30 peratus lepasan SPM cemerlang
diserap sebagai guru pelatih
JOHOR BAHRU 13 Okt. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, 30 peratus
lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan
cemerlang dan berminat dengan bidang perguruan akan diserapkan sebagai
guru pelatih mulai tahun depan.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, sebelum ini, mereka yang dipilih
adalah dalam kalangan mereka dengan keputusan 6A atau 7A, namun
kelayakan itu akan dinaikkan kepada 9A.
"Hampir 400,000 menduduki SPM dan kita ambil yang terbaik sekiranya
mereka berminat. Hanya 30 peratus yang cemerlang akan dipilih dengan
syarat lebih ketat.
"Ini sasaran baru supaya guru-guru yang terlatih adalah yang terbaik,
kita akan mulakan kriteria ini tahun depan," katanya ketika berucap
pada majlis perasmian Perhimpunan Guru Muda 1Malaysia (GM1M) peringkat
Zon Selatan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Ketua
Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud dan Timbalan Pengarah
Pelajaran negeri, Md. Hasidin Zaini.
Muhyiddin turut merasmikan laman Facebook GM1M sebagai medium untuk
semua guru muda di negara ini berhubung selain berkongsi pendapat
mengenai perkara-perkara berkaitan.
Sementara itu, pada sidang akhbar selepas majlis berkenaan, beliau
yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya sudah memperoleh data
daripada pembentangan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
2013-2025 yang akan digunakan sebagai asas peningkatan kualiti tenaga
pendidik.
"Satu perkara yang kita akan tumpukan adalah meningkatkan kualiti
pengajaran guru bahasa Inggeris yang kini berjumlah hampir 70,000 orang.
Latihan-latihan tertentu telah dibuat dan kita ada piawaian yang akan
kita gunakan berdasarkan Cambridge Placement Test sebagai ukuran," katanya.
Muhyiddin turut mengumumkan penambahan 25 pembantu guru bahasa
Inggeris dari Amerika Syarikat tahun hadapan sebagai tambahan kepada 50
sukarelawan sedia ada di sekolah-sekolah terpilih.
No comments:
Post a Comment