliti Sigmund Freud membahagikan struktur psikik kepada tiga iaitu id, ego dan superego. Id merupakan sumber dorongan dan nafsu yang diwarisi, mementingkan diri sendiri dan tidak ada pengaruh kepada dunia realiti dan mempengaruhi tingkah laku bayi apabila dorongan atau kemahuannya begitu kuat. Ego pula cuba perlahan-lahan mengambil tanggungjawab mendorong id supaya mengikut kehendak moral dan etika masyarakat sementara superego pula berfungsi sebagai penghantar maklumat nilai moral yang berkembang daripada didikan agama kepada ego yang mengawal id.




Mengikut pendekatan ini, sekiranya id dan superego cukup kuat untuk menguasai ego biasanya konflik dalaman akan berlaku dalam diri individu. Teori Freud menyarankan sekiranya konflik antara id, ego dan superego tidak selesai ia akan membawa kepada kecelaruan mental. Contohnya, Zulkarnain seorang murid dalam tahun enam yang akan menghadapi peperiksaan UPSR akan belajar dan berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajarannya untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan tersebut dengan selalu mengulangkaji pelajaran, bertanya kepada guru dan bersaing dengan rakan-rakannya dalam setiap ujian dan peperiksaan percubaan yang dijalankan







  • Pendekatan Kognitivisme





Istilah kognitif merujuk kepada aktiviti-aktiviti mental seperti berfikir, menaakul, menganalisis, membentuk konsep, menyelesaikan masalah dan sebagainya. Pendekatan Kognitivisme merupakan pendekatan yang memberi perhatian khusus kepada proses pemikiran individu seperti kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, kemahiran belajar dan motivasi yang dipelopori oleh ahli psikologi Gestalt, Pieget, Vygotsky, Gagne, Bruner dan Ausubel.





Menurut mereka dalam proses pembelajaran, pelajar membentuk struktur kognatif dalam ingatannya. Setiap kali seseorang individu itu belajar, dia akan menyusun pengalaman yang dipelajari dan menyimpannya dalam ingatan. Mereka juga berpendapat bahawa setiap manusia mempunyai keupayaan mental untuk mengelola, menyusun, menyimpan dan menggunakan semula segala pengalaman yang tersimpan untuk membolehkan ia menghubungkaitkan pengalaman tersebut dengan masalah yang dihadapi. Kebolehan ini dikenali sebagai ‘celik akal’.






Menurut Gagne (1970), proses pembelajaran bergerak dari peringkat yang paling mudah kepada peringkat yang rumit. Pembelajaran pada aras yang tinggi bergantung kepada pembelajaran pada aras yang rendah. Kajian Teori Bruner mendapati kanak-kanak dapat berfikir dengan menggunakan bahasa iaitu dua proses penguasaan; superordinat dan kompleksif. Superordinat merujuk kepada proses penggunaan konsep, prinsip atau hukum yang semakin berkembang selaras dengan perkembangan keupayaan mental dan peringkat umur manakala kompleksif proses pengurangan penggunaan bahasa yang tidak bercorak konsep atau prinsip selaras dengan perkembangan dan keupayaan mental. Implikasinya semakin berkembangan pemikiran seseorang individu, semakin banyak konsep baru yang akan diperolehinya. Contohnya, Hisyamuddin, murid tahun enam telah mahir menulis esei panjang dengan mempraktikkan teknik menulis esei setelah mempelajarinya secara berperingkat semenjak dari tahun empat lagi.







  • Pendekatan Humanistik



Ahli Psikologi dalam pendekatan ini adalah seperti Abraham Maslow, Rollo May, Carls Rogers dan Gordon Allport. Teori pendekatan Humanistik memberi tumpuan kepada apa yang berlaku dalam diri seorang individu seperti perasaan atau emosinya. Teori ini menyatakan bahawa individu terdorong bertindak melakukan sesuatu kerana mempunyai satu kemahuan atau keperluan dan bertanggungjawab di atas segala tindakkannya. Menurut pendekatan ini, kuasa motivasi seseorang individu adalah kecenderungannya untuk berkembang dan mencapai hasrat diri (self-actualization). Ini bermakna setiap individu mempunyai keperluan untuk mengembangkan potensinya ke tahap maksimum. Walaupun terdapat halangan, kecenderungan semulajadi adalah untuk mencapai hasrat diri atau mengembangkan potensi ke tahap yang maksimum. Konsep ini (pencapaian hasrat diri) sebenarnya dipelopori oleh Abraham Maslow yang juga merupakan ahli psikologi humanis.


Abraham Maslow (1970) mengemukakan Teori Hierarki Keperluan Maslow dengan andaian bahawa manusia tidak pernah berasa puas dengan apa yang telah dicapai. Mengikut Maslow kehendak manusia terbahagi lima mengikut keutamaan iaitu keperluan asas fisiologi, keselamatan, penghargaan dan kasih sayang, penghormatan kendiri seterusnya keperluan sempurna kendiri. Rogers (1956) pula mengatakan bahawa manusia sentiasa berusaha memahami diri sendiri, mempengaruhi dan mengawal perlakuan dirinya dan orang lain. Rogers berpendapat bahawa manusia lahir dengan kecenderungan untuk kesempurnaan yang akan memandunya menjadi insan yang matang dan sihat. Jelas di sini bahawa pendekatan ini lebih memberi tumpuan kepada kemahuan seseorang dan menekankan keunikan manusia serta kebebasan mereka untuk memilih matlamat hidup. Contohnya, Karim murid tahun enam yang tidak mendapat kasih sayang dari ibu bapanya dan sentiasa dinafikan haknya dari adik beradiknya yang lain telah menyebabkan ia suka menyendiri dan tidak yakin pada dirinya sendiri sehingga menjejaskan pelajarannya.









  • Pendekatan Biologi




Pendekatan Biologi cuba mengaitkan tingkah laku manusia dengan kejadian dalam otak dan sistem saraf manusia. Kajian-kajian baru menunjukkan adanya pertalian rapat antara aktiviti otak dengan tingkah laku dan pengalaman. Pendekatan ini juga dikenali sebagai pendekatan biomedik dan dikenali juga sebagai Model Penyakit (Disesease Model) atau Model Perubatan yang berpandangan bahawa masalah yang dihadapi adalah hasil kecacatan tubuh badan, kecederaan atau penyakit yang selalunya mempunyai kesan ke atas otak.





Reaksi emosi seperti ketakutan dan kemaharan telah ditonjolkan oleh haiwan dan manusia ketika dilakukan rangsangan elektrik di kawasan-kawasan tertentu di dalam otak seperti eksperimen yang telah dijalankan oleh Edward Hitzig (1893-1927) dan Gustav Fritsch (1839-1907) terhadap anjing yang dimasukkan dua batang dawai ke permukaan kortikal otaknya. Eksperimen ini jelas menunjukkan tindak balas akan berlaku apabila rangsangan elektrik diberikan dan seterusnya memberi kesan ke atas tingkah lakunya.






Oleh yang demikian, salah satu fokus dalam pendekatan ini adalah peranan sistem saraf pusat yang bertanggungjawab mengawal setiap pemikiran dan pergerakan manusia. Contohnya, Salmah murid tahun enam, mengikut rekod kelahirannya telah mengalami masalah yang menyebabkan otaknya tidak memperolehi oksigen secukupnya kerana lambat dilahirkan dalam proses tersebut , telah memberi kesan kepada kemampuan mindanya untuk menerima dan mengingat suatu maklumat seperti tidak mampu mengingat sifir dua.

















Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...