Pentingnya cara berfikir
DALAM hidup ini, ucapan dan kata-kata menunjukkan cara fikir. Cara fikir membentuk sikap dan tingkah laku seseorang. Seseorang itu membuat pilihan, keputusan dan seterusnya bertindak mengikut apa yang ada dalam fikirannya.
Sesetengah ucapan dan kata-kata begitu dipegang dan dipercayai hingga tanpa disedari, menjadi falsafah hidup seseorang. Falsafah hidup ini banyak mempengaruhi sikap dan tingkah laku kita.
Bagi seorang pelajar pula
kita sering mendengar kata-kata seperti:
* 'Belajar rajin-rajin pun bukan boleh dapat nombor satu.'
* 'Dah tahu gagal buat apa belajar bersungguh-sungguh.'
* 'Susahlah subjek matematik ini.'
Kesannya, pelajar menjadi malas untuk berusaha lebih. Dia nampak masa depan yang gelap dan tiada harapan. Akhirnya, pelajar ini menyerahkan sahaja segala apa yang berlaku kepada takdir. Apabila gagal dalam peperiksaan, katanya semua itu sudah nasib dan takdir. Takdir juga yang dipersalahkan. Menyalahkan takdir bermakna menyalahkan Tuhan.
Dari mana datangnya semua falsafah-falsafah ini? Falsafah dan kepercayaan ini datangnya daripada ibu bapa, guru-guru, pergaulan, pembacaan, media, orang sekeliling dan pengalaman. Apabila kita mendengar sesuatu itu diungkapkan oleh seseorang yang kita percaya atau kagum, maka kita terima ia sebagai betul lalu berpegang dengan ungkapan tersebut. Kita sendiri tidak sedar bila masanya ungkapan itu menjadi rujukan dalam membuat keputusan dan tindakan. Tetapi itulah sebenarnya yang terjadi.
Langkah terbaik untuk berubah dan memperbaiki diri ialah dengan melakukan muhasabah terhadap diri sendiri. Ambil masa dan senaraikan mana-mana ungkapan atau falsafah yang negatif dan perlu dibuang atau diperbetulkan agar tidak merugikan diri sendiri. Seterusnya, fikirkan pula ungkapan atau kata-kata positif yang mahu disebut berulang kali kepada diri sendiri bagi membentuk falsafah diri yang baru.
Kata-kata yang positif, apabila diulang berkali-kali akan membentuk fikiran yang juga positif. Hubungan antara cara fikir dan kata-kata ialah hubungan dua hala, iaitu kata-kata menunjukkan cara fikir seseorang dan dalam masa yang sama kata-kata juga membentuk fikiran seseorang.
Cuba fikirkan bagaimana agaknya kata-kata berikut mempengaruhi sikap dan tingkah laku kita:
* 'Gagal sekali bukan bermakna gagal selama-lamanya.'
* 'Kalau orang lain boleh, aku juga boleh.'
Bagi memastikan kata-kata yang positif mula menjadi pegangan dan kepercayaan maka kita perlu menulis dan menampalnya pada tempat yang mudah dibaca, sering mengungkapkan dalam situasi-situasi yang genting dan penting serta selalu pula disebut dan diucap kepada orang lain. Dengan menjadikannya amalan maka akan terbentuklah kepercayaan.
Selain itu usah kita lupa bahawa kata-kata dan ucapan juga merupakan satu doa. Apa yang kita ucapkan pada diri sendiri atau pada orang lain itu adalah doa.
Bersama Dr. Tengku
Asmadi T. Mohamad
Pakar motivasi
drasmadi@maptraining.com.my
www.facebook.com/drasmadi.
No comments:
Post a Comment