Cabaran mulakan tugas
selepasAidilfitri
Selepas bercuti selama beberapa hari untuk menyambut Aidilfitri, kini ramai
pulang ke rumah masing-masing untuk kembali menunaikan rutin kehidupan seharian
termasuklah amanah bekerja.
Berhari raya sambil bercuti adalah suatu bentuk rehat. Kalaupun tidak memberikan rehat fizikal kerana letih melayan tetamu atau penat memandu, ia memberikan rehat minda daripada memikirkan urusan kerja seharian buat seketika.
Bagi pekerja,
rehat ini sangat diperlukan kerana minda juga memerlukan rehat untuk kekal
sihat. Cuma selepas agak lama berehat dan berada dalam suasana riang bersama
keluarga serta sanak saudara, mengembalikan semangat dan keceriaan bekerja
seperti biasa memerlukan sedikit masa.
Seminggu dua ini, suasana dan perbualan di tempat kerja juga masih berkaitan sambutan hari raya, apatah lagi budaya menyambutnya di negara kita sepanjang Syawal. Hal ini walaupun menjadi suatu lumrah, perlu beringat agar ia tidak sampai menjejaskan tanggungjawab serta perkhidmatan berkualiti dan merugikan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan kepada kesabaran”. (Surah al-Asr, ayat satu hingga tiga)
Justeru, pelbagai cara boleh dilakukan untuk mengembalikan semangat bekerja selepas berhari raya. Antaranya mengembalikan dulu tumpuan minda terhadap kerja. Jika sebelum hari raya, tumpuannya kepada persiapan hari raya, begitulah juga apabila kembali bekerja.
Ia boleh dilakukan dengan mengambil beberapa langkah awal yang mudah iaitu dengan menyemak dan menyenaraikan tugasan yang perlu diselesaikan segera mengikut keutamaan.
Memastikan diri benar-benar memahami arahan kerja yang diberikan, menentukan kaedah dan strategi yang betul untuk melaksanakannya, mengenal pasti rakan atau pasukan kerja dan menentukan jadual pertemuan atau perbincangan gerak kerja.
Kerjasama dengan rakan
Usaha ini akan berjaya direalisasikan sekiranya diusahakan secara kolektif. Kerjasama dan interaksi kolektif dengan rakan sekerja amat berkesan untuk mengembalikan semangat bekerja, selain memastikan tugasan dapat disiapkan dengan lebih cepat dan efektif.
Sabda Rasulullah SAW: “Orang Mukmin dengan mukmin yang lain seperti binaan yang menguatkan antara satu dengan yang lain.” (Riwayat Muslim)
Langkah ini bukan saja menjadi proses kerja tetapi proses untuk mengembalikan tumpuan dan semangat bekerja.
Selain daripada usaha mengembalikan tumpuan minda, pekerja juga perlu mengembalikan tumpuan hatinya kepada kerja supaya ia dapat dilaksanakan dengan sepenuh hati. Sepenuh hati bukan saja bermaksud dengan bersungguh-sungguh tetapi juga dengan kerelaan dan kemahuan sendiri, baik, jujur lagi bersih hatinya.
Tetapkan niat
Menurut Imam al-Ghazali, hati itu ibarat raja yang menggerakkan tenteranya iaitu seluruh anggota. Tumpuan hati boleh diusahakan dengan meletakkan niat yang baik serta tekad yang kuat pada setiap masa.
Setiap amalan umat Islam dinilai daripada hatinya, sebagai mana sabda Rasulullah SAW daripada Saidina Umar bin al-Khattab bahawa sesungguhnya setiap amalan itu terletak pada niatnya dan setiap individu itu akan mendapat apa yang diniatkan.
Justeru, kita mesti memperbanyakkan zikir atau mengingati Allah SWT dengan melafazkan kalimah bismillah, tahmid, takbir, tahlil, berselawat, membaca ayat al-Quran, berdoa dan mengerjakan solat.
Semua ini ibarat vitamin bagi hati dalam memberi kekuatan untuk memohon pertolongan supaya segala urusan dipermudahkan dan melindunginya daripada godaan syaitan dan nafsu yang cenderung kepada sifat malas.
Tetapi, jika minda belum fokus dan hati masih liat untuk menyempurnakan tugas, ingatkanlah diri mengenai madrasah Ramadan yang dilalui. Nilai sejauh mana ia berkesan membentuk peribadi hebat di tempat kerja kerana sepatutnya, minda dan hati yang dilatih beribadah di bulan Ramadan diikuti kesyukuran Aidilfitri, lebih mudah dibangunkan dan cenderung kepada apa juga bentuk kebaikan.
Muhasabah ini akan menambah suntikan semangat bagi menyempurnakan amanah kerja.
Semua tindakan dinilai
Dalam Islam, apa juga yang diusahakan sama ada dengan tindakan fizikal, tumpuan minda dan hati yang baik, benar serta betul, semuanya dinilai oleh Allah SWT sebagai amal soleh. Walaupun kecil, ringan dan mudah, ia bukan sesuatu yang remeh atau sia-sia di sisi-Nya.
Malah, pekerja itu pula berakhlak mulia. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sudah tetap Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya.” (Surah al-Kahfi, ayat 30)
No comments:
Post a Comment