Satu menara, waktu berbeza
Sebelum ini, menara berkenaan dikenali sebagai Burj Dubai. Ia merupakan struktur binaan manusia tertinggi setakat ini dalam sejarah peradaban dunia.
Burj Dubai dinamakan sebagai Burj Khalifa pada 4 Januari 2010 ketika majlis perasmian dan pembukaan Burj Khalifa itu sendiri.
Nama hebat itu diambil sempena nama Presiden UAE dan pemerintah Abu Dhabi iaitu Sheikh Khalifa bin Zated Al Nahyan.
Tinggi Burj Khalifa ialah 828 meter. Cuma 172 meter sahaja lagi untuk genap pada ketinggian satu kilometer.
Pembinaannya dimulakan pada 21 September 2004, sehinggalah struktur luarannya siap 1 Oktober 2009 dan dibuka secara rasmi pada 4 Januari 2010.
Menara pencakar langit itu merupakan sebahagian daripada projek pembangunan besar-besaran yang melibatkan tapak bina seluas dua kilometer persegi yang dikenali sebagai Downtown Burj Khalifa.
Ia terletak di Persilangan Pertama sepanjang Jalan Sheikh Zayed berhampiran kawasan perniagaan utama di kota raya Dubai.
Struktur Burj Khalifa dari aras paling bawah hingga ke tingkat 206 disusun mengikut tuntutan semasa pengguna, termasuk dilengkapi hotel terkemuka dunia dan kediaman.
Jadi, tidak hairanlah apabila para penghuni menara tersebut sebenarnya memiliki waktu sembahyang yang merangkumi waktu bersahur dan masa untuk berbuka puasa sedikit berbeza.
Sebab itulah Ketua Bahagian Fatwa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Dubai, Ahmad Abdul Aziz Al Haddad menerusi kenyataannya yang dilaporkan oleh Agensi berita pada 8 Ogos 2011 menegaskan bahawa, waktu sembahyang umat Islam yang menghuni tingkat 80 di Burj Khalifa berbeza dengan aras yang lebih bawah.
Kenyataan itu dikeluarkan kerana waktu terbit dan terbenam matahari bagi umat Islam yang menghuni tingkat 80 dan tingkat lain yang lebih tinggi di Burj Khalifa dinasihatkan supaya melewatkan waktu berbuka puasa sepanjang Ramadan antara dua hingga tiga minit berikutan waktu terbenam matahari yang berbeza.
Waktu imsak mereka juga adalah dua minit lebih awal berbanding mereka yang tinggal di tingkat lebih rendah.
"Penghuni di Burj Khalifa mempunyai waktu berbuka puasa, imsak dan Subuh yang berbeza bergantung kepada tingkat berapa mereka tinggal," tegas Ahmad Abdul Aziz Al Haddad.
Beliau berkata, penduduk Islam yang tinggal di tingkat 80 hingga 150 di menara tertinggi itu, perlu menangguhkan waktu berbuka puasa mereka selama dua minit manakala mereka yang berada di tingkat 151 hingga 160 perlu berbuka kira-kira tiga minit lebih lewat.
"Penghuni di tingkat 80 hingga 150 perlu menunaikan solat Asar dan Isyak dua minit lewat manakala solat Subuh dua minit lebih awal.
"Mereka yang menghuni tingkat 150 dan ke atas pula perlu melambatkan solat Asar dan Isyak selama tiga minit, tetapi mempercepatkan waktu solat Subuh tiga minit lebih awal berbanding waktu yang ditetapkan buat penduduk di tingkat lebih bawah," katanya.
Ahmad Abdul Aziz Al Haddad berkata, perbezaan waktu ini bagi bangunan setinggi 160 tingkat itu adalah kerana berdasarkan waktu matahari terbenam buat penduduk di tingkat atas, tetapi penduduk terbabit adalah mula-mula dapat melihat matahari terbit pada awal pagi.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa pembinaan Burj Khalifa dikendalikan oleh tiga orang pakar iaitu Skidmore, Owings dan Merrill selaku jurubina dan jurutera menara tersebut.
Pada masa yang sama, seorang lagi tenaga paling mahirnya pula ialah Bill Baker yang bertindak sebagai Ketua Jurutera Struktur projek ini yang mencipta sistem struktur teras bersagang untuk membolehkan Burj Khalifa mencapai ketinggian luar biasa sambil berjimat cermat.
Selain mereka, seorang lagi pakar ialah Adrian Smith yang bekerja bersama Skidmore, Owings dan Merrill sehingga tahun 2006 pula bertugas selaku Rakan Reka Bentuk dalam projek ini.
Syarikat pemaju atau pembina utama Burj Khalifa merupakan usaha sama antara syarikat Samsung C&T dari Korea Selatan yang pernah membina Taipei 101 dan Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur dan kumpulan Besix dari Belgium serta Arabtec dari UAE sendiri.
Turner Construction Company pula dilantik sebagai pengurus projek binaan. Mengikut undang-undang UAE, pihak kontraktor dan jurutera rekod memiliki tanggungjawab bersama dan berasingan atas prestasi Burj Dubai.
Oleh itu, dengan menerima reka bentuk oleh Skidmore, Owings dan Merrill serta dilantik sebagai jurubina dan jurutera rekod, Hyder Consulting menjadi Penasihat Reka Bentuk untuk menara ini.
Menyentuh perbelanjaan projek Burj Khalifa pula ia dianggarkan kira-kira RM4.8 bilion (AS$1.5 bilion) manakala untuk seluruh projek Downtown Dubai menelan RM64.16 bilion (AS$20 bilion).
Jadi, tidak hairanlah apabila Ketua Pegawai Eksekutif Emaar Properties, Mohamed Ali Alabbar dalam Kongres Dunia Ke-8 Majlis Bangunan Tinggi dan Habitat Bandar dulu mengumumkan bahawa harga ruang pejabat di Burj Khalifa mencecah RM12,853.41 (AS$4,000) sekaki persegi atau kira-kira RM137,948.48 (AS$43,000 semeter persegi).
Lebih-lebih lagi bagi Armani Residences yang juga terletak di Burj Khalifa dijual dengan harga RM11,228.36 (AS$3,500) sekaki persegi atau kira-kira RM120,303.90 (AS$37,500 semeter persegi).
Baru-baru ini, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang mengetuai penjelajahan promosi pendidikan ke Asia Barat turut meninjau kehebatan Burj Khalifa.
Sewaktu ke menara termasyhur itu, baginda diiringi oleh Duta Besar Malaysia Ke UAE, Datuk Ahmad Anwar Adnan dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.
Keberangkatan baginda ke Burj Khalifa disambut oleh Pengurus Protokol dan Sekuriti Kumpulan Downtown Dubai, Hamad Mohammed Kalli.
Raja Muda Perlis mengetuai penjelajahan promosi pendidikan ke Asia Barat bersama Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) pimpinan Presiden AUCMS, Datuk Zainuddin Wazir dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang diterajui oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin serta Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) bersama Rektor, Dr. Mohd. Mizan Mohamad Aslam.
No comments:
Post a Comment