Kebudayaan:
65 kakitangan PPD Johor Bahru
ke Korea Selatan 26 Okt
JOHOR BAHRU 10 Okt. - Seramai 65 orang warga Pejabat Pelajaran Daerah
(PPD) Johor Bahru akan menganjurkan Program Pengantarabangsaan
Kebudayaan dan Kesenian ke Korea Selatan selama lapan hari mulai 26
Oktober ini.
Penolong PPD Johor Bahru (Pembangunan Kemanusiaan), Ahmad Taufik
Hamzah berkata, pada program itu seramai 26 murid tahun dua hingga lima
dari Sekolah Kebangsaan (SK) Infant Jesus Convent, SK Perempuan Sultan
Ibrahim dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Foon Yew 2 serta SK
Gelang Patah akan menyertai delegasi tersebut.
Katanya, yang turut serta ialah Pegawai Pelajaran Daerah Johor Bahru,
Bahrom Ali dan beberapa pegawai PPD Johor Bahru dan Jabatan Pelajaran
Johor, guru besar dan pengetua serta guru terpilih.
"Tujuan program ini untuk memperkasakan kecemerlangan murid dalam
bidang kebudayaan dan kesenian khasnya tarian. Secara tidak langsung
program ini memberi peluang kepada keempat-empat sekolah tersebut untuk
menyahut seruan Kementerian Pelajaran dalam mewujudkan kebitaraan
sekolah menerusi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).
"Program ini juga merupakan salah satu daripada lapan elemen yang
membentuk SBT. Program pengantarabangsaan sistematik dan terancang dapat
memastikan aktiviti bersama institusi pendidikan di Korea Selatan
sempurna dan bermanfaat melalui 'Program Pertukaran Sekolah' antara
kedua-dua negara," katanya di sini baru-baru ini.
Menurut Ahmad Taufik, di samping memperkasakan kebudayaan dan
kesenian Johor dalam kalangan murid-murid untuk bersaing di peringkat
antarabangsa, ia juga dapat mempromosikan negeri ini melalui aktiviti
kesenian selain mampu meningkatkan kecemerlangan kepimpinan di kalangan
pegawai, pengetua, guru besar di daerah ini.
"Di Korea Selatan kelak, delegasi akan dibawa ke Korea National University of Arts dan ke sekolah kluster, Kyung Hee Elementary.
"Selain itu, kami juga akan menyaksikan sendiri cara-cara menyediakan
makanan tradisional kimchi, mencuba pakaian tradisonal hanbook, melawat
Korean Folk Village, Everland Theme Park, Ginseng and Ameythest Center
dan singgah di Masjid Besar Itaewon," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment